Sabtu, 8 Julai 2023

Menyimpan Ikan-Ikan Dari Senaskah Buku


Banyak perkara yang saya belajar dari membaca sebuah buku. Apabila membaca, sering kali banyak idea-idea yang saya temui yang tidak saya setujui. Juga sering kali, dalam membaca, banyak perbahasan-perbahasan yang langsung saya tak faham. Hal ini mungkin kerana penulis banyak mencedok idea dan terma dari hasil tulisan orang lain, dan saya yang tidak membaca tulisan orang lain tersebut, jadi saya tidak dapat menangkap maksud lengkap perbahasannya.

Namun saya kira begitulah pembacaan. Membaca bukan bererti kita akan faham semuanya sekali baca. Bak kata Chomsky, proses membaca sebenarnya selalu perlu kepada ulangan. Kita mungkin tidak faham sesuatu hari ini, tetapi 10 tahun lagi, apabila kita meneruskan pengembaraan membaca kita, kita mungkin akan mula memahaminya. Di sini akan lahir, seperti kata Chomsky, keperluan untuk kita menziarahi semula buku-buku lama yang kita baca.

Memahami sesuatu bukan seperti menunggu mee meggi kembang, ia memerlukan iltizam kepada usaha yang panjang dan bertahan lama. Masa adalah sebahagian dari bahan bagi melengkapkan resepi kefahaman. Jadi janganlah kita berhenti membaca jika tidak faham akan sesuatu, sebaliknya cuba simpan "ketidak-fahaman" kita itu. Rekod dan kumpulkan, besar kemungkinan kita akan memahaminya di masa hadapan.

Membaca juga tidak semestinya memberikan kita keselesaan. Pasti ada benda yang tidak kita setujui apabila kita membaca. Itu normal dan sebenarnya bagus. Ia menandakan bahawa kita bukan membaca sekadar untuk menguatkan lagi apa yang sebelum ini kita anuti. Pemikiran hendaklah sentiasa diuji, baru ia menjadi pemikiran yang kental. Seperti juga iman di dada, perlu pada ujian untuk menguatkannya. Membaca makalah yang tidak kita persetujui adalah metod menguji kekuatan fikir kita. Kita memahami hujah yang berbeza dan berfikir bagaimana kefahaman kita dapat respon kepada hujah tersebut. Hal inilah yang sebenarnya mengembangkan fikir. Jika kita sekadar ulang baca benda-benda yang sekadar bersetuju dengan apa yang sedia ada kita pegang, pemikiran kita tidak akan menjadi semakin tajam.

Akhir sekali, membaca juga perlu mempunyai dapatan. Seperti yang saya sebut, banyak yang saya belajar dari membaca. Selalunya proses membaca saya akan selesai dahulu, tetapi proses mencerna dan menghadam dapatan saya akan mengambil masa yang lebih lama. Ia berlarutan selepas saya selesai membaca. Banyak muka surat yang biasanya saya dog-ear, jadi perlahan-lahan saya akan revisit poin-poin yang menarik untuk dinotakan. Proses ini pastilah memakan masa yang lebih dari sekadar membaca. Namun jika proses ini tidak dibuat, saya tidak akan merasa puas membaca. Seolah-olah saya pergi menjala ikan di tengah lautan, kemudian saya melepaskan semula semua ikan-ikan yang saya tangkap. Merekod nota, adalah cara untuk saya menyimpan "ikan-ikan" yang dapat saya tangkap dari senaskah buku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan