Ahad, 31 Mei 2020

Keperluan Kepada Pendidikan Seksual



Jika siapa yang pernah membaca buku saya, mereka akan mendapati kritikan saya terhadap sistem pendidikan. Ya, saya setuju, tidak boleh kita longgokkan semua pendidikan di bahu sekolah, kerana sekolah mempunyai banyak limitasi. Jadi kritik terhadap pendidikan itu bersifat umum. Antara perkara yang saya pernah kritikkan, sesuatu yang saya rasa hilang dari sistem pendidikan kita adalah mendidik manusia menjadi ahli keluarga dan masyarakat, pendidikan kita terlalu berfokus kepada melahirkan pekerja, graduan mahu segera dipasarkan, graduan dan pasar tidak dapat dipisahkan.

Tanpa menafikan kepentingan untuk berkerja, yang merupakan inti utama dialektik materialisma Marx, iaitu manusia memerlukan keperluan-keperluan material untuk hidup, kita juga tidak dapat menafikan bahawa manusia itu bukan sekadar tercipta untuk bekerja. Selepas habis 8 jam bekerja dia akan pulang kepada keluarga dan masyarakat, dia menjadi ‘ahli masyarakat’. Marx sendiri sedar akan perkara ini, sebab itu dia menulis manusia perlu bebas bukan sekadar menjadi pekerja. Kata Marx, manusia perlu bebas “memburu di pagi hari, memancing di tengah hari, menjaga lembu sebelah petang, dan menjadi pengkritik selepas makan malam”.

Selain pendidikan menjadi ahli masyarakat, pendidikan mengurus kewangan, yang hilang dari silibus kita, pendidikan seksual juga hilang dari silibus kita. Saya bukanlah seorang advocate untuk pendidikan seksual di sekolah, tetapi bagi saya pendidikan itu perlu dilalui sebelum ahli masyarakat mendirikan rumah tangga. Ya, kita ada kursus kahwin sebelum berkahwin, tetapi setelah melaluinya saya rasa ia tidak cukup untuk mendidik ahli masyarakat kita.

Pendidikan seksual juga merupakan taboo dalam masyarakat, saya tidak dapat bayangkan ibu bapa mengajar anak mereka perihal seksual dalam masyarakat kita. Saya yakin ia perlu diajar oleh pihak ketiga. Namun jika pihak ketiga itu adalah pornografi dan bahan-bahan yang merosakkan, masyarakat kita (lebih spesifik anak muda kita) akan mendapat kefahaman yang salah tentang persoalan seksual. Membantu masyarakat mengurus konflik seksual rumah tangga dengan tertib dan mengikut lunas syariat.

Sebab itu kita memerlukan satu pendidikan yang selamat, tidak lucah, mengikut syariat Islam, bagi memenuhi keperluan ilmu baik untuk yang akan berumah tangga atau belum berumah tangga. Seorang sahabat berkongsi kepada saya salah satu bentuk pendidikan yang disediakan oleh seorang ahli kaunselor yang bertauliah dengan harga yang sangat murah. Saya merasakan usahanya sangat baik untuk mengisi salah satu kotak kosong pendidikan dalam masyarakat kita. Saya yakin dengan penerangan beliau, beliau meminta bantuan saya mempromosikannya agar lebih ramai mendapat manfaat.

Saya sertakan linknya disini bagi mereka yang memerlukan. Jangan risau, privasi anda dijamin selamat, dan kandungan pendidikannya selari dengan kajian psikologi sains moden dan bernaung di dalam syariat Islam.

Moga-moga ia membantu ahli masyarakat yang memerlukan ilmu ini agar terbina masyarakat yang aman, bahagia, dan sejahtera. Insha’Allah ameen. 

Pengalaman Merentas Negeri Semasa PKPB



Petang Khamis baru saya mendapat surat kebenaran dari syarikat mengesahkan yang saya perlu ke pejabat keesokan harinya. Sebaik sahaja isteri saya pulang dari pejabat beliau saya terus ke balai polis. Di pos kawalan saya bertanya sama ada kaunter rentas negeri masih dibuka. Abang Polis menjawab:

"Kaunter dah tutup la abang, buka sampai jam 4 petang sahaja, esok datang semula jam 8 pagi, borang kebenaran syarikat ni tak cukup untuk rentas negeri, perlu ada kebenaran polis, esok abang datang balik jam 8 pagi".

Ah, sudah. Esok giliran saya untuk masuk pejabat adalah pada jam 8. Mustahil boleh sampai tepat pada masa, jadi setelah pulang saya emel semula pengurusan untuk tukar giliran saya kepada jam 10 pagi, dan mereka benarkan. Saya sedikit lega. Selepas sarapan ke-esokan harinya saya ke balai lagi. Jam 8 saya sudah mula beratur, ketika itu masih belum ramai orang lagi, baru ada dalam 8-9 orang. Kemudian datang abang polis buat pengumuman bahawa kaunter buka jam 9.30 pagi, jadi siapa yang belum makan boleh pergi makan dahulu katanya.

Ah sudah. Kalau pukul 9.30 baru buka, mana sempat nak sampai ke Georgetown jam 10 pagi. Tak apalah, saya pasrah. Kemudian datang pakcik polis mula mengagihkan borang, borang ini sama dengan borang yang pihak PDRM bekalkan online, jadi elok anda membawa pen ke balai, jam 9 orang mula ramai, barisan beratur juga sudah panjang sehingga ke luar balai. Ada seorang abang datang dan mula menjadi agitator "depa ni tak fikir pasal orang, tengah panas macam ni nak suruh orang beratur panjang, takda akai". Saya malas masuk campur, dalam hati saya berterima kasih pada abang polis yang suruh saya datang awal jam 8 semalam.

Jam 9.30 kaunter mula dibuka di dalam dewan. Makcik polis dengan laudspeaker memanggil frontliner untuk memotong barisan, juga siapa yang sudah menghantar borang semalam diberi keutamaan. Sampai giliran saya masuk dewan abang polis yang menjaga pintu bertanya 

"Ni nak pergi mana?". 

"Kerja" jawab saya pendek. 

"Kerja apa?" tanya abang polis lagi. 

"Data analyst" jawab saya. 

Abang polis kelihatan bingung seketika, bukan abang polis sahaja, ramai kawan dan sahabat handai juga sukar mengerti nama perkejaan tersebut, kerana ia diluar norma pekerjaan tipikal biasa seperti cikgu, doktor, berniaga, dan sebagainya. Saya dibenarkan masuk dan ditunjukkan ke kaunter bagi permohonan kebenaran bekerja.

Kakak polis di kaunter pun mula menyoal siasat. 

"Ni kerja kat mana?". 

"Georgetown, Penang" jawab saya ringkas. 

"Kenapa ada kat sini? soalnya lagi.

Soalan ini menyebabkan saya bingung seketika. Adakah ini soalan falsafah kewujudan? Menurut Rene Descartes, manusia itu berfikir, kemampuan akal untuk berfikir itu menjadi bukti untuk meyakinkan diri sendiri bahawa dia wujud, kata Rene "I think, therefore I am". Adakah jawapan yang saya patut berikan pada akak polis "I think, therefore I am here". Tapi saya meneka bahawa akak ini bukan ingin berfalsafah.

"Saya duduk Sungai Petani kerja di Penang" jawab saya.

Akak tersebut pun tanpa apa-apa reaksi menandatangani dan cop lulus borang saya. Saya kemudian ke kaunter nombor siri sebelum dilepaskan.

Selesai urusan balai saya terus masuk lebuh raya Utara-Selatan. Tenyata aliran trafik ringan, tanpa kesesakan. Saya singgah di Shell Sungai Dua untuk mengisi minyak. Hanya RM40 untuk isian penuh tanki Myvi, saya terkejut dahulu sekitar RM60, ternyata harga minyak sangat rendah sekarang, hanya 138 sen seliter, jauh lebih rendah dari janji-janji manis Rafizi 150 sen seliter. Parking di depan KWSP ternyata penuh, saya ingat musim berkurung ini pejabat ini lengang, saya silap. 

Di ofis saya bertemu Vinup, abang guard dari Nepal. Beliau seperti biasa mesra dan mudah tersenyum, saya disuruh untuk scan QR code untuk mendaftar masuk dan diambil suhu bacaan. Selesai mendaftar Vinup memberi saya pass sementara untuk masuk (saya lupa bawak pass). Pejabat kelihatan lengang dan tenang. Saya terus ke meja sendiri, ahhh nostalgia. Lama rasanya dah tak ke pejabat, rindu meja sendiri (tapi tak rindu nak buat kerja). Sementara saya mengemas barang-barang yang nak di bawa pulang Umar Bhai datang menyapa. Sebelum ini dia merajuk tak mahu tegur (saya pun tak tahu merajuk sebab apa), mungkin sebab berbulan berkurung dia murung dan sepi jadi dia tegur untuk memecahkan isolasi sosial, Umar Bhai tanya bila semua orang mahu balik pejabat, saya kata mungkin bulan depan. Lepas selesai dan kembali menyerahkan pass terjumpa Zul yang sedang menyiapkan kerja-kerja persiapan pembukaan semula agar mematuhi SOP kerajaan. Dalam perjalanan pulang saya sempat singgah ke Shell Sungai Dua sekali lagi, sudah berbulan minum Nescafe Gold, hari ini saya hadiahkan tekak saya Hazelnut Latte Costa Coffee, bukan nak hipster, sekali-sekala apa salahnya, bagi melawan kemurungan PKPB.

Keluar tol Sungai Petani Selatan apabila pulang baru saya ditahan oleh sekatan jalan raya. Ternyata tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih longgar dari PKP sebelum ini, kerana ini satu sahaja sekatan yang saya temui. Kelihatan kereta didepan saya dipandu seorang amoi menghadapi kesukaran menjawab soal siasat polis. Hingga abang askar yang memegang senapang pun datang untuk melihat apa yang berlaku. Namun akhirnya dia dilepaskan. Sampai giliran saya, saya buka tingkap untuk menyerahkan borang.

"Ada borang, OK jalan" kata abang polis tanpa menyemak borang saya.

Sabtu, 30 Mei 2020

129 & Kelemahan Sistem Demokrasi

Setelah suhu politik negara kembali sejuk, dan keadaan kelihatan reda. Kini kelihatan ia kembali berkocak apabila negara menyaksikan pemecatan beberapa ahli parlimen dari sebuah parti yang menyatakan mereka 'bersatu', namun kini mereka dilihat lebih 'berpecah' dari bersatu. Juga pakatan yang telah jatuh dari takhta kini sekali lagi bangun menyatakan mereka mempunyai "angka" sebanyak 129. Krisis matematik yang kita jangka telah selesai kini mungkin menarik negara kita semula kepada krisis baru. 

Demokrasi secara definisinya memang merupakan satu bentuk kerajaan yang tidak stabil. Ini diakui sendiri oleh pemikir yang sangat totok memperjuangkan 'demokrasi liberal' seperti Francis Fukuyama yang menyatakan ia tidak stabil kerana mana-mana rakyat boleh menyuarakan rasa tidak puas hati, agitate, protes, melemahkan keyakinan rakyat pada kerajaan, hinggalah menjatuhkan kerajaan atas nama kebebasan bersuara, kebebasan media, dan kebebasan berpolitik. 

Oleh kerana ia merupakan suara popular rakyat, mana-mana ideologi popular, baik konservatif, progresif, bahkan fasis boleh memegang puncak takhta jika mereka berjaya menyebarkan propaganda dengan efektif dan mempengaruhi pemikiran dan sentimen rakyat. Proses ini diteruskan sehingga ia mencapai satu 'critical mass' atau krisis yang akan melahirkan perubahan. Seperti kata Milton Friedman, krisis, sama ada realiti, atau direka akan menatijahkan perubahan. Ini boleh berlaku sepanjang tahun, 24 jam, menjadikan mana-mana kerajaan yang memegang kuasa tidak efektif. 

Oleh kerana itu, jika kita menyaksikan wacana yang membandingkan demokrasi dengan sistem lain, demokrasi yang liberal dilihat lemah. Hal ini lebih jelas apabila perkiraan ekonomi diambil kira. China sebagai contoh, sering menggunakan hujah bahawa mereka merupakan "civilization state", mereka boleh melindungi perkembangan ekonomi dengan sistem politik yang stabil (walaupun represif dari kaca mata Barat). Oleh itu kita lihat, ketika Donald Trump yang naik atas semangat populis dan mengenakan pelbagai sekatan kepada mereka, China kelihatan tenang, kerana mereka tahu Trump akan ditukar juga dengan pilihanraya, manakala Xi Jinping masih akan kekal sekiranya ajal belum menjemput. Sistem politik China membolehkan mereka bermain "long game", membuat polisi untuk jangka masa panjang, untuk 20-30 tahun (seperti One Belt One Road), bukan polisi pendek demokrasi yang hanya bertahan 5 tahun kemudian akan bertukar dengan bertukarnya kerajaan. 

Korea Selatan yang hari ini dilihat sebagai sebuah negara Asia yang maju juga dimodenkan bukan dengan demokrasi. Kemajuan ekonomi Korea dilakukan dibawah pemerintahan diktator Park Chung-hee yang memaksa rakyatnya berubah kepada industri berat. Park tidak akan berjaya memaksa perubahan ini jika pemerintahannya tidak stabil, berjangka pendek dan sering diancam pertukaran. Begitu juga Jepun dibawah pemerintahan Meiji. Singapura dibawah pemerintahan satu parti PAP kelolaan Lee Kuan Yew. Juga Malaysia dibawah bapa permodenan negara, Tun Mahathir yang sering digelar diktator. 

Jika kita optimis, mungkin krisis-krisis yang melanda negara ini bersifat sementara, sementara menanti bentuk pemerintahan yang stabil dan bertahan lama. Jika kita pesimis, mungkin ini pengakhiran negara kita yang akan terus berada dalam "perpetual state of crisis" yang akan memadamkan kejayaan yang kita bina selama ini, atau melahirkan "political vacuum" seperti di Libya yang berakhir dengan perang saudara.


Sabtu, 23 Mei 2020

Catatan Baitul Muslim 29: Anak Menangis Malam



Menidurkan anak menangis di malam hari merupakan satu peperangan yang akan dilalui oleh ibu bapa yang membesarkan anak ketika mereka berumur 1-2 tahun. Perang ini bertambah mencabar jika anak tersebut menangis dan meraung tanpa henti hingga lewat pagi, sedangkan kedua ibu bapa akan bekerja esok pagi. Di sini biasanya hubungan suami isteri bakal teruji, apabila kesabaran sampai ke tahap breaking point.

Kadang-kadang kita juga tertanya-tanya bagaimana anak kecil ini mempunyai begitu banyak tenaga menangis dengan begitu lama. Anak menangis mungkin disebabkan pelbagai perkara, namun jika lampinnya telah disalin, dan susu telah diberi, jika dia masih konsisten menangis, ibu bapa bakal menjadi buntu. Mereka perlu meneka apa kehendak anak kecil tersebut kerana dia tidak mampu lagi bertutur. Dalam situasi ini, pendekatan kita seharusnya mencari sebab-sebab luaran, bukan terus mengambil keputusan bahawa bayi kecil itu dirasuk syaitan.

Boleh jadi perutnya sakit, atau giginya mahu tumbuh, atau mimpi buruk. Kita harus faham bahawa anak ini baru mengenal dunia, baru mengenal emosi, kemungkinan besar dia menangis tanpa henti kerana dia masih belum berjaya mengawal emosi. Seperti di awal usia di mana dia belum mahir mengawal kaki untuk berjalan.

Suami juga dalam hal ini perlu bertimbang rasa. Tidak boleh semuanya diletak di bahu isteri. Suami yang baik adalah suami yang rela berkorban untuk bangun membancuh susu, atau mengambil giliran mendodoi anak dan memberi peluang kepada isteri untuk tidur. 

Sememangnya ia waktu yang sangat mencabar. Masing-masing penat dan buntu. Keadaan genting dengan jeritan dan tangisan, mudah untuk masing-masing jatuh ke lembah amarah. Bercakap perihal sabar pada situasi ini terbukti seribu kali lebih senang dari betul-betul dapat bersabar. Waktu malam kadang-kala menjadi satu waktu yang sangat menyiksakan, menakutkan, memenatkan, dan meninggalkan perasaan trauma. Namun andai diurus bersama dengan baik, kasih sayang akan mengatasi amarah. Anak itu akan membesar dan belajar mengawal emosi, jadual tidurnya akan menjadi lebih teratur dan konsisten, keadaan akan kembali tenang.

Oleh itu, kepada ibu bapa yang masih bertarung untuk menidurkan anak di malam hari, ketahuilah bahawa ia adalah ribut sebentar yang akan berlalu pergi. Selepas berlalunya ribut ini, malam akan tenang semula disuluh cahaya bulan dan diterangi jutaan bintang. Teruskan perjuangan, satu hari nanti anda akan tersenyum bersama mengenangkannya.

Jumaat, 22 Mei 2020

Memaknai Rumi: Siri 9



Saya suka menyimpan puisi-puisi Rumi, berbanding dengan buku-buku lain, yang biasanya saya akan cuba berusaha seupaya untuk menghabiskannya secepat mungkin, puisi-puisi Rumi saya simpan dan membacanya dengan perlahan. Kadang-kadang berbulan-bulan sebelum saya berpindah dari satu puisi ke puisinya yang lain. Tentulah saya bukan seorang insan yang boleh menghadap Rumi dalam teks asal yang berbahasa Farsi, tetapi translasi ke Bahasa Inggeris juga masih mempunyai aura untuk menjentik jiwa.

We know separation so well because we've tasted the union. (47)

Perpisahan merupakan sebahagian daripada intipati kehidupan, malah mungkin ia adalah tujuan kehidupan itu sendiri. Sejak kita lahir, kehidupan kita dipenuhi perpisahan. Kita mula dengan menyusu bersama ibu kita, kemudian semakin besar kita berpisah dengan susu dan mula mengunyah makanan-makanan ruji. Kita belajar berkawan dan bermain di tadika, taska, kemudian seiring usia kita, kita tinggalkan guru dan rakan-rakan kita di tadika. Begitulah seterusnya, ke sekolah, universiti, kita bersama dengan rakan-rakan yang kita kenali sepanjang hidup, tiba masanya kita akan berpisah dengan mereka.

Ada perpisahan yang sementara, ada pula yang kekal tak mampu digugat oleh kuasa manusia. Kita akhirnya akan berpisah dengan orang yang kita sayangi, ayah kita, ibu kita, atuk nenek kita, isteri dan suami kita, anak-anak kita, walaupun mungkin pada saat ini tak tercapai dek akal kita untuk berpisah dengan mereka, tetapi apabila saatnya tiba, kita hanya ada air mata. Begitu jugalah dengan kehidupan yang kita nikmati ini, akhirnya kita akan berpisah dengannya, dan berlayar ke samudera abadi, yang hujungnya adalah takdir yang tak dapat kita singkapi.

Mungkin kita takut akan perpisahan, kita tak dapat bayangkan kesedihan yang bakal menimpa kita. Kenapa? Kata Rumi, hal ini adalah kerana kita telah menikmati kebersamaan. Kita telah merasai kemanisan kasih sayang, kita telah menyentuh kehangatan kehidupan, ia telah sebati dengan diri dan perasaan kita. Kita tak mampu untuk sedih jika kita berpisah dengan orang yang kita tidak pernah jumpa, yang kita tidak kenal nama, yang kita tidak pernah bertukar kata dengan mereka. 

Sama ada kita takut, kita sedih, kita mahu atau tidak mahu, mampu atau tidak mampu, kehidupan tidak akan pernah peduli. Kehidupan tetap akan memberikan kita perpisahan, kerana ia adalah batu bata kehidupan. Sebelum kita diberi perpisahan, masa yang kita ada sekarang adalah apa yang kita boleh genggam, boleh abaikan. Atau mungkin, boleh kita hargai.

Politik, Thymos, dan berakhirnya Ramadhan



Ramadhan tahun ini sepertinya tenang, walaupun peristiwa dan drama politik terus bermain di pentas media, kelihatannya ia tidak banyak menangkap imaginasi dan perhatian rakyat. Mungkin kerana keberkatan Ramadhan, juga keterbatasan PKP, mengalih fokus masyarakat untuk hal-hal lain seperti ibadah dan kelangsungan hidup. Pada hal itu, ada juga baiknya saya kira, kerana kita manusia perlukan rehat, maka mungkin ini peluang kita merehatkan emosi dalam masa yang sama menenggelamkan diri dalam sujud mencari ketenangan dari Pencipta, mengejar janji-janji-Nya. 

Walaupun hal-hal politik ini sentiasa dikaitkan dengan kekotoran, ketamakan dan naluri haiwani manusia mengejar kekuasaan, namun suka atau tidak suka, politik menentukan banyak perkara dalam hidup kita, dari harga makanan asas, yuran pengajian, insuran pekerjaan, semuanya sikit atau banyak berkait dengan polisi pemerintahan yang termasuk dalam kluster politik. Oleh itu, sukar untuk kita menjadi agnostik perihal politik, atau melepaskan diri sepenuhnya. Kecuali jika kita berjaya mengasingkan diri didalam hutan belantara, dan terpisah dari integrasi peradaban dunia moden. Kita perlu sentiasa menjadi pelajar kepada sejarah dan politik, dan pembelajaran itu bukan sahaja didapati dalam buku dan teks literatura, tetapi juga peristiwa dan perkembangan terkini, yang seharusnya menjadi ilmu waqi'ei (semasa) kepada kita. 

Pendedahan rakaman audio baru-baru ini yang berdurasi lebih dua jam, merupakan antara kuliah ilmu yang menarik. Disini rakyat bawahan yang tidak mengisi mana-mana borang boleh mendengar syarahan-syarahan dari pensyarah yang mempunyai pelbagai latar belakang dari pelbagai bidang pengkhususan. Ada yang datang dari latar Islam progresif, liberal demokrat, populis, oppurtunis, kroni kapitalisma, reformis, juga bidang pengkhususan kecil seperti e-sport. Kita dapat lihat perspektif mereka, juga teknik mereka berbahas dalam menyelesaikan masalah. Sesi syarahan ini, jarang-jarang dapat kita dengarkan, ia adalah sesi pelajaran yang baik. 

Kaca mata kita selalunya melihat pergelutan politik dari kaca mata Machiavelli, iaitu politik hanya sanya perihal merebut kuasa tanpa ada batasan moral. Atau dalam kata lain, untuk berjaya dalam politik, strategi dan helah lebih utama dari pertimbangan moral. Mungkin ada benarnya analisis ini. Namun manusia itu kompleks, tingkah lakunya sukar untuk diterangkan dalam satu aspek sahaja, contohnya kegagalan Darwinisma untuk menerangkan konsep altruism dan moral. 

Plato dalam usahanya menerangkan sifat manusia membawakan  'Tripartite Soul' dimana manusia itu mempunyai tiga bahagian. Yang pertama adalah Eros yang disamakan dengan kehendak yang memenuhi keperluan fizikal seperti makan dan minum, yang juga wujud dalam haiwan dan tumbuhan. Yang kedua adalah Logos, keupayaan intelek dan kemampuan untuk berfikir, dimana haiwan juga mempunyai kemampuan berfikir walaupun terbatas. Yang ketiga adalah yang hanya unik untuk manusia, iaitu Thymos. Thymos mempunyai tafsiran yang pelbagai seperti spiritedness, atau dalam tradisi Islam sering disebut sebagai kerohanian. Thymos dapat menerangkan perilaku manusia yang berlaku diluar logik kehendak dan rasional akal. Contohnya mengapa manusia berperang, ia diluar logik kehendak (kehendak untuk kekal hidup) juga rasional akal (kebolehan untuk menyelesaikan pergaduhan dengan diplomasi dan mengelakkan kesengsaraan). 

Francis Fukuyama dalam bukunya perihal berakhirnya sejarah mengaitkan Thymos dengan falsafah Hegel yang menyatakan bahawa ia adalah sifat manusia yang inginkan pengiktirafan. Peperangan sebagai contoh, merupakan usaha manusia untuk mendapatkan pengiktirafan akan kehebatan sebuah bangsa dan negara, walaupun ia tidak masuk akal dari sudut ekonomi. Fukuyama mengaplikasikan konsep ini kedalam politik, dimana jika sebelum ini kita hanya melihat ia sebagai pergelutan politik tanpa batas moral ala-Machiavelli, sebenarnya ia mempunyai lapisan lebih dalam, berkaitan sifat manusia yang mahukan pengiktirafan. Maka konsep Thymos Fukuyama ini boleh membantu kita merasionalkan gerak-geri ahli politik yang mungkin tidak masuk akal jika kita lihat dari perspektif lain. 

Yang sudah menjadi Perdana Menteri mahu diiktiraf legasinya, yang belum mahu diiktiraf pengorbanan reformasinya. Yang muda ingin diiktiraf idealimanya, begitulah seterusnya. 

Pergelutan, pertikaman, dan pergaduhan politik sudah tentu akan berterusan lagi tanpa penghujung. Tetapi Ramadhan sudah sampai kepada penghujung, dan hidup kita juga pasti akan sampai ke penghujung. Tidak salah kita belajar, dari buku, dari peristiwa, atau dari rakaman audio sulit yang didedahkan. Tetapi kita juga perlu memberi peluang kepada jiwa kita untuk berehat, bermunajat, dan merasai kemanisan-kemanisan ibadah. Semoga Ramadhan kita diterima, ibadah kita diiktiraf Pencipta, dan sujud kita berjaya menenangkan jiwa. 

Selamat beribadah dan selamat menyambut Aidilfitri. Maaf lahir dan batin.


Sabtu, 16 Mei 2020

Dilema Demokrasi Liberal



Demokrasi tidak semestinya liberal seperti yang dikarang oleh Fareed Zakaria dalam bukunya The Future of Freedom, kerana demokrasi dan nilai liberal merupakan idea yang berbeza. Zakaria menulis bahawa nilai liberal merupakan hasil produk pemikiran Barat yang telah menjadi tradisi mereka sekian lama. Sementara banyak negara-negara lain yang menjadi demokrasi tidak mempunyai tradisi liberal, pemaksaan demokrasi liberal kepada masyarakat juga tidak akan berjaya kerana ia merupakan kerajaan berdasarkan sokongan popular.

Nilai demokrasi yang berteraskan kesaksamaan juga walaupun sering dikahwinkan dengan nilai liberalisme, mempunyai pertentangan dengan idea kebebasan liberal apabila dilakukan dalam sudut praktis. Sebagai contoh, jika kita ingin membentuk masyarakat yang sama rata, kita perlu menghadkan kebebasan individu. Sebagai contoh apa yang dibuat oleh Kesatuan Soviet, dalam mengagihkan kekayaan secara sama rata, kebebasan pemilikan harta perlu dihadkan. Jika kita memberi kebebasan secara sepenuhnya juga, seperti di Amerika sebagai contoh, ini akan menimbulkan masalah kerana manusia akan bebas mengumpul kekayaan dan berbelanja sesuka hatinya, ini akan melahirkan masyarakat dengan jurang antara yang kaya dan miskin membesar dan melebar.

Demokrasi liberal bagi Francis Fukuyama merupakan sistem politik akhir bagi manusia, ia adalah sistem yang telah sempurna dimana tidak akan ada lagi falsafah pemikiran politik baru yang akan menggangtikannya atau menambahbaiknya. Walaubagaimanapun, Fukuyama sendiri mengakui bahawa sistem demokrasi sebagai lemah, sukar mengawal manusia kerana dalam demokrasi kelemahan kecil akan diperdebatkan, akan sentiasa ada suara yang mengkritik, menaikkan rasa tidak puas hati masyarakat, dan menimbulkan rasa tidak percaya kepada pemerintah.

Pengalaman di Malaysia juga merupakan satu pemerhatian yang menarik, apabila satu kerajaan yang memegang konsep demokrasi liberal menaiki takhta ternyata ia rebah diatas beratnya sendiri. Para pemimpin mengkritik parti komponen sesama sendiri secara terbuka atas nama kebebasan. Perkara ini mudah digunakan oleh pembangkang yang tidak perlu mencipta modal kerana mereka diberi peluru sendiri oleh pihak kerajaan untuk menembak pihak kerajaan. Oleh kerana tiada disiplin dalam hal ehwal kritikan ini, pemerintahan sangat rapuh, malah bercakaran sesama sendiri, saling lemah melemahkan atas nama kebebasan mengkritik. Akhirnya timbul rasa tidak senang hati sesama sendiri, berlaku pengkhianatan sesama sendiri, dan runtuh harapan yang dibina hasil tangan-tangan mereka sendiri.

Walaupun karangan Fukuyama sangat mengasyikkan, disulami pemikiran falsafah dan hujah dialektik yang elegan, sukar untuk diterima thesis beliau apabila kita memandang apa yang berlaku dari sudut praktis.

Manusia pertama menurut Hegel



Dalam sejarah Islam manusia pertama yang diciptakan adalah Nabi Adam. Manusia pertama menurut Georg Wilhelm Friedrich Hegel yang akan kita perkatakan kali ini bukanlah manusia pertama yang diciptakan dalam sejarah. Sebaliknya ia adalah eksperimen minda untuk mengetahui sifat semulajadi manusia, ataupun apa yang dikatakan sebagai sifat alami manusia. Sifat ini merupakan sifat manusia yang sama selepas ditanggalkan personaliti yang dibentuk oleh budaya atau agama, contohnya jika manusia itu dilihat sebagai manusia, bukan sebagai orang Malaysia atau orang Cina atau seorang jurutera atau seorang yang beragama Hindhu.

Hegel tidak mempunyai doktrin tentang apa yang dikatakan sebagai sifat asal manusia, beliau juga menolak fahaman yang mengatakan sifat manusia itu tetap dan tidak berubah. Manusia menurut Hegel tidak ditetapkan sifat-sifatnya sebaliknya boleh mencorakkan sendiri sifat yang diingininya seiring peredaran zaman. 'Manusia pertama' oleh itu adalah manusia asal sebelum berlakunya 'perubahan sendiri' ini, iaitu sebelum terciptanya masyarakat sivil dan sebelum bermulanya sejarah, manusia pertama ini merupakan manusia dalam keadaan asal mereka.

Manusia pertama menurut Hegel mempunyai sifat-sifat yang sama seperti haiwan seperti sifat mempunyai keinginan untuk makan, tempat tinggal, dan survival kehidupan. Sifat-sifat ini merupakan kaitan manusia dengan dunia fizikal dan alam semula jadi. Tetapi manusia mempunyai perbezaan besar dengan haiwan dimana manusia mempunyai keinginan yang tidak material, manusia mempunyai keinginan yang diingini oleh manusia lain. Manusia ingin diiktiraf sebagai manusia oleh manusia lain. Dalam kata lain, manusia adalah makhluk sosial, perasaannya sentiasa berkemahuan agar orang lain memandang pada dirinya yang akan membuatkan dia berasa berharga. Hal ini berbeza dengan haiwan, sementara haiwan juga merupakan makhluk sosial, mereka tidak berkeinginan untuk mendapat pengiktirafan, monyet sebagai contoh berkeinginan kepada pisang untuk makan, monyet tidak berminat untuk diiktiraf sebagai monyet yang paling cantik dikalangan semua masyarakat monyet.

Penafsir Hegel, Alexander Kojeve menyatakan bahawa manusia juga seringkali berkeinginan perihal sesuatu yang tidak berguna dari sudut biologi, contohnya manusia ingin mendapatkan piala, atau ingin merampas bendera musuh dalam peperangan. Manusia bukan sahaja ingin pengiktirafan, dia juga ingin 'pengiktirafan sebagai manusia'. Dia mahu dia dilayan seperti manusia.

Pertembungan antara manusia-manusia pertama menyaksikan mereka bertarung antara satu sama lain. Masing-masing ingin mendapat pengiktirafan. Pertarungan ini seringkali merupakan pertarungan berdarah dan berakhir dengan tiga keputusan. Yang pertama, kedua-dua manusia yang bertarung mati, mengakibatkan berakhirnya kemanusiaan. Kedua, salah seorang mati, menyebabkan yang kedua tidak juga puas kerana tidak mendapat pengiktirafan. Yang ketiga adalah manusia yang lemah menyerah diri untuk tidak mati lantas mengiktiraf manusia kedua sebagai penguasanya. Disinilah bagi Hegel datangnya hiraki sosial, kontrak sosial dan ketidaksamaan kelas manusia.

Persoalan manusia pertama menurut Hegel ini adalah antara topik perbincangan Francis Fukuyama di dalam kitab karangannya The End of History and the Last Man. Mungkin kita bertanya apa perlunya kita mengetahui pemikiran Hegel berkenaan manusia pertama atau sifat alami manusia, atau mungkin mengapa kita perlu tahu tentang falsafah? Bagi saya ia adalah satu instrumen untuk memahami dunia, bagaimana kita hendak terima perlakuan-perlakuan manusia dan menganggap ia 'masuk akal'. Kata-kata Karl Marx yang merupakan anak murid Hegel dan digelar sebagai Young Hegelian saya kira menarik untuk memahami kepentingan falsafah. Kata Marx "ahli falsafah telah mentafsirkan dunia dengan pelbagai bentuk dan cara, namun, matlamat utamanya adalah untuk kita mengubah dunia". Dalam erti kata lain, kita tak mampu mengubah dunia jika kita tidak memahaminya.

Ahad, 10 Mei 2020

Mengenang Abu Asri bin Zailani



Orang kata semakin kita berusia, semakin sedikit kita akan mempunyai kawan baharu. Oleh itu seharusnya kita sentiasa menjaga jalinan yang kita ada dengan sahabat-sahabat yang kita ada. Saya kadangkala, jika teringat pada seseorang sahabat, cepat-cepat saya akan mesej atau talifon, sehingga kadang mereka berasa pelik, mungkin takut saya cuba mempromosikan produk jualan. Bagi saya ia adalah peluang untuk bertanya khabar, bertegur sapa, dan mungkin itu adalah sapaan terakhir. Membelek-belek blog usang saya ini, baru saya sedari saya belum pernah menceritakan pada dunia tentang kisah seorang sahabat yang sangat dekat dengan hati saya namun dia telah pergi jauh, tidak dapat dicapai lagi oleh tangan manusiawi, sudah tidak boleh disapa dan dicanda-candakan. Kata Imam Ghazali "yang paling jauh adalah masa lalu", kini Abu berada sangat jauh dari diri ini, namun senantiasa dia dipeluk oleh ukhuwwah di dalam hati ini. Bulan Ramadhan ini, merupakan bulan yang mulia, moga sedikit coretan ini mengingatkan kembali beberapa manusia yang masih ada di muka bumi perihal seorang manusia yang bernama Abu Asri bin Zailani, dan harapannya sudilah mereka mengirim doa kepadanya yang kini sudah menetap di kampung abadi.

Abu bagi saya lebih dalam hubungannya untuk diungkapkan dengan perkataan "sahabat", kami bermain dan membesar bersama di sebuah kampung tarbawi di hujung utara Malaysia. Kampung yang dilitupi ladang getah dan diteduhkan oleh bukit kecil bernama Bukit Tunjung itu menjadi tempat kami berkenalan, berjumpa, bersahabat, hinggalah tercipta talian darah ukhuwwah antara kami. Walaupun tidak sekelas, kami sangat akrab, saya sejak dari awal lagi memang suka bersahabat dengan teman di kelas sebelah, jika rehat pun saya akan duduk di kelas sebelah, sesi prep sebelah malam pun saya akan berada di kelas sebelah, malah jika "tuang" perhimpunan pun saya biasanya akan menyorok di kelas sebelah. Mungkin jiwa saya tidak begitu mendakap dengan idea bahawa saya adalah "budak kelas sains" atau mungkin sebab kelas sebelah mempunyai stok majalah Kreko, Utopia, majalah dan komik Gempak Starz, juga novel-novel Ramlee Awang Murshid yang mencukupi untuk dibelek, yang merupakan "barang-barang seludup" di zaman persekolahan.

Abu merupakan teman se-talam saya di asrama. Makanan merupakan komoditi yang sangat berharga di asrama, oleh sebab itu biasanya pelajar junior akan menyorokkan biskut-biskut mereka di laci-laci rahsia di dalam locker asrama. Antara keseronokan teman setalam bersama Abu adalah kerana dia mempunyai sebuah cecair hitam ajaib yang mampu menjadikan apa-apa menu yang disediakan oleh medan makan menjadi begitu menyelerakan, hatta ikan termenung pun boleh jadi begitu sedap, cecair ini dinamakan "sambal kicap Johor". Selama saya hidup, tidak pernah lagi saya makan sambal kicap sesedap sambal kicap Johor yang dibawa oleh Abu ke asrama yang dikirim oleh bundanya yang tersayang di Simpang Renggam. Malah ketika saya sudah habis zaman sekolah sekalipun, saya masih meminta sambal kicap dari Abu untuk dibawa ke Rusia. Botol mineral besar berisi sambal kicap Johor Abu merupakan bahan yang paling berharga dalam peti ais saya semasa menuntut ilmu di Saint Petersburg, malah ada rakan-rakan yang datang ke bilik untuk merasai sambal kicap yang Abu kirim pada saya kemudian meminta resepi. Moga-moga sebelum saya mati, saya sempat bertandang ke Simpang Renggam, berjumpa bonda Abu dan merasai sekali lagi kelazatan sambal kicap Johor.

Di asrama, saya dan Abu ada sedikit persamaan, kami berdua bukan orang Utagha, jadi kebanyakan cuti jika kami tidak pergi menumpang kasih dirumah kawan-kawan di Alor Setar atau Sungai Petani, kami akan menghabiskan masa bersama. Antara aktiviti kegemaran kami adalah menyeludup keluar dari asrama untuk mendaki Bukit Tunjung. Zaman itu Bukit Tunjung masih lagi berambut lebat, lengkap dilitupi pohon-pohon hijau, tidak botak seperti hari ini. Kami akan membawa stok megi, air mineral dalam botol, periuk, untuk memasak di puncak bukit. Abu pula membawa tilam asrama! Di gulungnya tilam asrama menjadi silinder, di ikat dan di pikul hingga ke puncak. Selama beberapa tahun tilam itu ada di puncak Bukit Tunjung sebelum ia reput. Pemandangan Perlis dari atas puncak Bukit Tunjung begitu majestik, kami akan duduk berehat, bersembang, bergelak ketawa, dan berkongsi earphone untuk mendengar radio dari radio kecil bernama Palito. Jika cuti panjang kami akan balik ke selatan bersama menaiki tren KTM, kami akan duduk di gerabak tengah yang boleh dibuka pintu, duduk merasai angin berlari di muka berderu-deru sambil melihat permandangan sawah padi yang terbentang seluas saujana. Saya dahulu ada simpan gambar kami duduk disitu, Abu memakai t-shirt hijau Mexico yang saya hadiahkan kepadanya, entah dimana hilang gambar tersebut. Kadang-kala dalam perjalanan balik Johor, Abu akan singgah dan tidur dirumah saya, dan kami meneroka ibukota Kuala Lumpur bersama. Zaman kami bersekolah belum lagi zaman Facebook, saya masih ingat nama Yahoo Messenger Abu iaitu Mr_Adventure.

Satu malam selepas tamat SPM, saya masih ingat kami berjalan berdua dibawah gelap malam di Taman Melati untuk keluar makan, kerana tiada adik-adik junior, warden tidak begitu keras terhadap kami untuk keluar (sebab kalau keras pun keluar juga). Abu seperti biasa, berkain pelikat dan kopiah, kelihatan konfiden, kami selalu mengusik Abu "eh ko ni konfiden je atuk", kerana itu sikapnya yang merupakan anak sulung, dan kerana wajahnya yang kelihatan lebih berusia dari kami, kami beri dia nama timangan sebagai "atuk". Malam itu tamat SPM seolah-olah satu beban batu terlepas dari kepala, terasa begitu bebas, dan dunia terbuka untuk diteroka. Abu berkata malam itu "aku tak nak jumpa korang lepas kita keluar sekolah, lagi 10 tahun baru jumpa balik, baru boleh tengok perbezaan sorang-sorang". Namun Tuhan mempunyai perancangan yang tidak dapat disingkapi makhluk, Abu dipanggil pulang sebelum cukup 10 tahun kami keluar sekolah. Namun aku bersyukur, kerana belum pun 10 tahun kami selalu bertemu.

Tamat persekolahan kami di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) kami berpecah mengejar mimpi dan impian masing-masing. Saya ke luar negara dan Abu menyambung pengajian di Kolej Teknologi Darul Naim, Kelantan. Ketika cuti musim panas, saya pernah pulang ke Malaysia dan menziarahi beliau. Abu begitu teruja hingga membawa saya ke Rantau Panjang, itu pertama kali saya ke Rantau Panjang. Tamat pengajian Abu pulang ke Johor untuk menguruskan perniagaan ayahnya, manakala saya menyambung ijazah di sebuah universiti awam di Skudai. Sering kali jika saya dalam perjalanan dari Skudai-KL atau KL-Skudai, saya akan singgah di Restoran Rni yang diuruskan Abu, kadang kala saya tumpang tidur di kedai atau di rumahnya di Sungai Linau. Abu akan membawa saya melihat lembu ternakannya, pusat sembelihan ayam, dan saya masih ingat menaiki motor bersama Abu pada satu pagi, beliau membawa saya tour melihat ladang sawit dan ladang nenas sebelum kami mencari kedai roti canai. Abu menganggap saya seperti adik beradik, dia tidak pernah berkira apa pun, jika saya mahukan sesuatu pasti dia cuba untuk menunaikan hajat saya. Di hujung-hujung hayatnya beliau kerap menalifon saya untuk bersembang perihal kehidupannya, dia pernah mengajak saya untuk pergi menemaninya memancing di kelong, saya bukanlah seorang kaki pancing, tetapi saya berminat dengan pengalaman baru, namun kami tidak pernah sempat untuk ke kelong bersama.

Seingat saya, perjumpaan terakhir saya bersama arwah Abu adalah pada bulan Mei 2016, di mana kami berkonvoi bersama untuk menghadiri majlis perkahwinan Saiful Islam Izraei dan Azaruddin (Pakdin/ Din Tony). Abu dipanggil pulang oleh Allah dalam sebuah nahas apabila bot yang dinaikinya terbalik di Empangan Semberong, mayat beliau dijumpai oleh skuad selam pasukan Bomba dan penyelamat pada bulan Ogos 2016. 

Terlalu banyak kenangan manis bersama Abu, perasaan kasih berukhuwwah masih membasah sehingga ke hari ini, segala jenaka dan gelak tawanya masih didamba dan dirindukan. Tidak ada album gambar yang dapat membantu mengubati perasaan rindu ini. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya doakan moga Allah merahmati Abu Asri Zailani, memaafkan Abu, dan menempatkan Abu di syurga bersama orang-orang yang beriman. Kira anda membaca cebisan perasaan saya ini, sudilah kiranya untuk menghadiahkan sebuah doa buat sahabat yang sangat saya kasihi dan rindui ini. 

Dalam kenangan, 
Abu Asri bin Zailani.
9 September 1990 - 22 Ogos 2016.


Sabtu, 9 Mei 2020

Catatan Baitul Muslim 28: Pluviophile



Pada musim pandemik ini, ketika sekolah dan tadika ditutup, baru ibu bapa merasai apa yang dirasai oleh guru-guru dan cikgu-cikgu disekolah. Masa bersama anak-anak dari pagi sehingga ke malam tujuh hari seminggu. Anak-anak merupakan sumber kebahagiaan rumah tangga, wajah suci tulus mulus mereka ketika tidur membuatkan hati yang keras menjadi lembut, membuatkan hati yang marah merasa sayang. Namun ada ketika mereka menjerit, menangis sepanjang hari, berkelakuan nakal, sehingga menyebabkan ibu bapa boleh menjadi separuh gila. Itulah lumrah membesarkan anak-anak, namun haruslah kita sedar, apa yang kita rasakan beban hari ini akan menjadi memori dan kenangan indah disatu masa depan, dimana mereka sudah besar dan keluar dari rumah kita, kita akan menangis merindukan masa-masa mereka masih ringan, mudah didukung dan digomol pipi.

Semasa Amni masih kecil sekitar dua tahun, saya masih ingat kadang-kala jika umminya penat dan ingin berehat, saya bawa dia keluar untuk melihat hujan. Kami akan duduk bersama merenung air hujan yang turun berderu-deru dari langit, jika dia menangis melihat hujan akan membantu dia berhenti menangis. Ketika itu Amni belum boleh bertutur, maka kami pun sekadar duduk merenung bersama, mungkin kami sama-sama menyukai bau yang dibawa oleh hujan, juga musik rintik-rintik hujan bersama suhu yang menenangkan.

Idlan juga seperti mempunyai minat yang sama, apabila mendengar bunyi hujan dia akan menyebut "shaea" berulang-ulang kali dan berlari ke pintu mengajak saya keluar. Shaea adalah evolusi perkataan dari "hujan" kepada "jan" kepada "shan" dan akhirnya menjadi "shaea". Ini adalah berkataan awal Idlan yang boleh disebut selepas "shark", "bear", "kakak" dan "nak" ketika ini dimana dia masih berumur setahun setengah. Apabila keluar, selain merenung, saya biasanya akan memegang tangannya supaya dia dapat merasai rintik-rintik hujan, selepas beberapa ketika dia sendiri yang mengeluarkan tangannya untuk memegang hujan dan kadang kala menghulurkan kepalanya kepada air hujan. Sudah tentu saya tidak memberi tahu pada umminya kerana beliau akan jatuh risau Idlan akan jatuh demam.

Dalam bahasa Inggeris seseorang yang suka kepada hujan disebut sebagai "Pluviophile". Namun sebenarnya setiap kejadian Tuhan itu menenangkan. Manusia mencipta pelbagai jenis peralatan canggih, namun dia akan juga masuk ke hutan, pergi ke tepi pantai, mandi di sungai untuk mencari ketenangan. Di musim tidak boleh mengembara ini, Tuhan turunkan hujan untuk membawa ketenangan.

Selasa, 5 Mei 2020

Kerinduan Pada Mereka Yang Telah Berlabuh Ke Kampung Abadi



Semalam entah mengapa saya teringat dan termenung jauh tentang kematian. Satu perasaan gerun tiba-tiba menyusup menggegarkan jiwa. Akan tiba satu masa, saya tidak mampu lagi merasa apa yang saya rasa, membuat apa yang saya mahu, memegang, mencinta, membenci, atau dalam kata lain tidak lagi hidup. Berfikir tentang mati adalah perkara biasa, ia datang dan pergi, kadang kita terfikir tentangnya tanpa apa-apa perasaan, adakalanya saya juga berasa mahu hilang dari dunia ini, tetapi semalam terasa lain. Perasaannya terasa sangat dalam. Apabila difikir secara benar, diguna minda untuk membayanginya, kegerunan yang dibawa mati menyentakkan jiwa.

Banyak kematian disekeliling saya yang sangat mengesani jiwa. Yang paling pertama menggugat jiwa adalah arwah Azri (Muhammad Azri bin Aminuddin, 18 Disember 1991 - 4 April 2016) yang merupakan teman yang sangat saya kasihi. Kami bertemu di Rusia sewaktu belajar dan beliau merupakan junior setahun dari saya. Banyak kenangan dan memori bersama, pernah bersama kembara ke Scandinavia semasa cuti musim panas. Tamat pengajian juga kami sangat rapat bersama, beliau sering berjumpa saya dan berbincang perihal masalah-masalah kehidupannya. Sayang saya terhadap Azri sehingga saya pernah bertanya padanya jika dia sudi bernikah dengan seorang ahli keluarga saya. Gambar profile picture beliau di Facebook yang terakhir adalah gambar ketika beliau datang beraya di rumah saya bersama Rauff, bila saya buka semula ia sangat mengesani hati. Beliau dipanggil pulang Tuhan dalam satu kemalangan, pada ketika itu saya baru mula berkerja di tempat baru, beberapa hari saya murung dibilik sewa. Sampai hari ini saya masih terkilan kerana tidak dapat hadir memberi penghormatan terakhir.

Pemergian arwah Farizul Firdaus (Mohamad Farizul Firdaus Bin Shafie, 02 Mei 1990 - 25 Julai 2019) juga sangat membekas di hati. Kami panggil beliau Pejo, beliau merupakan rakan sebilik saya ketika dalam pengajian di Petersburg. Selain sebilik, beliau juga merupakan rakan sepasukan dalam pasukan bola dan futsal universiti. Teman sebilik dan sepermainan. Alhamdulillah sempat bersama mencandat sotong beberapa minggu sebelum beliau pergi, walaupun pada ketika itu beliau sibuk dengan urusan kerja dan tidak dapat bersembang lama. Saya bersyukur kerana sempat hadir menziarahi keluarganya meskipun tidak sempat bersama menguruskan jenazah beliau kerana jarak Pulau Pinang-Terengganu yang agak jauh, dan kami tiba ketika semuanya telah selesai.

Antara sahabat yang kehilangannya memberi kesan yang sangat mendalam juga adalah arwah Abu (Abu Asri bin Zailani, 9 September 1990 – 22 Ogos 2016). Abu merupakan teman sepermainan di sekolah menengah di MATRI. Walaupun kelas berbeza hampir setiap masa lain saya menghabiskan masa dengan Abu. Masing teringat perjalanan jauh dari Perlis ke KL Sentral, kami menaiki tren KTM, membuka pintu gerabak tengah sambil duduk, bersama menikmati permandangan bendang sambil merasakan angin yang berderu-deru kerana tren bergerak pantas. Saya masih ingat kata-kata beliau satu malam selepas SPM bahawa tidak mahu berjumpa kecuali selepas 10 tahun, beliau mahu melihat perubahan pada diri kami, namun kami sering juga bertemu selepas habis sekolah. Semasa saya menyambung pengajian di Johor, saya sering ke restorannya di Sempang Renggam, selalunya saya akan tidur di sana dalam perjalanan ke Skudai. Pagi-pagi beliau akan membawa saya menaiki motor meneroka ladang kelapa sawit sebelum mencari kedai roti canai. Hampir semua masalah hidupnya, dari keluarga hingga ke percintaan akan beliau luahkan pada saya. Malah beliau sanggup turun ke KL untuk meluahkan perasaan. Pemergian teman sepermainan seperti Abu begitu membekas dihati, seluruh album gambar tidak mampu mengubati rinduku padanya.

Kematian terbaru yang meragut separuh jiwa saya adalah pemergian arwah ayah (Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus, 30 April 1959 – 29 Febuari 2020) pada hujung Februari tahun ini. Secara jujur saya tidak ada rasa ada perkara yang masih 'tertinggal' untuk saya ucapkan pada ayah. Segalanya telah cukup bagi saya, ayah telah menyempurnakan tugasnya di dunia. Anak-anaknya sudah besar, dan dari aspek kerjaya pun ayah telah berpencen. Cuma mungkin saya tidak sempat menyalin sejarah keluarga dari ayah, ayah memang menjaga rapat hubungan keluarga. Hampir semua keluarga sepupu sepapat dia jejaki semula, kenduri anak-anak mereka dia cuba hadir. Kadang kala ayah cerita letak duduk seseorang dalam salah silah keluarga yang saya sendiri tak mampu ingat. Walaupun telah sempurna tugasnya, pemergian ayah membuatkan rasa kehilangan itu cukup nyata. Mengucup wajahnya yang telah sejuk mengalirkan air mata yang tak pernah cukup untuk dicurahkan.

Mungkin benar kematian itu satu tazkirah buat insan, kematian sepatutnya menghidupkan hati yang masih bernyawa agar dia tidak terlupa untuk "hidup" dalam masa yang sama mengumpul bekal untuk berangkat ke kampung abadi.

Dari Allah kita datang, dan kepadanya jua lah kita akhirnya akan kembali.

Pergerakan Islam & Cabaran Untuk Kekal Relevan


Pemikiran Syed Qutb berkenaan dengan "Islam VS Sistem Jahiliyah" merupakan pemikiran yang lahir di zaman dimana Mesir pada ketika itu dicengkam oleh nasionalisme yang sangat pekat. Agama ditekan dan ramai tokoh yang menentang idea yang dipegang kerajaan menghembuskan nafas terakhir mereka di tali gantung.

Idea ini ternyata berkesan kerana ia merupakan idea yang simple dan mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat. Baik ahli akedemik atau petani, pelajar universiti atau tukang kayu, hatta golongan buta huruf sekali pun boleh memahami idea bahawa "selain Islam adalah jahiliyah". Ia tersebar luas dan dianggap sebagai idea revival Islam, dan mempengaruhi banyak pergerakan lain diserata dunia Islam yang pada zaman itu sedang bertarung dengan kolonialisme, imperialisme dan pelbagai cengkaman lain.

Saya tidak bermaksud untuk mengkritik pemikiran Syed Qutb, kerana bagi saya ia mempunyai sumbangan besar dalam mengembalikan Islam dalam diri ummat ini. Ia merupakan catalyst kepada perubahan, perubahan yang kita nikmati hari ini.

Situasi di Malaysia juga banyak berubah. Kita tidak lagi di jajah oleh kuasa kolonial (secara fizikal, minda terjajah merupakan perbahasan lain). Islam tidak di tekan dan kita lihat banyak perubahan yang positif bagi Islam. Jika dahulu anak-anak ke sekolah memakai seluar pendek dan skirt, kini kita melihat sekolah-sekolah berpakaian uniform yang menutup aurat. Dahulu hanya ada pinjaman konvensional, sekarang kita sudah ada pembiayaan dari bank-bank Islam, instrumen pelaburan patuh syariah. Saluran TV yang memaparkan program Islam sudah tidak asing. Kita perlu menerima hakikat bahawa zaman telah berubah.

Pemikiran perlu berubah sesuai dengan zamannya. Hatta pandangan ulama juga berubah mengikut zaman, tempat dan waqi. Jadi untuk kekal relevan, kita perlu bersama berubah mengikut perubahan. Bukan bermakna kita mengorbankan 'al-aslu'  kita, tetapi perlu memahami realiti. Walaupun banyak perubahan yang positif, masih ada ruang untuk kita perbaiki dalam masyarakat dimana Islam boleh memberi solusi.

Pergerakan Islam hari ini merasai kekurangan tenaga muda. Tenaga muda yang di didik oleh institusi sendiri, akhirnya keluar dan tidak bersama arus pergerakan Islam. Kenapa? Jawapan paling mudah adalah ini adalah tapisan, mengeluarkan hati yang tidak ikhlas manakala yang ikhlas akan terus kekal. Namun, hari berganti tahun, kita melihat yang tertapis itu semakin banyak, yang menjayakan program adalah muka yang sama. Semakin lama ia lebih seperti 'kelab pencen' dari sebuah pergerakan Islam yang segar dan sihat. Seharusnya kita bertanya, mengkaji, dan jujur menyelesaikannnya.

Kita masih menggunakan istilah 'sistem ini haram', 'sistem ini hanyalah Islam tempelan' dalam masa yang sama tidak dijelaskan sistem yang bagaimana boleh diterima sebagai sistem Islam yang jelas, manifestasinya, praktikalitinya. Dalam masa yang sama anak-anak di dalam institusi kita mengambil kursus Islamic banking, keewangan Islam, syariah dan mereka akhirnya bekerja di bank-bank Islam, ada yang menjadi sukuk arranger, ada yang menjadi penasihat syariah di bank, ada yang menjadi pegawai di institusi yang mengeluarkan status patuh syariah terhadap produk kewangan. Mereka melihat dan mendengar paradoks ini, sistem jahiliyah pada masa program, namun di institusi kita ia merupakan subjek yang mereka pelajari dan tempat mereka mencari rezeki. Lama ke lamaan mereka menjauh, mereka tidak nampak persamaan pemikiran ini dengan realiti.

Mungkin banyak lagi faktor yang menjauhkan anak muda dari pergerakan, mungkin juga faktor perbezaan pemikiran dan realiti ini tidak dominan. Namun ini merupakan salah satu faktor (besar atau kecil terbuka kepada perdebatan). Ia harus dilihat dengan jujur, diperbaiki, agar pergerakan Islam kekal relevan dan mampu memberi manfaat kepada generasi yang akan datang. Ia adalah amanah untuk kita, dan kita akan dipersoalkan.

Ahad, 3 Mei 2020

Impian Sebagai Enjin Manusia



Apa yang membuatkan seorang ibu yang penat berkerja sepanjang hari, kemudian balik kerumah menjaga anak-anak, memasak dan membasuh baju, kemudian setelah anak-anaknya tidur, dia menyalakan lilin untuk menulis novel? Apa yang membuatkan seorang pemuda yang bekerja tiga kerja sehari, dari pagi hingga ke malam, kemudian memberikan hampir semua hasil titik peluhnya kepada orang lain? Apa yang membuatkan seorang anak kecil, yang hidup miskin dan terhina, keluar dari rumah persembunyiannya dan membaling batu-batu kecil kearah kereta kebal yang memasuki kampungnya? Apa yang membuatkan seorang lelaki yang baru pulang membeli belah dikedai, dengan plastik penuh barang keperluan, berdiri dihadapan kereta kebal yang ingin masuk kedalam bandarnya?

Mereka semua melakukan semua ini kerana mereka mempunyai sebuah impian.

Impian merupakan enjin yang sangat berkuasa dalam menggerakkan manusia untuk berusaha untuk mencapai sesuatu yang belum wujud. Sesuatu yang dia belum rasa, sesuatu yang bagi dirinya akan membuatkan dirinya bahagia, membuatkan dirinya terasa lengkap.