Isnin, 22 Mei 2023

Rihlah Jiwa: Siri-2


Mudah kita untuk melihat keburukan-keburukan yang ada pada manusia, kadangkala gerak hati kita memang terarah, sensitif, dan sentiasa mahu melihat sisi keburukan manusia. Dari lensa ini, kita gagal melihat kebaikan yang ada pada diri manusia, kerana kecenderungan kita adalah pada keburukan, maka kita hanya mengumpul, melihat, dan mengingati keburukan.

Ketika saya di Masjid Nabawi di Madinah, saya cuba sedaya upaya lari dari perspektif ini. Lari dari kecenderungan mencari keburukan. Walaupun kadang-kala datang manusia yang pelbagai ragam yang menunjukkan sisi keburukan manusia, saya cuba juga untuk memalingkan muka. Mencari ruang maaf dan berlapang dada. Tetap dalam pencarian kebaikan.

Pada bulan Ramadhan, Masjid Nabawi dipenuhi manusia. Aku suka melihat kepelbagaian wajah manusia ini. Melihat pelbagai rupa bentuk manusia dengan bentuk hidung yang berbeza-beza. Melihat warna-warna mata yang berlainan dari warna mataku, satu permandangan yang menyeronokkan. Aku paling suka melihat anak-anak orang Arab yang comel, berlari dan bermain.

Kadang mereka berlari mengejar burung pipit di masjid, menolak adik mereka di atas stroller sehingga adiknya menangis, main lompat-lompat di tempat duduk batu bahagian wuduk. Begitu banyak kreativiti anak-anak bermain, teringat juga akan anak-anak aku sendiri di Malaysia.

Suasana di Masjid Nabawi ketika Ramadhan banyak menukar persepsiku perihal ibadah dan juga orang Arab itu sendiri. Di dalam media mereka digambarkan sebagai orang yang ganas, selalu berperang, seolah mereka tiada emosi lain selain marah. Namun di sini aku melihat mereka membawa isteri, anak-anak kecil, dan bayi bersama ke masjid. Mereka membentang tikar di perkarangan masjid nabi seperti perkelahan keluarga, makan dan berbuka puasa bersama. Aku melihat sepasang suami isteri berbaring di ruangan solat luar, dengan si isteri mengurut kepala suaminya.

Permandangan ini tidak ada di masjid di negaraku sendiri. Ibadah seperti perkara yang serius untuk lelaki yang serius. Tetapi di sini seolah-olah ibadah ini adalah rihlah keluarga. Ia adalah aktiviti yang dikongsi bersama keluarga. Tiada siapa yang memarahi anak-anak yang bermain dan berjalan di dalam saf ketika orang sedang solat. Anak-anak dibawa untuk membaca Al-Qur'an bersama ayah di masjid. Abang solat bersama adik kecil di dalam saf orang biasa. Ada yang berkejaran di dalam masjid. Masjid bukan hanya milik ayah-ayah yang garang tetapi ia juga dimiliki oleh kanak-kanak yang riang.

Aku juga suka melihat perubahan wajah mereka apabila bertemu kenalan di dalam masjid. Wajah mereka tiba-tiba berubah dan bercahaya dengan senyuman. Mereka saling mencium pipi sahabatnya kegembiraan.

Perjalanan ini juga menyedarkan aku tentang satu perkara. Kadang-kadang kita merasakan kita perlukan rehat, me-time dari anak-anak dan isteri. Bagi aku ia adalah satu yang perlu dan sihat. Kita perlu ada masa untuk kesihatan emosi diri. Perlu ada masa bersendiri. Namun kini aku sedar, perasaan ingin menyendiri ini tidak dapat bertahan lama, sekejap sahaja ia berubah kepada rasa merindui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan