Selasa, 15 Disember 2015

Masalah pada teori evolusi



Dalam melihat kehidupan, terdapat pelbagai jenis sudut pandang dan cara fikir yang boleh digunakan. Sebahagian manusia menggunakan sudut pandang agama, sudut pandang sains, sudut pandang falsafah dan pelbagai jenis lagi. Salah satu sudut pandang yang saya kira semakin membesar pengaruhnya dalam masyarakat moden adalah sudut pandang sains.

Golongan terpelajar lebih cenderung dengan perkara yang logikal, rasional, fizikal dan boleh dibuktikan melalui penyiasatan dan eksperimen. Kebanyakan saintis barat mengimani sudut pandang ini dan mengisi ruang kosong yang ditinggalkan Tuhan dengan sains.

Namun sains sendiri bukanlah satu cabang ilmu yang pasti betul. Apa yang kita anggap sebagai fakta sains 1000 tahun yang lalu mungkin tidak dapat lagi diterima pada masa sekarang. Contohnya kajian saintis tua yang mengatakan bumi adalah di tengah dan planet lain mengorbit bumi, kita tahu sekarang matahari adalah objek di tengah manakala planet lain beredar mengorbitnya.

Sesuatu teori boleh dikatakan sebagai teori yang baik jika ia dapat memberi alternatif yang lebih logikal dan rasional berbanding dengan pemikiran dan teori sedia ada. Namun, sesuatu teori hanya akan menjadi teori sehingga ia dapat dibuktikan, barulah ia dapat diterima sebagai fakta sains.

Dalam memahami pemikiran kejadian alam tanpa campur tangan Tuhan, saya membaca pelbagai buku seperti The Selfish Gene tulisan Richard Dawkins juga The Brief History of Time tulisan Stephen Hawking. Yang pertama berkenaan dengan evolutionary biology dan yang kedua berkenaan theoretical physics, persamaan keduanya adalah mengetengahkan bagaimana kehidupan dan alam ini boleh wujud jika tiada campur tangan Tuhan.

Pada artikel kali ini saya ingin mengutarakan masalah-masalah berkaitan dengan evolutionary biology, perkara-perkara yang saya kira tidak dapat diterima sekiranya kita ingin menggantikan Tuhan dengan Sains serta menyahut seruan Atheisme. Evolusi merupakan satu proses yang sangat perlahan, bahkan perubahan yang berlaku mungkin pada skala mikro dan ia mengambil masa jutaan tahun. Saya tiada masalah dengan perkara ini, ia boleh terjadi mungkin dengan adaptasi dan mutasi, masalah yang saya hadapi adalah seperti berikut:

1. Kehidupan pertama

Sekiranya kita mahu menerima teori evolusi, bagaimana kehidupan pertama yang mungkin merupakan unisel pada skala miro itu muncul? Teori evolusi menyatakan ia berkemungkinan besar berlaku hasil tindak balas kimia. Namun ia hanyalah andaian yang mungkin sama karut dengan cerita Thor atau Superman. Sehingga hari ini tiada eksperimen yang dapat dibuat bagi membuktikan benda hidup boleh terhasil dari benda bukan hidup.

2. Kepupusan

Kita semua tentu pernah mendengar berkenaan dengan spesis burung Dodo yang telah pupus. Sekiranya hidupan berupaya untuk berevolusi kenapa Dodo tidak berevolusi sehingga ia boleh terbang dan menyelamatkan diri dari menjadi mangsa buruan. Kenapa Dodo memilih untuk pupus dari berevolusi?

3. Mengapa monyet, chimpanzee, gorilla dan orang utan masih ada

Sekiranya nenek moyang kita berasal dari spesis monyet, kenapa monyet masih ada lagi pada hari ini. Fungsi evolusi adalah untuk menjadi organisma yang lebih lengkap. Mengapa monyet tidak pupus setelah terdedah kepada natural selection seperti evolusi spesis lain.

4. Bukti fossil

Sekiranya evolusi berlaku , kenapa kita tidak menjumpai banyak bukti fossil? Mengapa tulang manusia hari ini sama sahaja dengan tulang manusia berjuta tahun lalu? Mengapa kita tidak menjumpai fossil-fossil haiwan sparuh kuda separuh rama-rama, atau separuh buaya separuh kucing. Mengapa fossil yang dijumpai sangat sedikit, dijumpai ditempat-tempat tertentu sahaja, dan kebanyakan nya palsu?

Sehingga soalan-soalan ini terjawab, sehingga itulah saya merasakan sangat sukar untuk menerima teori evolusi.

3 ulasan:

  1. Sesetengah ahli atheis mengatakan taraf fakta dan teori adalah lebih kurang sama. Kerana keduanya boleh di ubah jika ada dapatan baru.

    Sehingga mereka meletakkan taraf teori utk sama seperti fakta.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

      Padam
    2. Boleh jelaskan perbezaan teori, law dan fakta?

      Padam