Khamis, 10 Oktober 2024

Kejatuhan Politik Melayu oleh Firdaus Zainal

Alhamdulillah akhirnya saya selesai membaca buku hebat ini. Ini adalah antara 4 buah buku yang saya beli di PBAKL2024, dengan habisnya bacaan ini, maka saya sudah habis membaca semua buku yang dibeli di PBAKL. Tidakah rasa bersalah sangat beli buku tapi tak baca.

Pada mulanya saya agak skeptik dengan kebolehan buku ini untuk mempertahankan tesis utamanya, iaitu kejatuhan kuasa politik orang Melayu, namun, semakin banyak muka surat yang saya selak, saya merasakan penulis mempunyai kekuatan dalam hujahnya, ia diikat dengan argumen dan fakta yang baik. Walaupun mungkin ada tafsiran yang saya tidak persetujui kerana saya mempunyai pegangan ideologi politik yang berbeza. Perbezaan ideologi ini ada saya sembangkan dengan penulis secara langsung dalam pertemuan di kedai makan.

Antara perkara yang saya suka pada buku ini adalah kekuatan fakta sejarahnya, kerana sebagai pelajar sejarah, aspek pemaparan sejarah ini tentulah paling menarik minat. Kita boleh berbeza dalam hal tafsiran sejarah, namun dari segi fakta dan data sejarah, ia mesti diisi, jika tidak, ia hanya akan menjadi medan perbahasan abstrak.

Saya juga suka dengan bahagian perzamanan di mana penulis membezakan fasa kejatuhan kuasa politik Melayu itu menggunakan beberapa peristiwa penting untuk menandakan sempadan zaman kejatuhan ini. Bermula dengan kejatuhan Kota Melaka, campur tangan British secara langsung dalam negeri Melayu, dan akhir sekali kejatuhan parti politik Melayu iaitu UMNO dalam pilihanraya. Cuma mungkin lebih baik jika aspek perzamanan ini disusun secara chronological supaya nampak lebih kemas dan mudah difahami.

Komen terakhir saya adalah aspek penyuntingan. Saya kira kesalahan ayat masih banyak dan signifikan. Harap cetakan seterusnya, pihak editor buku dapat perbaiki hal ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan