Selasa, 15 Februari 2022

Mengenang Atuk Ho (Sahar bin Sidin)


Pada 23 Januari 2022, saya menerima khabar duka bahawa Atuk Ho yang saya kasihi telah tiada. Atuk Ho atau nama sebenarnya Sahar bin Sidin merupakan adik kepada Wo, Hafsah binti Sidin (nenek saya di sebelah ibu). Atuk Ho merupakan atuk yang sangat peramah, dan selalu bercerita dan melayani kami cucu-cucu yang pulang ke kampung. Setiap kali balik ke Kampung Parit Tengah, Bagan Datuk, rumah Atuk Ho merupakan rumah yang selalu kami singgahi terutamanya pada hari raya. Apabila saya besar sedikit di sekolah menengah, Atuk Ho adalah orang yang menyuruh saya untuk membaca khutbah raya di Surau Kampung Parit Tengah. Tiap kali raya dia akan cari saya untuk bagi buku teks khutbah. Itulah antara pengalaman pertama saya bercakap di depan orang ramai. Apabila saya menyambung pengajian ke Rusia, adik-adik pula mengambil alih tugas membaca khutbah raya kerana kami bersekolah di sekolah agama. Agak mencabar juga membaca teks khutbah dalam tulisan Jawi bila diingat-ingat semula.

Atuk Ho juga merupakan orang yang kuat bekerja. Sehingga tua beliau masih ke kebun dan melakukan kerja-kerja berat seperti meracun. Wo kadangkala ada menasihatinya untuk berhenti berkebun, namun dia tetap juga nak berkebun. Antara dialog yang saya ingat yang pernah diucapkan beliau adalah apabila beliau menjawab cadangan yang diberikan kepadanya untuk berhenti bekerja dan membiarkan anak-anak yang menyaranya. Kata beliau:

"Aku ni bela anak-anak bukan nak suruh depa bela aku bila aku tua, selagi aku boleh bekerja biar aku bekerja cari rezeki sendiri".

Begitulah lebih kurang ayat beliau, walaupun saya tidaklah seratus peratus ingat akan dialog ini, atau betulkah beliau pernah mengucapkannya, tapi dalam ingatan saya, beliau pernah bercakap sebegitu. Biasanya apabila orang tua-tua bersembang di kampung saya dengar sahaja, sama ada saya dengar sambil bermain dengan sepupu sepapat atau saya dengar sambil tengok televisyen.

Beraya di rumah Atuk Ho juga berbeza dengan beraya di rumah atuk-atuk yang lain. Orang lain biasanya memberi duit raya dalam sampul, tetapi di rumah Atuk Ho, setiap kali raya disediakan plastik yang berisi dengan pelbagai gula-gula. Duit raya juga ada dalam plastik berisi gula-gula ini. Ketika Raya Haji, biasanya Atuk Ho akan mengetuai orang-orang kampung menyembelih lembu. Malah sering kali rumahnya menjadi lokasi gotong royong dan merewang. Biasanya di pokok kelapa depan rumahnya akan di tambat lembu korban.

Semasa saya betul-betul kecil (besar sedikit dari bayi), saya merasakan saya antara cucu yang paling disayangi beliau. Pemergian Atuk Ho begitu membekas di hati saya. Hilang satu lagi sosok yang banyak mengisi kenangan zaman kecil saya. Semoga Allah merahmati dan menerima segala amal soleh Atuk Ho dan mengampunkan dosa-dosanya. Allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan