Memaparkan catatan dengan label Anarkisme. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anarkisme. Papar semua catatan

Ahad, 7 Februari 2021

Reviu Zine Dari Johor #2


Sebenarnya saya masih baru dalam membudayakan diri untuk membaca zine, jika awal evolusi pembacaan saya adalah buku-buku Islamik, kemudian pergi ke buku-buku non-fiksyen bahasa Inggeris perihal ideologi, ekonomi, politik, evolusi saya seterusnya dalam pembacaan adalah membaca zine-zine tempatan, kerana saya kira pembacaan saya tidak mengakar di bumi lokal. Terlalu banyak membaca perihal tulisan orang asing hingga terlupa dan tidak memahami denyut nadi negeri sendiri. Zine pada saya lebih membumi dari buku-buku mainstream, konsepnya seperti sebuah majalah (magazine), namun ia dihasilkan oleh kumpulan juga perseorangan yang independent

Zine ini isinya bebas, ada yang memberi maklumat perihal kumpulan musik tempatan yang biasanya tidak disebut dalam media arus perdana, ada yang membicarakan hal-hal budaya lokal, ada juga yang berunsur seni dan penulisan kreatif. Tentulah saya tidak membaca semua zine yang ada di Malaysia, saya sekadar membaca zine yang tercapai dek tangan saya, antara yang pernah saya baca adalah Kubu Zine, NutMag, Fagiyu, dan zine yang menjadi tajuk reviu kita pada hari ini - Zine Dari Johor #2. Bagi saya, kerana zine ini memuatkan penulisan yang bebas tanpa apa-apa kongkongan, kandungannya lebih jujur, tidak hipokrit, dan sering kali - liar tetapi tidak angkuh. Pengembaraan saya membaca zine juga membuatkan saya juga ingin menulis dan menerbitkan zine, zine pertama saya bersama seorang teman bakal terbit bulan ini, dengan nama Skazka #1.

Baik, cukuplah kita melewar-lewar dengan permulaan kalam yang panjang. Berbalik pada Zine Dari Johor #2 (ZDJ #2) ini, saya kira susun letaknya berubah menjadi sangat kemas berbanding isunya yang pertama, mungkin kerana ZDJ kini menggunakan khidmat susun letak yang sama seperti zine Fagiyu. Zine ini dimulakan dengan bicara editor, penerangan berkenaan istilah, juga kongsi resepi. Antara resepi yang dikongsikan adalah Tau Fu Fa, Cucur Ayam, dan Scones. Jadi makcik-makcik bawang pun bolehlah mendapatkan zine ini untuk belajar resepi masakan anarkis.

ZDJ #2 juga menyambung perihal sejarah-aktiviti mereka di Lorong Ismail Kulai yang juga dinamakan sebagai Lorong Underground Art Space (LUAS). Cebisan sejarah dimuatkan bagaimana lorong ini subur, kemudian mati, kemudian cuba dihidupkan semula oleh golongan muda setempat dengan cabaran-cabarannya, antara kejayaan yang dinukilkan adalah kejayaan mereka melaksanakan acara dengan kerjasama Balai Seni Negara. Saya juga berterima kasih kepada Kolektif Naratif yang menerbitkan tulisan saya dalam zine ini dengan artikel yang bertajuk "Falsafah George Carlin", artikel sepanjang 4 muka surat ini merupakan artikel pertama saya yang pernah diterbitkan oleh zine tempatan.

Artikel "Membudayakan Anarkisme" tulisan Kamal Muhammad antara artikel menarik yang merangsang otak saya. Dalam artikelnya, beliau ada menukilkan pandangan sosok anarkis Jerman, Gustav Landauer yang berbunyi "negara bukan sesuatu yang boleh dihancurkan melalui revolusi, melainkan suatu ciptaan keadaan, atau suatu hubungan tertentu antara manusia". Saya sangat setuju dengan pandangan ini, ada kalanya apa yang kita perlukan bukanlah revolusi, tetapi pendidikan yang melahirkan masyarakat yang kuat dan mandiri dalam melemahkan kuasa negara dan menguatkan kuasa rakyat. Tidak sedikit revolusi yang ditunggang oleh golongan oppurtunis yang akhirnya melahirkan tirani dan penindasan baru dengan nama yang berbeza.

Artikel "Marina and The Gangs" juga pada saya menarik. Pihak editor membincangkan sebuah dialog anjuran DAP, antara yang dikritik adalah Andrew Chen yang seolah-olah terlupa bahawa partinya juga pernah menjadi kerajaan dan membuat kerosakan. Kritik ZDJ kepada Marina Ibrahim dalam zine ini seolah-olah satu tarik tali antara cinta dan benci. Dari satu sudut Marina dikritik kerana sikap oppurtunisnya yang mengendeng ke dalam komuniti untuk membawa ideologi politik, dalam masa yang sama dipuji atas sumbangan dan bantuan beliau dalam komuniti. Hal ini saya kira pernah diperkatakan oleh Chomsky dalam perbahasan anarkisme, bagi Chomsky walaupun anarkis mahu menanggalkan sistem negara yang opresif, mereka boleh bekerjasama dengan negara dan ahli politik dalam isu pemeliharaan manusia dan alam, ini kerana kita hidup dalam dunia realiti - maka ada kalanya sinergi itu perlu.

Wawancara bersama Rayhan Ahmad perihal Sekolah Baroka juga bagi saya merupakan satu penulisan yang punya isi yang berkualiti. Wawancara ini merupakan wawancara dari acara yang dibuat di Tumpang Co-Working Space, Simpang Renggam dimana mereka menayangkan filem "Sokola Rimba". Diskripsi perihal filem ini bagi saya sangat menarik dan saya akan cuba untuk menontonnya, filem dari seberang sememangnya punya aura dan emosi yang mendalam, sering kali mengalahkan filem tempatan. Aktivisme Rayhan dalam memberi pendidikan dan memperjuangkan Orang Asli Suku Seletar pada saya sangat mengkagumkan, beliau malah belajar bahasa suku tersebut untuk ditulis dan dipelihara! Perkara ini patut dilakukan oleh penyelidik universiti, nampaknya beliau lebih jauh ke depan.

"All the world's problems can be solved in a garden" - Geoff Lawton.

Itu adalah kata-kata yang saya kira paling menarik yang dikongsikan oleh Izzat Ibrahim dalam artikelnya perihal Kebun Komuniti Cinta Lestari (KCL) juga teknik tanaman Permaculture. Dalam tulisan beliau, beliau memperincikan teknik tanaman Permaculture yang beliau pelajari dari sifunya, Abang Anas Shuib. Teknik ini menekankan perlunya teknik tanaman yang bersinergi dengan alam, bukan menggunakan racun untuk membasmi tumbuhan lain. Artikel terakhir dalam zine ini merupakan bingkisan tulisan Saudara Iltizam Iman yang juga merupakan penulis buku "Menolak Perintah". Dalam bingkisannya beliau mengkritik bidalan "Berbudi pada tanah" yang baginya membawa konotasi yang salah. Industri pertanian terutamanya monokultur baginya merosakkan tanah dan ekosistem, ia bukan satu "budi". Beliau juga mengkritik tajam kepupusan haiwan liar, baginya jata negara perlu digantikan harimau dengan monyet, ini kerana Harimau Malaya tidak boleh lagi kita banggakan kerana kita tidak menjaganya malah di ambang kepupusan, sebaliknya yang membiak adalah monyet hasil aktiviti penanaman kelapa sawit.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Kolektif Naratif atas isu kali ini. Moga kita akan diberkati dengan isu-isu ZDJ yang lebih banyak dimasa akan datang dengan isi-isi yang menarik.

Khamis, 28 Januari 2021

Reviu Zine Fagiyu #9


Bak kata Widji Thukul yang sudah diubah suai "Hanya satu kata, mantap!" begitulah kata-kata yang boleh saya ungkapkan jika zine ini hendak disinopsiskan dengan satu ayat. Susun aturnya sangat kemas dan cantik, membuatkan seoalah-olah pembaca sedang memasuki sebuah kafe retro hipster. Bukan sahaja susun aturnya yang kemas, kontennya juga bagi saya sangat baik dan menarik.

Pencak pembacaan dimulakan dengan kolum wawancara bersama dengan Anis A. Azam yang merupakan mengusaha toko buku Gadis Buku. Banyak perkara-perkara yang diulaskan dalam segmen wawancara ini terutamanya dari sudut survival toko buku dizaman gawat Covid-19. Namun apa yang paling menarik bola pemikiran saya adalah isu "ilusi dalam kalangan ramai penulis dan pembaca". Anis membicarakan bagaimana penulis itu sering dianggap sebagai selebriti manakala pembaca adalah peminat. Ia adalah ilusi yang membuatkan seolah penulis itu eksklusif manakala pembaca adalah pemuja. Perkara ini menurut Anis membutakan mata penulis muda baharu, kononnya penulis itu satu kerja glamour, duduk dalam kelas elitnya tersendiri.

Oleh itu kadangkala penulis tidak mahu menjual buku, kerana merasakan itu tidak padan dengan kedudukan elit mereka sebagai penulis. Saya sangat bersetuju dengan pandangan Anis ini. Saya juga kadangkala merasakan ia adalah satu curam dalam penulisan apabila pembaca merasakan saya yang menulis ini punya lebih banyak ilmu dari mereka. Saya lebih merasakan penulisan ini sebagai medan berkongsi idea, pengalaman, dan rasa hati. Mungkin ada nilai dari sudut ilmu, tetapi itu tidaklah menjadikan kita duduk dalam kelas yang lebih tinggi. Orang lain juga punyai ilmu, malah mungkin lebih banyak ilmunya dari penulis, cuma mungkin mereka tidak tintakan.

Zine Fagiyu #9 ini turut membedah dan membicarakan perihal medan seni musik tanah air. Antaranya bual bicara dengan kumpulan kugiran Langkasuka, juga reviu album musik kumpulan Raskat. Turut dikongsi promosi adalah zine-zine lain seperti Haiwan Bukan Kriminal oleh Bad Cat Club, Genesis Secawan Latte oleh Hanevad, Angkat Takbir Lepas Tangan oleh Nana, Zine Molek Ah #2 #4 dan #5 oleh Penerbitan Ikan Kekek, Zine Dari Johor #1 oleh Kolektif Naratif, Trans Rentboys; Love Don't Pay the Rent dan juga Pulang ke Rindu tulisan Khairul Kamarul.

Artikel Anarkis dan Pandemik Covid-19 tulisan Kon Zing menampakkan ciri-ciri anarkis zine ini. Artikel ini mengajak penyewa rumah melawan menuntut hak mereka di zaman kegelapan Covid-19 ini dari diusir oleh tuan rumah. Catatan pengalaman Selangkah ke Sebrang tulisan Mucky saya kira adalah luahan getaran hati perihal melangkah menuju alam rumah tangga, cuma saya merasakan tulisannya kadang terlalu berbunga untuk difahami manusia. Jelajah Puisi 2017; Melaka yang ditulis oleh Petak Daud membawa pembaca mengikuti hanyutan kilasan emosi penulis menyusuri Sungai Melaka. Tulisan ini bagi saya memberi kita kefahaman akan masa sendirian yang kadang kala kita perlukan, untuk merenung dan merasionalkan kehidupan.

Zine ini turut memuatkan banyak puisi, puisi yang paling menyengat emosi saya adalah Melihat Tidak Ada tulisan EA. Beliau menulis:

Kadang melihat hujan,
bukan dari yang jatuh,
tetapi kemudian,
apa yang akan tumbuh.

