Sabtu, 25 April 2020

Mengapa Negara Islam Malaysia Perlu Membenci Rohingya?

Gambar Rohingya menaiki bot di perairan Thailand oleh Christophe Archambault/AFP & satu komen berbaur rasis oleh seorang pengguna media sosial bernama Rossmani Zainol di Facebook.

Tekak saya loya, terasa begitu menyampah dengan orang yang maki-maki pelarian Rohingya, apatah lagi apabila yang memaki ini orang-orang yang saya kenali secara peribadi. Begitu rendah mental mereka, mudah dilamun api perkauman apabila ada yang datang meniup. Mungkin mereka tak faham perasaan rumah dibakar dan keluarga dibunuh golongan yang datang mencari perlindungan itu.

Masih ingat lagi ketika 11 September ramai cendiakawan Islam keluar berdebat dengan Barat dengan hujah "segolongan penjenayah buat kejahatan tak mewakili agamanya". Hari ini kita tebalikkan hujah itu dan kita pun petik beberapa kes sana sini "oh mereka ini kotor dan tak beradab, biar aja mati lemas dalam bot-bot mereka". Seolah-olah tiada langsung konsistensi dalam logik akal kita, bahkan logik kita tak boleh dipanggil logik mengikut piawaian umum. Kita marah bila orang petik beberapa contoh dan buat generalisasi 'Melayu malas', tapi kita tak ada masalah buat generalisasi yang sama terhadap bangsa lain kononnya mereka kotor dan penjenayah. Kita suka membenci sehingga sukar nak dibezakan apa beza kebencian kita yang menganggap mereka pengotor dengan kebencian golongan Buddhist yang membakar rumah-rumah mereka?

Pagi-pagi kita baca qunut nazilah doa Allah bantu saudara kita yang dizalimi di Myanmar. Bila matahari terbit kita halau pelarian Rohingya yang ingin menyelamatkan diri dari perairan kita. Entah apa yang kita faham dengan Islam? Entah apa yang kita faham tentang ukhuwwah Islam, persaudaraan Islam? Entah apa yang kita banggakan dengan mengangkat Islam sebagai agama rasmi negara. Sangat memalukan orang yang mulut kuat mencaci, lagi malu bila mengaku Islam. Sudahlah mulut busuk dengan cacian, tiada sumbangan mereka pada masyarakat. Dari mengutuk, lebih mulia kita membantu dan mendidik mereka.

Kelakar juga bila dibaca hujah sebar kebencian kepada Rohingya, mereka harus dibenci sebab mereka berjaya dalam perniagaan. Rupa-rupanya kalau kita nak tolong orang kita kena pastikan dia tidak pandai berniaga, tak berjaya dan kekal miskin. Sepatutnya kaum Ansar dulu kena halau kaum Muhajirin yang datang berhijrah, sebab Saidina Uthman dari Muhajirin pandai berniaga. Mungkin ini pengajaran yang boleh dimasukkan dalam ceramah Maal Hijrah akan datang.

Ada disconnect pada hujah anti-imigran. Hujah tipikal mereka "hangpa sayang sangat kat depa cuba bela sorang duduk sekali dalam rumah hangpa". Seolah-olah imigran ini takda langsung kebolehan untuk hidup mandiri, perlu menumpang rumah. Walhal itu bukan keperluan atau tuntutan mereka, mereka bukan nak masuk rumah kita, mereka nak berlindung di negara ini.

Kemudian datang pula hujah seterusnya yang membenci mereka kerana mereka menguasai perniagaan. Aik? Maksudnya mereka boleh berusaha sendiri, mencari rezeki berkerja dan berniaga sendiri tanpa perlu kita "tumpangkan mereka dalam rumah kita". Jadi mana satu? Mereka ini perlu tumpang rumah kita atau mereka sangat produktif dan mandiri?

Sebenarnya itu semua bukan isu dia. Isu dia mereka memerlukan negara yang selamat untuk berlindung bukan dibiarkan mati di tengah laut, atau dihalau balik ke tempat mereka dizalimi dan dibunuh. Dalam Surah Al-Maidah Ayat 32, Allah berfirman jika kita selamatkan 1 nyawa manusia seolah kita selamatkan seluruh manusia. Mungkin pejuang-pejuang "Islam" di Malaysia ni tak baca sampai ayat ini lagi.

Pelik betul orang "Islam" dekat Malaysia ni. Bila gereja bagi makan orang susah, semua kecam, katanya agenda nak memurtadkanlah apa lah, tapi sendiri tak nak membantu. Hari ini Allah bagi peluang kita bantu satu bangsa tapi kita ini perasan "bersih dan bertamadun" menghina mereka. Jika orang Kristian bantu mereka, boleh jadi nanti mereka semuanya masuk Kristian dan menjadi satu bangsa yang hebat di masa hadapan. Ketika itu pejuang-pejuang "Islam" pun menangis, alangkah bagusnya kalau kita bantu mereka dahulu, kemudian baru sibuk nak "berdakwah" pada mereka. Apa bantu mereka untuk terus hidup, beri mereka makanan dan pendidikan itu bukan dakwah? 

Alangkah dangkalnya.

Menyebar kebencian begitu mudah. Buat fake account, tinggalkan komen rasis. Berbondong-bondonglah orang bodoh yang percaya dan menerima virus kebencian terhadap segolongan kaum. Begitu rendah kualiti mental masyarakat kita.

Sapa yang pernah keluar negara mesti dia pernah rasai perkara ini. Masih ingat di Stockholm dahulu, kami mencari kedai makan halal, akhirnya kami jumpa kedai Doner Kebab yang diusahakan oleh imigran dari Turki. Semasa di Russia, kami membeli Goryachi Samsa (macam karipap) yang halal dari makcik-makcik Uzbekistan yang menjual secara senyap-senyap takut ditangkap polis semasa musim sejuk. Kita bangga dengan masjid-masjid yang banyak di Eropah yang dibangunkan oleh komuniti imigran yang memudahkan kita solat ketika kita sedang ber-Eurotrip.

Kita juga bangga dengan doktor-doktor kita yang berkelahiran di Malaysia namun bermigrasi dan berkhidmat sebagai professional di negara-negara barat seperti UK. Kita sendiri juga banyak yang menjadi imigran dan bekerja di negara lain seperti Singapura dan Australia. Bila ada bangsa lain hendak menyelamatkan diri, mengubah nasib dan tumpang hidup di negara kita, tiba-tiba kita jadi anti-imigran "kau pengotor busuk pergi balik!".

Saya masih ingat seorang anak Rohingya yang pernah saya ajar satu ketika dahulu ketika menjadi guru. Pelajar tingkatan 1 bernama Osman, seorang yang periang, comel, suka tersenyum dan suka buat lawak. Jika Osman membaca komen-komen rakyat Malaysia yang mencaci-caci bangsanya di media sosial, saya akan berasa sangat malu. Mungkin juga saya akan memeluk Osman dan menangis.

Tidak malukah kita yang kononnya memperjuangkan Malaysia sebagai negara Islam tetapi tidak membantu saudara sendiri? Sampai bila kita perlu hidup membenci? Allah ciptakan dunia ini tanpa sempadan, seharusnya rahmat dan kasih sayang kita juga tidak bersempadan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan