Ahad, 3 September 2023

Berfikir Tentang Pemikiran Selepas 5 Tahun


Dalam coretan kali ini, izinkan saya untuk bernostalgia. Buku Berfikir Tentang Pemikiran mungkin merupakan buku pertama yang saya tulis. Ia pertama kali diterbitkan pada tahun 2018 secara swaterbit. Buku ini merupakan tiket saya untuk masuk ke dunia perbukuan. Walaupun diterbitkan pertama kalinya pada tahun 2018, ianya ditulis jauh lebih awal, selama beberapa tahun. Jadi kandungannya sebenarnya merupakan pemikiran seorang budak lelaki di usia 24-25 tahun. Bagi saya, ia adalah satu umur yang terlalu awal dan sangat muda untuk melahirkan satu buku yang masak ranum ideanya, jitu hujahnya, dan juga menarik perhatian cerakinan dan olahannya.

Namun ketika itu saya masih muda. Satu zaman di mana kita mempunyai banyak idea dan usia di mana kita seorang idealis. Berlawan idea dan berhujah merupakan aktiviti yang merangsang jiwa, oleh itu banyak benda yang hendak diperkata dan ditulis. Dalam masa yang sama, saya mahu buktikan pada dunia bahawa saya mempunyai idea, walaupun sebenarnya dunia tak kisah pun sama ada kita ada idea atau tidak, ia tetap akan mengorbit suria seperti biasa.

Dan mungkin hari ini idea-idea saya tentang dunia telah berubah, tapi tetap buku ini istimewa buat saya. Kerana ia merupakan rekod fikir saya. Saya tidaklah pernah begitu kisah tentang apa yang orang kata perihalnya, kerana itu tidak pernah ada dalam perkiraan saya. Contohnya Benz Ali yang pernah mengkritiknya sebagai satu buku yang didaktik. Bagi saya buku ini merupakan rekod peribadi yang penting, kerana dengan merekodkan fikiran lalu kita, kita dapat merenungnya semula di masa hadapan, membandingkan ia dengan fikiran yang baharu. Dengan itu, kita mampu melihat bagaimana fikiran kita berubah. Jika tidak direkod, kita tak mampu menganalisa perubahan tersebut. Walaupun fikiran saya sudah berubah, tinta lama saya sudah kering, pena telah diangkat dan buku telah dicetak, saya tidak mempunyai keinginan untuk mengubah idea-idea lama saya. Biarlah ia tersimpan dalam naskhah ini. Namun saya tidak pernah berhenti mahu menulis perihal idea-idea baharu.

Walaupun dikritik, ada juga yang memujinya. Dari edisi swaterbit, buku ini kemudian mendapat nafas baharu apabila diterbitkan semula oleh Biblio Press dengan kata pengantar oleh Puan Emmy Hermina pada tahun 2020. Saya terhutang budi kepada Biblio Press kerana mereka benar-benar berusaha keras memasarkan dan mempromosikan buku ini hinggalah ia tersenarai sebagai 50 buku terbaik Malaysia oleh MBKM untuk tahun 2020/21. Dan pada tahun 2022 ia diterbitkan semula oleh Kenyalang Press. Jadi buku ini sudah bersalin kulit sebanyak 3 kali. Tetapi bagi saya secara peribadi, siapa yang mempunyai kulit yang pertama, mereka merupakan orang yang sangat saya hargai, kerana merekalah orang yang pertama yang menyokong penulisan saya. Jadi, terima kasih saya ucapkan.

Kulit pertama buku ini merupakan gambar saya di Peterhof, sebuah istana yang didirikan oleh Peter the Great di pinggiran Teluk Finland. Saya sudah lupa siapa yang mengambil gambar saya tersebut, mungkin teman saya Khalis atau Nazrin. Oleh kerana tajuknya “berfikir” penerbit kemudiannya memberikan kulit baharu dengan gambar patung skulptur Le Penseur yang dihasilkan oleh Auguste Rodin dalam edisi kedua dan ketiga. 

Oleh kerana itu, ia kelihatan seperti buku falsafah sedikit walaupun bukan itu mauduk asal penulisan saya. Jika ditanyakan kepada saya, adakah ia buku falsafah? Saya akan menjawab tidak, dan mungkin ya. Tidak jika falsafah yang dimaksudkan adalah pemikiran ahli falsafah yang selalunya diperkatakan seperti Socrates, Plato dan lain-lain, atau mungkin ahli falsafah moden seperti Hegel dan Marx. Kalau itu falsafah yang dimaksudkan, maka buku ini bukanlah bukunya. Tetapi jika falsafah yang dimaksudkan adalah lebih umum, iaitu tafsiran-tafsiran kepada dunia dan kehidupan, maka mungkin ya. Ia adalah produk tafsiran dan pemikiran saya perihal dunia dan kehidupan di sekeliling saya.

Sekian, sekadar sedikit nostalgia tentang penulisan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan