Ahad, 30 April 2023

Balik kampung nak sembang apa?

Gambar nenek saya, Andak Jijah binti Mat Selan. Foto bertarikh Februari 1985 yang dijumpai di dalam album lama dari rumah pusaka di Changkat Tin. Gambar ini telah selamat didigitalkan.

Saya kira manusia zaman kini mungkin sudah sangat jauh dari akar mereka. Kebanyakan mereka mungkin merupakan manusia baharu, manusia digital yang hidup di alam maya, jika dikeluarkan mereka dari alam digital mereka, mereka mungkin lemas dan tidak tahu bagaimana untuk hidup. 

Jika disuruh balik kampung, mindanya akan rungsing. Apa yang mahu dibualkan dengan orang kampung dan saudara yang lama tidak berjumpa? Macam mana nak jawab jika makcik dan pakcik di kampung bertanya soalan yang dirasakan sensitif seperti bila mahu kahwin? Macam mana nak meraikan anak-anak sedara yang balik kampung cakap bahasa Inggeris? Yang ada adalah kerungsingan dalam dirinya apabila terpaksa berpisah sebentar dari dunia digital dan masuk ke dunia realiti di kampung.

Sedang dia tidak sedar, bahawa masa yang ada di tangannya umpama biji-biji pasir yang halus, semakin digenggam, semakin ia mengalir perlahan di celahan jarinya. Semakin lama ia semakin sedikit dan hilang. Begitu jugalah kampung dan orang-orangnya. Mereka tidak sedar, cuti yang ada adalah kesempatan emas untuk mereka mengetahui akar dan sejarah mereka sendiri.

Saya dahulu, seperti anak-anak kecil lain, jika balik kampung memang teruja. Tapi bukan kerana hendak berjumpa atuk, nenek, dan sedara mara. Tetapi mahu meneroka sungai dan parit, mahu mencari ikan haruan, puyu, dan sepat. Di Bagan Datuk, dahulu merupakan kawasan ladang kelapa dan koko, sekarang banyak sudah menjadi sawit, pergi ke rumah sedara mara, yang lebih dikisahkan adalah monyet ditepi rumah, yang menjadi assistant kepada penduduk kampung untuk memetik buah kelapa.

Saya langsung tidak sedar, bahawa saya punya masa yang sedikit sahaja bersama opah dan atuk di kampung. Pernah sekali, arwah ayah suruh bersembang dengan opah, opah saya bernama Andak Jijah binti Mat Selan. Itu sahaja satu ketika yang saya ingat saya bersembang dengan opah, di mana opah cerita kehidupannya di zaman Jepun, bagaimana mereka survive dan menyorok dalam parit. Masa lain dihabiskan dengan meneroka hutan depan rumah sampai kena gigit tungau dan juga main baling cedok di telaga depan rumah nak tengok ada ikan apa.

Melihat gambar opah di Facebook, adik beliau, Rosimah binti Mat Selan berkata:

"Assalammualaikum. Izinkan opah kongsi gambar kakak kesayangan. Rindu dan tiba-tiba menitis airmata terimbau kenangan waktu kami bersama. Setiap hari raya pasti menziarah ke Changkat Tin. Naik bas ramai-ramai. Kini tinggal memori indah saja".

Menurut sepupu saya, Fairuz Ishmah, banyak cerita yang pernah didengari beliau dari opah, kerana sebelum meninggal, opah tinggal di rumah mereka. Antara yang paling diingati adalah opah selalu membelikan mereka aiskrim dan roti dari orang yang menjual menggunakan motosikal "ting-ting". Opah akan suruh mereka ambil duit dalam botol asam, tempat opah menyimpan duit 5 kupang. Saya suruh Fairuz tulis dan kongsi kisahnya bersama opah, dia kata tak boleh diberitahu, rahsia katanya. Tapi saya syak dia sudah lupa.

Sudah besar baru saya ada kesedaran tentang sejarah keluarga. Tentang bertapa sedikitnya yang saya tahu tentang atuk dan opah sebelah ayah yang kini sudah tiada. Wo (nenek) dan atuk sebelah ibu masih ada, saya sedikit bernasib baik, selalu saya sembang perihal asal usul dengan mereka. Wo datang ke Tanah Melayu dari Kuok, Bangkinang semasa masih bayi, atuk pula orang Banjar generasi ke-3 di Perak. Saya teringin belajar bahasa Kampar dan Banjar dari mereka, selalu balik dengar orang tua-tua sembang saya tak faham. Dari satu aspek sudah luntur sedikit warisan keluarga dalam diri. Tapi jika mahu belajar semua bahasa asal usul, saya juga mungkin perlu belajar bahasa Bugis (opah) dan juga Arab (Yaman).

Kini, jika balik kampung, saya biasanya akan bertanya banyak tentang sejarah keluarga yang ada. Yang saya tidak tahu sebab dahulu hanya sibuk cari ikan puyu dan ikan laga. Kalau ada rezeki, mahu dikumpulkan sejarah keluarga dan dibukukan. Jadi aktiviti balik kampung merupakan peluang istimewa buat saya, peluang untuk mengetahui dan memahami akar kewujudan saya. Saya langsung tak ada masa nak sensetif dengan soalan bila nak kahwin atau kenapa anak orang lain cakap bahasa Inggeris.

Gambar bersama Pak Yang (Zulkilpully) di depan rumah pusaka lama yang penuh nostalgia di kampung Changkat Tin, Perak pada 23 April 2023.

Cukuplah balik kampung menjadi medan saya lebih mengenali ahli keluarga yang jarang berjumpa, dan tempat untuk saya berteduh untuk menggali akar sejarah keluarga. Raya tahun ini (2023), saya berpeluang bersembang dengan pakcik dan makcik yang lama tak bersua. Juga ada pakcik dan makcik yang sebelum ini tidak dikenali, tetapi alhamdulillah tahun ini dapat berkenalan. Tahun ini juga saya berjaya mendapat kunci dari Pak Yang untuk masuk ke rumah pusaka menyelamatkan bahan-bahan sejarah keluarga yang tersisa. Saya sempat menyelamatkan seplastik buku catatan, surat, dan album gambar lama. Ada banyak lagi bahan yang perlu diselamatkan, selepas ini saya akan datang lagi membawa kotak. Walaupun tak sempat bersembang banyak dengan atuk dan opah dahulu, mungkin dengan menyelamatkan dokumen-dokumen lama ini saya boleh lebih mengenali mereka.

Lalang di Lautan Ideologi Edisi Kemaskini 2023


Pada ambang hari raya 2023, akhirnya saya selamat menerima buku Lalang di Lautan Ideologi edisi kemaskini 2023. Lelah juga sebenarnya hendak menyiapkan edisi kemskini ini. Berjam-jam saya bertapa di depan laptop, siang dan malam, entah berapa ratus cawan kopi dihabiskan untuk memastikan mata terus bercahaya dan setia meneliti helaian demi helaian, tetapi alhamdulillah, semuanya berbaloi dan menjadi kenangan indah apabila naskhah tersebut berjaya dicetak dan sampai ke tangan.

Buku ini mempunyai beberapa penambahbaikan dari edisi pertama. Pertamanya dari sudut kandungan, terdapat penambahan bab sekitar 10%. Namun tesis dan pandangan utamanya tetap tidak berubah. Edisi pertama hanya berketebalan 362 muka surat. Saya tidak sertakan sebarang nota kaki atau bibliografi. Namun setelah berbincang dengan penerbit, edisi kali ini disertakan nota kaki dan bibliografi. Keseluruhannya, setelah dikira, ada sekitar 237 nota kaki. Jumlah muka surat juga bertambah menjadi 421 mukasurat, menjadikan buku ini buku paling tebal pernah saya tulis. Penambahbaikan juga dibuat pada beberapa ejaan hasil maklum balas pembaca sebelum ini.

Edisi kali ini bukan sahaja ditambah baik dari segi kandungan. Ia juga diperbaiki dari segi estetik, teknikal, dan juga reka letak. Edisi kali ini menggunakan kertas ivory atau book paper yang menyerap lebih banyak cahaya menjadikan pembacaan lebih baik kerana pembaca dapat fokus lebih lama dan tidak sakit mata. Kertas simili berwarna putih cerah menyebabkan mata cepat penat apabila membaca, buku juga menjadi berat kerana kertas simili lebih berat berbanding ivory. Kerana warnanya yang putih terang,  kertas putih memantulkan lebih banyak cahaya. 

Disebabkan ada penambahan kandungan, nota kaki, bibliografi, edisi kemaskini ini lebih berat dan bulky berbanding edisi pertama. Namun dari segi kualiti, reka kulit baharu, dan juga reka letak baharu, saya lebih berpuas hati dengan edisi ini. Begitulah buku, ia bukanlah sesuatu yang statik. Boleh ditambah baik dan dikemaskini. Walaupun memenatkan, ia memuaskan. Saya kira saya sudah puas dengan edisi kemaskini ini, jadi ini mungkin versi terakhirnya. Selepas ini, penulisan baharu akan dimuatkan dalam naskhah yang baharu.

Jumaat, 21 April 2023

Yang Kekal Hanyalah Sementara



Hidup ini indah,
tapi hidup ini sementara.

Hidup ini sakit,
tapi hidup ini sementara.

Hidup ini seronok,
tapi hidup ini sementara.

Hidup ini bahagia,
tapi hidup ini sementara.

Hidup ini menyeksakan,
tapi hidup ini sementara.

Hidup ini susah,
tapi hidup ini sementara.

Hidup ini nikmat,
tapi hidup ini sementara.

Hidup ini gembira,
tapi hidup ini sementara.

Hidup ini sepi,
tapi hidup ini sementara.

Hidup ini pedih,
tapi hidup ini sementara.

Hidupilah hidup,
dengan sementara yang ada.

Apa yang kekal dalam hidup,
hanyalah sementara.

Ahad, 16 April 2023

Catatan Baitul Muslim 62: Seharusnya Suami Itu Bagaimana?


Baru-baru ini saya ada terbaca di media sosial tentang kesihatan mental lelaki. Tentang bagaimana semua perbelanjaan keluarga perlu disediakan lelaki sahaja. Lelaki yang dibantu oleh isterinya dalam hal kewangan dianggap lemah dan bukan suami yang baik. Hal ini membuatkan segelintir suami meminjam ke sana sini, kerana mahu mencukupkan semuanya untuk keluarga, tanpa bantuan kewangan dari sesiapa. Sering perkara ini dikaitkan dengan nafkah yang menjadi tanggungjawab suami, ia disebut sebagai sesuatu yang dituntut oleh agama, sekiranya suami tidak menyempurnakannya, maka kuranglah nilainya disisi agama.

Di sudut yang lain, lelaki diajarkan oleh media sosial bahawa tugas-tugas rumah bukan tugas isteri, ia tidak pernah diajar oleh agama bahawa ia harus digalas oleh isteri. Hatta seolah-olah isteri tidak punya tugas spesifik dalam rumahtangga, dan para suami pula dituntut untuk menyediakan segala-galanya. Wanita diberi pilihan untuk bekerja atau tidak, tetapi tidak kepada lelaki, lelaki harus bekerja dan menyediakan segalanya buat keluarga. Menghalang isteri bekerja dianggap sesuatu penindasan yang menyempitkan ruang kebebasan isteri.

Sebenarnya, saya sejak dari mula berkahwin sering berfikir akan bab ini. Apakah dia peranan suami dan apa pula peranan isteri? Saya merasakan bahawa peranan yang berbentuk hitam putih dan statik semakin hari semakin sudah tidak relevan dengan susunan sosial keluarga moden. Bagi saya setiap keluarga adalah berbeza, maka tugas dan peranan pasanga dalam setiap keluarga perlu dibincangkan bersama antara suami dan isteri, agar kedua-duanya berasa selesa dan tiada siapa berasa tertindas atau tertekan. Peranan suami dan isteri dalam sesebuah keluarga perlu dibincangkan dan dibahagikan sesuai dengan keadaan keluarga masing-masing. Ia tidak wajar ditentukan oleh apa yang "diajarkan" oleh media sosial kerana ajaran itu mungkin tidak sesuai dengan keadaan keluarga setiap manusia.

Saya berpandangan bahawa kebebasan akan sentiasa datang bersamanya tanggungjawab. Jika wanita itu diberikan kebebasan untuk bekerja dan mencari rezeki, maka dia juga bertanggungjawab membantu keewangan keluarga. Tidak harus ia hanya menuntut kebebasan tetapi lari dari tanggungjawab. Bagitu juga suami, jika isterinya banyak membantu dalam hal-hal keewangan, maka sewajarnya dia juga berkongsi tanggungjawab dalam menguruskan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh baju, menjaga anak dan sebagainya.

Saya tidaklah merasakan bahawa semua wanita dan isteri itu mirip apa yang dipaparkan di media sosial, sering menuntut itu dan ini tetapi tidak mahu mengambil tanggungjawab. Cuma kegusaran saya adalah ia memberi gambaran yang salah tentang keluarga, tentang bagaimana ia berfungsi, juga tentang bagaimana ia sepatutnya disusun dan diurus. Kesalahan gambaran ini akan mewujudkan ekspektasi yang salah dalam kalangan mereka yang mahu memulakan keluarga terutamanya golongan muda, dan apabila ekspektasi mereka tidak tercapai, mereka akan merasakan bahawa mereka diperlakukan dengan tidak adil dan memilih jalan perpisahan.

Saya merasakan keluarga yang harmoni adalah bukan keluarga yang saling menuntut-nuntut sesama sendiri terhadap pasangan masing-masing. Keluarga yang harmoni adalah keluarga yang saling tidak berkira, mengutamakan tanggungjawab dari sibuk mengira hak yang wajar dituntut oleh pasangan masing-masing. Kerana dasar perkahwinan adalah percintaan, masing-masing mahu membahagiakan pasangan, mahu hidup bersama dengan kasih sayang. Jika semuanya saling berkira, tidak boleh terkurang sedikit, maka sifat kasih sayang akan hilang. Tiada siapa yang sempurna, pasangan kita bukan malaikat tetapi manusia biasa sahaja. Mengambil nasihat kekeluargaan dari media sosial adalah sesuatu yang membahayakan, ia lebih banyak mencetuskan prasangka buruk dari mencetuskan rasa kasih dan sayang. 

Seharusnya suami itu memahami isterinya dan seharusnya isteri itu memahami suaminya. Sesuatu yang tidak harus dilakukan adalah mengukur pasangan masing-masing menggunakan media sosial. Jika anda mengejar pasangan yang ideal seperti yang ditulis di media sosial, ketahuilah bahawa anda sebenarnya mengejar sesuatu yang tidak wujud, dan sesuatu yang tidak pernah dan tidak akan wujud. Kebahagiaan akan menjadi sesuatu yang tidak mungkin akan dikecapi. 

Sabtu, 15 April 2023

Kenali Diri dan Musuhmu - 1000 Peperangan Takkan Kau Tewas

 


Saya baru selesai membaca buku Seni Dalam Peperangan yang merupakan terjemahan kepada karya klasik tulisan Sun Tzu. Saya tidak dapat menangkap banyak perkara yang diperkatakan dalam buku ini. Mungkin kerana ia tulisan yang sangat klasik dan memperkatakan perihal keadaan perang zaman dahulu, yang kebanyakannya saya kira sudah tidak relevan dengan perang zaman moden. Atau mungkin kerana terjemahannya yang tidak berjaya memberi kefahaman moden kepada pembaca baharu. Atau mungkin masalah kefahaman itu datang dari saya sendiri, yang tidak berapa cekap memahami subjek yang dibincangkan.

Apa-apa pun, tidaklah saya membaca buku ini dengan tangan kosong. Ada juga beberapa point yang melekat di minda. Antaranya kefahaman bahawa perang pada hakikatnya adalah tipu muslihat. Ia bukan tempat menunjukkan kegagahan atau keberanian, sebaliknya ia adalah tempat untuk menggunakan apa juga cara untuk mencapai objektif, malah jika objektif itu dapat dicapai tanpa perang, itu lebih baik. Kerana saya merupakan pelajar sejarah, saya juga tertarik apabila nama sejarawan agung China, Su Ma Chi'en ada disebutkan di dalam makalah kecil ini, sumbangan beliau yang sangat besar dalam pensejarahan China pasti mendapat pemerhatian strategis perang, dan Sun Tzu tidak terkecuali.

Untuk memenangi perlawanan, Sun Tzu menegaskan keperluan untuk memahami pihak lawan, kekuatan pasukan sendiri, juga keadaan medan pertempuran. Oleh itu, perisikan dan pengumpulan maklumat merupakan perkara penting dalam merangka strategi perang. Orang yang menang bagi Sun Tzu adalah orang yang boleh mengubah dan menyesuaikan pendekatannya sesuai dengan perubahan keadaan. Antara strategi yang menarik adalah membuka laluan bagi musuh melarikan diri, ini kerana jika mereka ada peluang untuk selamat, mereka tidak akan bertarung mati-matian. Saya kira strategi ini cocok dengan pemikiran sarjana geo-politik kontemporari seperti John Mearshiemer yang mengatakan bahawa musuh yang terdesak akan melakukan langkah drastik untuk mengalahkan kita, oleh itu, sebaiknya jangan membuatkan mereka terdesak terutamanya jika mereka berkemampuan melakukan serangan balas.

Oleh itu, dalam apa-apa pertarungan, kita harus mengenal diri sendiri. Memilih perlawanan yang boleh dimenangi dan mengelak dari perlawanan yang tidak dapat dimenangi. Mengenali diri, musuh dan medan akan membantu kita memenangi setiap perlawanan.

Khamis, 13 April 2023

Kebebasan Untuk Meneroka Dan Beridea


Apabila kita bebas, ketika itulah kita akan melahirkan idea-idea dan pemikiran yang menarik, kita melahirkan sesuatu yang berguna buat manusia kemudian, sesuatu yang memuaskan hati. Namun suasana hari ini, baik struktur sosial ataupun cengkaman ekonomi, tidak memungkinkan hal ini berlaku. Hanya sesetengah orang sahaja yang memiliki kebebasan untuk meneroka minat dan idea mereka.

Saya tidaklah berhasrat untuk mengkritik sistem kapitalis atau hiraki politik seperti biasanya dikritik oleh pemikir lain, kerana saya merasakan ia sudah terlalu klise, dan klise sering membosankan dan tidak membangkitkan minat saya. Tetapi saya mahu menulis perihal kebebasan yang sebenarnya kita ada, disebalik gari-gari yang mencengkam kita. Rousseau menulis bahawa manusia sentiasa digari, tapi saya merasakan, zaman ini, walaupun gari Rousseau itu masih ada, sebenarnya teknologi dan keadaan zaman memberi banyak kelebihan pada manusia moden. Terutamanya kebebasan untuknya meneroka.

Persoalannya mengapa mereka tidak menjadi peneroka?

Pertama, mungkin mereka merasakan hidup mereka sudah terlalu penat, tenaga mereka sudah habis disedut oleh kehendak ekonomi. Baki masa yang ada hanya cukup untuk tidur dan berlibur. Kedua, mungkin mereka merasakan tiada keperluan lagi untuk meneroka, kerana ilmu yang perlu sudah habis diteroka dengan mendapat segenggam sijil universiti, sekeping kertas baginya sudah cukup, kerana dengan ilmu tersebut, makan pakainya sudah pun cukup. 

Tetapi saya merasakan hidup seperti ini terlalu membosankan, sepertinya kita hidup sekadar hidup. Saya ada bersembang dengan aktivis Kumandang Zine di sebuah acara, perihal bagaimana hidup seharian hanya untuk mencari makan dan tidur itu sangat membosankan, sangat tawar dan pudar dari sebarang makna. Saya kira itu adalah salah satu faktor yang menolak saya untuk menulis, kerana menulis memberi saya satu lapangan untuk meneroka idea dan pemikiran, disela-sela kesesakan sosial dan ekonomi, masa yang sedikit itu dapat digunakan untuk meneroka. Dan saya berharap, api lilin penerokaan saya tidak akan padam selagi nyawa masih di badan. Jika sudah terpadam, saya kira saya sudah mati sebelum saya mati.

Baru-baru ini, saya ada mendengar perbualan antara Rupert Sheldrake, Iain McGilchrist, dan Alex Gomez-Marin, perbincangan ini saya kira sangat menarik. Antara yang dibincangkan adalah bagaimana untuk melahirkan idea yang baharu, segar dan kreatif. Mereka berpendapat, antara sebab terhalangnya penerokaan idea-idea kreatif adalah kongkongan universiti dan institusi. Di mana orang-orang di dalamnya dikongkong dengan pandangan utama yang diterima oleh golongan yang dianggap "pakar". Ini menjadikan universiti-universiti besar menjadi kaku, tidak terbuka dengan idea dan paradigma baharu. Semuanya harus terkongkong dalam kerangka pemikiran materialis, saintifik, dan emperikal. Sheldrake berpandangan situasi ini terjadi kerana saintis dan pengkaji sudah ditukar fungsi mereka, sebelum ini mereka adalah peneroka, maka lahir banyak idea-idea baharu. Namun hari ini mereka menjadi pekerja, kajian menjadi kareer, dan pengkaji tidak mahu kareernya terjejas. Jadi dia tidak akan mengeluarkan idea-idea yang segar yang mungkin melawan fahaman konvensional. 

Mereka yang bekerja di syarikat-syarikat juga tidak diberikan ruang untuk menjadi kreatif. Kebanyakannya hanya mengulang rutin yang sama. Kata Sheldrake, pekerjaan kebanyakannya memerlukan manusia menjadi tidak kreatif. Pekerja sering dikawal dan diperhatikan. Dan apabila mereka dikawal secara mikro, bagi McGilcrist, ini hanya akan melahirkan manusia yang biasa-biasa, yang membosankan. Sebaliknya, jika kita mahukan idea-idea segar, kita perlu membiarkan manusia meneroka minat dan idea mereka. Mereka mestilah cukup makan dan pakai, tidak risau akan hal ekonomi dan dapat memfokuskan tenaga dan idea mereka pada penerokaan. Antara yang dibincangkan adalah peluang bagi pekerja untuk mengambil sabbatikal, iaitu ruang masa dimana seseorang itu bebas meneroka minat mereka dalam beberapa selang masa. Idea ini bagi saya sangat menarik, dengan peluang sabbatikal, seseorang itu akan bebas, dan apabila ia bebas, idea dan kreativiti mereka dapat berkembang dengan organik.

Dalam bidang penulisan, saya cukup mementingkan soal kebebasan. Penulis itu perlu bebas. Kesetiaannya bukan patut diletakkan pada penerbit, tetapi pada idea dan pemikiran. Hatta penulis itu perlu bebas dari kehendak dan kecenderungan pembaca. Bukan hanya mengikut arus atau mengikut trend. Sebaliknya dia harus kekal original untuk menjadi segar. Kebebasan adalah pra-syarat kepada originaliti.

Saya merasakan dalam dunia yang sibuk dengan keserabutan dan kegilaan. Dapat duduk dengan tenang, menulis dan menumpah fikir itu satu kenikmatan dan kebebasan. Kenikmatan yang abadi pada setiap saatnya.