Ahad, 30 April 2023

Balik kampung nak sembang apa?

Gambar nenek saya, Andak Jijah binti Mat Selan. Foto bertarikh Februari 1985 yang dijumpai di dalam album lama dari rumah pusaka di Changkat Tin. Gambar ini telah selamat didigitalkan.

Saya kira manusia zaman kini mungkin sudah sangat jauh dari akar mereka. Kebanyakan mereka mungkin merupakan manusia baharu, manusia digital yang hidup di alam maya, jika dikeluarkan mereka dari alam digital mereka, mereka mungkin lemas dan tidak tahu bagaimana untuk hidup. 

Jika disuruh balik kampung, mindanya akan rungsing. Apa yang mahu dibualkan dengan orang kampung dan saudara yang lama tidak berjumpa? Macam mana nak jawab jika makcik dan pakcik di kampung bertanya soalan yang dirasakan sensitif seperti bila mahu kahwin? Macam mana nak meraikan anak-anak sedara yang balik kampung cakap bahasa Inggeris? Yang ada adalah kerungsingan dalam dirinya apabila terpaksa berpisah sebentar dari dunia digital dan masuk ke dunia realiti di kampung.

Sedang dia tidak sedar, bahawa masa yang ada di tangannya umpama biji-biji pasir yang halus, semakin digenggam, semakin ia mengalir perlahan di celahan jarinya. Semakin lama ia semakin sedikit dan hilang. Begitu jugalah kampung dan orang-orangnya. Mereka tidak sedar, cuti yang ada adalah kesempatan emas untuk mereka mengetahui akar dan sejarah mereka sendiri.

Saya dahulu, seperti anak-anak kecil lain, jika balik kampung memang teruja. Tapi bukan kerana hendak berjumpa atuk, nenek, dan sedara mara. Tetapi mahu meneroka sungai dan parit, mahu mencari ikan haruan, puyu, dan sepat. Di Bagan Datuk, dahulu merupakan kawasan ladang kelapa dan koko, sekarang banyak sudah menjadi sawit, pergi ke rumah sedara mara, yang lebih dikisahkan adalah monyet ditepi rumah, yang menjadi assistant kepada penduduk kampung untuk memetik buah kelapa.

Saya langsung tidak sedar, bahawa saya punya masa yang sedikit sahaja bersama opah dan atuk di kampung. Pernah sekali, arwah ayah suruh bersembang dengan opah, opah saya bernama Andak Jijah binti Mat Selan. Itu sahaja satu ketika yang saya ingat saya bersembang dengan opah, di mana opah cerita kehidupannya di zaman Jepun, bagaimana mereka survive dan menyorok dalam parit. Masa lain dihabiskan dengan meneroka hutan depan rumah sampai kena gigit tungau dan juga main baling cedok di telaga depan rumah nak tengok ada ikan apa.

Melihat gambar opah di Facebook, adik beliau, Rosimah binti Mat Selan berkata:

"Assalammualaikum. Izinkan opah kongsi gambar kakak kesayangan. Rindu dan tiba-tiba menitis airmata terimbau kenangan waktu kami bersama. Setiap hari raya pasti menziarah ke Changkat Tin. Naik bas ramai-ramai. Kini tinggal memori indah saja".

Menurut sepupu saya, Fairuz Ishmah, banyak cerita yang pernah didengari beliau dari opah, kerana sebelum meninggal, opah tinggal di rumah mereka. Antara yang paling diingati adalah opah selalu membelikan mereka aiskrim dan roti dari orang yang menjual menggunakan motosikal "ting-ting". Opah akan suruh mereka ambil duit dalam botol asam, tempat opah menyimpan duit 5 kupang. Saya suruh Fairuz tulis dan kongsi kisahnya bersama opah, dia kata tak boleh diberitahu, rahsia katanya. Tapi saya syak dia sudah lupa.

Sudah besar baru saya ada kesedaran tentang sejarah keluarga. Tentang bertapa sedikitnya yang saya tahu tentang atuk dan opah sebelah ayah yang kini sudah tiada. Wo (nenek) dan atuk sebelah ibu masih ada, saya sedikit bernasib baik, selalu saya sembang perihal asal usul dengan mereka. Wo datang ke Tanah Melayu dari Kuok, Bangkinang semasa masih bayi, atuk pula orang Banjar generasi ke-3 di Perak. Saya teringin belajar bahasa Kampar dan Banjar dari mereka, selalu balik dengar orang tua-tua sembang saya tak faham. Dari satu aspek sudah luntur sedikit warisan keluarga dalam diri. Tapi jika mahu belajar semua bahasa asal usul, saya juga mungkin perlu belajar bahasa Bugis (opah) dan juga Arab (Yaman).

Kini, jika balik kampung, saya biasanya akan bertanya banyak tentang sejarah keluarga yang ada. Yang saya tidak tahu sebab dahulu hanya sibuk cari ikan puyu dan ikan laga. Kalau ada rezeki, mahu dikumpulkan sejarah keluarga dan dibukukan. Jadi aktiviti balik kampung merupakan peluang istimewa buat saya, peluang untuk mengetahui dan memahami akar kewujudan saya. Saya langsung tak ada masa nak sensetif dengan soalan bila nak kahwin atau kenapa anak orang lain cakap bahasa Inggeris.

Gambar bersama Pak Yang (Zulkilpully) di depan rumah pusaka lama yang penuh nostalgia di kampung Changkat Tin, Perak pada 23 April 2023.

Cukuplah balik kampung menjadi medan saya lebih mengenali ahli keluarga yang jarang berjumpa, dan tempat untuk saya berteduh untuk menggali akar sejarah keluarga. Raya tahun ini (2023), saya berpeluang bersembang dengan pakcik dan makcik yang lama tak bersua. Juga ada pakcik dan makcik yang sebelum ini tidak dikenali, tetapi alhamdulillah tahun ini dapat berkenalan. Tahun ini juga saya berjaya mendapat kunci dari Pak Yang untuk masuk ke rumah pusaka menyelamatkan bahan-bahan sejarah keluarga yang tersisa. Saya sempat menyelamatkan seplastik buku catatan, surat, dan album gambar lama. Ada banyak lagi bahan yang perlu diselamatkan, selepas ini saya akan datang lagi membawa kotak. Walaupun tak sempat bersembang banyak dengan atuk dan opah dahulu, mungkin dengan menyelamatkan dokumen-dokumen lama ini saya boleh lebih mengenali mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan