Ahad, 21 Julai 2019

Jurnal Kerapu di Pulau Sayak


Pagi 14 Julai 2019 masih gelap, aku pada mulanya hendak solat subuh di Surau Taman Sejati, namun saat aku sedar dari mimpiku azan sudah memcahkan sunyi pagi. Aku terus mencapai beg biru yang aku dapat percuma dari agen promosi pinjaman ASNB, aku masukkan sepersalinan baju, pisau lipat, buku Paul D'Amato, kamera Nikon D5000, dompet, goggles, air mineral 1.5 liter, dan 4 ekor ikan temenung yang aku beli di pasar semalam sebagai umpan. Selesai solat subuh aku terus ke rumah Hazri.

Ternyata aku orang pertama yang sampai, Muzamel sememangnya berdarah melayu dengan janji melayunya. Hazri menjemput aku masuk ke rumahnya dahulu, dia cuba menalifon Muzamel tetapi gagal. Hazri membentang sejadah dan solat subuh. Selesai solat tiba-tiba anaknya Sufyan terjaga, dia pun masuk bilik dan membawanya keluar ke ruang tamu. Aku mendukung Sufyan, matanya bulat, tersengih sambil menjelir lidah, nampaknya dia sudah tak mahu tidur. Muzamel akhirnya berjaya dihubungi, katanya sedang dalam perjalanan dari Kulim, jam sudah hampir 7 pagi, nampaknya rancangan gerak sebelum terang gagal.

Kerana Muzamel terlalu perlahan, Hazri mengajakku membungkus nasi lemak sebagai bekalan. Kami keluar menaiki motor tanpa helmet, mujur polis trafik belum bangun tidur. Kata Hazri, warung tepi jalan yang menjual nasi lemak itu merupakan legenda di Taman Sejati, Sungai Petani, kesedapannya belum berjaya ditandingi gerai-gerai lain. Makcik nasi lemak bersama anaknya agak ramah, terdengar perbualan kami berkenaan dengan pengalaman mencandat sotong, mereka menyampuk dan menceritakan pengalaman mereka mencandat dapat sotong sebaldi. Kami bungkus nasi lemak sambal sotong 3 bungkus.

Muzamel akhirnya tiba dengan kereta Proton Waja yang bernombor plate Johor. Hazri pun memunggah alatan pancingnya ke dalam bonet dan kami bergerak ke Pulau Sayak. Dalam perjalanan Muzamel memberikan aku kamera GoPro, mungkin dia tahu aku bukannya nak memancing sangat. Ya, betul, aku bukanlah nak memancing sangat sebab aku bukan pemancing tegar. Ada juga pengalaman memancing masa kecil di parit sekitar Bagan Datoh, hanya guna buluh sebagai joran dengan tali tangsi dan mata kail, selalunya dapat ikan haruan, sepat, dan puyu. Tapi memancing tidak membesar menjadi hobi bagi aku. Aku pergi untuk menikmati alam, merasai pengalaman baru, dan melakukan aktiviti dengan kawan-kawan. Hidup asyik bekerja kadang terlupa ada alam indah disekeliling.

Kami sampai di jeti nelayan Kampung Pulau Sayak. Hazri cuba menalefon bot untuk membawa kami, tetapi gagal. Dia kemudian bertanya kepada orang-orang kampung di jeti, akhirnya berjaya menghubungi Pak Majid. Pulau Sayak merupakan pulau kecil berbatu yang tidak didiami manusia, hanya ada monyet, burung, dan serangga, ia terletak dihujung tanjung dari Kampung Pulau Sayak, di bahagian selatan Sungai Merbok, di kawasan muara sungai dimana Sungai Merbok bertemu dengan laut Selat Melaka. Dengan bot Pak Majid, kami sampai di pulau setelah 5 minit.

Muzamel dan Hazri mula beraksi, aku pula mula membuka nasi lemak Taman Sejati, ternyata memang sedap. Aku mengajak mereka berdua makan, namun mereka kata yang mereka tak akan makan selagi umpan mereka tidak mengena. Aku ketawa kecil sendirian, nampaknya mereka terlalu yakin. Sekali-sekala aku kemaskini laman Facebook, mengambil video dengan GoPro, termenung melihat nelayan mencari rezeki di ufuk samudera, dan mengeluarkan buku D'Amato. Aku suka tulisan D'Amato, dia menterjemahkan tulisan Karl Marx kepada pembaca yang tidak mempunyai asas dalam pemikiran Marxis, baru aku sedar aku naif, dahulu aku ingat aku boleh faham pemikiran Marx dengan membaca terus tulisan Marx dan Engel dalam manifesto mereka. Ternyata manifesto mereka hanya tip dari ketulan ais yang lebih besar, ia merupakan sambungan siri literatura lain, yang perlu difahami secara bersama, aku perlu membaca dari sumber sekunder.

Muzamel akhirnya mengalah, setelah beribu kali balingan ternyata kerapu tidak mahu makan umpan beliau. Akhirnya beliau duduk dan mula menyelongkar nasi lemak Taman Sejati sambal sotong. Hazri juga naik sebentar menukar umpan, umpan tiruan tidak mengena, kali ini dia menyirih ikan temenung untuk dijadikan umpan hidup. Dia menggelar dirinya "Kingfisher", pantang makan nasi lemak sebelum dapat ikan pertama - "first blood". Kami beberapa kali tukar lokasi kerana air pasang besar dan semakin menaik.

Akhirnya umpan Muzamel menegena, kerapu sebesar penyepak berjaya dinaikkan, dia senyum besar, senyum hingga ke telinga, ternyata bekalan nasi lemak berjaya membantu menaikkan kerapu. Hazri ternyata masih belum berjaya menaikkan apa-apa spesis ikan, akhirnya dia juga naik untuk makan nasi lemak. Tidak berapa lama aku melihat Muzamel menyusuri tali jorannya, umpannya tersangkut batu. Kerana kasihan melihat wajahnya yang sedih bernasib malang, aku mengambil goggles dan menyelam untuk melepaskan umpannya. Ternyata ombak kuat dan arus bawah yang kuat menyukarkan usaha melepaskan umpan. Keadaan berubah semakin dramatik selepas beberapa kali mencuba. Aku dapat melihat umpan tersebut, tapi tak dapat mengekalkan lokasi untuk fokus kerana arus deras. Takut, Muzamel memberi signal kepada aku untuk memotong sahaja tali joran.

Aku sememangnya degil dan pantang berputus asa. Aku meminta playar dari Hazri dan terus menyelam. Jari-jemariku kini sudah luka-luka dan berdarah kerana permukaan batu yang tajam, sesekali mata kail itu menghiris jari telunjukku, berdarah. Aku tetap tidak putus asa. Kali ini aku tarik nafas paling dalam, berpaut pada batu tajam di dasar laut, dan menarik umpan menggunakan playar. Akhirnya berjaya! Aku berjaya menyelamatkan umpan ikan tiruan berwarna biru yang berharga 7 ringgit. 

Selepas itu Hazri dan Muzamel mencuba lagi, namun ternyata ikan di Pulau Sayak bijak dan tidak terpedaya dengan umpan mereka. Hazri menalifon Pak Majid untuk mengambil kami semula, Pak Majid pada ketika itu sedang makan tengahari bersama isterinya, dia kata dia akan datang lepas tambah satu kali lagi dan basuh tangan. Akhirnya Pak Majid datang mengambil kami semula sekitar jam 1 petang. Dia sempat menjerit kepada pemancing lain yang dia akan mengambil mereka pula, katanya ramalan angin kuat petang nanti, pemancing perlu dibawa pulang lebih awal.

Sebelum pulang kami singgah ke gerai Mee Udang Usop. Gerai ini sangat istimewa bagi aku, bukan sahaja makanannya yang sedap. Tapi lokasinya sangat strategik, dibuai angin dari Selat Melaka, disambing permandangan dan bunyi ombak memecah pantai, juga pemandangan Pulau Sayak tersergam indah di bawah langit biru, ibarat syurga dunia. Aku memesan ABC dan mee udang spesial, ternyata ia merupakan hidangan dari langit, sedapnya tuhan sahaja yang tahu.

Masuk sahaja kereta aku terlelap, mati dibuai mimpi. Bila lagi boleh ke sini?

Video kami di sana ada dimuat naik oleh Hazri di siaran Youtube beliau, klik link ini untuk menyaksikannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan