Jumaat, 15 September 2023

Ombak Yang Kepenatan


Dalam sebuah bual bicara, Saudara Wan Hamidi ada menegur penulisanku di mana aku menulis bahawa aku merasakan aku telah tua. Aku memberi tahu padanya perihal konteks penulisan ku itu. Kerana kebanyakan mereka yang datang mendekatiku untuk bertanya perihal hal-hal penulisan adalah orang yang lebih muda dari diriku, sebab itu aku merasakan diri ku tua.

Wan Hamidi menerangkan bahawa dia menegurku yang perasan tua kerana dia bimbang bahawa aku akan berhenti menulis. Katanya apabila seseorang itu tua, dia mungkin merasakan masa untuk dia menulis sudah selesai. Dia pun meletakkan penanya dan tidak lagi menulis. Pada ketika itu, aku merasakan, pasti aku tidak seperti itu. Aku masih bersemangat untuk menulis, dan aku akan terus menulis.

Namun sedikit demi sedikit apa yang digusarkan oleh Wan Hamidi itu menyelinap masuk ke dalam hidupku. Semakin lama aku semakin kurang menulis dan tidak lagi aktif menerbitkan penulisan. Malah banyak projek-projek penulisan yang tergendala dan berhabuk sahaja di dalam komputer. Sepertinya gelombang yang menolakku untuk menulis telah surut dan pudar. Ombak semangat untuk menulis dalam jiwaku sudah kepenatan.

Namun apabila direnungkan, sebenarnya tidaklah aku berhenti menulis langsung. Namun fokusku sudah berubah. Kebanyakan penulisanku berfokus pada hal-hal yang lebih akademik. Jadi aku kurang menulis perihal perenungan hidup, kisah-kisah, cerita pendek, yang sebelum ini merupakan jenis-jenis esei kegemaranku. Aku merasakan, sebenarnya, semangat menulis itu ada pasang surutnya. Mungkin kini aku di fasa persurutan, tetapi tidaklah sampai ke tahap berhenti.

Bagi aku penulisan itu memerlukan sifat istiqamah. Istiqamah ini bukan melakukan perkara ketika bersemangat sahaja. Melakukan perkara ketika bersemangat itu kerja mudah. Tetapi istiqamah yang sebenar adalah apabila kita memaksa diri kita melakukan perkara ketika kita penat dan malas. Jika dalam keadaan paling bawah pun kita masih terus cekal bekerja dan berusaha, maksudnya kita berjaya istiqamah. Walaupun mungkin usaha itu tidaklah sebanyak seperti mana ketika semangat kita sedang bergelojak dan membara.

Sedang aku melayan perasaan malas yang membadai jiwa ini aku menerima sepucuk mesej.

"Saiyid Ahmad Fathi berbakat, insyaallah masa depan menanti dia di sana."

Mesej ini merupakan mesej yang dihantar oleh Ustaz Darus Senawi kepada Ustaz Yazid Noh selepas Ustaz Yazid menyerahkan naskah Mendidik Untuk Bahagia kepada Ustaz Darus. Naskah tersebut merupakan antologi kumpulan catatan aktivis pendidikan di Sabah yang aku bantu susun, sunting, dan terbitkan. Bagi aku Ustaz Darus bukanlah penulis sebarangan, walaupun aku tidak pernah menjadi pelajar beliau secara langsung, aku ada membaca naskah-naskah kitab Arab yang beliau terjemahkan. Antaranya kitab Fiqh Al-Sirah yang merupakan kitab karangan Almarhum Sheikh Said Ramadhan Al-Buti, kitab terjemahan Ustaz Darus ini aku tekuni semasa aku menyambung pengajian di Rusia ketika muda dahulu. Namun bukunya yang paling berbekas bagiku adalah naskah Kembara Darus Senawi 1963. Bagi aku buku ini agak istimewa kerana ia memaparkan sudut peribadi beliau juga pengalaman mudanya.

Mesej dari Ustaz Darus ini, meski pun ringkas, membuatkan hati aku sedikit berbunga semula. Sedikit sebanyak kabus kemalasan bertiup pergi dan ombak kemalasanku sedikit sebanyak bergelora semula. Ayuh, aku mahu bermula semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan