Selasa, 24 Disember 2024

Kesunyian Adalah Teman Baik Penulis

Sepanjang saya menulis, saya rasa kehidupan penulis ini ada musim-musimnya. Musim pertama adalah musim kesunyian. Dalam musim ini saya mempunyai banyak masa berseorangan. Boleh duduk termenung dengan tenang dan berfikir tentang banyak perkara. Saya boleh membaca dan menghadam buku berlama-lamaan. Membuang masa dengan menulis dan menghuraikan sesuatu yang mungkin pada mulanya tidaklah begitu bermakna. Kesunyian dalam musim ini merupakan teman baik bagi saya. Ia memberi saya masa dan ruang untuk larut dalam pemikiran. Tenang.

Musim kedua adalah apabila sesebuah penulisan itu diterbitkan. Musim ini merupakan musim perlawanan untuk merebut kesunyian. Jarang sekali pada musim ini saya dapat menyendiri dan bercakap-cakap dengan sepi. Biasanya masa dipenuhi dengan acara, berjumpa manusia, berdiskusi, minum kopi bersama, serta berdebat tentang idea. Kesunyian hanya dapat mengintai saya dari jauh sahaja pada musim ini. Masa merupakan satu komoditi yang kering, yang sering saya tidak punya untuk digunakan untuk duduk merenung jauh. Sama ada renungan dalam bacaan, atau renungan dalam penulisan. Tetapi seperti setiap musim, ia juga akan berakhir dan menerbitkan musim baharu.

Lama kelamaan acara akan surut dan saya akan hilang dari pandangan manusia. Ah. Ini adalah masa emas untuk saya melarikan diri. Bertemu semula dengan kesunyian. Kesunyian yang tidak pernah menyakitkan hati atau merajuk dengan saya. Sentiasa sahaja kesunyian itu menyambut saya semula apabila tamatnya musim acara. Saya dapat duduk kembali dan termenung lama, dalam sejuk hujan dan juga panas kopi. Cuba memahami falsafah penulis gila, dan juga idea tidak masuk akal pakar-pakar dunia, juga ada ketikanya hanyut dibuai bait puitis penulis putus cinta. Dalam kesunyian juga, idea biasanya datang bertandang segar, sembangnya panjang tanpa noktah. Dalam musim kesunyian sebenarnya adalah masa-masa indah. 

Kembali tenang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan