Sabtu, 18 Mac 2023

Mampukah AI Menulis Seperti Manusia? Tidak.


Lama rasanya saya tidak mencari masa bersendirian malam-malam menulis renungan. Mungkin zaman saya mempunyai banyak masa sudah berlalu, zaman kini adalah zaman saya dihimpit kesibukan, masa untuk mencuri-curi ruang untuk termenung dan berfikir sangat terhad. Pasti ada sahaja kerja lain yang menuntut masa, dan tenaga juga tidak seperti dahulu, saya tidak mampu lagi menaip begitu lama hingga ke larut pagi.

Malam ini saya mahu mencuba nasib dan menulis renungan perihal penulisan. Seperti membaca, jika seseorang itu konsisten menulis, penulisannya akan berevolusi. Corak kita menulis, cara kita menulis, akan berubah, dan kadang kala ia bukan sahaja dipengaruhi pemikiran kita, tetapi dipengaruhi oleh perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Sebab itu Carr dalam bukunya What is History? menulis bahawa untuk memahami sesebuah penulisan, seorang pembaca bukan sahaja perlu mengenali penulis, dia juga perlu mengenali zaman ketika penulis itu menulis, kerana kita semua adalah produk latar sosial kita.

Kadang-kadang, ada juga orang yang bertanya, katanya mahu menulis tapi tidak tahu mahu menulis apa. Bagi saya soalan ini sukar dijawab. Kerana setiap penulis mempunyai sebab-sebab yang berbeza. Jika penulis itu mahu menjual hasil penulisannya, maka untuk mengetahui apa yang perlu ditulis, dia perlu memahami kehendak masyarakatnya. Jika masyarakatnya gemar akan artis Korea, maka dia perlu membuat kajian tentang itu dan menulis perihalnya. Jika masyarakatnya suka healing, maka untuk menjual dia perlu menulis penulisan yang menjerumus ke arah itu.

Namun saya secara peribadi tidak menggemari penulisan seperti ini, kerana ia tidak membebaskan penulis. Sebaliknya penulis digari dengan kehendak masyarakat. Saya lebih suka menulis apa yang saya mahu tulis. Cuma, risikonya adalah ia mungkin tidak diminati sesiapa. Tetapi bagi saya itu lebih memuaskan hati dan membahagiakan. Saya tidak bahagia jika orang menyukai penulisan saya tetapi jauh dalam lubuk hati saya, saya tidak berminat akan hal tersebut. Saya tidak mampu menipu diri sendiri.

Jika seseorang itu mahu menulis untuk kepuasan dirinya, saya akan menasihatinya untuk menulis tentang apa yang dirasakan penting dalam hidupnya. Jika dia merasakan keluarga adalah penting, maka tulislah hal keluarga, jika dirasakan pemikiran penting, tulislah hal pemikiran. Hidup ini sangat singkat, masa yang kita ada begitu terhad. Menulis hal-hal yang tidak penting bagi diri kita akan membazirkan banyak masa. Kita seharusnya menumpukan perhatian pada perkara yang kita rasa penting, kita rasa berharga, meski pun ia tidak diminati sesiapa. Kerana bagi saya, pada ketika itulah penulisan sebenar akan lahir, kita akan mengerahkan minda kita untuk merakam sebaiknya apa yang kita rasakan berharga.

Jika tidak, tulisan yang dihasilkan adalah sekadar halai balai. Kita dapat lihat sebagai contoh penulisan assignment di universiti. Ketika pelajar dipaksa menulis sesuatu yang dia sendiri tidak minati, hasilnya caca merba, sekadar mahu lulus, ia adalah penulisan yang tidak mempunyai jiwa. Pensyarah yang terpaksa memeriksa karangan mereka pun akhirnya sakit jiwa.

Menulis bagi saya adalah seni yang tersendiri. Dari satu sudut, ia adalah seni untuk mengenali diri. Dengan menulis kita dapat mengenali pemikiran kita, ini tidak dapat dilakukan jika ia adalah proses yang terpaksa. Proses yang terpaksa akan melahirkan karya yang terpaksa, karya yang terpaksa tidak akan dapat menyentuh jiwa.

Sebab itu saya berpegang bahawa menulis merupakan kelebihan manusia, meski pun kini lahir teknologi-teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) yang mampu memanipulasi bahasa, ia tetap tidak sama dengan manusia. AI mungkin bijak tetapi ia tidak mempunyai jiwa, perasaan, dan tidak punya kesedaran, secanggih manapun, ia hanya mampu belajar dari apa yang telah dihasilkan manusia. Sebaliknya manusia mampu menghasilkan perkara baharu tanpa arahan, tanpa dipandu, manusia dapat merasa perkara di luar pancaindera. AI mungkin boleh menghasilkan sesuatu dari data, tetapi ia tidak dapat menghasilkan sesuatu dari perasaan, ia tidak boleh merasa sepi di malam hari dan mengarang puisi sendiri.

Semasa zaman robotik bermula dahulu, kita sering didendangkan bahawa robot bakal mengambil alih kerja-kerja perkilangan, hari ini kilang-kilang masih punya pekerja. Mungkin kerjanya berbeza, namun ia tidak menghilangkan, sekadar menyenangkan. Saya kira begitulah juga peranan AI dalam penulisan.

Berbalik kepada topik asal, sebelum saya terbabas dalam AI, saya merasakan penulisan merupakan satu seni ekspresi, oleh itu ia tidak boleh dihasilkan dengan baik jika niatnya tidak benar. Dan bagi saya, dalam evolusi penulisan, semakin lama, apa yang saya hargai sebagai benar adalah kebebasan. Menulis dan merakam apa yang saya rasakan dekat dan penting.

Dengan konsisten menulis juga, kita sebenarnya dapat memerhatikan evolusi penulisan kita. Banyak penulisan-penulisan awal saya yang saya rasakan tidak cukup matang dan ranum, tapi sekali pun tidak pernah saya padamkan, kerana ia merupakan sejarah penulisan saya, tanpanya saya tidak dapat melihat perkembangan. Dengan menyimpan penulisan kita yang buruk, kita akan menyedari bahawa kita sebenarnya sedang berubah. Penulisan kita berubah, pemikiran kita berubah.

Ada yang mengatakan bahawa jika seseorang itu berubah dia tidak konsisten. Saya pula akan mengatakan bahawa jika seseorang itu tidak berubah, dia tidak pernah belajar apa-apa dalam hidupnya. Dia tidak lebih dari seketul batu. Kebolehan seseorang untuk berubah menandakan kebolehannya untuk belajar. Maka itulah manusia, makhluk yang belajar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan