Gambar terakhir bersama di Marang, Terengganu, Jun 2019 - mencandat sotong. |
Petang 25 Julai 2019 pada mulanya merupakan petang yang biasa bagi rutin harianku, aku sedang menunggu bas di Jalan Sri Bahari, Georgetown bagi menunggu bas untuk ke jeti pulang ke Sungai Petani. Ketika itu aku mengeluarkan talifon dan mendapati Shafik berkongsi gambar eksiden katanya Pejo telah meninggal dunia. Tersentak, aku menalifon Bob (Shukram) yang berada di Terengganu bagi mencari kepastian.
Bob pada ketika itu juga masih keliru, dia mendapat panggilan dari kapten di tempat Pejo bekerja bagi memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarganya, tapi dia tidak dapat mencari nombor talifon, dan dia tidak berapa ingat lokasi rumah keluarga Pejo. Ketika sampai jeti, aku call Bob sekali lagi, aku nak dengar perkataan 'mati' atau 'meninggal' dari mulut Bob sendiri, sebab aku masih belum percaya. Kali ini Bob telah dapat menghubungi ayah Pejo, dan menyahihkan berita bahawa Pejo telah tiada. Aku menjadi murung, emosi aku terganggu.
Aku talifon Muzamel, tanya adakah dia sudah menerima berita. "Dah, nanti aku call ko balik" jawabnya ringkas, dari nadanya aku tahu dia juga masih struggle untuk menerima hakikat dan memerlukan sedikit masa. Khalis berkongsi berita dari portal Urus Setia Penerangan Darul Iman berkenaan dengan kemalangan dengan nama Pejo sebagai mangsa yang terkorban, dan media arus perdana mula mengeluarkan berita sama, aku sedar Pejo sudah pergi selamanya menghadap pencipta, sama ada aku terima atau tidak, dia tetap sudah tiada. Berikut adalah petikan laporan dari akhbar Sinar Harian:
DUNGUN - Dua pekerja sebuah syarikat perkapalan maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terjun ke dalam parit dalam kejadian di Kilometer 346, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun, di sini, kira-kira jam 2 petang tadi. Dalam kemalangan itu, mangsa, Shamsul Bahri Mangsor, 25, dan sahabatnya, Mohamad Farizul Firdaus Shafie, 29, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. Ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang menaiki pacuan empat roda Mitsubishi Triton milik syarikat mereka itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kemaman atas urusan kerja.Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Mitsubishi Triton dipandu Shamsul Bahri hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian. "Berikutan itu kenderaan berkenaan terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam parit. Pengguna lebuh raya yang melalui lokasi kejadian bertindak membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa dari kenderaan tersebut," katanya. Bagaimanapun, Shamsul Bahri yang beralamat di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Terengganu dan Mohamad Farizul Firdaus dari Kampung Belukar Jambu, Pengadang Buloh, Kuala Terengganu didapati telah meninggal dunia semasa dikeluarkan dari kenderaan. Peronda lebuh raya yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian segera menghubungi pihak polis dan melaporkan kejadian berkenaan. Baharudin berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat. Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Pejo merupakan nama singkat yang kami gunakan buat sahabat kami Mohamad Farizul Firdaus Bin Shafie. Beliau merupakan pelajar lepasan MRSM Gerik. Aku mula rapat dengan Pejo sejak menuntut bersama di program persediaan di UniKL-MIAT. Sebab aku membawa kereta kancil, kami selalu keluar makan bersama, dan apabila cuti aku akan menghantarnya ke stesen bas. Apabila melanjutkan pelajaran di St. Peterburg, Russia kami duduk sebilik. Terlalu banyak kenangan bersama yang tak mungkin aku catit semula diruang yang sempit ini. Pejo merupakan peminat kelab bola Itali, AC Milan. Beliau aktif dalam bidang sukan di universiti. Guru sukan kami, Nina Nikolaeva Altukhova ketika diberitakan tentang pemergian Pejo menulis:
Фирдаус мой любимый студент. Скорбь и боль сжимает моё сердце. Боль сжимает моё сердце, на глпзах слёзы. Фирдаус любимый наш студент. Отличный товарищ и друг. Выступал во всех соревнованиях. Светлая, вечная память.
Firdaus adalah pelajar kesayangan saya. Kesedihan dan kesakitan menghimpit hati saya. Kesedihan menghimpit hati, airmata mengalir. Firdaus adalah pelajar kesayangan kami. Seorang rakan dan teman yang hebat. Sentiasa mengambil bahagian dalam setiap pertandingan. Bercahaya, kenangan akan kekal selamanya dalam memori.
Selepas tamat pengajian kami terpisah dengan kerjaya masing-masing. Tapi kami masih sempat beberapa kali bercuti bersama dengan rakan-rakan sepengajian dari SMTU. Kami pernah bercuti di Pulau Kapas bersama. Yang terbaru adalah pada bukan lepas, Jun 2019. Pada mulanya Pejo tidak mahu menyertai dan bercuti, beliau komited dengan kerjanya, tapi setelah kami rakan-rakan memujuk, akhirnya dia bersetuju untuk mengikuti kami mencandat sotong di Marang. Namun ketika itupun dia tidak bercuti, dia bertemu kami disebelah petang pulang dari kerja, masih memakai coverall, dan terus menaiki bot, pulang dari mencandat, tengah malam itu juga dia balik untuk sambung bekerja kerana ada kapal masuk berlabuh. Jadi aku sendiri tidak sempat berbual lama dengannya, diatas bot, Pejo adalah orang yang mengajar aku menggunakan joran, itu adalah kenangan terakhir aku dengannya. Dan aku bersyukur kepada Allah kerana dapat bertemu bulan lepas, yang ditakdirkan sebagai pertemuan terakhir.
Semasa aku menaiki bas dari Penang Sentral ke Sungai Petani, Muzamel menalifon aku semula, dia kedengaran mula stabil, seperti aku, mula menerima hakikat. Aku mengajaknya untuk ke Terengganu, dia tidak berfikir panjang, terus bersetuju dan berbincang dengan isterinya. Aku juga menalifon isteriku, menerangkan apa yang berlaku dan hasrat hatiku. Aku bersyukur mempunyai isteri yang memahami, dia bersetuju menjaga anak-anak, dan melepaskan aku pergi. Aku masih ingat ketika Arwah Azri meninggal dunia, Azri merupakan teman kami di SMTU yang pertama meninggal dunia, aku baru mula berkerja di tempat baru ketika itu, aku tidak mengambil cuti untuk hadir bagi memberi penghormatan terakhir. Itu adalah keputusan yang paling aku sesali seumur hidup, ia terus menghantui aku sehingga sekarang, ada satu perkara yang tidak lengkap dalam hatiku, dan tak mungkin akan lengkap. Aku bertekad tidak mengulangi kesilapan yang sama, mungkin aku tidak dapat melihat wajah Pejo kali terakhir, tapi ini adalah buat kali yang terakhir Pejo, meski hanya sempat menyentuh batu nisan yang baru ditegakkan, ini adalah kali yang terakhir.
Muzamel tiba dirumahku dari Kulim sekitar maghrib. Dalam kereta dia ceritakan perbualan terakhirnya dengan Pejo semasa di Marang. Kami berkongsi kesedihan, berbual panjang sepanjang perjalanan. Aku mendapat berita bahawa jenazah di bawa ke Hospital Dungun dan mengagak jenazah akan dikebumikan pagi esok. Sahabat kami Arifuddin (Abe) dan Ifwat, dari Besut juga bertolak ke rumah arwah. Pada jam 12 malam Ifwat memberitahu bahawa jenazah telah dibawa pulang dan disolatkan, ketika itu kami di Machang, dan pada jam 1 pagi jenazah selesai dikebumikan. Kami sampai di Kuala Terengganu jam 2 pagi, kami mengambil keputusan untuk berehat di hotel dahulu.
Pagi 26 Julai 2019, Bob datang ke hotel kami bersama anaknya yang berumur 1 tahun, Sofea. Kami bersarapan pagi kemudian terus ke rumah arwah di Kampung Belukar Jambu. Aku bersalam dengan ayah Pejo yang berjubah hitam pagi itu, dah menyampaikan sedikit sumbangan yang dikirim oleh Syazwan (Gem), yang tidak dapat menyertai kami atas urusan kerja. Kami bersembang dengan ayahnya dan abang Pejo, Fahmi yang pulang dari Skudai, Johor. Fahmi kemudiannya membawa kami ke kubur berdekatan, sebelum kami pulang. Ketika dalam perjalanan pulang kami singgah di Jertih untuk makan tengahari bersama Abe dan Ifwat, Ghalib dari jauh sponsor makanan tengahari kami. Aku tiba semula di Sungai Petani jam 5 petang.
Aku sedikit sebak tapi tenang ketika Fahmi membawa kami ke kubur. Kawasan perkuburan terletak tidak jauh dari rumah di sebelah kawasan sawah padi, permandangannya menggamit jiwa. Kubur Pejo terletak di pinggir tanah perkuburan, redup dibawah rimbunan pohon. Disebelah kirinya adalah kubur atuknya, kemudian pakciknya, kemudian neneknya. Benginilah pengakhiran, tidak ada kata, hanya timbunan tanah, dahan pokok yang dicucuk dan dua batu nisan. Aku duduk di tepi pusara, memejam mata sambil mencari semula wajah dan kenangan dalam timbunan memori. Hatiku diruntun kesedihan, hatiku hancur, perasaan kehilangan begitu menyakitkan, aku berdoa kepada Allah agar mengampunkan dosa-dosanya, aku menjadi saksi kebaikan-kebaikannya. Aku sentuh dan usap batu nisan diatas pusara. Pejo, ini adalah kali yang terakhir. Damailah, bersemadi dengan tenang.
Mohamad Farizul Firdaus Bin Shafie
Pagi 26 Julai 2019, Bob datang ke hotel kami bersama anaknya yang berumur 1 tahun, Sofea. Kami bersarapan pagi kemudian terus ke rumah arwah di Kampung Belukar Jambu. Aku bersalam dengan ayah Pejo yang berjubah hitam pagi itu, dah menyampaikan sedikit sumbangan yang dikirim oleh Syazwan (Gem), yang tidak dapat menyertai kami atas urusan kerja. Kami bersembang dengan ayahnya dan abang Pejo, Fahmi yang pulang dari Skudai, Johor. Fahmi kemudiannya membawa kami ke kubur berdekatan, sebelum kami pulang. Ketika dalam perjalanan pulang kami singgah di Jertih untuk makan tengahari bersama Abe dan Ifwat, Ghalib dari jauh sponsor makanan tengahari kami. Aku tiba semula di Sungai Petani jam 5 petang.
Aku sedikit sebak tapi tenang ketika Fahmi membawa kami ke kubur. Kawasan perkuburan terletak tidak jauh dari rumah di sebelah kawasan sawah padi, permandangannya menggamit jiwa. Kubur Pejo terletak di pinggir tanah perkuburan, redup dibawah rimbunan pohon. Disebelah kirinya adalah kubur atuknya, kemudian pakciknya, kemudian neneknya. Benginilah pengakhiran, tidak ada kata, hanya timbunan tanah, dahan pokok yang dicucuk dan dua batu nisan. Aku duduk di tepi pusara, memejam mata sambil mencari semula wajah dan kenangan dalam timbunan memori. Hatiku diruntun kesedihan, hatiku hancur, perasaan kehilangan begitu menyakitkan, aku berdoa kepada Allah agar mengampunkan dosa-dosanya, aku menjadi saksi kebaikan-kebaikannya. Aku sentuh dan usap batu nisan diatas pusara. Pejo, ini adalah kali yang terakhir. Damailah, bersemadi dengan tenang.
Begitu besar memori yang kita binakan
Hancur dibuai ombak kematian
Tiada kata, tiada tawa, hanya duka
Redup pohon di pusara tidak dapat
Tidak dapat menyambung hati yang telah pecah
Sinar mentari tidak lagi terasa hangat
Mengenang senyuman yang telah pergi dengan selamat
Oh Tuhan sakitnya
Oh Tuhan pedihnya, perpisahan yang menyiksa jiwa
Pergilah tenang, pergilah damai, pergilah ke sana
Tinggalkan hati yang lara, tinggalkan dunia yang fana.Mohamad Farizul Firdaus Bin Shafie
02 Mei 1990 - 25 Julai 2019
Pejo seorang yg bagus,pandai lgi. Bertutur dgn tenang. Time belajar bahasa russia dulu,anna puji pejo. Slang dia mcm org russia rrussia sungguh. Dan kawan yg baik jgk. Dulu time kt miat, dia yg kasi nasihat baca biasa2 je ustad. Sbb kena jdi imam utk solat tarawikh. Semoga Allah ampunkan dosa2 dia,dan tempatkan dia dlm kalangan org beriman.
BalasPadam