Ahad, 23 September 2018

Village Files: Peranan pengumpulan data dalam pembersihan etnik Palestin 1948



Perasaan saya bercampur baur ketika mula membaca buku berkenaan dengan pembersihan etnik Palestin yang ditulis oleh sejarawan dari Israel, Dr. Ilan Pappe. Helaian-helaian awal dalam prakata, bab pertama dan kedua sangat meremangkan bulu roma. Bercampur perasaan sedih, marah dan kagum. Sedih membaca bagaimana bangsa Palestin dibunuh beramai-ramai, marah dengan fakta sejarah bagaimana British berkonspirasi dengan pertubuhan Zionis dan kagum dengan perancangan licik konspirator Zionis membeli tanah, memanipulasi British dan mengumpulkan data sebelum melancarkan jenayah pembersihan etnik.

Dr. Ilan Pappe merupakan professor dari Universiti Exeter, UK. Beliau merupakan salah seorang dari 'New Historian' - terma yang digunakan bagi sejarawan Israel yang mencabar naratif sejarah tradisional Israel yang dicemari ideologi Zionis. Antara nama-nama sejarawan yang sebaris dengan beliau adalah Benny Morris dan Avi Shlaim. Dalam prakata beliau di dalam bukunya 'The Ethnic Cleansing of Palestine' beliau ingin membawa sejarah bukan dari sudut pandang bangsa Palestin yang menganggap peristiwa 1948 sebagai 'Nakba' atau katastrofi, juga bukan naratif Zionis yang menganggap 1948 sebagai hari kemerdekaan, tetapi naratif bahawa 1948 adalah jenayah perang terancang.

Dalam penulisan kali ini saya tidak mahu mengulas buku ini secara umum, kerana saya belum menghabiskan pembacaan saya, tetapi mahu berkongsi tajuk kecil dari bab ke-2 dari buku ini. Bab kedua ini bertajuk "The Drive for an Exclusive Jewish State" manakala tajuk kecil dari bab ini adalah "The Village Files".

"The Village Files" adalah usaha pengumpulan data setiap kampung di Palestin, ia merupakan antara batu asas pertama dalam perancangan Zionis untuk melancarkan operasi pembersihan etnik secara sistematik pada 1948. Usaha ini dicadangkan oleh sejarawan muda dari Universiti Hebrew, Ben-Zion Luria yang membentangkan cadangan ini kepada Jewish National Fund (JNF). JNF diasaskan pada 1901 merupakan alat gerakan Zionis dalam usaha menawan Palestin dan aktif membeli plot-plot tanah bagi tujuan kemasukan imigran Yahudi. Yitzhak Ben-Zvi (pemimpin Zionis yang kemudiannya menjadi perdana menteri Israel ke-2) berkata bahawa projek ini penting sebagai maklumat risikan yang bakal digunakan oleh Hagana (militia Zionis) dalam usaha pembersihan etnik.

Bagi menjayakan projek ini topografer dari Universiti Hebrew direkrut dan mencadangkan agar aerial photographic survey dijalankan, mereka menunjukkan hasil survey udara ini kepada Ben-Gurion (arkitek pembersihan etnik 1948 yang kemudian menjadi perdana menteri pertama), gambar perkampungan Sindiyana dan Sabbarin (perkampungan ini lenyap selepas 1948). Fotografer professional seperti Yitzhak Shefer dan Margot Sadeh juga direkrut untuk menjayakan projek ini.

Usaha ini dijalankan di dalam makmal di rumah Margot secara rahsia dan disembunyikan dari pengetahuan British. British bagaimanapun mengetahui kewujudan projek ini tetapi tidak berjaya menemukan pusat operasi mereka. Hasil pengumpulan data setiap perkampungan ini sangat teperinci, ia mengandungi data topografi, peta jalan, kualiti tanah, sumber air, sumber pendapatan penduduk, komposisi sosio-politik, komposisi agama, nama 'mukhtar' setiap kampung, umur warga lelaki, dan banyak lagi.

Mereka juga mengumpul data individu setiap kampung. Nama-nama individu yang terlibat dengan revolusi, keluarga yang kehilangan ahli menentang British, individu yang dituduh pernah membunuh Yahudi, setiap maklumat ini adalah penting bagi menjayakan pembersihan etnik Palestin 1948.

Seorang ahli Hagana, Moshe Pasternak berkata:

"Kami perlu mempelajari stuktur asas perkampungan Arab bagi mengetahui cara paling sesuai melancarkan serangan. Dalam akademi tentera, kami belajar bagaimana untuk menyerang bandar moden Eropah, bukan perkampungan primitif. Tidak boleh disamakan perkampungan ini dengan perkampungan di Poland atau Austria. Perkampungan Arab didirikan di kawasan bukit, jadi kami perlu tentukan sama ada ingin menyerang dari atas atau bawah. Kami perlu melatih 'Arabis' (orientalis yang melaksanakan operasi bersama jaringan pemberi maklumat) bagaimana untuk bekerja dengan para talibarut".

Selepas 1943 pengumpulan data ini bertambah terperinci. Ia termasuk tanah yang diusahakan untuk pertanian, jumlah pokok pada setiap kebun, kualiti setiap pokok, jumlah tanah bagi satu keluarga, jumlah kereta, jumlah kedai, pekerja dan jenis pekerjaan. Sangat terperinci ia mengandungi maklumat setiap puak, kaum, fahaman politik, strata sosial, dan maklumat penjawat awam setiap kampung. Pada 1945, data ini merangkumi nama masjid, nama imam masjid, maklumat berkenaan imam masjid setiap kampung, dan jumlah bilik di rumah setiap imam. Kemudian data ini semakin berciri ketenteraan menghampiri 1948, jumlah pengawal (kebanyakan kampung tiada pengawal) dan kualiti/kuantiti senjata setiap kampung (kebanyakannya tiada).

Pekerja projek ini dilatih di sebuah kampung yang dipanggil Shefeya, yang terletak berhampiran perkampungan Furaydis dan penempatan imigran Yahudi, Zikhron Yaacov. Disini pengintip Yahudi berbahasa Arab dan mengamalkan budaya kampung penduduk setempat. Selepas dilatih mereka dihantar ke perkampungan dan mengambil kesempatan dari budaya Arab yang meraikan tetamu. Mereka kemudian bertamu di rumah 'Mukhtar' setiap kampung bagi mengumpulkan maklumat.

Kemaskini akhir berlaku pada 1947 apabila senarai 'Wanted List' setiap kampung mula dikumpulkan. Senarai ini digunakan apabila militia Zionis melancarkan operasi pembersihan etnik pada tahun 1948, nama mereka yang ada dalam senarai dibariskan dan dibunuh.

'The Village Files' ini merupakan sebahagian inteligensia Zionis dalam menjayakan pembunuhan dan pembersihan etnik 1948. Apabila saya membaca buku ini, membaca setiap perincian perancangan Zionis menakluk Palestin, sering terdetik di hati saya agar muncul seseorang yang dapat menghidu dan menggagalkan perancangan mereka. Namun saya sedar, ia telah menjadi sejarah, mereka akhirnya berjaya dan tinggallah Palestin seperti yang kita ada pada hari ini. Terus dibunuh dan terhina. Bagi saya sejarah ini amat penting untuk diketahui kita, agar kita sering berwaspada dan belajar. Jika kita tidak membaca sejarah, kita akan terus tewas dan kalah.


Tiada ulasan: