Ahad, 29 Mei 2022

Catatan Baitul Muslim 53: Ayah Yang Ada Tapi Tiada


Mungkin perjalanan menjadi seorang ayah ini, antara yang menakutkan aku adalah menjadi ayah yang ada tapi tiada. Kadangkala aku ada di rumah, tapi aku sibuk dengan aktiviti aku sendiri, bersukan, membaca buku, menulis, ke masjid. Anak-anak melihat ayahnya setiap hari, tapi ayahnya kelihatan begitu jauh, tidak bersembang dengannya, nak tegur ayah sendiri pun takut, risau kalau-kalau menggangunya atau disuruh pergi main jauh-jauh. Dalam tak sedar, usia anak-anak yang sepatutnya disantuni ayahnya hilang terbiar, anak-anak pun memasuki fasa bersama kawan-kawan pula tanpa sempat melalui fasa bersama ayahnya.

Pada usia sekarang ini, Idlan yang berumur 4 tahun sudah pandai sedikit perihal solat. Kadangkala malam-malam aku akan mengajaknya ke masjid bersamaku. Tak ada lah aktiviti ibadahku berlaku secara sendirian. Sekurang-kurangnya ada juga memorinya nanti ke masjid bersama Abi (panggilan anak-anak kepadaku). Atok-atok di masjid pun nampak seronok sedikit melihat ada cucu yang datang ke masjid. Aku kadang kala bias sedikit terhadap Idlan. Mungkin kerana aku melihatnya mirip seperti keadaanku. Anak lelaki kedua dalam keluarga. Namun akhir-akhir ini aku cuba untuk meneutralkan diri. Setiap kali Idlan bergaduh dengan kakaknya Amni, aku tidak terus marah atau menyalahkan Amni. Aku dengar dahulu apa yang berlaku dari kedua-dua belah pihak, sebelum aku memberi apa-apa keputusan atau nasihat.

Idlan pada masa ini sedang dalam fasa suka mewarna, setiap hari dia akan mengajakku menemaninya mewarna buku Power Rangers dan buku Robot. Kadang kala disuruhnya aku print gambar-gambar dari internet untuk mewarna. Amni pula dalam fasa belajar buat kerja rumah. Setiap hari pulang dari sekolah, uminya (Maryam) akan memeriksa beg sekolahnya untuk memastikan dia menyiapkan kerja sekolah. Kadang kala dia mudah menyiapkan kerja, kadang kala perlu berperang juga untuk dia menyiapkan kerja. 

Aku bertuah mempunyai isteri yang rajin memeriksa kerja rumah anak-anak, aku mengaku bahawa aku kurang sedikit bahagian ini. Bagi aku anak-anak sudah pergi sekolah, itu sudah cukup baik. Tetapi isteriku lebih teliti, setiap hari penuh kesabaran dia akan duduk bersama anak sehingga mereka siap kerja sekolah. Jika tulisan tidak cantik, dia akan padam semula supaya anak tulis balik dengan cantik. Kadang kala aku duduk juga teman Amni buat kerja rumah, asalkan dia salin apa yang perlu disalin. Bagi aku darjah 1 ini, biarlah dia belajar siapkan dahulu. Mencantikkan tulisan itu akan datang sedikit demi sedikit. Tapi aku tidaklah kata falsafah isteriku salah, setiap orang ada cara didik dan cara fikir yang berbeza. Aku juga merasakan, tulisan tangan ini, walaupun penting di sekolah, tidaklah begitu penting di kehidupan sebenar nanti. Zaman ini adalah zaman baharu dimana semunya akan ditaip menggunakan jari, bukan ditulis secara manual lagi. Tulisan tangan penggunaannya sangat minima, dan akan menjadi semakin minima di zaman akan datang. Atau mungkin pupus?

Bagi aku, pengajaran yang lebih penting dalam menulis ini adalah kesabaran. Sabar dalam belajar menulis. Sabar dalam percubaan menguasai penulisan tangan. Itu yang lebih penting. Belajar untuk sabar dalam belajar. Kerana kesabaran ini nanti bukan hanya akan digunakan dalam menulis tangan tetapi dalam setiap subjek yang akan datang dalam hidup anak-anak. Semuanya memerlukan usaha dan kesabaran untuk dikuasai.

Dalam fasa ini juga aku mahu perlahankan kehidupanku. Aku tak mahu semuanya berlalu terlalu laju. Aku juga telah banyak memperlahankan kerja-kerja penulisan dan pembacaan. Kadang kala setiap hari hanya aku habiskan masa dengan anak-anak selepas kerja. Main lawan-lawan dengan Idlan, melukis untuk Amni, bercerita dengan mereka, kemudian tidur. Biarlah aku menikmati masa sekarang ini sebelum ia pergi berlalu. Satu hari mereka akan besar dan aku tak akan dengar lagi Idlan dan Amni yang bersungguh-sungguh mahu menceritakan apa yang berlaku di tadika dan sekolah. Bercerita tentang apa yang dia sedang main. Kadang aku hanya mahu duduk dan mendengar suara mereka, suara kecil mereka adalah muzik yang indah buat telingaku, yang aku pasti akan hilang tidak lama lagi apabila mereka dijalari kedewasaan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan