Ahad, 26 April 2020

Nasionalis: Daripada Hero Bangsa Kepada Hero Ummah



Terima kasih diucapkan kepada pasukan 5pages1day yang sudi menjemput saya memberi pandangan dalam siri Beyond Pages dengan tajuk Nasionalis: Daripada Hero Bangsa Kepada Hero Ummah pada 20 April 2020. Elok juga ditintakan sedikit perihal siri ucapan ini buat rujukan umat manusia di masa hadapan.

Siri ucapan kali ini diadakan secara maya kerana negara masih lagi berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak coronavirus yang baharu COVID-19. PKP ini jika direnungkan merupakan satu nikmat yang diberikan kepada kita. Selama ini kita berkejaran kesana-kemari atas pelbagai sebab seperti kerjaya, pengajian, hobi, tetapi kali ini kita terpaksa berkurung dirumah. Ia merupakan satu peluang untuk kita berehat dan menghentikan minda kita. Ada satu buku menarik yang ditulis oleh Eckhart Tolle bertajuk The Power of Now dimana beliau mengatakan minda kita harus digunakan seperti alat-alat lain, apabila kita sudah habis menggunakannya, kita harus menutupnya dan berhenti berfikir. Jika tidak kita akan terus berfikir perihal masa depan, perihal masa lampau, hingga lupa untuk hidup di masa sekarang, kita akan terus berfikir sehingga penat bahkan mungkin boleh mengalami masalah mental dan menjadi gila.

Kembali kepada tajuk perkongsian, sebenarnya terma "nasionalis" ini merupakan loose term atau dalam kata lain, ia mempunyai pelbagai definisi dan bentuk. Bila kita sebut nasionalis, ia sering dianggap sebagai gerakan kanan (right wing) dalam spektrum politik. Tetapi sebenarnya ada juga golongan kiri yang berfahaman nasionalis, seperti banyak golongan kiri yang berjuang membebaskan negara mereka dari penjajahan (national liberation movement), mereka mungkin berideologi kiri dan mengagungkan tulisan Marxis dalam masa yang sama mencintai negara dan merasakan bahawa negaranya perlu dibebaskan dan ditadbir oleh bangsanya sendiri, ini disebut sebagai left wing nationalist. Nasionalis juga boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti nasionalis bangsa atau nasionalis agama.

Jadi adakah nasionalis ini bertentangan dengan Islam?

Seperti yang kita bincangkan tadi, nasionalis mempunyai pelbagai definisi dan bentuk. Jadi Hassan Al-Banna dalam menjawab soalan ini membawakan bentuk nasionalis yang diterima Islam. Dalam ucapannya yang kemudian ditulis sebagai Risalah Dakwatuna beliau mengatakan bahawa nasionalis itu tidak bertentangan dengan Islam sekiranya:

  1. Nasionalis itu bererti generasi hari ini perlu mengikuti generasi sebelumnya membina hidup yang cemerlang, gemilang, dihormati, dan berkeyakinan tinggi lalu menjadikan generasi sebelumnya sebagai contoh.
  2. Nasionalis itu bererti kegemilangan seorang ayah yang menjadi contoh ikutan buat anak-anaknya, menjadi perangsang, pembakar semangat, dan kebanggaan buat anaknya.
  3. Nasionalis itu bererti keluarga dan bangsanya adalah tempat yang paling utama bagi dirinya mencurahkan sumbangan dan layanan yang baik.
  4. Nasionalis itu bererti kemerdekaan dan kebebasan.
Maka empat definisi ini tidak berlawanan dengan Islam malah dituntut kepada kita. Tetapi Islam menolak nasionalis sekiranya yang dimaksudkan dengan nasionalis adalah:
  1. Menghidupkan kembali budaya jahiliyah yang telah pupus yang bertentangan dengan Islam.
  2. Membuang apa-apa yang ada kaitan dengan Islam kerana semangat nasionalisme.
  3. Bangga dengan bangsa sehingga merendahkan bangsa lain, memusuhi dan memanipulasi bangsa lain untuk memartabatkan bangsa sendiri seperti yang pernah dilakukan oleh Jerman dan Itali yang bercanggah dengan nilai kemanusiaan.
Jadi sekiranya nasionalis itu perasaan cinta dan sayang pada bangsa dan negara, Islam tidak mempunyai masalah dengan kecintaan itu kerana ia adalah fitrah. Namun perasaan itu tidak cukup, ia memerlukan satu cara hidup, disini kita lihat pentingnya perasaan cinta itu dipandu oleh cara hidup yang dibawa oleh Islam.

Perjuangan nasionalis moden atau semangat negara bangsa yang ada hari ini merupakan perkara yang baru, ia tidak wujud pada empayar-empayar sebelum ini yang terdiri dari pelbagai bangsa, contohnya Empayar Rom, Empayar Islam, semuanya terdiri dari pelbagai bangsa. Yuval Noah Harari dalam bukunya Sapiens mengatakan bahawa konsep nation ini adalah realiti yang diimaginasikan manusia - fictional reality. Ia wujud dalam fikiran manusia sahaja, bukan wujud secara objektif. Oleh itu kita lihat monyet Thailand akan memasuki Malaysia tanpa rasa bersalah, mereka tidak memahami konsep sempadan negara, malah mereka tak tahu apa itu negara. Oleh itu, ia perlu sentiasa didoktrinkan dan dipupuk. Untuk meyakinkan manusia bahawa negara itu wujud, dicipta lagunya, rukunnya, perlembagaannya, logonya, yang semuanya merupakan imaginasi manusia. Generasi dahulu, yang disuruh mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) pasti pernah menyanyi lagu Menara Bangsa. Dinyanyikan "menara bangsa akan kita bina perkasa tiada rebah lagi". Ya, ianya perlu dibina kerana ia tidak ada sebelum ini.

Islam merupakan agama universal, seperti yang diungkapkan oleh Professor Moshe Sharon di Ben Gurion University bahawa "Islam merupakan agama dunia, tidak hanya terikat kepada satu bangsa yang terpilih, atau terikat pada satu batas geografi". Islam datang membawa konsep persaudaraan sejagat. Kisah yang masyhur bagi kita adalah bagaimana Rasulullah mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj yang berperang sesama mereka sebelum ini. Perang bukan satu perkara yang kecil, ia membawa kepada bunuh membunuh. Jika kita terfikir bolehkah kita bersaudara dengan orang yang membunuh ibu atau ayah kita? Ia bukan satu perkara mudah. Malaysia-Indonesia sendiri pernah berperang pada ketika dahulu. Ketika penubuhan Malaysia, dibantah oleh Presiden Sukarno dan membawa slogan "Ganyang Malaysia" menyebabkan berlakunya konfrontasi yang menyaksikan sekitar 700 nyawa terkorban. Sehingga ke hari ini, jika ada perlawanan bolasepak, penyokong Malaysia-Indonesia akan bergaduh. Tapi Islam datang mempersaudarakan dua masyarakat yang berperang.

Persaudaraan rentas bangsa juga banyak direkodkan dalam sirah moden. Contohnya dalam buku yang ditulis oleh Firas Alkhateeb yang bertajuk Lost Islamic History, bagaimana Yusuf Tashfin seorang berbangsa Berber dari Afrika Utara menyeberangi selat Gibraltar bagi membantu taifah-taifah Islam di Selat Iberia yang menghadapi ancaman dari Alfonso dari Castille. Contoh lain misalnya boleh kita baca dalam buku yang ditulis oleh sejarawan Ilan Pappe dalam bukunya The Ethnic Cleansing of Palestine yang menceritakan bagaimana orang Islam dari negara lain membantu rakyat Palestin ketika orang Yahudi menyerang Arab Palestin dan menubuhkan negara mereka pada 1948. Beliau menceritakan tentang keberanian tentera sukarela Ikhwanul Muslimin dari Mesir. Rakyat Lubanan yang merentasi sempadan membantu perkampungan Palestin. Ketika diberi arahan untuk berundur, ramai tentera Arab Legion yang mengingkari arahan untuk berundur untuk mempertahankan kampung Palestin, contohnya Kapten Abu Rauf Abd Al-Raziq dari Iraq yang mempertahankan kampung Taytaba dan Qalansuwa. Mereka semua memahami bahawa nasionalis mereka merentasi sempadan negara bangsa, tidak sekali mereka melupakan saudara-saudara mereka.

Kita hari ini hidup dalam tinggalan warisan kolonial, walaupun kita sudah bebas masih banyak yang kita warisi dan teruskan legasi mereka, hatta pemikiran kita juga ramai yang masih terikat dengan acuan kolonial. Begitu juga sistem dan corak negara. Jika kita lihat sempadan sebahagian negara Islam, Mesir-Libya contohnya, ia adalah garis lurus, bukan seperti sempadan negara lain yang menggerutu ketana mengikuti sempadan semulajadi seperti sungai dan banjaran bukit. Garis lurus ini dilukis oleh penguasa kolonial sebelum ini pada peta-peta mereka, ia tidak wujud sebelum ini. Pemikiran nasionalis yang ditanam kolonial juga banyak membutakan mata kita terhadap penderitaan saudara kita, yang dekat dengan kita adalah penderitaan saudara Rohingya kita, bagaimana bot-bot mereka dihalau seolah disuruh mati. Tentulah ini bukan apa yang diajar oleh Islam, bukan nasionalis yang diterima Islam, bahkan keji dari nilai kemanusiaan. Kita sedih melihat keadaan umat ini, namun apa yang kita boleh perbuat?

Walaupun kita hidup dalam sistem, pemikiran dan zaman legasi kolonial ini, dan kita menerima sifat nasionalis dalam batasan dan definisi yang selari dengan Islam, kita perlu jelas perjuangan nasional dan kebangsaan ini bukan matlamat kita, ia bukan tujuan akhir perjuangan kita. Kita tidak boleh menyempitkan pemahaman nasionalis kita. Jika kita membaca buku yang ditulis oleh TR Reid yang bertajuk The United States of Europe kita akan dapati bagaimana mereka yang menjajah dan menanam semangat nasionalis kepada anak-anak jajahan mereka juga sedar bahawa semangat nasionalis sempit akan memecahkan mereka menjadi negara-negara kecil yang lemah. Oleh itu mereka membina blok Kesatuan Eropah dan mula menyebarkan fahaman pan-europeanism. Mereka membina satu pasaran bersama, pergerakan tidak terbatas sesama negara mereka, malah mempunyai stuktur parlimen dan mahkamah bersama. Sementara negara-negara lain termasuk negara-negara Islam terus terpecah, bercakaran, dan mudah dikalahkan.

Dalam buku Langkah Bermula tulisan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid beliau mengungkapkan satu kata-kata yang cukup cantik dalam kita melihat suasana umat yang berpecah belah pada hari ini, beliau menulis keadaan hina yang menimpa umat ini "hanya gerhana, bukan tenggelamnya matahari". Ia adalah fenomena sementara, bukan kekal. Tetapi perubahan yang kita idam-idamkan tidak mungkin berlaku dengan sendirinya tanpa ejen perubah. Ejen perubah ini adalah pemuda dan pemudi yang bekerja memenangkan semula umat, bekerja membela nasib umat, mereka adalah bahan asas kepada peristiwa perubahan yang akan direkod dalam sejarah. Oleh sebab itu, permulaan kepada perubahan adalah pemuda-pemudi yang mempunyai kefahaman Islam yang jelas dan menyeluruh, kemudian mereka bekerja secara sistematik. Hingga akhirnya sejarah berubah, dan fajar bersinar semula di ufuk yang indah buat umat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan