Ahad, 19 Disember 2021

Bagaimana Facebook Dapat Membantu Penulisan

 

Facebook semakin lama semakin sebati dalam kehidupan kita. Hingga kita kadangkala terfikir bagaimana kita mampu hidup tanpanya, dan bagaimana orang pada masa dahulu hidup tanpa Facebook. Facebook boleh digunakan untuk pelbagai cara dan tujuan, boleh digunakan untuk bersosial, mengikuti perkembangan kawan dan saudara mara, bergaduh, aktivisme, scam orang, berniaga, mencari maklumat, dan pelbagai lagi. Mungkin tujuan dan bentuk kegunaannya seluas imaginasi manusia.

Pada saya, Facebook muncul menggantikan laman berhubung dengan rakan-rakan selepas berakhirnya era Frienster, MySpace, dan Yahoo Messenger. Generasi baharu mungkin tidak pernah mendengar pun laman-laman sosial yang lama ini. Tetapi itulah laman untuk berhubung bagi saya semasa zaman sekolah dan selepas keluar sekolah sebelum munculnya Facebook. Selepas tamat sekolah laman tersebut menjadi medium perhubungan dengan kawan-kawan. Selain chatting, dulu juga ada ruangan forum, yang mungkin sekarang sudah pupus. Juga antara medium lain adalah dalam bentuk blog, hampir ke semua kawan-kawan saya dahulu mempunyai blog. Di blog mereka saya dapat membaca kisah terkini mereka.

Apabila masuk ke universiti, Facebook menjadi tempat yang lebih dari sekadar berhubung dengan kawan-kawan. Facebook group memudahkan pelajar bertukar bahan-bahan kuliah, memaklumkan jadual kelas, dan sebagainya. Ia juga sebagai platform untuk berbincang menyelesaikan masalah dan menganjurkan apa-apa aktiviti. Facebook group merupakan platform sentral dalam mengatur kehidupan kampus semasa saya di luar negara, bukan sekadar hal-hal kuliah dirancang disana, malah aktiviti persatuan pelajar juga banyak dibincangkan menggunakan medium ini.

Kehadiran Facebook juga menukar bagaimana informasi dihantar dan tersebar. Sehingga ada pemikir yang menyatakan bahawa "social media is the new mass media". Banyak bahan-bahan yang sebelum ini taboo, subversif, ditekan, dan diharamkan oleh kerajaan untuk diterbitkan di media arus perdana dengan mudah disebarkan di media sosial. Kerajaan-kerajaan dunia juga ketika itu bingung bagaimana untuk mengawal media baharu ini. Ada sebahagiannya tidak dapat lagi mengekalkan legitimasi dengan kewujudan media baharu. Ada kerajaan yang jatuh, ada negara yang terjatuh dalam kancah perang saudara, malah ada juga negara yang akhirnya berhenti berfungsi sebagai negara dek kerana tiada kerajaan yang mampu mengawal sempadan negara lama. Mungkin media sosial bukan faktor utama kepada perubahan politik dunia, namun tiada siapa yang dapat menolaknya sebagai salah satu faktor perubahan ini.

Politik nasional kita sendiri banyak berubah. Perang pilihanraya bukan lagi perang siapa lagi banyak memacak bendera, tetapi siapa yang berjaya mengawal dan mengetengahkan isu di media sosial. Mereka yang berjaya menjuarai isu di media sosial akan kedepan. Maka munculah pelbagai page dan akaun politik untuk mengetengahkan isu mengikut naratif mereka. Kempen-kempen dalam talian ini begitu penting hingga parti-parti politik menyalurkan dana beribu-ribu ringgit untuk memastikan imej mereka di dalam media sosial dapat dipertahankan.

Menggunakan Facebook sebagai pentas perbahasan politik bagi individu sememangnya menarik. Namun tidak semua orang selesa dengan idea dan pandangan politik kita. Tidak sedikit ketidakselesaan itu berubah menjadi bermasam muka di alam nyata, juga menjadikan hubungan persahabatan menjadi dingin. Walhal ia hanya pandangan politik. Tidak semua orang dapat menerima perdebatan politik dilakukan dengan terbuka, mereka mungkin sudah selesa isu-isu sensitif ini dibincangkan dengan orang-orang yang sekepala dan dipercayai di kedai-kedai kopi. Generasi-generasi lama juga kadangkala kelihatan berbalah dengan generasi baharu apabila isu-isu politik ini dibincangkan dengan terbuka di media sosial. Mereka dapat melihat pandangan mereka yang selama ini dirasakan dominan menjadi lekeh apabila ia dibuka di pentas umum.

Bagi saya, selain kegunaan-kegunaan ini semua, Facebook juga boleh dimanfaatkan oleh penulis sebagai satu alat yang berguna. Facebook dapat digunakan sebagai tempat melempar dan menyimpan draf penulisan. Kerana sifatnya yang mobile, kita boleh sahaja mencatat idea dan fikiran kita bila-bila ia muncul. Penulisan di Facebook tidak perlu lengkap, ia boleh sahaja menjadi sebahagian idea yang belum dikembangkan. Idea-idea yang tergantung atau separa matang. Pembaca lain juga boleh membincangkannya, dan ini akan menambahkan lagi pemahaman terhadap idea yang dilontarkan. Kita dapat melihat idea itu diulas dari sudut-sudut orang lain. Pengalaman interaktif ini dapat mempercepatkan ketajaman dan kematangan sesuatu idea.

Penulisan-penulisan ini kemudian boleh dikumpulkan, digilap, disunting, dan dikembangkan kepada penulisan yang lebih serius. Bukan setiap masa kita boleh duduk dan menulis, jadi Facebook boleh dijadikan medium untuk menangkap idea-idea awal kita. Apabila kita punya masa untuk duduk dan fikir dengan lebih dalam, kita boleh kembali semula pada draf kita dan menggilapnya semula. Saya secara peribadi sering juga melemparkan idea-idea ke Facebook. Selepas beberapa lama, saya akan salin semula dan tambah baik untuk dimasukkan pula ke dalam blog. Jadi Facebook merupakan tempat meletakkan draf pertama, ia kemudian dikumpulkan ke dalam bank draf penulisan saya iaitu blog. Setelah itu saya akan salin semula untuk penulisan yang lebih serius seperti dicetak ke dalam bentuk buku atau artikel majalah atau zine.

Penulisan yang baik adalah penulisan yang tidak tergesa-gesa tulis Syed Hussein Alatas dalam bukunya Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah. Saya bersetuju akan hal ini. Ada kalanya penulisan perlu diperam sedikit, seperti jeruk, lama diperam barulah sedap. Kita mungkin ada satu idea, kita tulis dan peram, di satu masa nanti apabila pengalaman dan idea kita bertambah kita boleh kembali padanya dan nilai semula idea itu. Jadi masa merupakan kandungan yang penting dalam penulisan, lebih banyak masa yang dilabur, lebih ranum buah penulisan. Seperti sebuah puisi yang ditulis oleh Ta-Nehisi Coates yang dikongsikan oleh Angela Duckworth di bahagian kesimpulan bukunya, GRIT. Bagi Coates penulisan kita pada awalnya sememangnya buruk, kemudian kita tidur, kita bangun dan memperindahkannya, kemudian kembali tidur, kemudian bangun dan memperindahkannya lagi. Begitulah kita ulang-ulang sehingga ia menjadi satu penulisan yang indah dan ranum. 

Bagi Coates, proses penulisan merupakan proses kegagalan yang berulang-ulang kali. Kita harus kembali kepada kegagalan itu, melihatnya semula, membaikinya semula, hinggalah kita berjaya mengubahnya menjadi kejayaan. Jadi dalam proses draf ini, Facebook dapat membantu kita menjadi medium merekod draf awal. Yang kemudian boleh kita kembali padanya berkali-kali hinggalah ia menjadi satu penulisan yang enak dan ranum. Selain itu ia juga boleh menjadi medan yang interaktif dalam kita menimbang sesuatu idea sebelum kita menerbitkannya dalam penulisan yang berbentuk lebih serius.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan