Ahad, 29 Mei 2022

Pengenalan Bagi Buku "Lalang di Lautan Ideologi"


Sebenarnya dah lama saya nak menulis sedikit perihal buku terbaharu saya bersama Cukong Press ini. Sejak saya memegang sendiri naskah yang baru keluar dari kilang yang diterima dari Ocha Vozvyshennyy di Taman Kosas pada penghujung Ramadhan 2022. Namun disebabkan pelbagai perkara yang berlaku dalam hidup, ia beberapa kali tertangguh. Di kesempatan ini harapnya sempatlah saya menulis sedikit tentangnya. Jika anda pernah menulis buku, pasti anda faham perasaan menyambut buku baharu, sesetengah penulis menganggapnya persis perasaan seperti menyambut seorang "anak". Teruja.

Buku ini saya dedikasikan buat dua orang sahabat saya, Umar Muhajir bin Ghazali dan Muaz Mat Isa. Kedua-dua mereka merupakan teman baik saya. Kami bukan sahaja banyak berkongsi memori, kadang kala kami juga berkongsi rasa dan perasaan bersama.  Banyak episod hidup saya yang bersilang dengan mereka. Namun apakah daya, takdir memetik mereka di usia yang sangat muda, walaupun sedih saya redha. Jadi saya dedikasikan buku ini sebagai ingatan penghargaan buat mereka.

Ucapan terima kasih juga saya ucapkan buat Dr. Akram Ghafar yang sudi mengukir sedikit pra-kata buat naskah ini. Semoga dengan tinta yang dicurahkan beliau akan memotivasikan saya untuk terus menulis lagi di masa hadapan.

Ramai teman-teman yang bertanya, ini buku yang ke berapa? Saya sendiri pun tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu. Kerana saya merasakan begitu sukar untuk mendefinisikan apa itu buku. Kerana ada tulisan saya yang terbit hanya dalam talian, adakah itu dikira sebagai buku? Jika tidak, ia sedikit bermasalah kerana ia mempunyai ISBN. Kemudian buku antologi yang saya tulis bersama dan dalam masa yang sama menjadi editor, adakah itu dikira sebagai buku saya? Juga ada buku puisi yang diterbitkan bersama. Adakah puisi itu tulisan atau perasaan? Ada juga buku yang sama dengan edisi yang berbeza, masing-masing ada ISBN tersendiri, jadi adakah ia dikira satu buku atau buku berbeza?

Sebenarnya saya sendiri pun tidak mengira berapa buku yang pernah saya terbitkan. Kerana saya kira kepuasan menulis adalah mengeluarkan idea, pandangan, isi hati dan perasaan, bukan mengira buku. Dalam masa yang sama penulisan juga merekod kisah kehidupan kita dan juga sejarah sekeliling kita. Itulah kepuasannya, meninggalkan butir-butir kata-kata untuk generasi seterusnya apabila kita sudah lagi tiada. Mungkin ia terbit sebagai buku, zine, antologi, blog, atau artikel atas talian, asalkan ia dapat dicapai oleh generasi seterusnya.

Seperti kebanyakan buku saya yang lain, buku ini merupakan koleksi penulisan, sejak tahun 2018 sehingga kini. Ia tidak ditulis dalam masa satu hari, satu minggu, atau satu tahun. Tetapi tidak semua tulisan saya terpilih untuk dimuatkan dalam naskah ini. Banyak juga tulisan yang tidak saya muatkan seperti pengalaman, catatan keluarga, puisi, ulasan buku, yang saya kira akan saya akan muatkan dalam naskah yang berasingan di masa hadapan.

Sebaliknya rencana yang dipilih untuk dimuatkan dalam naskah ini bersifat umum, esei-esei perihal politik dan demokrasi, ekonomi, dan falsafah. Saya kira skop ini pun sudah cukup besar untuk menjadi sebuah buku. Dalam menyusun tulisan untuk dimuatkan dalam buku ini, saya mendapati ia menampakkan perubahan corak saya berfikir. Sememangnya pemikiran itu sesuatu yang akan berubah dan perlu berubah. Perubahan ini mematangkan kita sebagai manusia dalam proses kita untuk cuba memahami dunia.

Semakin lama saya cuba membaca (tak la banyak mana pun membaca), menulis dan memahami. Saya merasakan dalam setiap perkara manusia selalu meletakkan satu idea di depan mereka. Kesetiaan pada idea ini menjadikan idea itu menjadi satu pemikiran yang memandu manusia dalam hidupnya dan disebut sebagai ideologi. Boleh jadi ia adalah ideologi perihal teologi, politik, ekonomi dan lain-lain. Namun hidup bukanlah idea, ia tidak rigid dan tekstual. Sebab itu Edward Said menulis dalam makalahnya akan bahaya jika manusia itu menjadi manusia yang textual (ditulis beliau sebagai "textual attitude"). Malah dalam sungai sejarah, sering kita melihat ideologi apabila digabungkan dengan kuasa dan rigidity melahirkan tragedi buat manusia.

Saya ingin membawakan naratif bahawa ideologi dan kebenaran itu dua benda yang berbeza. Orang sering beranggapan bahawa kita perlu kepada sesuatu ideologi untuk sampai kepada kebenaran. Saya pula memikirkan bahawa kita perlu terus bersama kebenaran tanpa perlu (atau mungkin lebih tepat, tidak semestinya) melalui jambatan ideologi. Dalam kata lain, apa yang benar itulah yang perlu kita pegang, walaupun ia di luar ideologi yang kita cenderungi. Dalam kata lain, ideologi kita adalah "kebenaran". Mana yang benar itulah ideologi kita. Bukan kiri, kanan, depan atau belakang. Saya harap buku ini dapatlah menjelaskan pandangan saya ini.

Segala Memori Yang Tidak Dibaca


Umpama binaan pasir di tepi pantai,
Datang ombak hilanglah ia.

Ibarat daun kering dihujung ranting,
Dihembus angin gugurlah ia.

Hidup yang sebentar ini,
begitulah juga.

Segala gelak ketawa pasti nan hilang,
akhir nanti sunyi, tiada.

Senyuman tinggal pada foto,
terselit dalam album yang tidak dibuka.

Segala memori akan pudar,
menjadi cerita,
yang tidak dibaca.

Catatan Baitul Muslim 53: Ayah Yang Ada Tapi Tiada


Mungkin perjalanan menjadi seorang ayah ini, antara yang menakutkan aku adalah menjadi ayah yang ada tapi tiada. Kadangkala aku ada di rumah, tapi aku sibuk dengan aktiviti aku sendiri, bersukan, membaca buku, menulis, ke masjid. Anak-anak melihat ayahnya setiap hari, tapi ayahnya kelihatan begitu jauh, tidak bersembang dengannya, nak tegur ayah sendiri pun takut, risau kalau-kalau menggangunya atau disuruh pergi main jauh-jauh. Dalam tak sedar, usia anak-anak yang sepatutnya disantuni ayahnya hilang terbiar, anak-anak pun memasuki fasa bersama kawan-kawan pula tanpa sempat melalui fasa bersama ayahnya.

Pada usia sekarang ini, Idlan yang berumur 4 tahun sudah pandai sedikit perihal solat. Kadangkala malam-malam aku akan mengajaknya ke masjid bersamaku. Tak ada lah aktiviti ibadahku berlaku secara sendirian. Sekurang-kurangnya ada juga memorinya nanti ke masjid bersama Abi (panggilan anak-anak kepadaku). Atok-atok di masjid pun nampak seronok sedikit melihat ada cucu yang datang ke masjid. Aku kadang kala bias sedikit terhadap Idlan. Mungkin kerana aku melihatnya mirip seperti keadaanku. Anak lelaki kedua dalam keluarga. Namun akhir-akhir ini aku cuba untuk meneutralkan diri. Setiap kali Idlan bergaduh dengan kakaknya Amni, aku tidak terus marah atau menyalahkan Amni. Aku dengar dahulu apa yang berlaku dari kedua-dua belah pihak, sebelum aku memberi apa-apa keputusan atau nasihat.

Idlan pada masa ini sedang dalam fasa suka mewarna, setiap hari dia akan mengajakku menemaninya mewarna buku Power Rangers dan buku Robot. Kadang kala disuruhnya aku print gambar-gambar dari internet untuk mewarna. Amni pula dalam fasa belajar buat kerja rumah. Setiap hari pulang dari sekolah, uminya (Maryam) akan memeriksa beg sekolahnya untuk memastikan dia menyiapkan kerja sekolah. Kadang kala dia mudah menyiapkan kerja, kadang kala perlu berperang juga untuk dia menyiapkan kerja. 

Aku bertuah mempunyai isteri yang rajin memeriksa kerja rumah anak-anak, aku mengaku bahawa aku kurang sedikit bahagian ini. Bagi aku anak-anak sudah pergi sekolah, itu sudah cukup baik. Tetapi isteriku lebih teliti, setiap hari penuh kesabaran dia akan duduk bersama anak sehingga mereka siap kerja sekolah. Jika tulisan tidak cantik, dia akan padam semula supaya anak tulis balik dengan cantik. Kadang kala aku duduk juga teman Amni buat kerja rumah, asalkan dia salin apa yang perlu disalin. Bagi aku darjah 1 ini, biarlah dia belajar siapkan dahulu. Mencantikkan tulisan itu akan datang sedikit demi sedikit. Tapi aku tidaklah kata falsafah isteriku salah, setiap orang ada cara didik dan cara fikir yang berbeza. Aku juga merasakan, tulisan tangan ini, walaupun penting di sekolah, tidaklah begitu penting di kehidupan sebenar nanti. Zaman ini adalah zaman baharu dimana semunya akan ditaip menggunakan jari, bukan ditulis secara manual lagi. Tulisan tangan penggunaannya sangat minima, dan akan menjadi semakin minima di zaman akan datang. Atau mungkin pupus?

Bagi aku, pengajaran yang lebih penting dalam menulis ini adalah kesabaran. Sabar dalam belajar menulis. Sabar dalam percubaan menguasai penulisan tangan. Itu yang lebih penting. Belajar untuk sabar dalam belajar. Kerana kesabaran ini nanti bukan hanya akan digunakan dalam menulis tangan tetapi dalam setiap subjek yang akan datang dalam hidup anak-anak. Semuanya memerlukan usaha dan kesabaran untuk dikuasai.

Dalam fasa ini juga aku mahu perlahankan kehidupanku. Aku tak mahu semuanya berlalu terlalu laju. Aku juga telah banyak memperlahankan kerja-kerja penulisan dan pembacaan. Kadang kala setiap hari hanya aku habiskan masa dengan anak-anak selepas kerja. Main lawan-lawan dengan Idlan, melukis untuk Amni, bercerita dengan mereka, kemudian tidur. Biarlah aku menikmati masa sekarang ini sebelum ia pergi berlalu. Satu hari mereka akan besar dan aku tak akan dengar lagi Idlan dan Amni yang bersungguh-sungguh mahu menceritakan apa yang berlaku di tadika dan sekolah. Bercerita tentang apa yang dia sedang main. Kadang aku hanya mahu duduk dan mendengar suara mereka, suara kecil mereka adalah muzik yang indah buat telingaku, yang aku pasti akan hilang tidak lama lagi apabila mereka dijalari kedewasaan. 

Khamis, 19 Mei 2022

Biografi Ringkas 10 Imam Qiraat Serta Dua Perawi Mereka Yang Utama


Alhamdulillah, sempat juga mencuri masa dicelah-celah hela hidup yang singkat ini untuk menghabiskan naskah kecil buah tangan Ustaz Mohammad Umar Aiman bin Osman. Naskah ini memang ringkas seperti tajuknya, ia mengisahkan perihal imam-imam yang menjaga Qiraat Al-Qur'an. Saya kira ia adalah penting kerana Al-Qur'an yang sebenar adalah berbentuk "bacaan", ia diturunkan kepada nabi dalam bentuk bacaan. Kemudian diwarisi kepada generasi seterusnya. Buku ini menelusuri genealogi pewarisan bacaan Al-Qur'an untuk meyakinkan bahawa ia sampai kepada kita hari ini dengan sanad yang bersambung dan diriwayatkan secara muthawatir. Ia ditutup dengan penerangan mengapa qiraat "Hafs an 'Asim" menjadi qiraat utama zaman ini.

Kata-kata yang paling saya minati dalam naskah ini adalah dari Imam 'Asim Al-Kufiy, yang jika bertembung antara hajat dan keperluan untuk solat, akan memilih untuk solat di masjid. Beliau berkata "hajat kita takkan habis". 

Ya, saya kira begitulah kita manusia. Sentiasa berhajatkan sesuatu. Ditambah di era kita disumbat dengan iklan setiap masa, offline dan online, hajat kita bertambah berkali ganda. Perlu untuk kita duduk dan berhenti sebentar, merenung akan apa sebenarnya yang menyebabkan hidup kita terasa "hidup". Kerana jika kita hanya mengikut tiupan angin hajat, kita mungkin mengejar segala hajat-hajat kita hingga ke kuburan, dan lupa untuk hidup dengan sebenar-benar hidup.

Jumaat, 13 Mei 2022

Minggu Ke-2 Syawal Yang Suram

Minggu ke-2 Syawal tahun ini saya dilanda kesuraman atas beberapa kematian yang berlaku berturut-turut. Pada 08 Mei 2022, diberitakan adik kepada Ustaz Anas Mokhtar kembali kepada pencipta. Alhamdulillah saya sempat menghadiri solat jenazahnya di Masjid Al-Barakah, Tikam Batu. Pada 09 Mei 2022, jam 3 pagi, diberitakan bahawa ayah kepada Abdullah Luqman bin Osman (Albo) iaitu Pakcik Osman Murad pula kembali ke rahmatullah. Hatiku bertambah sedih.

Saya asal orang Kuala Lumpur, tapi menghadiri sekolah asrama di Perlis. Jika cuti pendek-pendek biasanya saya tak balik rumah tapi menumpang cuti di rumah kawan-kawan. Antara yang selalu saya pergi adalah rumah sahabat saya, Albo di Kampung Che Bema, Sungai Petani. Masa itu saya belum tahu lagi saya bakal berjodoh dengan orang Sungai Petani, kalau saya tahu, mungkin saya akan lebih kerap ke Sungai Petani dan tidur di rumah Albo.

Ayah Albo, Pakcik Osman Murad ada membuka kedai bundle ketika itu, nama kedainya Osama Bundle. Emaknya, Makcik Ani pada masa itu ada membuka kedai makan. Makcik Ani ada suruh saya tolong-tolong di kedai, tapi selalu saya datang tolong makan sahaja. Di sekitar rumah Albo ada banyak kolam memancing, dia selalu ajak saya pergi memancing, tapi bila sampai di rumahnya, dia asyik tidur aja, kami tak pergi pon memancing.

Pakcik Osman ada bagi saya baju Osama Bundle, di asrama saya selalu pakai baju tersebut. Paling saya ingat adalah semasa tingkatan 3, saya dan sahabat saya Qayyim ke rumah Albo. Masa nak balik Pakcik Osman bagi duit 10 ringgit. Rasa seronok tak sangka, 10 ringgit untuk budak sekolah tingkatan 3 masa tu kira banyak. Dah la datang menumpang, dapat pula duit. Sampai hari ini saya tak lupa walaupun dah belasan tahun berlalu. Kali terakhir saya berjumpa Pakcik Osman adalah beberapa hari sebelum kematiannya, pada 04 Mei 2022 di rumahnya di Kampung Che Bema. Semoga Allah merahmati Pakcik Osman, mengampunkan dosanya, dan menerima beliau dikalangan orang soleh.

Tidak terhenti disitu, hari yang sama pada 09 Mei 2022, saya mendapat berita, teman baik saya semasa sekolah rendah, Azam bin Zulkifli kehilangan ayahnya Haji Zulkifli bin Haji Zakaria. Saya dan Azam sama-sama bersekolah di Sekolah Rendah Ibnu Kathir Gombak (SRIKG). Ayahnya meninggal di dalam ambulans dalam perjalanan ke hospital kerana mengalami sesak dada.

Terima kasih ibu yang menghantarkan gambar-gambar sekitar solat jenazah dan pengkebumian Pakcik Zulkifli di Gombak. Mungkin ibu tahu anaknya mahu balik, bersama hadir, tapi terpisah kerana jarak, jadi ibu jadi wakil ziarah dan hantar gambar. Arwah Pakcik Zulkifli dikuburkan di tempat yang sama dengan arwah ayah saya di Tanah Perkuburan Bukit Permata Taman Seri Gombak, bolehlah saya ziarah kuburannya nanti jika saya menziarahi kubur ayah. Saya tidaklah rapat atau mengenali Pakcik Zulkifli secara dekat, namun Pakcik selalu "ada" masa saya sekolah rendah, kadang nampak di sekolah, di masjid, di kedai, dan di rumah. Anak pakcik, Azam teman saya di sekolah, selalu jalan kaki balik rumah sama-sama sambil singgah beli aiskrim neslo (aiskrim Malaysia) di Kampung Changkat. Saya tak pernah pun bersembang dengan pakcik, iyalah budak-budak kecil lagi masa itu, mana pandai bersembang dengan orang dewasa. Dengan kawan-kawan pandailah bersembang pasal Dragon Ball dan Digimon. Jika jumpa di Masjid Rahimah pun dialog saya dengan pakcik adalah "Pakcik, Azam mana?". Bila dah habis sekolah pun jika jumpa, pasti tanya pasal anak, Azam belajar mana pakcik? Dia kerja kat mana? Tapi saya memang perasan, Pakcik selalu akan berjemaah di Masjid Ar-Rahimah. Rasa macam saya ini sudah tua apabila ramai pakcik-pakcik dan orang dewasa yang mewarnai hidup saya dahulu telah tiada. Semoga Allah menerima segala amalan baik Pakcik Zulkifli, diampun dosanya, dan diterima dalam kalangan orang soleh.