Puisi bagi saya merupakan satu aksi yang begitu sensitif dan emosional. Takrifannya sering kali berbeza antara penulis dan pembaca. Saya mungkin tidak tahu apa yang dialami oleh EA sehingga dia melahirkan puisi itu. Bagi saya ia membawa maksud yang positif, pengharapan, dan sifat optimisme. Saya sendiri gemarkan hujan, dinginnya, baunya, emosi yang dilahirkan hujan begitu menaikkan jiwa. Namun mungkin bagi sesetengah orang hujan adalah suatu yang tidak baik, mungkin pembawa banjir, namun puisi EA mengajar kita bahawa apa yang perlu kita perhatikan adalah apa yang tumbuh selepas itu. Mungkin selepas konflik dan revolusi akan lahir masyarakat segar yang baru, begitu optimisnya.

Akhir sekali adalaha kolum Cher Phen yang memuatkan dua buah cerpen. Cerpen pertama bertajuk Atok Ilmu Hutan tulisan Cech Adrea. Bagi saya tulisan ini ada unsur misteri dan kelakar. Adrea menulis beliau sendiri tak yakin akan nasihat-nasihat hutan Atoknya kerana kadang kedengaran seperti mahu menipu dan menakutkan budak-budak, tapi ada juga nasihat atoknya yang saya rasa macam logik, dan saya seperti Adrea tidak pasti nak percaya atau tidak. Cerpen penutup zine ini bertajuk Menghadap Malam yang Sangat Panjang tulisan Emma Maria. Saya suka gaya penceritaan yang memperlihatkan dunia dari kaca mata kecil seorang budak perempuan, cuma endingnya tidak begitu jelas pada fikiran saya, mungkin Emma mahu kita berteka-teki.

Saya agak sedih kerana sudah habis membaca zine ini, ia pembacaan yang menarik namun singkat. Nasib baik saya ada membeli edisi #10, jadi mungkin kesedihan saya tidak berpanjangan kerana boleh tenggelam semula dalam edisi seterusnya. Siapa yang sudah membeli, saya ucapkan selamat membaca. Siapa yang belum, cepatlah pergi beli. Tahniah diucapkan kepada barisan editorial, penulis, penerbit atas bingkisan ini. Moga banyak lagi edisi-edisi seterusnya yang boleh menghiasi mata dan minda kita.

Rabu, 9 Disember 2020

Menulis Sebagai Pengembara Bukan Ideolog


Baru-baru ini saya ada menulis perihal kritik saya terhadap pemikiran Bakunin, seorang teman, yang merupakan komrad anarkis menghantar mesej kepada saya, kata beliau, hatinya sedikit kecewa kerana kritik saya itu tidak cukup panjang. Walaupun beliau seorang anarkis, beliau punya persoalan yang sama dengan saya perihal pemikiran anarkis Bakunin, beliau juga ada menulis manuskrip namun tidak disiapkan, dan beliau berharap saya dapat mengembangkan kritik saya menjadi sebuah buku. Idea beliau itu bagi saya sangat menarik, kerana banyak perkara dalam pemikiran Bakunin boleh dibahaskan, diteliti, dan yang problematik boleh diperhalusi dan dikritik.

Namun, walaupun saya merasakan ia satu idea dan projek yang menarik untuk dilakukan, saya merasakan saya tidak mampu melakukannya, kerana saya sendiri terikat dengan pelbagai projek penulisan. Sebahagiannya aktif diusahakan, manakala banyak darinya tergendala.

Saya memberitahu beliau bahawa saya mengkritik Bakunin bukan sebagai seorang ideolog, saya tidak punya apa-apa tujuan untuk merendahkan anarkisme kemudian mengetengahkan ideologi saya. Tidak. Tetapi saya menulis kritik-kritik itu sebagai seorang pengembara, saya sedang berjalan, berjalan dalam kehidupan. Satu hari saya berehat sebentar dibawah pokok, ketika itu saya terjumpa naskah pemikiran Bakunin, saya pun baca dan coretkan sedikit pandangan saya. Kemudian saya letakkan semula makalah itu ditempatnya, lalu saya menyambung semula perjalanan saya.

Saya jarang membaca buku-buku yang telah saya terbitkan, kerana saya telah mengulang baca berkali-kali semasa menyuntingnya sebelum penerbitan. Tapi kadang kala saya selak-selak juga melangkau-langkau, kadang saya tertanya juga "apalah yang aku tulis dahulu?". Dan bila saya baca, ya, saya menulis dahulu sebagai seorang yang idealis, sebagai seorang ideolog. Saya bukan hendak mengatakan tidak boleh berideologi, tapi saya perpendapat sekarang (qaul jadid) bahawa menulis sebagai pengembara lebih menenangkan, lebih objektif, lebih terang pemikiran dalam menulis, dan yang lebih penting, saya kira ia jalan yang lebih adil dalam membahas sesuatu idea.

Ketika mengkritik Bakunin itu, pada mulanya saya terbitkan mukaddimahnya sahaja di Facebook, kerana pada ketika itu saya sedang bekerja, dan menyelit sebentar menulis waktu rehat makan tengahari. Bak kata Shakespeare, manusia itu mempunyai banyak topeng. Begitu jugalah saya, ada ketika saya memakai topeng suami, topeng sebagai ayah, topeng sebagai anak, topeng sebagai seorang pekerja, juga topeng sebagai seorang penulis di waktu senggang. Oleh kerana banyak topeng, saya punya masa yang terhad untuk setiap topeng.

Ada netizen yang meninggalkan komen "Bersambung pulak dah? Kau ingat kau superstar nak orang tunggu-tunggu kau? Habiskan je lah bro!". Saya tidaklah terasa atau mengambil hati, mungkin sebab sudah tua, masa zaman darah panas muda-muda dahulu mungkin saya akan bergaduh terus. Cuma komen itu buat saya terfikir soal menulis.

Bagi saya menulis bukanlah proses yang boleh dibuat secara tergesa-gesa, terutamanya jika mahu mengkritik pemikiran orang lain. Kita kena baca dahulu pemikiran mereka, duduk termenung cuba untuk faham, kemudian berfikir bagaimana untuk mempersembahkan hujah-hujah yang rasional. Jika ini tidak dilakukan, kritikan akan tersasar, malah kita sendiri akan kelihatan lebih bodoh dari orang yang kita ingin kritik. Jadi itu juga merupakan salah satu faktor penulisan saya sedikit perlahan dan bertahap. Pembaca mungkin tidak dapat menghargai perkara ini, kerana mereka hanya membaca, tidak terlibat dalam proses pembacaan sumber primer, proses berfikir, dan proses untuk mensintesiskan hujah-hujah.

Saya merasakan dalam perjalanan kehidupan ini, meniti jambatan masa menuju alam seberang sana, semakin banyak saya membaca dan menulis, semakin saya merasakan banyak perkara yang saya belum tahu, hikmah yang belum tersingkap di fikiran. Oleh itu saya semakin lama semakin kurang ideolog, saya mahu menjadi pelajar dan pemerhati, dalam masa yang sama menjadi perekod sejarah, menulis apa yang saya temui sepanjang perjalanan singkat ini.

Selasa, 8 Disember 2020

Membaca Pamplet Gagasan Dasar Pemikiran Bakunin


Buku kecil ini merupakan pamplet yang pertama kalinya diterbitkan pada tahun 1993 oleh Paterson Anarchist Collective, ia dialih bahasa ke dalam Bahasa Indonesia pada tahun 2019 dan boleh didapati di anarkis.org. Naskah yang saya terima merupakan bentuk cetakan yang dihadiahkan oleh komrad Benz Ali ketika saya membeli bukunya. Makalah ini cuba untuk membela pemikiran seorang tokoh anarkis tersohor, Mikhail Alexandrovich Bakunin yang pemikirannya banyak diperolok dan dipermain-mainkan. (2) Saya secara peribadi merasakan ia tidaklah begitu berjaya untuk menyampaikan objektif tersebut, sekurang-kurangnya pada pandangan peribadi saya, ada perkara yang saya setuju, dan ada juga perkara yang akan saya persoalkan dan kritikkan. Mungkin ada komrad dan teman anarkis yang tidak bersetuju dengan kritikan dan tafsiran saya, maka terpulanglah ia untuk dikritik balas, dijawab, dan dipanjangkan perdebatan.

Saya banyak mendapat pendedahan idea-idea anarkis melalui pembacaan dan syarahan Chomsky dan Zinn, namun setiap kali saya memikirkan perihal ideologi kiri, sama ada dalam bentuk anarkis, sosialis, atau komunis, saya sering terpanggil semula ke perbincangan saya bersama Francis di tepi Sungai Gombak pada tahun 2019. Ideologi dan pemikiran lahir pada zamannya, pada keadaan politik dan sosialnya, kita boleh menerima sesuatu ideologi pada peringkat teori, namun apabila sampai kepada peringkat praktis dan praxis ia perlu disesuaikan dengan keadaan dan zaman terkini. Perkara ini dipersetujui oleh sarjana Marxis tersohor seperti Prof. Richard Wolff, pada beliau sosialis perlu berkembang, belajar dari eksperimen sosialis yang gagal, tidak mengulanginya, dan berubah kepada sosialis-sosialis baru yang sesuai dengan norma masyarakat kini. 

Pada awal kajian, bacaan, dan penelitian saya, saya mempunyai perspektif yang khilaf, saya cuba untuk mendapatkan satu definisi kepada terma-terma seperti komunis, sosialis, dan anarkis, namun apabila saya bertemu syarahan-syarahan Prof. Richard Wolff baru saya sedar ia tidak mempunyai definisi yang statik, ia punya banyak tafsiran dan banyak bentuk. Idea-idea Bakunin mungkin tidak sama dengan idea anarkis Chomsky, ia tidak bermaksud bahawa Chomsky kurang anarkis dari Bakunin, tidak. Ia bermaksud bahawa idologi anarkis berubah secara dialektik seiring perubahan keadaan dan zaman. Mungkin ini bacaan asli anarkis kedua yang saya baca selepas membaca Zine Dari Johor yang diterbitkan oleh Kolektif Naratif, sebuah kolektif tempatan. Baik, selepas 3 perenggan mukaddimah, bolehlah kita perbahaskan beberapa intinya.

Oleh kerana makalah ini ingin mempertahankan Bakunin, ia sejak awal mengishtiharkan bahawa pandangan-pandangan rasisme Bakunin tidak akan dibincangkan. Ya, Bakunin yang internasionalis dan anarkis juga punya sisi ideologi bercorak bangsa. Yang pertama adalah Slavik Nasionalisma beliau ketika muda, yang kedua adalah sikap anti-semitism beliau yang cukup benci dengan Bangsa Yahudi yang beliau sering gelar sebagai parasit. Tidak salah untuk membenci Zionis kerana Zionis merupakan ideologi kolonial yang besifat rasis, bahkan banyak bangsa Yahudi yang anti-zionis. Tetapi anti-Yahudi atau anti-semitism dalam pemikiran Bakunin bermasalah kerana Yahudi merupakan bangsa, kita tidak dapat memilih dan menukar bangsa yang kita dilahirkan. Jadi saya sedikit sukar untuk merasionalkan sifat internasionalis Bakunin dengan sikap anti-semitism beliau. (2)

Makalah ini mendefinisikan Anarkisme dengan dua sifat utama. Pertama sebagai sistem ekonomi dan politik yang menghapuskan eksploitasi dan penindasan termasuklah kapitalisme dan negara. Anarkis berpegang bahawa negara adalah sinonim kepada penindasan, hal ini akan kita tinjau dengan lebih lanjut. Yang kedua adalah pemabangunan masyarakat yang mana semua ahli terlibat dalam membuat keputusan yang mempengaruhi hidup mereka. Bahagian kedua ini mungkin kedengaran dekat dengan demokrasi tetapi ia mempunyai perbezaan, dalam demokrasi masyarakat tidak terlibat dalam pembuatan polisi, mereka hanya terlibat dalam memilih siapa yang akan membuat polisi. (3)

Penolakan kepada negara oleh anarkis adalah kerana negara memonopoli kekerasan, hanya negara yang boleh melakukan kekerasan dengan menangkap, menghukum, dan membunuh atas nama undang-undang. Negara juga menggunakan hukum untuk memelihara sistem ekonomi kapitalis serta borjuis yang mendapat manfaat darinya. (5) Negara menghasilkan kelas minoriti yang menindas, ini perlu dihancurkan menurut Bakunin oleh kelas majoriti yang ditindas. Untuk mencapai matlamat ini, kelas majoriti perlu disedarkan akan keadaan penindasan yang ada, kerana kelas penindas sentiasa sedar akan penindasan yang mereka lakukan dan sentiasa berusaha mengekalkannya. (6-7) Kesedaran ini perlu dilakukan kerana kemiskinan tidak semestinya menghasilkan revolusi atau perubahan, jika masyarakat tidak percaya ada alternatif lain untuk menyusun kekayaan dan ekonomi, mereka akan berubah kepada kepasrahan. (8) Bagi anarkis negara adalah mesin anti-sosial, alat kelas kapitalis dan elit, negara bagi anarkis adalah secara fitrahnya adalah sesuatu kekerasan. (11)

Pasti ada yang akan berhujah bahawa tidak semua negara menindas? Negara berbentuk demokrasi liberal sebagai contoh akan cuba menjaga kesejahteraan sosial. Bakunin berpendapat bahawa ini adalah satu bentuk penyamaran, ketika mereka merasa terancam, kita dapat lihat bagaimana negara demokrasi liberal memperlihatkan sifat ganasnya. (12) Disini mungkin saya bersetuju dengan Bakunin, bahawa demokrasi liberal tidak menjamin sesuatu nergara itu menjadi ganas. Hari ini kita dapat lihat bagaimana negara-negara demokrasi liberal menyerang dan mengebom negara-negara lain, bersekongkol dengan kolonial Zionis, menyokong tirani di negara lain, malah menggagalkan demokrasi di negara lain melalui jalan asasinasi juga kudeta. Bagi Bakunin negara demokrasi merupakan percanggahan istilah kerana negara pada hakikatnya adalah authoriti, paksaan dan dominasi. (17)

Bakunin pergi lebih jauh dalam mengkritik demokrasi liberal (yang dipanggilnya demokrasi borjuis) bukan sekadar polisi luarnya, tetapi sifat pilihanraya itu sendiri. Sistem pilihanraya, perwakilan berasaskan parti politik melahirkan segelintir populasi sahaja yang celik politik. Golongan minoriti ini mempunyai akses kepada kekayaan, pendidikan, dan masa lapang untuk digunakan untuk berpolitik, sementara golongan majoriti yang terpaksa bekerja kerana tidak punya kekayaan tidak punya masa lapang untuk berpartisipasi dalam politik. (14) Bakunin juga mengkritik demokrasi langsung, apa yang sering disebut sebagai referendum. (16) Hal ini kerana rakyat tidak punya upaya untuk mengetahui masalah yang kompleks dalam refendum. Referendum Brexit sebagai contoh mempunyai implikasi sosial dan ekonomi yang kompleks untuk ditentukan dalam referendum binari "yes or no". Ahli politik elit malah mengawal diskusi dan apa yang hendak direferendumkan yang akhirnya memberikan mereka legitimasi dalam membentuk demokrasi borjuis. (16)

Bakunin sangat konsisten dengan prinsip anti-negara beliau, beliau mengkritik konsep dictatorship of proletariat Marx, bagi Marx diktator proletariat adalah negara transisi menuju komunisma tanpa negara, (19) namun bagi Bakunin tiada bezanya jika sosialis berkuasa dalam negara, mereka akan menempatkan diri mereka diatas masyarakat, dan pandangan mereka terhadap dunia akan berubah, seperti mana yang telah dibuktikan oleh sejarah, dimana sosialis yang duduk di parlimen dalam sejarah merupakan sejarah pengingkaran janji yang dibuat mereka. (14-15) Bakunin menjangkakan bahawa jika sosialis berkuasa mereka akan menjadi lebih ganas dan brutal dari kerajaan sedia ada. Chomsky bersetuju dengan pendapat Bakunin ini, bagi Chomsky jangkaan Bakunin ini tepat dan dapat dilihat apabila Bolshevik naik takhta. Lenin dan Trotsky, kemudian disambung oleh Stalin menyaksikan satu pemerintahan yang brutal, yang memberikan satu nama yang buruk pada terma sosialis, kerana setelah itu sosialis sering dikaitkan dengan totalitarian.

Bagi Bakunin idea Marx hanya akan menggantikan penindasan kapitalis dengan penindasan sosialis. (17) Bakunin juga mengkritik pemikiran economic determinism dalam pemikiran Marx, yang beranggapan bahawa situasi dan nasib mereka ditentukan oleh keadaan ekonomi sahaja. (18) Pada pandangan saya persoalan ini merupakan sebahagian dari perdebatan antropologi, ada cendiakawan berpendapat manusia tidak punya sifat semulajadi, mereka hanya punya sejarah, manakala sebahagian lain berpendapat manusia punya sifat semulajadi. Bakunin mengambil posisi bahawa manusia punya daya kretif dalam menentukan nasib mereka. (18) Mungkin pembela-pembela sosialis Bolshevik mengatakan bahawa sistem yang mereka gunapakai adalah hasil keadaan semasa yang tidak ideal, namun Bakunin melihat metod mereka akan tetap memberikan hasil yang sama. (22)

Bagi Bakunin, hiraki yang dibentuk negara akan melahirkan pemimpin, tidak kira pemimpin itu dari parti buruh atau seorang sosialis, yang mempunyai sifat delusional bahawa mereka mempunyai superioriti. Ini juga dapat dilihat dalam kepimpinan kesatuan pekerja, oleh itu bagi Bakunin, setiap anggota harus sentiasa terlibat secara langsung. (23)

Dalam soal ekonomi, idea Bakunin punya persamaan dengan idea sosialis, yang menyatakan bahawa untung hasil dari pekerjaan kolektif perlulah dibahagikan secara kolektif, apa yang sering disebut oleh sosialis sebagai "socialization of production and profits". (7) Namun berbeza dengan sosialis, Bakunin menolak pemusatan kuasa, bagi beliau penyusunan ekonomi berpusat tidak dapat menyelesaikan keperluan manusia yang kompleks. (20)

Idea berkenaan dengan revolusi dalam pemikiran Bakunin pada saya agak membingungkan, dan punya kontradiksi, dalam satu sudut beliau percaya revolusi perlukan oraganisasi agar ia benar-benar membebaskan, (8) di sudut yang lain beliau mengharamkan mana-mana individu mengambil alih revolusi, anarkis bagi beliau perlu membantu revolusi bukan memimpin. Elit revolusi tiada tempat dalam pemikiran Bakunin, mereka perlu membantu revolusi bukan menggantikannya. (28) Ini menimbulkan tanda tanya, jika anarkis tidak memimpin bukankan golongan ideologi lain yang bakal mengambil kepimpinan? Seperti yang dilakukan Bolshevik? Juga adakah revolusi tidak terpimpin mampu berjaya? Bakunin juga sedar bahawa revolusi bermaksud pertumpahan darah dan kehancuran harta benda, bagaimana ini dapat dijustifikasikan dalam mencapai keadilan? (9)

Bakunin percaya aksi kolektif diperlukan untuk mencapai masyarakat anarki, dengan satu gerakan revolusioner tang terkoordinasi. Bagi Bakunin organisasi semasa revolusi bukan dibuat untuk kelangsungan organisasi, tetapi untuk membantu revolusi. Namun persoalannya, apa yang akan menghalang organisasi ini menjadi pemimpin revolusi dan naik ke kuasa? Dan jika mereka tidak memimpin bagaimana kolektif-kolektif dapat tahu arahan mana yang harus diikuti semasa revolusi? (27)

Apakah yang ditawarkan Bakunin untuk menggantikan negara?

Beliau menawarkan konsep federalisme. Iaitu gabungan kelompok-kelompok atau kolektif masyarakat kemudian membentuk federasi. (21) Kolektif ini diberi kebebasan untuk bergabung atau keluar dari federasi sesuai dengan keperluannya. 

Baik, sekarang saya ingin bentangkan inti kritikan saya, serta masalah-masalah yang saya kira tidak dapat dijawab dalam pemikiran anarkis Bakunin (sekurang-kurangnya tidak dijawab dalam makalah ini).

Yang pertama adalah visi masyarakat anarkis yang digambarkan Bakunin berasaskan prinsip kebebasan. (31) Disini saya merasakan ia adalah pemikiran yang naif untuk mengatakan semua manusia mampu bersetuju untuk hidup dengan prinsip kebebasan. Seperti yang pernah dikatakan Zinn, adalah satu kesilapan untuk mengatakan semua manusia mempunyai common interest yang sama, Zinn sendiri merupakan seorang anarkis, hujah beliau semasa muda dalam menentang Perang Vietnam dan menggalakkan civil disobedience pada tahun 1971 melawan hujah Prof. Roger D. Fisher merupakan antara hujah yang sangat saya gemari untuk diulang dengar.

Selain negara, Bakunin juga menganjuran penghapusan gereja, mahkamah, dan bank. (31) Adakah ini selari dengan prinsip kebebasan? Bagaimana dengan kebebasan beragama? Penghapusan mahkamah saya kira antara pemikiran Bakunin yang paling bermasalah. Bakunin menganjurkan bahawa setiap masyarakat mempunyai konsensus dalam pemilihan undang-undang masing-masing, ini akan menghasilkan pelbagai percanggahan. (32) Penjahat menurut Bakunin boleh keluar dari satu masyarakat untuk melarikan diri dari hukuman dan tidak menerima keuntungan dari masyarakat tersebut. (33) Hal ini saya kira sangat problematik, kerana ramai penjenayah akan terlepas dari hukuman hanya dengan keluar dari masyarakat yang didiami. Bagaimana pula jika satu masyarakat menzalimi masyarakat lain, siapakah yang akan menjadi arbiter untuk menyelesaikan pertelingkahan mereka dengan ketiadaan mahkamah dan undang-undang yang berbeza? Hal ini membingungkan.

Bakunin juga berpendapat tidak boleh diadakan tentera tetap, tetapi gerakan pertahanan berbentuk militer dibentuk pada peringkat lokal. (32) Baik, ini mungkin merupakan solusi yang kedengaran ideal, tetapi tidak praktikal. Saya berpendapat ini merupakan kelemahan anarkis dari sudut survival, sosialis walaupun sering dikatakan utopia pernah membentuk negara dan dapat dilihat dari sudut praktik. Yuval Noah Harari dalam bukunya ada mengisahkan tentang bagaimana manusia berubah dari masyarakat memburu kepada masyarakat agrarian, ia adalah perkara survival, kerana masyarakat agrarian dapat mengumpul surplus dan lebih berdaya tahan berbanding masyarakat berburu. Hal ini juga kita dapat lihat dalam situasi ini, masyarakat anarkis akan sentiasa kalah dengan masyarakat negara kerana dalam negara mereka mampu mengumpulkan surplus, membina persenjataan yang kompleks dan besar, oleh itu masyarakat anarkis versi Bakunin akan sentiasa tewas dalam pergelutan survival. Begitu juga dari sudut ekonomi, sistem kolektif yang terpisah-pisah tidak akan dapat mengalahkan sistem kapitalis yang berintegrasi.

Anarkis dan masa depan.

Saya berfikiran bahawa anarkis masih relevan, namun bukan dalam bentuk yang digambarkan Bakunin, falsafah-falsafah kebebasan menurut Bakunin untuk melawan keganasan negara bagi saya merupakan idea yang bernas. Cuma solusinya tidak praktikal. Bagi saya anarkis akan sentiasa wujud dalam mana-mana negara, mereka mungkin tidak kelihatan kerana memang sifatnya yang tidak pro-hiraki. Dan anarkis bagi saya mempunyai fungsi dalam negara, sebagai agitator apabila timbul ketidak-adilan, sebagai agen perubahan, juga sebagai suara-suara yang akan melawan hegemoni negara. Saya lebih dekat dengan pandangan Chomsky yang mendefinisikan anarkis sebagai pemansuhan mana-mana institusi yang tidak dapat mewajarkan kewujudannya, juga aksi Zinn untuk tidak patuh pada negara ketika mereka melakukan keganasan dan kekejaman.

Maka jika didepan kita adalah kezaliman, kita semua perlu menjadi anarkis.

Jumaat, 30 Oktober 2020

Reviu Zine Dari Johor #1


Zine Dari Johor yang pertama ini membawakan definisi anarkisme sebagai tema utama, semestinya anarkisme bukan dapat difahami dengan satu definisi rasmi sahaja, sekurang-kurangnya kita dapat faham apa yang dimaksudkan oleh anarkisme dari anarkis-anarkis Johor.

Dalam muka-muka awal dipersembahkan maksud otonomi (autonomy) iaitu sebagai satu kebebasan untuk menganut nilai-nilai anarkis tanpa perlu diminta persetujuan dari kekuasaan yang lebih tinggi seperti kerajaan. Bagi mereka otonomi bukan sahaja bersifat individu, tetapi juga bersifat kolektif, ia tidak dapat dipisahkan. Perkara ini membuatkan saya berfikir, apabila ditulis "otonomi individu tidak dapat dipisahkan dengan otonomi kolektif" apakah maksudnya? Kerana saya sering melihat bahawa setiap manusia mempunyai kepentingan yang berbeza, dan seringkali bercanggah. Seperti sejarawan Howard Zinn ketika membedah apa itu maksud "kepentingan negara", kerana negara itu terdiri dari pelbagai kelas yang mempunyai kepentingan berbeza. Jadi jika ada perbezaan antara individu atau kolektif, atau kolektif bersama kolektif yang lain, dari sudut praktikalnya, siapa yang boleh membuat keputusan andai jalan perbincangan tidak menemui solusi?

Saya bersetuju dengan tuan editor bahawa terma 'anarkisme' mempunyai konotasi yang negatif dalam masyarakat, ia dipandang dengan "ganjil dan aneh". Media memainkan peranan penting dalam memaknai konotasi negatif ini, sebagai contoh, dalam siri televisyen Gotham, ketika detektif Gordon ingin membersihkan bandarnya dari cartel mafia dan korupsi, ketua mafia Don Falcone memberitahunya bahawa mereka bukanlah musuh sebenar masyarakat kerana mereka bekerjasama dan mengimbangi kerajaan, musuh sebenar kata Dol Falcone adalah anarki. Anarki dikaitkan dengan kacau bilau sedangkan bagi para anarkis maksud mereka mungkin merupakan manifestasi kebencian mereka terhadap perampasan, penindasan, penaklukan, monopoli, dari authority yang berkuasa dan zalim.

Saya faham bahawa zine ini merupakan medium santai bukan buku teks, tetapi saya kira ianya perlu diperbaiki lagi dari sudut teksnya agar mudah difahami. Saya dapati ada ayat-ayat yang tergantung, ayat yang tidak jelas dan tersusun yang menyukarkan pembacaan. Mungkin boleh diminta ia diulang-baca oleh sesiapa sebelum diterbitkan.

Saya juga tertarik dengan usaha-usaha ekonomi yang dibangunkan contohnya String Art, kolektif mereka turut menceburi pelbagai bidang seperti penerbitan, Cukong Press, percetakan pakaian, Organisasi Terlarang. Mereka bukan sahaja bersembang hal-hal idea anarkis tetapi ada sudut praktikalitinya. Mungkin satu hari nanti boleh ditulis pula sejarah dan perkembangan usaha-usaha ekonomi ini dalam zine akan datang satu persatu, ia tentunya mempunyai pelbagai kisah suka dan duka.

Dalam perbincangan perihal forum Seni dan Aktivisme ada ditakrifkan apa itu seni, iaitu seni sebagai aksi, ekspresi dan menyuarakan pendapat, seni bukan sahaja aktiviti seperti melukis, mewarna dan menyanyi kerana itu adalah perbuatan. Definisi seni ini sangat menarik kerana ia membawa makna yang lebih luas, sesiapa pun boleh melakukan kesenian. Saya teringat akan satu temuramah oleh George Carlin ketika beliau sudah tua, beliau ditanya bila hendak bersara, beliau menjawab komedinya adalah satu aksi kesenian, kita tidak akan bertanya kepada Picasso bila dia akan berhenti melukis.

Ada juga diceritakan perihal mat-mat motor yang dianggap rosak oleh masyarakat. Hakikatnya mereka bukanlah rosak kerana mereka ingin rosak, cumanya mereka tidak punya kesedaran tentang apa yang perlu dilakukan untuk memberi sumbangan pada dunia. Diceritakan perihal seorang mat motor yang mendapat kesedaran dan menggunakan circle dan hubungannya sesama mat-mat motor untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang positif. Tuan editor dalam penulisannya menekankan permasalahan ini adalah permasalahan sistem, bukan sahaja mat motor tidak punya kesedaran, tetapi ibu bapa mereka sibuk mengurus hal ekonomi dan tidak sempat untuk mendidik anak-anak.

Tulisan berkenaan dengan solidariti terhadap orang kampung yang menolak pembinaan pusat sisa buangan waste to energy di Bukit Payung turut dimuatkan didalam zine ini. Saya pertama kali memahami dengan dalam masalah ini ketika membaca buku yang ditulis oleh saudara Iltizam Iman Menolak Perintah. Sekali lagi masalahnya bukanlah pada projek ini secara khusus, tetapi masalahnya adalah sistem yang dibuat untuk tidak menyebelahi rakyat. Anarkis sedar akan hal ini, sebab itu permasalahan sistem adalah tema yang selalu diulang di dalam zine ini.

Ada satu artikel khas yang ditulis dalam zine ini oleh Ocha dalam memberi makna kepada anarkisme, walaupun bahasanya agak kasar dan ganas, maknanya saya kira elok direnungkan. Anarkisme adalah sebuah fahaman tanpa ketua, tetapi ia memahami realiti hidup, iaitu ada ketika seorang pembuat keputusan diperlukan, maka ketika itu seorang ketua boleh dilantik, tetapi apabila ketua itu bertindak membahayakan orang lain, dia perlu digugat dan diturunkan. Makna ini saya kira dekat dengan makna yang pernah diberi oleh Noam Chomsky iaitu mana-mana sistem kuasa yang tidak dapat menjustifikasikan kewujudan mereka perlulah dirobohkan.

Cuma artikel itu sedikit mengelirukan, walaupun ia ditulis oleh Ocha, ditengah-tengahnya editor masuk dan menulis "thanks Ocha". Saya kira elok kiranya setiap artikel ditulis tajuk dan penulis di permulaan untuk memudahkan pembacaan dan tidak mengelirukan, ucapan terima kasih mungkin boleh dimasukkan di penghargaan di permulaan zine. Artikel berkenaan kemudian menyambung bahawa anarkisme adalah ideologi ekonomi, bersifat alamiah, tanpa campur tangan kuasa dan kepentingan yang menindas. Anarkisme yang dituduh buruk tidak mencetuskan perang-perang dunia, sebaliknya merekalah yang melawan kuasa-kuasa yang sering berperang. Anarkisme percaya bahawa masalah utama masyarakat adalah masalah ekonomi, kerana dari ekonomi sesuatu masyarakat terbentuk.

Artikel yang ditulis oleh Grinder Kulaifornia II juga menarik minat saya, yang membawakan idea untuk menghidupkan sebuah lorong di Kulai iaitu Lorong Ismail. Ia diberikan nama istimewa sebagai Lorong Underground Art Space (LUAS). Saya begitu tertarik dengan misi untuk menjadikan LUAS sebagai "sebuah tempat yang penuh dengan keamanan dan ketenangan untuk mereka yang sukakan suasana street sambil mengopi dan menikmati aktiviti-aktiviti seni". Semoga usaha ini berjaya, dan semoga satu hari nanti saya boleh tumpang mengopi pula disana!

Selain artikel ganas perihal makna anarkisme, Ocha juga menyumbang satu lagi artikel dalam zine ini yang bertajuk "Peranan Percetakan Dalam Gerakan", mungkin ia adalah inspirasi kepada penubuhan Cukong Press. Dalam artikel itu dibawakan satu tokoh anarkis bernama Liu Shifu yang tidak begitu terkenal seperti tokoh anarkis lain seperti Proudhon, Bakunin, Stirner dan Goldman. Ia juga menceritakan bagaimana ideologi anarkis masuk ke Malaysia.

Artikel oleh Saleng Kulai yang bertajuk Kongsi Pengalaman juga menarik, terutamanya perbincangan tentang bagaimana teknologi membuatkan dunia semakin rapat. Eropah, Asia, Timur Tengah, semuanya kini mendekati antara satu sama lain, berinteraksi, belajar dan berhubung tanpa kekok. Perbincangan berkenaan dengan bagaimana teknologi mendekatkan dunia yang terpisah ini juga membuatkan saya terkenang buku yang ditulis Thomas Friedman yang bertajuk The World is Flat, idea Saleng Kulai ini menjadi teras kepada thesis buku Friedman itu.

Artikel Utopia tulisan Kulai Besar bagi saya merupakan artikel yang mempunyai nilai falsafah. Artikel ini cuba untuk menjawab tuduhan bahawa idea anarkisme adalah bersifat utopia yang tidak boleh dicapai. Ia juga membincangkan soal taktikal, ia tidak gelojoh dengan memulakan misi untuk merobohkan negara serta merta sebaliknya memulakan gerak kerja dengan keadaan yang ada, dengan sumber dan tenaga yang ada. Dalam pertahanannya, penulis mengkritik bahawa kapitalisma sendiri juga belum tertegak secara ideal seperti dalam teorinya, dalam kata lain kapitalisma juga adalah idea utopia. Saya rasa renungan ini benar, jika kita membaca buku yang ditulis ekonomis Ha-Joon Chang dalam bukunya yang sangat mudah difahami, 23 Things They Don't Tell You About Capitalism, Chang mengkritik idea free market yang diperjuangkan oleh kapitalisme. Kerana hakikatnya free market tidak wujud, contohnya kita tidak boleh menjual dadah, atau menggunakan buruh kanak-kanak, kenapa? Sekiranya pasaran itu terbuka, bukankah pasaran yang perlu menentukan apa yang hendak dijual-beli, bukan moral. Jadi jika dikatakan idea kapitalisme itu utopia, saya boleh menerimanya. Jadi persoalan yang tinggal, kenapa masyarakat menerima kapitalisme dan menolak anarkisme jika kedua-duanya idea yang utopia? Hakikatnya kita semua dalam proses menuju kepada sesuatu, idea yang utopia itu hanya memberi kita hala tuju destinasi yang hendak kita tuju.

Banyak lagi point-point yang menarik dalam zine ini untuk difikirkan, tidak muat untuk posting yang terbatas ini, elok dibaca dan diperhalusi sendiri. Saya akhiri ulasan zine ini dari kata-kata akhir editor sendiri, Redo, "tanpa diperintah dan memerintah, tanpa dimiliki dan memiliki, tanpa hieraki dan autoriti, tanpa patriaki dan matriaki, tanpa kuasa untuk menguasai!"