Ahad, 13 Februari 2022

Memaknai Pembacaan: Tahap ketiga


Pernah sekali saya dijemput untuk memberikan satu pengisian kepada pelajar-pelajar sebuah kolej swasta. Salah seorang pendengar pada ketika itu adalah seorang professor. Beliau bertanya kepada saya bagaimana hendak memaknai pembacaan. Saya kira ia soalan yang beliau sendiri sudah tahu jawapannya. Mungkin beliau sengaja mahu menguji saya. Atau paling tidak beliau mempunyai pandangan perihalnya, namun sebelum memberi pandangannya beliau mahu mendengar respon saya.

Saya memberi jawapan bahawa bagi saya untuk memaknai pembacaan, saya biasanya akan membaca dengan perlahan. Saya tidak membaca dalam keadaan memaksa atau terpaksa. Sebaliknya dalam keadaan tenang dan damai. Supaya saya dapat memikirkan perihal apa yang dibahaskan. Jika penat saya akan berehat, dan mula membaca semula ketika saya sudah sedar dan segar. Saya juga akan menandakan pada buku saya mana idea, quote, pandangan yang saya rasakan menarik.

Sambil membaca saya biasanya akan menulis perihal apa yang saya baca sebagai satu proses pencernaan tentang apa yang dibaca. Bagi saya ini juga adalah sebuah rekod akan apa yang saya fahami. Saya boleh rujuk semula nota bacaan saya ini untuk digunakan dan dinukilkan kembali dalam penulisan saya pada masa akan datang. Walaupun ini akan menjadikan pembacaan saya tidak sepantas orang lain, bagi saya ia akan lebih memberatkan dan memperdalamkan kefahaman saya. Bagi saya, begitulah sifat ilmu, ia memerlukan masa. Masa adalah sebahagian dari kandungan dalam resepi untuk mencari ilmu.

Professor itu bersetuju dan dia menambah apa yang dia rasakan dapat lebih memaknai pembacaan. Bagi dirinya, untuk lebih memaknai pembacaan, seseorang itu perlulah berkongsi bahan bacaannya dengan orang lain. Iaitu menjadi altruist reader. Atau dalam kata lain, dia boleh menerangkan kefahaman yang dia dapat kepada orang lain. Dengan menerangkan semula apa yang kita baca, kita dengan itu sebenarnya belajar menyusun informasi, belajar menguji kefahaman kita, belajar berfikir, dan belajar mengolah idea.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau. Bagi saya aktiviti berkongsi perihal bahan bacaan ini satu proses yang mengayakan kefahaman. Mungkin juga itu boleh dikatakan sebagai tahap ketiga dalam memaknai pembacaan, tahap pertama adalah membaca, tahap kedua adalah memahami, dan tahap ketiga adalah boleh menerangkannya semula. Sebab itu saya sebenarnya gembira jika ada teman-teman yang menjemput saya dalam diskusi buku, saya boleh mencapai ketiga-tiga tahap ini. Walaupun kadangkala masa dalam kehidupan ini terbatas, selagi ada upaya, saya cuba juga penuhi jemputan.

Bagi saya sebenarnya pembacalah yang akhirnya akan memaknai sebuah penulisan itu bukan penulis. Penulis boleh menulis sesuatu penulisan, namun selepas ia diterbitkan, proses pemaknaan penulisan itu sudah terlepas dari kawalan penulis. Sebab itu kita lihat hari ini, teks yang sama boleh melahirkan aliran fikir yang berbeza. Malahan teks yang sama boleh mencambahkan pelbagai mazhab yang berbeza dan saling bertembung antara satu sama lain. Kerana akhirnya, yang memaknai penulisan adalah pembaca bukan penulis. Satu perkataan boleh dimaknai dengan makna yang berbeza-beza.

Contohnya Madilog tulisan Tan Malaka. Bagi Hamka yang membacanya, beliau mengatakan bahawa Tan Malaka mencintai Islam. Namun apabila Madilog yang sama dibaca oleh Syed Hussein Alatas beliau mengatakan bahasa Tan Malaka telah meninggalkan Islam. Kedua-duanya membaca buku yang sama tapi sampai kepada kesimpulan yang berbeza.

Perkara ini pernah dituliskan oleh antara penulis kegemaran saya, Bart D. Ehrman yang mengkaji perubahan-perubahan yang dilakukan oleh scribes dalam evolusi Kitab Perjanjian Baharu. Pada mulanya beliau merasakan apa yang dilakukan scribes ini adalah salah kerana mereka mengubah kebenaran. Namun lama kelamaan, setelah bertahun-tahun beliau mengkaji, beliau semakin kurang judgemental terhadap scribes yang menyalin semula Kitab ini. Bagi Ehrman, apabila kita membaca sesuatu teks, kita tidak dapat lari dari menafsirkan makna teks tersebut. Teks tidak dapat bercakap untuk dirinya sendiri, atau dalam bahasa lain, manusialah yang memberi makna kepada sesuatu teks. Manusia jugalah yang akan menentukan melalui makna-makna yang mereka fahami itu, apa yang akan dilakukan selepas itu.

Berkaitan juga dengan memaknai pembacaan ini, saya juga sekarang terminat akan kajian perihal bahasa-bahasa kuno. Bagaimana manusia dapat mengetahui maksud-maksud yang tersimpan dalam bahasa-bahasa yang telah pupus yang ditulis dalam bentuk cuneiform dan hieroglyph. Ia memenuhi gelas kekaguman saya bagaimana manusia mampu membaca semula tulisan-tulisan ini dan menggali makna-maknanya. Ia bukan kerja mudah, memerlukan ketekunan dan kegigihan beberapa generasi. Antara tokoh yang saya minati akan hal ini adalah Irving Finkel satu sosok yang menarik untuk dibincangkan. Tapi mungkin itu akan menjadi maudhuk dalam penulisan yang lain. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan