Khamis, 26 September 2024

Malam Dalam Aksara Yang Panjang: Masa-Masa Yang Dicuri Kehidupan


Sudah begitu lama rasanya blog ini sunyi dalam coretan, kesibukan kehidupan telah mencuri masa untuk aku mencatatkan monolog-monolog dan fikiran panjang. Setiap hari masa dihabiskan dengan kerja-kerja yang memenatkan yang tidak memungkinkan malam hari diisi dengan sesi menungan dan tulisan panjang. Masa yang ada hanya diperuntukkan untuk kerja dan tidur. Kerja ini bukanlah kesemuanya kerja-kerja cari makan, tetapi termasuk juga kerja-kerja akademik, pengajian, kesukarelawanan, dan juga organisasi. Semuanya merebut masa celik harian. Namun malam ini aku gagahkan diri, melawan perasaan mengantuk untuk berdua-duaan dengan aksara. Mungkin terlalu rindu pada monolog dan renungan, hari ini aku gagahkan juga diri. Kerana bagiku menulis refleksi itu dapat membaiki jiwa, mengisi tenaga untuk kembali segar bekerja.

Walaupun kini kehidupanku aku rasakan begitu sibuk, sampai tiada masa untuk diri sendiri, tetapi bagiku itulah harga yang perlu kita bayar untuk mencapai sesuatu. Sesuatu yang berharga yang hendak kita capai perlu dibayar dengan masa dan tenaga. Seperti buah yang manis dan ranum itu, ia bukan muncul sekelip mata, tetapi dibelakangnya dipenuhi proses siraman dan pembajaan yang mengambil masa yang lama.

Di peringkat akademik, aku merasakan tahun ini aku agak produktif. Sebanyak tiga arikel jurnal sudah aku hantar. Satu sudah diterbitkan. Artikel kedua sudah selesai proses perwasitan dan suntingan, dan bakal keluar pada bulan Disember. Artikel ketiga masih dalam proses penambahbaikan selepas melalui proses perwasitan. Jika ada rezeki, akan diterbitkan pada bulan November. Tahun ini merupakan tahun pertama aku menghantar dan menerbitkan artikel di jurnal-jurnal akademik, selama ini aku hanya menerbitkan buku, artikel zine, artikel di web, dan juga penerbitan nota. Proses menyunting artikel selepas mendapat komen pewasit ini bagi aku satu pengalaman yang menarik dan mengajar banyak perkara. Ia memaksa aku untuk lebih kritikal, lebih bersedia mempertahankan hujah, dan juga lebih berhati-hati dalam penulisan.

Cuma aku juga merasakan kadang garis panduan yang diberikan ini mengongkong. Aku tidak bebas menulis dengan gaya yang aku mahu, jadi penerbitan jurnal akademik ini aku rasakan seperti sesuatu yang membosankan juga. Tidak pasti di masa hadapan adakah aku akan meneruskan proses ini. Bagi aku menulis dengan bebas itu lebih membahagiakan. Tetapi menulis dengan bebas pun punyai sisi-sisi kontranya. Jika sudah terbiasa menulis dengan bebas tanpa kongkongan, kita boleh jadi syok sendiri. Menerbitkan sahaja buah pandangan kita tanpa ada panduan editorial dan kawalan kualiti. 

Sesetengah teman menasihatkan aku untuk menulis dalam kedua-dua aliran ini. Katanya tidak perlu memilih. Boleh menulis dalam kedua-dua rangka tersebut. Namun pilihan ketiga ini juga ada sisi kontranya, yang paling utama dan jelas adalah keletihan jiwa dan raga. Kerana penulisan yang perlu dihasilkan berganda-ganda. 

Oleh kerana malam ini aku memutuskan untuk menulis bebas, jadi aku mahu tulis sahaja apa yang aku mahu, tanpa ada halangan atau rangka konsep. Konsepnya hanya 'suka hati'. Dengan konsep ini aku bebas meluahkan apa sahaja. Mengisi balang karangan ini dengan apa sahaja yang aku mahu. Aku ingin sentuh sedikit perihal peristiwa dan kelelahan hari ini.

Hari ini dimulakan dengan benkel sejarah lisan yang bersambung dari hari semalam. Sambil mendengar dan melakukan mock interview, aku menyiapkan kerja-kerja hakikiku. Pagi ini cawan kesayanganku jatuh pecah, seolah satu petanda bahawa hari ini adalah hari yang tidak indah. Di sebelah tengah hari, aku ke Pulau Pinang untuk berdiskusi dengan teman sepejabat perihal hal-hal penganjuran aktiviti sukan. Kami bersembang sambil makan makanan tradisi Pakistan. Pulang dari Pulau Pinang, aku menghadapi satu peristiwa yang sedikit sebanyak menganggu emosiku ketika kereta aku mahu keluar dari tol Sungai Petani. Aku kemudian merasakan begitu lelah sekali. Sampai rumah sahaja, aku mandi, solat dan terus tidur. Selepas maghrib, aku luagkan sedikit masa bersembang, bercerita, dan bergelak ketawa bersama anak-anak di atas katil. Ini sedikit sebanyak mengubati emosi aku yang terluka sejak insiden di jalan raya pada hari petang.

Pada sebelah malam, aku meluangkan masa untuk bersembang bersama dengan Nazreen dari Bukuku Press dalam podcastnya iaitu Diaspora Podcast. Lama sudah aku tidak bersembang hal-hal buku kerana Kultura Podcast kini sudah mengalami zaman kegelapan selepas pengusahanya berpindah ke Sarawak. Podcast bersama Nazreen adalah perihal buku yang sedang dibaca, tetapi kami melalut juga ke isu-isu semasa terutamanya perang Israel ke atas Palestin dan Lubnan. Sebanarnya banyak buku yang aku mahu kongsikan dalam podcast tersebut, namun sempat kongsikan dua buah buku sahaja.

Melihat jadual mingguan aku, aku dapati tiada tanda-tanda aku bakal menjadi lebih banyak masa pada minggu ini dan minggu seterusnya. Semuanya sibuk diisi program dari pagi hingga ke malam, dari hari bekerja hingga ke hari minggu. Walaupun produktif dan memuaskan, ia tetap menyedut segala tenaga dan sangat melelahkan. Baiklah, sampai di sini sahaja monolog malam ini dalam satu himpunan aksara yang panjang. Sekadar mahu mencuri masa, dan mencatat sedikit renungan. Sekarang masa untuk kembali ke alam mimpi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan