Ahad, 7 Mei 2023

Mencari Akar dan Susur Galur: Sejarah Changkat Tin & Anak Keturunan Mat Selan

Masjid Changkat Tin, Tanjung Tualang, Kinta, Perak. Foto bertarikh 02 Januari 1965. Foto dari dalam simpanan Tok Imam, Haji Mohamad Jiplus bin Kulup Md Saman.

Sejak ayah meninggal pada tanggal 29 Februari 2020, keinginan hati saya untuk menjejaki dan memahami keturunan dan susur galur keluarga semakin kuat. Benarlah kata-kata pujangga yang mengatakan kita akan menghargai sesuatu apabila ia hilang. Juga seperti yang ditulis oleh Rumi dalam puisi-puisinya, bahawa manusia itu selalu sahaja mencari ketiadaan. Arwah ayah dahulu sering menerangkan asal usulnya, jika menziarahi saudara-maranya, akan diterangkan ini siapa, dan bagaimana kami bertali darah dengan mereka. Tetapi saya tidak begitu mengambil perhatian, mungkin saya merasakan ayah akan bersama lama lagi dengan kami, juga saya merasakan hiraki dan simpulan keluarga yang berselirat ini terlalu kompleks untuk difahami. Hinggalah ayah tiada, saya tersentak, baru perhatian saya tiba-tiba tersedar.

Sejak dari itu saya mula mengambil perhatian hal-hal pertalian kekeluargaan. Apabila membuka minda, baru saya sedar sebenarnya seliratan pertalian keluarga ini tidaklah begitu sukar difahami. Jika kita perlahan-lahan mendengar dan memberi perhatian, sebenarnya ia boleh dikecapi akal. Saya mulakan projek menulis sejarah keluarga. Walaupun saya tidak pasti ia boleh dilakukan atau ia boleh disiapkan semasa saya hidup. Jika tidak, paling tidak, bahan-bahannya ada dikumpulkan. Saya mula rekodkan temubual dengan nenek, makcik, dan pakcik yang masih hidup. Malah saya menyambung pengajian dalam bidang sejarah di Universiti Sains Malaysia untuk membantu saya dalam projek ini walaupun saya sebenarnya berasal dari bidang kejuruteraan, saya memegang ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan marin dari sebuah universiti di Rusia.

Apabila mengetahui sejarah keluarga, saya semakin seronok apabila balik ke kampung. Dahulu balik kampung nak mencari ikan haruan, sepat, dan puyu, tapi hari ini nak bersembang dengan pakcik dan makcik, nak tahu cerita-cerita lama, nak catat agar ia tidak hilang dari memori zaman. Antara benda yang saya mahu lakukan adalah masuk semula ke dalam rumah pusaka di Changkat Tin, bukan hanya kerana memori, tetapi kerana sering dikatakan masih ada dokumen-dokumen keluarga yang tersimpan di rumah lama tersebut.

Haji Mohamad Jiplus (berserban dan berkain pelikat) bersama Andak Jijah (berbaju kurung) berjalan menuju ke sebuah majlis kenduri. Foto circa 1985.

Pada 23 April 2023, saya maklumkan pada Makchu (Sharifah Salwah) akan perkara ini, saya bagi tahu saya nak singgah dan ambil barang-barang yang masih tersisa. Terus Makchu menalifon Pakyang. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Pakyang memberi saya kunci rumah untuk saya masuk. Kami masuk bersama dan menyelamatkan beberapa dokumen, tapi tidak kesemuanya kerana kesuntukan masa pada ketika itu. Antara yang berjaya diselamatkan adalah album-album gambar lama. Albumnya sudah rabak, tetapi gambarnya sebahagiannya masih terpelihara. Saya beli album baharu untuk menjadi rumah baharu gambar-gambar lama tersebut. Sebahagiannya saya scan dan kongsikan bersama keluarga di whatsapp dan facebook.

Teknologi dan media sosial juga membantu menghubungkan saya bersama keluarga terutamanya yang hubungannya sedikit jauh dan berlapis. Apabila saya berkongsi gambar-gambar lama, antara yang dapat saya hubungi adalah Kak Hanie Shaari yang merupakan dua pupu saya yang tinggal di Taman Raia Sentosa, Ipoh. Saya mengambil peluang sempena cuti hari raya untuk berjumpa dengan Kak Hanie. Kemudian dia membawa saya bertemu dengan ayahnya, Shaari bin Pandak Abbas (yang saya panggil Paklang) di Kampung Paya Rengas, Ipoh. Ayahnya adalah anak Opah Mariam. Opah Mariam adalah adik beradik dengan Opah Andak Jijah Mat Selan. Jadi Paklang adalah sepupu kepada arwah ayah.

Banyak juga yang saya sembangkan dengan Paklang Shaari yang pada ketika itu sudah berumur 82 tahun. Juga bersama isterinya, Rokidah binti Alang Ismail (berumur 79 tahun). Menurut Paklang, dia dahulu selalu berkebun bersama Mat Selan yang dahulunya duduk di Bakap, Batu Gajah. Rumah di Bakap tersebut menurutnya sudah roboh. Ibunya, Opah Mariam merupakan anak dari isteri pertama Mat Selan, sama dengan Opah Andak Jijah. Menurut Opah Rokidah, anak pertama Andak Jijah, Jalaluddin kuat menangis semasa kecil, tidak diketahui mengapa, hingga kadang-kala opah perlu membawanya keluar dari rumah supaya atuk dapat tidur. Jalaluddin kemudian berkerja sebagai pensyarah dan meninggal dunia pada usia 40-an. Anak kedua Andak Jijah, Said Nasir, menurut beliau tidak seperti anak pertama, Nasir tidak banyak menangis semasa kecil, Nasir kemudian menyambung pengajian di Kolej Kuala Kangsar. Ditanya perihal Khair, katanya Khair pernah bersekolah di Sekolah Sultan Yusuf. Atuk, Haji Mohamad Jiplus pula menurut mereka pernah mengajar sekolah agama bersama Andak Jijah, namun fakta ini tidak benar-benar dapat dipastikan dan perlu kepada kajian lanjut.

Menurut Syed Azfar (Yop), fakta dari Opah Rokidah berkenaan dengan pendidikan dan pekerjaan anak-anak Andak Jijah ini sedikit berbeza dengan maklumat yang diperolehinya. Menurut Yop, Jalaluddin menyambung pengajian di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) kemudian berkerja sebagai pengarah MARDI. Manakala Nasir pula bersekolah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh. Perkara ini disahkan oleh anak Jalaluddin sendiri iaitu Kak Jasmin yang menyatakan bahawa ayahnya bukan seorang pensyarah tetapi ibunya yang bertugas sebagai pensyarah di UPM. Semasa di sekolah, Jasmin masih ingat dia menulis pekerjaan ayahnya Jalaluddin sebagai Pegawai Penyelidik MARDI, anak-anaknya memanggil beliau sebagai doktor tanah kerana beliau mempunyai PhD dalam soil science. Ini dipersetujui oleh adiknya Nadia Jalaluddin. Menurut Jasmin lagi, jawatan terakhir ayahnya adalah Pengarah Bahagian Promosi Teknologi MARDI, beliau meninggal dunia pada tarikh 11 November 1992 pada usia 46 tahun.

Bersama Shaari bin Pandak Abbas (Paklang), Rokidah binti Alang Ismail dan Kak Hanie.

Mat Selan merupakan anak ke-4 kepada Ngah Endah (Mat Selan bin Ngah Endah). Antara adik beradiknya yang lain adalah Manan. Manan mempunyai anak yang terkenal, namanya Radhi Manan. Menantu Radhi Manan pernah menjadi menteri besar Perak, namanya Ahmad Faizal Azumu. Antara adik beradik Mat Selan yang lain adalah Opah Wan Puteh dan Andak Jelas. Andak Jelas adalah seorang lelaki yang mempunyai anak bernama Isa namun sudah meninggal dunia, mereka mempunyai sedara mara di Changkat Lalang. Adik Mat Selan yang bongsu bernama Abdul Ghafur, yang sulung bernama Wan Tua. Seorang lagi adik beradik mereka bernama Hitam Ahmad bin Ngah Endah.

Dari perjumpaan ini juga, dapat dikenal pasti anak-anak Haji Mat Selan hasil perkahwinannya dengan isteri pertama yang bernama Fatimah.

1. Halimah
2. Mariam
3. Rokeah
4. Ahmad (meninggal semasa berusia 6 tahun)
5. Andak Jijah
6. Ramli
7. Hamidah, dipanggil sebagai Wan Chor
8. Samsiah

Selepas saya bertemu dengan Paklang Shaari, saya ke rumah pusaka di Changkat Tin. Saya memberi salam kepada penyewa di rumah bawah, tetapi tidak bersahut, saya rasa dia tiada di rumah. Kemudian saya pun naik ke atas, rumah atas berhabuk teruk dan agak panas. Pakyang tidak bagi membuka elektrik, takut terbakar, jadi perlu membuka tingkap agar ada cahaya masuk. Saya membawa dua kotak untuk mengisi dokumen-dokumen dan gambar-gambar lama untuk diselamatkan. Kali ini saya berjumpa 3 album gambar baharu, dan banyak dokumen-dokumen lama termasuk dua diari Hj. Mohamad Jiplus. Banyak juga kertas-kertas yang sudah reput dan menjadi seperti tanah. Dalam kepanasan berkerja menyelamatkan dokumen-dokumen yang ada ini, saya teringat tulisan al-Mas'udi yang merupakan ahli sejarah Islam yang digelar sebagai Herodotus Arab. Dalam kitabnya Muruj al-Dhahab wa-Ma'adin al-Jawhar (Lapangan Emas dan Lombong Permata), beliau menyifatkan usahanya menulis sejarah sebagai "usaha menyelamatkan cebisan-cebisan berharga masa lalu dari kemusnahan". Dalam kepanasan, memeriksa dokumen berhabuk selama dua jam itu, saya merasakan saya mempunyai misi yang sama dengan al-Mas'udi, iaitu memelihara cebisan-cebisan sejarah keluarga yang masih ada dari luput dihancurkan masa. Masa menghancurkan semuanya, tiada siapa yang dapat terlepas darinya, manakala sejarah adalah sisa-sisa kecil yang terselamat dari penghancuran itu.

Opah Andak Jijah bersama cucunya Nadia Jalaluddin di ribanya dalam sebuah majlis perkahwinan. Foto circa 1985. Antara gambar yang berjaya diselamatkan dan didigitalkan pada 06/05/2023.

Selepas dua jam berpeluh dan berhabuk, saya ke Masjid Changkat Tin membersihkan diri sebelum bertandang ke rumah Opah Imah (Rosimah binti Mat Selan) di Kampung Batu 7, Tanjung Tualang. Opah Imah adalah adik kepada Opah Andak Jijah, ibunya bernama Embun. Apabila Mat Selan meninggal dunia, adik beradik mereka pada ketika itu masih kecil, duit yang diterima Embun dari pembahagian faraid tidak banyak, anaknya ramai, 10 beradik. Maka abangnya Ramli Mat Selan mengarahkan adik beradiknya yang merupakan anak Mat Selan hasil perkahwinan dengan Fatimah, masing-masing memelihara adik-adik tiri mereka. Begitulah kisahnya bagaimana Opah Imah duduk di Changkat Tin selama 3 tahun bersama Opah Andak Jijah, semasa itu beliau masih kecil dan bersekolah. Selepas kematian Ramli, mereka adik beradik, duduk semula semuanya bersama ibu mereka, Opah Embun.

Kerana pernah tinggal 3 tahun di Changkat Tin, Opah Imah memang rapat dengan anak-anak Andak Jijah yang pada ketika itu seusia dengannya. Dia masih ingat tidur sekelambu semasa kecil bersama Salwah dan Basri. Juga Karim yang disifatkannya suka bergurau, menurut Opah Imah, Karim suka meniru gaya pengulas bola, dan Karim mempunyai nama panggilan kelakar untuk adik-beradiknya. Semasa Jalaludin pulang dari Kanada, Opah Imah ingat lagi dia dibawa Jalaludin menaiki sport car-nya, dia merasa seronok kerana Jalaluddin menyuruhnya duduk depan bersamanya.

Menurut Opah Imah, Syed Mohd Khair bersekolah rendah di Sekolah Changkat Tin, kemudian di Sekolah Tanjung Tualang dari tingkatan 1 hingga 3 dalam English Medium. Kemudian dia ada fasa peralihan sebelum menyambung dalam bidang sains di Sekolah Sultan Yusuf. Kerana adanya tahun peralihan, Opah Imah sempat bersekolah bersama Khair semasa di tingkatan 5 di Sekolah Sultan Yusuf. Menurut Opah Imah, walaupun ibunya Embun hidup susah, dia tetap memastikan semua anak-anaknya bersekolah hingga habis SPM dengan mengambil upah menoreh getah. Pernah ketikanya rumah mereka putus beras, ibunya Embun ke rumah jiran mahu meminjam beras, namun jiran turut tiada beras, kerana dahulu semuanya hidup susah. Terpaksa mereka berlapar, kadang hanya minum air paip untuk menghilangkan sedikit lapar.

Tidak puas rasanya bersembang bersama Opah Imah, namun hari sudah larut menghampiri maghrib dan saya terpaksa beransur untuk pulang ke Sungai Petani, esok anak-anak mula bersekolah. Saya berfikir saya perlu mengatur satu rakaman temubual bersama Opah Imah, agar sejarah ini dapat direkod dengan lebih sistematik. Moga kesempatan itu nanti akan hadir di masa hadapan.

Gambar kenang-kenangan bersama Opah Imah (Rosimah binti Mat Selan) pada 06 Mei 2023.


2 ulasan:

  1. Assalamualaikum Tuan,

    Saya Muhammad Aaqif dari jurai keturunan Haji Ramli, saya juga kini sedang berusaha untuk mencatat salasilah serta mengumpul ceritera sejarah keluarga.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam, wahh boleh lah kita bertemu dan berbincang.

      Padam