Ahad, 24 Julai 2022

Catatan Baitul Muslim 56: Anak-Anak di Sekeliling Nabi



Ketika saya ingin pergi menunaikan umrah pada bulan April 2022, saya menyemak rak almari buku saya, saya mahu membawa buku perihal jiwa. Malangnya kebanyakan buku dalam rak saya adalah berkait dengan hal-hal politik, sejarah politik, ekonomi politik, memoir politik, falsafah politik dan seterusnya. Baru saya sedar saya miskin bacaan perihal kejiwaan, ada buku-buku yang membicarakan perihal jiwa, tapi kebanyakannya buku lama yang sudah saya baca. Akhirnya, setelah lama memilih, antara buku yang saya bawa adalah buku bertajuk Children Around the Prophet: How Muhammad Raised the Young Companions tulisan Dr. Hesham Al-Awadi. Jadi tulisan ini merupakan renungan saya perihal buku ini sepanjang pembacaan saya.

Buku ini merupakan buku yang menggabungkan subjek parenting dan sirah nabi. Kebanyakan pengarang sirah memfokuskan sifat-sifat kepahlawanan nabi, peranan beliau sebagai ketua masyarakat dan negara. Manakala para pengkaji pula kebanyakannya melihat sirah sebagai panduan sumber hukum hakam untuk menentukan penyelesaian masalah fiqah. Al-Awadi mengambil pendekatan yang berbeza, beliau melihat kehidupan baginda nabi dari lensa kanak-kanak disekelilingnya dan bagaimana nabi berinteraksi dengan anak-anak ini dalam kehidupan harian. Ia adalah satu sisi manusiawi dalam kehidupan nabi, sisi peranan beliau sebagai orang tua mendidik anak-anak. Ini adalah keistimewaan buku ini. 

Bagi saya, mana-mana buku parenting, termasuklah buku ini, bukanlah buku yang dapat memberi kita penyelesaian perihal masalah kita dalam menghadapi anak-anak. Kerana tiada ibubapa dan anak yang sama, setiap orang menghadapi keadaan dan situasi yang berbeza. Mungkin ada teori dan teknik yang sesuai, mungkin juga ada yang tidak sesuai. Terpulang pada kita untuk mengambilnya mengikut kesesuaian dan kadar keperluan kita. Namun bagi saya, peranan buku parenting yang paling besar adalah sebagai peringatan, sebagai butir-butir nasihat, untuk kita terus cekal dan sabar mengurus anak-anak, kerana ia adalah perjalanan yang panjang. Peranan ia dalam menyegarkan kita kembali setelah berpenat lelah, itu bagi saya yang lebih penting dari teori dan teknik.

Dalam analisis Al-Awadi, perkara pertama yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW dalam mendidik anak-anak adalah membina hubungan berasaskan keyakinan, cinta, dan kasih sayang antara ibubapa dan anak. Bukan atas dasar takut dan hormat, tapi cinta dan kasih sayang. Selepas adanya jambatan ini barulah anak-anak akan terbuka hatinya untuk mendengar nasihat dan juga bimbingan. Ini satu perkara yang nampak mudah tapi sangat susah untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Kita sering kali menggunakan 'marah' dalam menggerakkan anak-anak, dalam usaha kita untuk menyuruh mereka cepat. Ini mungkin praktikal dalam jangka masa pendek tetapi ia tidak bernafas panjang. Sampai bila kita boleh memarahi mereka? Berbeza dengan penggunaan cinta dan kasih sayang, ia boleh kita gunakan hingga ke hujung nyawa.

Ibubapa juga harus pandai menggunakan kebolehan anak untuk berdikari dalam mendidik mereka dan dalam masa yang sama memudahkan urusan ibubapa. Anak-anak sangat suka jika mereka diberikan kepercayaan. Nabi sering memberi tanggungjawab kepada anak-anak dan menggambarkannya seperti sebuah misi rahsia yang mesti mereka tunaikan. Perkara seperti ini membangunkan sifat konfiden dalam diri anak-anak, juga memberi mereka kefahaman tentang konsep tujuan dalam hidup. Oleh itu kita perlu menggunakan kebolehan-kebolehan kecil anak untuk mula memberi mereka tanggungjawab. Ia tidak perlu pada perkara-perkara yang kompleks, cukup pada perkara asas seperti membasuh pinggan, mengangkat barang, atau menyusun barang. Mereka akan merasakan diri mereka dihargai apabila ibubapa memberi mereka kepercayaan.

Saya merasakan perkara ini ada benarnya. Saya melihat, contohnya ketika saya mengangkat baju yang telah kering, dan saya menyuruh anak saya Idlan yang berumur 4 tahun untuk membantu menyusun hanger di ampaian, lantas dia berlari dan susun dengan cergas, begitu bersemangat. Juga ketika memasang katil dari IKEA, anak saya Amni yang berumur 7 tahun begitu seronok, meskipun tugasnya hanya memegang kayu dan menekan picu driller

Nabi Muhammad juga tidak menjerit-jerit pada anak-anak, tidak mengamuk sehingga membuatkan anak-anak kecil merasa takut. Perwatakan ini menyebabkan anak-anak disekelilingnya merasa selamat dan mudah menerima nasihat. Mereka menerima nasihat bukan kerana ketakutan, tapi kerana rasa sayang dan hormat. Ini merupakan nasihat yang penting terutamanya buat diri saya sebagai ayah, sering kali kita mudah marah kerana merasakan ia akan menjadikan anak patuh dan kita dapat menyelesaikan sesuatu perkara dengan cepat dan singkat, namun sebenarnya kita tidak memikirkan kesan jangka panjang emosi anak-anak. Perwatakan penuh kasih sayang ini mestilah menjadi perwatakan yang benar dan jujur, bukan dibuat-buat.  Ia tidak boleh bergantung pada mood kita. Ketika mood kita baik kita berkasih sayang, tetapi jika kita mempunyai masalah hidup seperti masalah kewangan tiba-tiba kita jadi pemarah. Maka jika itu berlaku, kasih sayang itu belum menjadi perwatakan asli bagi kita.

Apabila emosi anak-anak terjaga, dan wujud jambatan cinta dan kasih sayang antara anak dan ibubapa, barulah pendidikan anak-anak dapat dijalankan dengan berkesan. Namun kita harus sedar tahap anak-anak kita, mereka tidak dapat memproses arahan panjang dalam bentuk leteran, mereka juga mungkin tidak dapat memahami jika kita memberi mereka syarahan dalam perihal tafsir atau fiqah. Fitrah anak-anak suka akan mainan, berlari dan ketawa, mereka sangat berharap ibubapa mereka mendengar dan memberi perhatian pada mereka. Saya sering melalui perkara ini. Sering kali Idlan yang berusia 4 tahun menyuruh saya melihatnya, dan dia lihat saya untuk memastikan saya melihatnya, jika tidak dia akan ulang dan suruh saya melihatnya. Walaupun apa yang disuruh lihat adalah perkara-perkara kecil seperti pandai suap makanan sendiri atau membaling mainan. Sebenarnya kecil bagi kita, tetapi pencapaian besar buat mereka! Jadi janganlah penat memberi mereka perhatian.

Syarahan dan leteran menurut Al-Awadi merupakan teknik yang kurang berkesan, sebaliknya kita perlu menyalurkan cinta dalam masa yang sama memberi didikan. Kita hendak menyuruh anak kita berdoa misalnya, jangan terangkan padanya. Sebaliknya letakkan dia dalam pankuan kita, pegang tangannya dalam tangan kita dan doalah bersama. Itu lebih berkesan.

Nabi Muhammad juga mengambil serius perihal perasaan kanak-kanak. Dikisahkan seorang anak bernama Abu 'Umair berasa sedih. Burung pipit peliharaannya telah mati beritahu sahabat pada sang nabi. Nabi tidak membiarkan Abu 'Umair, atau berkata tiada apa perlu disedihkan, ia hanya burung pipit. Tetapi nabi dengan penuh kasih sayang bertanya kepada anak yang bernama Abu 'Umair tersebut, apa yang berlaku pada burung pipitnya walaupun baginda telah mengetahui apa yang berlaku. Baginda melakukan perkara ini untuk memvalidasi kesedihan kanak-kanak tersebut, dengan bertanya baginda mahu anak itu tahu bahawa baginda memahami kesedihannya. Ini adalah perkara yang kita perlu belajar. Seringkali anak-anak mempunyai attatchment dengan haiwan peliharaan atau patung mainan mereka. Apabila patung mainan mereka hilang sebagai contoh, dan mereka menangis, berapa ramai ibubapa yang menyuruh mereka berhenti menangis? Berbanding bertanya dan cuba memahami kesedihan anak tersebut. Inilah pendidikan emosi yang diajarkan oleh nabi kepada anak-anak, beliau memberi signal bahawa adalah fitrah buat manusia merasa sedih apabila dia kehilangan perkara yang disayangi, ia akan membina anak-anak yang mempunyai kebijakan emosi, dan mampu memahami perasaan orang sekelilingnya.

Antara pesanan yang saya kira bagus nalam naskah ini adalah perihal ingatan anak-anak. Jangan sekali-kali kita merasakan bahawa anak-anak itu terlalu kecil untuk mengingati. Oleh itu kita perlu sentiasa berwaspada akan kata-kata yang kita ucapkan pada mereka dan juga perbuatan yang kita zahirkan pada mereka. Kalaupun mereka tidak mengingati perkataan kita verbatim, besar kemungkinan kesan emosi dari perkataan dan perbuatan kita akan terparut dalam ingatan emosi mereka. Perasaan yang hadir dari kata dan perbuatan kita mungkin akan berkekalan dalam hati mereka, meskipun mereka tidak ingat sebenarnya apa yang berlaku. Oleh itu jangan sekali-kali kita berkata kata-kata yang kesat kepada mereka. Sekiranya marah sekali pun, kita perlulah berhati-hati memilih perkataan.

Nabi Muhammad tidak segan dalam menzahirkan kasih sayangnya kepada anak-anak. Hadis merekodkan bagaimana nabi sering mencium cucunya Hasan dan Husein. Malah beliau terkejut sekiranya ada orang yang datang dan menyatakan kepada baginda bahawa mereka tidak pernah mencium anak-anak mereka. Penzahiran kasih sayang oleh nabi ini adalah untuk memastikan bahawa perbuatan mencium anak-anak ini direkod dalam hadis dan termasuk dalam perbuatan-perbuatan sunnah nabi. Ia adalah satu perubahan drastik yang dilakukan oleh nabi dalam kalangan masyarakat Arab pada ketika itu. Oleh itu kita juga hendaklah sentiasa mencium anak-anak ketika kita mempunyai kesempatan seperti selepas solat atau apabila menghantar anak-anak ke sekolah. Saya sering mencium pipi anak-anak apabila menghantar mereka ke tadika. Pernah sekali saya mencium pipi anak-anak selepas solat, anak saya Idlan yang berumur 4 tahun ketika itu berkata "macam nak pergi school", menunjukkan dia ingat bahawa saya sering mencium pipinya ketika hendak ke tadika.

Rasulullah juga menekankan akan keperluan untuk meninggalkan memori yang membahagiakan dalam emosi dan pengalaman anak-anak. Contohnya baginda sentiasa mendukung cucu perempuannya yang kecil iaitu Umamah dan cucu lelakinya Hassan ketika solat. Disini Rasulullah menunjukkan bahawa fokus beliau bukan hukum hakam ketika solat tetapi interaksi dengan anak-anak, bagaimana anak-anak diberi ruang dalam ibadah. Pastinya ruang anak-anak kecil adalah bermain. Sejak kecil lagi mereka telah diperkenalkan dengan ibadah solat melalui permainan ketika atuknya solat. Ini berbeza dengan budaya kita yang sering menghalang dan menghalau anak-anak kecil bermain disekitar ibu dan ayahnya yang sedang bersolat. Sejak kecil ada barrier antara anak dan ayah yang bersolat, sedang pengalaman anak-anak disekeliling nabi lebih manis, mereka dapat bermain-main ketika ibubapa mereka bersolat dan itu adalah pengenalan solat kepada mereka. Sesi pembelajaran tidak formal ini lebih berkesan, kerana anak-anak sifatnya adalah belajar melalui permainan, mereka dapat menyerap lebih banyak ketika mereka gembira berbanding ketika mereka dipaksa.

Menurut Al-Awadi inilah dimensi pertama yang paling penting untuk dibina dalam diri anak-anak, iaitu kecerdasan emosi yang lahir dari sentuhan, ciuman, pelukan, dan bermain bersama. Apabila sejak awal mereka mempunyai foundasi emosi mereka lebih senang menzahirkan kasih sayang apabila tiba giliran mereka untuk menjadi ibubapa. Malah masyarakat juga mendapat manfaat dengan adanya ahli-ahli yang tidak kering emosi dan mempunyai perasaan kasih sayang yang tinggi. Selepas wujudnya keterikatan emosi dan kasih sayang, barulah ibubapa boleh bekerja untuk mendirikan iman dalam hati anak-anak. Menurut Al-Awadi, jambatan emosi antara ibubapa dan anak terlebih dahulu perlu dibina, setelah tumbuhnya hubungan kasih sayang yang organik barulah asas-asas keimanan dapat ditanam dengan mudah dalam diri anak-anak.

Persoalan iman dan akidah pada anak-anak perlu disampaikan dengan bahasa yang mudah. Bukan dengan kaedah perdebatan teologi dalam bentuk intelektual yang sering menjadi polemik dikalangan agamawan hari ini. Tugas ibubapa adalah menimbulkan kecintaan anak-anak kepada Allah. Cinta bukanlah sesuatu yang bersifat intelektual, tetapi merupakan perasaan kuat yang timbul di dalam hati hasil dari proses pemupukan dan pembentukan. Tetapi cinta tidak dapat lahir tanpa pengenalan, anak-anak tidak dapat mencintai sesuatu yang tidak dikenalinya, disinilah hadirnya ibubapa. Kecintaan anak pada ibubapa perlulah seterusnya dihubungkan kepada kecintaan pada Allah. Proses membina iman juga memerlukan ibubapa menghubungkan kecintaan anak-anak kepada Rasulullah, dan untuk ini berlaku, kecintaan itu mesti ada dalam diri ibubapa itu sendiri.

Persoalan iman dan akidah ini juga tidak diajar oleh baginda nabi melalui syarahan. Tetapi dapat dilihat dan difahami oleh anak-anak dari amalan beliau. Persoalannya kini bagaimana kita mahu anak-anak mencintai Rasulullah sebagai mana anak-anak dizaman nabi mencintai beliau? Caranya adalah kita perlu bercerita dan mengaitkan kehidupan mereka dengan Rasulullah. Kerana jika mereka tidak mengenali Rasulullah, kecintaan pada nabi hanya akan menjadi satu konsep minda yang jauh dari perasaan mereka. Anak-anak mudah mengikuti apa yang dia lihat, tetapi masalahnya mereka tidak mampu melihat Rasulullah hari ini, berbeza dengan artis dan selebriti yang dapat mereka lihat setiap hari dalam media. Ini adalah cabaran yang besar, bagi Al-Awadi ia adalah cabaran sukar namun masih dapat dilakukan.

Anak-anak terutamanya yang berumur 3 hingga 6 tahun suka akan cerita, terutamanya jika diceritakan oleh ibubapa dengan penuh perasaan, bukan sekadar membaca. Penceritaan adalah satu kaedah yang sangat berkesan dan terbukti sepanjang zaman, jika dilakukan dengan betul ia dapat membantu kita menanam apa sahaja dalam diri anak-anak. Minda mereka mudah memproses sesuatu yang bersifat naratif. Tetapi untuk melakukan hal ini, ibubapa dahulu perlu mahir dalam sirah. Mereka perlu dalam pembacaan dan pengetahuan. Anak-anak kecil juga mudah menerima cerita-cerita yang mempunyai unsur-unsur haiwan, jadi ibubapa boleh memilih kisah sirah yang mempunyai haiwan didalamnya. Contohnya kisah unta yang menangis apabila bertemu nabi, kisah seperti ini akan lebih menarik bagi minda anak-anak yang penuh imaginasi.

Mengenalkan anak-anak dengan Rasulullah juga boleh dilakukan dengan tindakan. Anak-anak tidak boleh melihat nabi tetapi mereka boleh melihat ibubapa. Lakukan perkara-perkara yang baik dan penuh kasih sayang kepada mereka, beri mereka hadiah contohnya, kemudian terangkan bahawa perlakuan-perlakuan ini adalah apa yang diajarkan oleh nabi. Mengaitkan anak-anak dengan nabi adalah permulaan yang lebih mudah dalam penerapan iman, kerana ia boleh dilakukan melalui contoh ikutan, selepas proses ini berjalan, kita kemudian boleh mengaitkannya dengan kecintaan kepada Allah pula. Harus sentiasa diingat bahawa anak-anak kecil, cara pendidikan mereka adalah dengan emotion bukan reason. Penggunaan kekuatan intelektual untuk membentuk keimanan boleh dilakukan apabila mereka sudah lebih dewasa.

Dalam mendidik keimanan anak-anak, mereka perlulah dihubungkan dengan Al-Qur'an. Dua per tiga dari ayat-ayat Al-Qur'an adalah cerita, para sahabat dahulu merasa dekat dengan Al-Qur'an kerana banyak cerita-cerita ini adalah cerita berkenaan dengan mereka sendiri, dan mereka memahami konteks sesebuah cerita dalam Al-Qur'an. Mereka tidak membaca cerita sebagaimana kita membacanya, kerana mereka mempunyai rasa hubungan langsung. Untuk anak-anak, cerita yang mudah dihubungkan dengan mereka adalah cerita-cerita haiwan seperti yang kita katakan tadi. Anak saya misalnya, ketika mereka berusia 4 dan 7 tahun, mereka gemar mendengar cerita tentera bergajah Abrahah dan juga burung Ababil, dalam kisah ini ada dua haiwan, iaitu gajah dan burung.

Bagi para sahabat, melalui cerita-cerita ini, mereka hidup di dalam Al-Qur'an. Mereka bukan sekadar menghafal tetapi mereka sebahagian darinya. Mereka bukan pemerhati yang pasif tetapi memainkan peranan aktif dalam suasana penceritaan Al-Qur'an. Oleh itu mereka dapat merasakan bahawa persoalan akidah adalah persoalan yang hidup, bukan sebagai aktiviti minda seperti kita di hari ini. Bagi para sahabat ia adalah pengalaman peribadi yang dekat dengan diri mereka.

Berbicara soal ibadah, Al-Awadi menekankan bahawa anak-anak yang belum baligh masih belum diwajibkan untuk beribadah. Sebaliknya mereka dalam tempoh latihan. Latihan ini tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang mendesak hingga menimbulkan rasa tegang antara ibu bapa dan anak-anak. Sebaliknya ia mestilah menjadi latihan yang menyeronokkan. Ia tidak seharusnya dilakukan melalui ugutan dan gertakan, bagi Al-Awadi ibu bapa mempunyai masa yang lama dalam tempoh ini, maka jangan menggunakan kekerasan dan tergesa-gesa. Selain dari mempunyai masa yang cukup untuk melatih anak-anak, bagi Al-Awadi ibubapa juga mempunyai kelebihan kerana fitrah anak itu memang suci dan mudah untuk dihubungkan dengan ibadah. Anak kecil ini masih dalam bentuk fitrahnya, jadi ibu bapa bolehlah mendidik mereka dengan tenang dan tidak terburu-buru. Kelebihan ketiga dalam pendidikan ibadah bagi ibubapa menurut Al-Awadi adalah anak-anak yang belum baligh ini masih belum mempunyai keinginan seksual, jadi mereka lebih mudah difokuskan dalam pendidikan ibadah.

Selain latihan, dalam pendidikan ibadah, ibubapa juga harus mewujudkan apa yang disebut sebagai asosiasi positif (positive associations) antara anak-anak dan ibadah. Apabila teringat akan solat misalnya, anak-anak akan teringat akan ketenangan dan keselesaan, bukannya sebagai beban dan paksaan. Ibadah itu harus kita hubungkan dengan keadaan, suasana, dan perkara-perkara yang positif dan menyeronokkan. Barulah ia dapat meninggalkan kesan yang positif dalam minda anak-anak.

Dalam menyentuh pembangunan akhlak anak-anak, perkara yang sama turut ditekankan, iaitu perlakuan dan perkataan ibubapa di depan anak-anak. Dalam analisisnya, Al-Awadi membawakan contoh bagaimana nabi mengutamakan hubungan dengan anak-anak melebihi tugas yang diberikan. Sekiranya anak-anak tidak menjalankan tugas dengan baik, kita mestilah menegur mereka dengan berhati-hati dan tidak menjejaskan hubungan kita dengan anak-anak. Sesuatu tugas itu boleh dilakukan semula, manakala parut emosi lebih sukar dihilangkan.

Anak-anak juga perlu ditanamkan sifat jujur, namun kejujuran dalam diri anak-anak hanya boleh terbina jika mereka diberi ruang untuk melakukan kesilapan dan mengakuinya. Anak-anak mesti berasa selamat jika dia mengaku bersalah. Jika ibubapa sering menyalahkan, menghakimi, memperlekeh, mengherdik dan menindas anak-anak, mereka akan membesar tanpa rasa selamat, dan akan memilih untuk sentiasa berbohong untuk menyelamatkan keadaan. Al-Awadi turut membawakan sirah bagaimana Rasulullah melindungi anak-anak yang melakukan kesalahan. Baginda tidak menggalakkan sikap menyalahkan atau mencari salah (blaming), sehingga ia dianggap sebagai satu sifat keibubapaan yang buruk.

Dalam ceramah dan kuliah agama, kita sering diceritakan perihal kemuliaan para sahabat nabi. Ya, mereka adalah mulia. Tetapi menurut Al-Awadi, mereka bukanlah sempurna. Mereka juga manusia yang melakukan dosa, malah ada yang melakukan dosa besar seperti berzina dan meminum arak. Perbezaannya adalah mereka segera insaf akan dosa mereka dan bertaubat. Perspektif ini adalah penting kerana jika ia dihilangkan, kita mungkin akan mendapat kefahaman yang salah dan mengejar kesempurnaan, sedangkan sirah menceritakan sebaliknya. Setiap manusia itu melakukan kesilapan dan dosa. Oleh itu kita juga perlu memberi ruang pada anak-anak untuk menjadi manusia. Bukanlah kita membiarkan mereka membuat dosa, tetapi jangan terlalu banyak menyalahkan dan memberi komen kepada semua tindak tanduk mereka. Ibubapa harus belajar membiarkan mereka membuat kesilapan-kesilapan kecil tanpa teguran, ini akan membantu meningkatkan keyakinan diri dalam diri mereka.

Pembentukan keyakinan diri ini, melalui sirah, bukan sekadar dapat dilihat dari Rasulullah sahaja, malah dari sahabat seperti Umar Al-Khattab. Di dalam satu majlis, Umar bertanyakan perihal tafsir sepotong ayat Al-Qur'an. Para sahabat yang lebih tua tidak mengetahuinya. Umar menyuruh Abdullah ibn Abbas yang masih muda untuk memberitahu maksudnya, kata Umar pada Abdullah: "Katakanlah wahai anakku dan jangan engkau memandang rendah akan dirimu". Bagi Umar, ilmu itu tidak diukur melalui umur, jika anak kecil tahu sesuatu, dia perlu diberi ruang untuk menyatakannya. Oleh itu ibu bapa perlu sentiasa memberi ruang untuk anak-anak menyatakan fikirannya, jangan kita pantas memotong percakapan mereka sehingga mereka berasa fikiran mereka tidak signifikan.

Salah satu metod yang dibawakan dalam buku ini, dalam mematangkan anak-anak adalah menggalakkan mereka bergaul dengan orang dewasa. Rasulullah sendiri dalam sirah banyak berkawan dengan anak-anak kecil, membantu mereka memahami dan berinteraksi dengan dunia. Dalam sudut praktikal, perkara ini dapat kita lakukan dengan membawa anak-anak kita menemani urusan-urusan penting kita selagi keadaan mengizinkan. Bawa mereka bersama dalam urusan-urusan kehidupan kita, perkenalkan anak-anak kita pada sahabat-sahabat kita yang dirasakan dapat memberi pengaruh yang baik dalam diri anak-anak. 

Walaupun buku ini membahaskan gaya pendidikan anak-anak menurut sirah, Al-Awadi maklum bahawa cabaran mendidik anak pada hari ini tidak sama seperti abad ke-7. Teknologi banyak mengubah apa yang terdedah pada anak-anak, perkara yang selama ini hanya boleh didapati jika anak-anak keluar dari rumah kini boleh didapati dengan mudah dari kaca-kaca skrin. Namun menurut beliau, prinsip-prinsip itu tetap sama walaupun cabaran dan pendekatan yang kita ambil hari ini mungkin berbeza. Tentu sahaja mendidik anak-anak bukanlah satu perkara yang mudah. Saya sendiri agak malu membaca buku ini dan menulis perihalnya, kerana banyak yang saya rasakan saya sendiri tidak lakukan, dan tidak mampu lakukan. Namun, seperti yang disebutkan diawal karangan panjang ini, ia adalah peringatan, agar kita kembali segar dalam mendidik anak-anak. Perjalanan mendidik anak-anak ini panjang, seperti juga perjalanan perkahwinan, ia memerlukan stamina. Pesan akhir Al-Awadi adalah kita memfokuskan pada perkara-perkara yang mampu kita lakukan, dan apabila kita melakukannya, haruslah kita konsisten dalam hal tersebut. Meskipun ia hal kecil seperti mengucup pipi anak dan mengucapkan salam padanya sambil tersenyum. Harusnya kita konsisten mengucup pipi mereka dari tadika hinggalah ke universiti, malah selepas mereka bergraduasi, hinggalah ke kucupan terakhir apabila kita terpisah dengan mereka kerana mati. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan