Khamis, 2 November 2023

Untuk Cinta, Aku Laburkan Umur Pada Ilmu

 

Semalam sempat ke Big Bad Wolf Sungai Petani bersama anak-anak. Oleh kerana ada beberapa almari lagi buku yang belum dibaca, dan mungkin takkan sempat dibaca semuanya sebelum mati, jadi saya berikrar untuk beli sebuah buku sahaja. Saya tertarik dengan sebuah buku yang cuba untuk memperihalkan sejarah universiti, bagaimana universiti boleh sampai ke tahap moden yang diduduki sekarang. Buku tersebut bertajuk Wisdom's Workshop: The Rise of the Modern University oleh James Axtell.

Saya mempunyai satu sikap di mana, kalau saya tahu buku itu menarik, namun saya tak punya masa untuk membacanya, saya akan membelek-belek dan membaca 10-20 mukasurat pertama. Biasanya tesis utama akan berada dalam lingkungan ini. Walaupun mungkin bukan keseluruhannya. Axtell dalam kalam mulanya banyak menceritakan perihal pengalaman peribadinya, perubahan-perubahan minatnya yang menyebabkan beliau banyak menulis subjek-subjek yang berbeza. Namun akhirnya beliau kembali ke subjek kegemarannya, yang beliau gelar sebagai "cinta pertama", iaitu universiti.

Membaca pengalaman Axtell menulis menimbulkan satu semangat yang berjangkit kepada saya. Entah kenapa semangat menulis saya yang semakin lama semakin pudar muncul semula. Melihat semua buku-buku yang ditulis Axtell membuatkan saya cemburu. Takkanlah saya hanya mahu berhenti di sini, sedang horizon ilmu masih luas. Masih banyak yang boleh dipelajari dan ditulis dengan baki umur yang ada. Maka saya kira saya perlu bersemangat semula untuk mengangkat pena.

Budaya pena dan penulisan bukanlah sesuatu yang baru di tanah nusantara kita ini. Menurut John M. Gullick dalam tulisannya Indigenous Political Systems of West Malaya (halaman 52), budaya penulisan dan sastera telah merebak di Nusantara sejak berkurun lamanya. Pada kurun ke-15 surat dari kuasa asing akan di bawa oleh Sultan Melaka ke bandar dengan rombongan bergajah untuk dibacakan. Begitu sekali mereka meraikan sebuah penulisan.

Maka haruslah kita generasi baharu meneruskan budaya penulisan, pembacaan, susastera, dan juga wacana. Bukan sekadar untuk meninggalkan sesuatu untuk generasi seterusnya. Tetapi juga untuk diri kita sendiri. Untuk memuaskan kecintaan kita pada ilmu. Kerana bagi saya, umur yang berguna adalah umur yang kita laburkan pada ilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan