Sabtu, 2 Januari 2016

Politik, Facebook & Kebenaran



Apabila saya menulis posting di Facebook berkenaan dengan politik, atau isu yang berlaku dalam negara. Ramai yang tersilap anggap, mereka merasakan saya percaya apa yang saya kongsikan. Walhal saya langsung tidak percaya kepadanya, tapi apa yang saya cuba lakukan adalah memberi dimensi baru terhadap sesuatu isu, dan menggalakkan orang lain berfikir secara kritikal dan membuang sifat percaya membuta tuli.

Politik dan isu-isunya bukan merupakan fakta sains. Sebagai contoh proses fotosintesis memerlukan cahaya dan karbon dioksida, ia adalah fakta sains dan menjadi kebenaran setelah dibuktikan. Tetapi posting facebook seperti "PAS bakal bergabung dengan UMNO" bukan fakta, malah dalam banyak segi ia sukar dibuktikan. Oleh itu, saya melihat berhujah panjang lebar di facebook mengenai politik merupakan satu perkara yang membuang masa seperti mencurahkan air ke laut dengan tujuan meningkatkan paras air laut dunia. Walaupun kadang kala saya membalas juga hujah sekadar melayani keinginan melakukan provokasi dan memanaskan dewan.

Namun ada perkara utama yang saya suka ketengahkan dalam provokasi posting politik saya di Facebook. Iaitu pentingnya berfikiran skeptikal dan kritikal dalam apa juga isu. Bak kata Dan Senor dan Saul Singer dalam buku mereka "Question everything". Saya tidak yakin posting saya adalah benar, malah saya tidak tahu apa yang benar, tapi saya mahu orang berfikir dan bertanya dan mencari kebenaran.

Tugas posting saya adalah melakukan provokasi agar timbul keraguan. Saya tidak mahu masyarakat mempercayai apa yang dilaporkan Utusan, Malaysiakini juga The Malaysian Insider. Saya mahu timbulkan keraguan, agar masyarakat membaca dari pelbagai sumber, mencari ilmu, dan mencari apa yang mereka rasakan kebenaran. Dengan ilmu, kita lebih dekat dengan kebenaran. Seperti kata Dr. Glade B. Curtis dalam bukunya "Knowledge is power". Semua media politik baik pro UMNO atau pro DAP atau pro PKR, akan melaporkan perkara yang menguntungkan kepentingan politik mereka, dan menyorokkan perkara yang merugikan kepentingan politik mereka. Kesan nya, masyarakat mendapat 'half-truth' bukan 'the truth'.

Oleh itu pentingnya sikap skeptikal dan kritikal. Sekiranya orang bertanya kepada saya berkenaan stand politik saya, saya akan jawab 'I sit on fences'. Ketika parti A salah saya akan sokong Parti B. Sekiranya Parti B salah saya akan sokong Parti A. 

Sekiranya PKR menfitnah menteri besar Selangor saya akan mengkritik mereka. Sekiranya UMNO menyalahgunakan wang rakyat saya akan mengkritik mereka. Sekiranya DAP menentang undang-undang Islam saya akan mengkritik mereka. Saya tidak akan melenggok mengikut hembusan angin yang di tiupkan oleh media, baik pro kerajaan atau pro pembangkang.

Sekali lagi saya ulang, saya tidak minat dengan kebenaran. Kerana saya tidak tahu apa yang benar dalam politik. Tetapi saya mahu semua orang berfikir, bertanya, mengkritik agar kebenaran dapat dicari. Setiap orang berhak mencari kebenaran dan berpegang dengan apa yang dia rasakan benar mengikut kemampuan fikirnya dan informasi yang ada padanya. Aristotle mengatakan matahari mengelilingi bumi (geocentrism) sementara Copernicus menyatakan bumi mengelilingi matahari (heliocentrism). Kita tidak mengatakan Copernicus lebih hebat dari Aristotle. Masing-masing berpegang dengan kebenaran yang sesuai dengan kemampuan fikir dan informasi di zaman mereka.

Namun isu politik bukan fakta sains ia lebih terdedah pada manipulasi media, bias, dan sensationalism. Kita perlu lebih kritikal dan skeptikal apabila mendepani isu. Sekiranya kita terus percaya, kita akan menjadi orang bodoh. Seperti orang yang menyebarkan isu penculikan wanita sebelum ini, lengkap dengan rakaman suara. Terbukti wanita itu bersama boyfriend nya. Juga isu villa Nabila, konon nya hilang secara misteri, semua orang menyebarkan nya. Apa yang hilang sebenarnya adalah kemampuan berfikir secara kritikal dan bersikap skeptikal.

Kadang kala saya melihat media pembangkang bukan melaporkan kebenaran. Sebaliknya mereka melanggar etika kewartawanan untuk membina persepsi, membuatkan saya geram dan ingin melakukan provokasi, agar masyarakat berfikir. Kita perlu masyarakat yang berfikir dan cakna dengan politik, kerana politik menentukan masa depan, cuma kita perlu bezakan antara 'politik' dan 'parti politik'.

Terima kasih kerana membaca sehingga habis. Saya hadiahkan anda video Adam Poswolsky atas kesetiaan anda membaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan