Alkisahnya, raya Aidiladha pada tahun 2023, saya berpeluang balik ke Bagan Datuk. Kami menginap di Homestay Desa Muara. Awal saya bangun dan buka lampu homestay, supaya anak-anak pun bangun dan bersiap awal. Seawal jam 7.15 kami sudah bersiap semuanya dan terus pergi ke rumah Wo (saya panggil nenek saya Wo). Sebab tak tahu solat raya jam berapa, kami pun makan ketupat palas, rendang ayam, dan teh-o ala kadar sebelum bergerak ke masjid baru di atas air di pekan. Saya check di page Bagan Datuk Kini, tak ada pula makluman waktu solat raya.
Lebih kurang jam 8, kami pun tiba di masjid baharu atas air. Saya mahu masuk ke perkarangan masjid sebab Wo tak larat berjalan jauh. Namun banyak pula abang polis yang menunggu di depan bersama kereta-kereta besar berwarna hitam ber-tinted gelap. Nak masuk ke perkarangan masjid saya ditahan abang Polis.
"Nak ke mana?" tanya Abang Polis.
"Saya nak masuk kejap, drop-off nenek".
"Nenek siapa?" tanya Abang Polis.
"Nenek saya lah" jawab saya pelik.
Abang Polis kelihatan hairan dengan jawapan saya, dia tanya lagi.
"Nenek ni siapa?"
Saya pun mengulang sekali lagi dengan selamber "Nenek ni nenek saya".
Abang Polis masih hairan, dia pun tanya lagi.
"Ya, tapi siapa nenek ni?"
Saya pun semakin blur, dan ulang lagi jawapan disertakan dengan sedikit huraian ringkas.
"Ini nenek saya, tak larat jalan jauh, nak drop-off dekat dalam".
Abang Polis yang melihat saya yang tak faham-faham pun bertanya dengan berterus terang.
"Siapa nenek ni? Ada kaitan dengan Datok ke?"
Ooo itu rupa maksud soalannya. "Takde" jawab saya.
"Kalau macam tu tak boleh masuk, dalam dah penuh dengan body-guard semua, kena turunkan di sini je".
Terdetik juga dalam hati nak memulakan revolusi proletariat dekat masjid baru ni. Tapi, selaku warganegara yang bertatasusila, bertatakelola dan berhati mulia, kami pun patuh dan saya drop-off Wo di situ sahaja sambil beliau dipapah ibu.
Dalam hati saya berkata "Aduh, silap jawapan rupanya, patut cakap aje sedara. Ye lah, kita kan semua sedara se-Islam". Jemaah di masjid baru ni tidaklah ramai mana, ruang solat dalam tidak penuh pun. Habis solat dan dengar khutbah, ketika acara bersalaman saya dan anak pun bersalamlah dengan datok. Hmmm lain juga rupa beliau berbanding muka yang selalu keluar dekat TV. Nampak mukanya seperti bengkak seperti digigit tebuan.
Gambar Aidiladha 2023 di Masjid Tuminah Hamidi. |
Antara hasrat saya pulang ke kampung kali ini adalah untuk belajar Bahasa Kampar. Jadi saya bertanya kepada Wo, sekiranya saya ingin merantau ke Kuok, Bangkinang, adakah masih ada sedara-mara yang saya boleh temui. Kata Wo, di sana ada abang kepada Tok Abu bernama Sahril. Beliau bekerja sebagai pekebun dan menetap di Pekan Baru. Ketika saya bertanya akan ayat-ayat dalam Bahasa Kampar, Wo banyak menyatakan persamaan dengan Bahasa Melayu, hanya beberapa perkataan sahaja yang berbeza.
"Anak sapo wok-ang?"
Maksudnya "kamu anak siapa". Wok-ang bermaksud kamu (untuk lelaki).
"Wak-dan anak Norizan, Norizan anak Po-sah. Wak-dan duduk di Kodah. Dah menikah, anak dan dua orang. Tok Sahril sihat ke?".
Dalam ayat ini kita dapati hampir semua perkataannya sama dengan Bahasa Melayu. Cuma "Wak-dan" adalah Bahasa Kampar bermaksud "saya". Dalam pertuturan, kadang ia hanya disebut sebagai "dan". Manakala Po-sah adalah nama nenek saya yang dipanggil oleh Tok Sahril.
Jika "Wok-ang" bermaksud kamu untuk lelaki, bagi perempuan, kamu adalah "Wok-ang".
Baik, sekian sahaja kelas Bahasa Kampar untuk kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan