Selasa, 15 Ogos 2023

Catatan Baitul Muslim 64: Anak-Anak dan Realiti


Benar, saya rasakan benar. Bahawa sebenarnya tiada yang dapat menyediakan kita dengan cabaran untuk membesarkan anak-anak. Tidak buku, tidak kelas, tidak juga penyampaian atau ceramah. Bukanlah semua itu tidak bermakna dan sia-sia, tetapi ia tidak akan pernah cukup. Kita akan merasai cabaran yang sebenar hanya apabila kita sudah mempunyai anak-anak sendiri. Seperti kita hanya akan faham akan kesakitan ditumbuk apabila tumbukan itu singgah di muka kita. Kita hanya akan memahami realiti apabila realiti berada di depan kita dan ia merenung tepat pada anak mata kita.

Dan saya kira walaupun ilmu dan teori itu ada manfaatnya, kita tidak boleh berpegang dengannya dengan jumud atau dogmatik. Jika sesuatu teori itu tidak berjaya menatijahkan keputusan yang baik di alam realiti, kita harus segera meninggalkannya dan mencuba kaedah-kaedah yang lain. Masa dan suasana berubah, realiti kehidupan berubah, aplikasi teori juga perlu berubah, kita tidak boleh mencedok sesuatu pada zaman dahulu dan mengaplikasikannya pada zaman ini tanpa mengambil kira perubahan yang ada.

Antara perkara yang saya rasakan perlu dititik beratkan dalam diri anak-anak adalah merasai tanggungjawab. Contohnya apabila anak-anak mula bersekolah, kita mungkin perlu mengerah dan membantunya melakukan kerja rumah pada setiap malam. Namun kita perlu mempunyai strategi untuknya perlahan-lahan melakukan kerja ini sendiri, dan dibantu hanya apabila perlu, contohnya apabila dia buntu. Anak-anak perlu dilatih merasakan kerja-kerja ini adalah tanggungjawab mereka, bukan tanggungjawab ibu bapa. Sampai ke satu tahap, apabila telah disuruh dan anak itu gagal melakukan kerja sekolahnya, perlu diberi ruang agar anak tersebut tidak siap kerjanya dan dimarahi guru pada keesokan hari di sekolah. Bagi saya ini adalah proses pembelajaran.

Anak-anak bukan sahaja belajar menyiapkan kerja sekolah, dia juga diajar untuk bertanggungjawab sekiranya kerja itu tidak dapat dilunaskan. Dengan ini perlahan-lahan, kita dapat melepaskan anak-anak itu melakukan kerjanya sendiri. Jika rasa tanggungjawab ini tidak kita bina, bayangkan jika kita mempunyai lebih dari satu anak. Mampukah kita membantu mereka semuanya setiap malam? Pasti tidak. 

Menjadi seorang ayah, saya juga menyedari bahawa sebenarnya kita merupakan pengenalan kepada anak-anak dalam banyak perkara. Saya sendiri sebagai seorang anak, teringat bahawa banyak perkara yang saya dapat dalam hidup hari ini merupakan sesuatu yang diperkenalkan kepada saya oleh arwah ayah saya. Makan buah-buahan sebagai contoh, teringat akan pasar pagi Ahad di Greenwood, arwah ayah selalu membawa saya mengikutinya, dan dia suka membeli buah di pasar pagi. Saya kira, hari ini, saya suka makan buah-buahan kerana pengenalan dari ayah. Buah-buahan mengingatkan saya kepada memori ini.

Begitu juga anak-anak kita. Kita merupakan pengenalan pada mereka. Jika kita memperkenalkan buah rambutan misalnya, dia mungkin akan menggemarinya sehingga ke tua, dia akan mempunyai memori awal perihalnya. Namun, tentulah tidak semua yang kita perkenalkan akan menjadi kegemaran mereka. Contoh lain adalah persekitaran. Kita yang memperkenalkan anak-anak pada peringkat awal pada persekitarannya. Misalnya jika kita rajin membawa anak setiap petang bermain di luar rumah, mereka akan menjadi anak-anak yang suka bermain di luar dan mempunyai banyak kenangan perihalnya. Begitu juga sebaliknya.

Saya teringat akan perbualan saya dengan Hazri, teman saya satu ketika dahulu. Beliau menceritakan bagaimana isterinya mahu berpindah rumah. Kerana baginya suasana di kawasan perumahannya ketika itu tidak kondusif untuk pembesaran anak-anak. Kebanyakan anak-anak di sekeliling rumah mereka tidak bersekolah dan terbiar. Suasana ini dibimbangi akan mempengaruhi pembesaran anak mereka. Saya bersetuju dengan pemikiran isterinya, memang suasana sekeliling sangat penting. Siapa yang menjadi kawan anak-anak kita akan mencorakkan pemikiran awal mereka. Kawan-kawan mereka di usia formatif mempunyai pengaruh rakan sebaya yang kuat. Jadi ini memerlukan intervensi dan pantauan dari ibu bapa. 

Jika anak-anak kita sudah mempunyai kawan, tidaklah bererti kita sudah terlambat. Kita sebenarnya masih mempunyai peluang mempengaruhinya. Antara caranya adalah dekati kawan anak-anak kita. Kenal pasti kawan-kawan baiknya dan pastikan kawan-kawan baiknya ini juga dekat dengan kita. Kita boleh mengambil hati mereka dengan memberi hadiah kepada mereka. Apabila kawan-kawan baiknya sudah kita tawan, kita boleh mempengaruhinya dengan perantaraan kawan baiknya tadi. Namun, walaupun secara teorinya hal ini dapat dilakukan, mempraktikkannya di alam realiti tidaklah semudah teori. Namun, apa pun yang terjadi, hendaklah kita sedar bahawa segalanya sebenarnya belum terlambat. Selagi hayat dikandung badan, kita masih merupakan ibu dan bapa, dan kita tidak pernah gagal selagi kita tidak berhenti mencuba.

Jumaat, 4 Ogos 2023

Catatan MTP Ke-34


Setelah beberapa tahun tidak bertemu mata dengan sahabat-sahabat, akhirnya pada tahun ini saya dapat menghadiri MTP yang diadakan di Bangi Avenue Convention Center. Secara peribadi, saya tidaklah begitu tertarik dengan hal-hal perihal urusan mesyuarat dan sebagainya. Tetapi apa yang lebih dinantikan adalah pengisian-pengisian jiwa serta bertemu sapa dengan sahabat-sahabat dari seluruh negara. Ternyata MTP kali ini sememangnya mengesankan jiwa bukan sahaja dengan pengisian-pengisian formalnya, tetapi juga dengan perbincangan dan sembang santai dalam lapis-lapis yang terselit sepanjang program.

Antara insan istimewa yang saya temui kali ini adalah Dr. Khairul Anwar, yang merupakan guru saya di UTM pada satu ketika dahulu. Berbual dengan Dr. Khairul sememangnya mengasyikkan, hingga semua orang sudah meninggalkan dewan, kami masih berbual. Antara topik menarik yang kami bualkan adalah perihal bagaimana penyampaian ustaz-ustaz, termasuklah Almarhum Cikgu Abdullah Thaidi yang baru meninggal dunia mempunyai lapis-lapis perasaan. Ini membezakan penyampaian mereka dengan orang lain, dan lapisan ini berjaya menyentuh hati manusia. Lapisan-lapisan perasaan yang ada dalam penyampaian ustaz-ustaz ini tidak dapat ditangkap melalui penulisan. Ini adalah kelebihan memberi penyampaian dalam bentuk oratori, yang tidak dapat diungkapkan melalui kaedah tulisan.

Kami juga berbual perihal apa yang menyebabkan seseorang itu mengikuti gerakan Islam, bagi Dr. Khairul beliau lebih terpengaruh dengan kekuatan pemikiran yang disampaikan. Bukan bergantung pada sosok atau figura. Bagi beliau ini penting, kerana kepimpinan berubah dan berlalu pergi, jika kita melekatkan hati kita pada figura, kita akan berpecah sekiranya berlaku perubahan kepimpinan. Sebaliknya jika kita bersama atas dasar kefahaman, perubahan figura akan dirasakan sebagai sesuatu yang biasa, dan ia tidak menjejaskan penglibatan kita.

Tetamu yang diundang pada perhimpunan kali ini adalah Prof. Muhammad Nur Manuty, walau pun beliau tidak berapa sihat dan sering berbatuk semasa penyampaian, saya kira penyampaiannya sangat tegas dan bermakna. Beliau menekankan bahawa selain dakwah dan tarbiyah, aspek ilmu tidak boleh dikesampingkan. Beliau memetik kata-kata Almarhum Yusuf Qardhawi bahawa kita perlu "mengheningkan kebangkitan Islam dengan ilmu". Juga antara kalam beliau yang menarik adalah ulasan dari kata-kata Saidina Ali "akhul fiddeen, akhul fil watan, akhul fil insan". Yakni penting untuk kita menjaga persaudaraan kita sesama manusia, bukan sahaja persaudaraan atas nama agama dan negara. Jika kita dapat menggerakkan konsep akhul fil insan, beliau berpandangan bahawa Malaysia mampu menjadi Andalusia baru.

Akhir sekali, yang dinantikan pastilah amanat dan pesanan presiden. Tema perhimpunan kali ini adalah kepimpinan, oleh itu Dr. Abdullah Sudin menekankan aspek kepimpinan sebagai sebuah khidmat kita kepada masyarakat. Masyarakat hendaklah merasai khidmat kita. Jika kita tiada atau mati, masyarakat mestilah merasai kehilangan, itu adalah tanda bahawa khidmat kita berkesan, iaitu kehilangan kita dirasai. Jika aspek ini difahami, kepimpinan tidak akan direbut dan menjadi seperti satu perlumbaan. Masing-masing mahu berebut jawatan. Tetapi apa yang diperlukan adalah masing-masing memberi khidmat kepada masyarakat. Jika ini difahami, maka semua orang mampu menjadi pemimpin kerana kita semua mampu berkhidmat.

Begitulah sedikit sebanyak catatan yang saya rasa berharga untuk dinotakan di blog usang ini. Sekadar menyambung lidah untuk menyebarkan kebaikan. Moga Allah izinkan lagi saya untuk menyambung ukhuwwah bertemu sahabat-sahabat di masa yang akan datang. Dan dalam kesempatan yang singkat dan sedikit itu, mampu saya kutip sedikit mutiara-mutiara hikmah.

Selasa, 1 Ogos 2023

Jika angin yang bertiup mempunyai jiwa


Jika angin yang bertiup mempunyai jiwa,
apakah perasaannya?

Jika daun yang meliuk redup boleh berkata,
mahukah dia bersembang dengan manusia?

Jika belum habis nipis benang nyawa,
adakah kita akan menghargainya?

MATRI: Tentulah masih tersisa sedikit rindu

Gambar saya pada tahun 2003 di MATRI semasa tingkatan satu.

Saya mendaftarkan diri dan memulakan pengajian di MATRI 20 tahun yang lalu. Terasa begitu sekejap 20 tahun itu berlalu pergi. Bagi saya, sebesar mana pun saya, setinggi mana pun saya, sejauh mana pun saya pergi, apabila masuk semula ke pagar sekolah ini, saya tetap merasa kerdil, kecil, dan rendah. Tetap masuk menunduk, seperti budak kecil berbaju raihan hijau 20 tahun yang lalu. Apabila pulang ke kampung lama saya ini, saya akan sentiasa masuk sebagai seorang pelajar, yang kecil dan sederhana. Kehidupan mungkin telah membawa saya jauh ke ceruk-ceruk dunia, tetapi apabila pulang di sini, saya sentiasa merasakan bahawa saya akan menjumpai semula hati saya. Seolah-olah ia telah tertanam di sini, setiap kali pulang pasti hati terasa redup, sedikit hiba, rindu dan bahagia.

Walaupun infrastrukturnya berubah, begitu juga orang-orang yang mewarnai sekolah ini telah berubah, saya merasakan ruhnya masih ada, masih segar jika kita memberinya peluang, jika kita mahu kembali memeluk rindu, MATRI sentiasa membuka dakapannya untuk semua anak-anaknya, siapa pun mereka hari ini. Tentulah saya merindui guru-guru dan teman-teman sepermainan saya dahulu di sini. Sebahagian dari guru-guru saya, ramai yang sudah tiada. Saya doakan Allah merahmati guru dan murobbi saya yang telah pergi mendahului saya. Moga Allah merahmati Cikgu Desa Senawi, Teacher Basimah, Teacher Embun, Cikgu Bakar, Cikgu Yahya Ismail, Cikgu Zainuddin, Ummi Halimaton, Ustaz Dahlan Mohd Zain dan lain-lain. Terasa begitu sekejap Allah pinjamkan mereka untuk bersama saya.

Hari ini saya hadir atas dasar kerinduan kepada suasana tarbiyah di sini. Saya dilahir dan dibesarkan di ibu kota di Kuala Lumpur. Pertama kali ditinggalkan oleh ibu dan ayah di kampung dalam kebun getah di Perlis ini 20 tahun yang lalu, saya masih ingat saya selalu termenung. Tidak seperti banyak kawan-kawan saya yang selalu menangis rindu mahu balik rumah. Saya selalu termenung dan berfikir "apa yang akan aku buat dan lalui di kampung kebun getah ini". Ternyata, keputusan ibu dan ayah ini meninggalkan kesan yang begitu besar dalam diri anak kecil ini. Setelah 20 tahun, saya merasakan pengalaman bersekolah di sini sangat berharga dan tidak dapat ditukar ganti.

Walaupun tidak ramai sahabat-sahabat sepermainan saya yang dapat hadir, saya memahaminya. Anak-anak MATRI yang keluar sudah ada hidupnya yang sendiri. Mereka bukan lagi anak-anak kecil yang pakai baju dua lapis dengan baju hijau raihan di luar. Mereka sudah beranak pinak, sudah menjadi orang-orang besar dalam masyarakat, sibuk dengan aktiviti harian kehidupan. Untuk memberi sedikit masa, sehari dua untuk kembali ke sekolah tua ini terasa begitu sukar. Apalah lagi yang ada di sekolah tua dan usang ini untuk mereka. Tapi saya positif, saya merasakan pasti dalam setiap hati mereka tersisa sedikit rindu, dan jika ada usaha-usaha untuk memercikkan dan menggali semula kerinduan itu, satu hari nanti mereka akan pulang juga. Pulang ke sekolah tua ini untuk seketika.

Antara kebahagian saya pulang ke sekolah di dalam kebun getah ini adalah bertemu semula dengan murobbi saya, Ustaz Abdul Hadi Osman. Dahulu semasa tingkatan satu di Dorm Huffaz, pagi-pagi biasanya akan kelihatan ustaz mengayuh basikal sambil tersenyum berpesan kepada kami untuk mengulang hafazan. Selepas subuh biasanya ustaz akan memberi tazkirah pendek. Antara kata-kata ustaz yang saya masih ingat sehingga ke hari ini adalah "jangan kita padamkan masa depan akhirat anak-anak kita". Bagi ustaz itulah sebabnya ibu dan ayah menghantar anak-anak ke MATRI.

Di Wacana Persatuan Lepasan MATRI, ustaz kelihatan gembira dapat bertemu dan bercakap dengan anak-anaknya yang kini sudah keluar dari sekolah. Kata ustaz seronok dapat bercakap, walaupun kepala tak berapa nak betul disebabkan makan ubat yang kesannya sedikit kuat. Kami melihat ustaz gembira menjadi lebih gembira. Antara pesanan ustaz adalah untuk anak-anak MATRI adalah agar mereka menghargai peluang hidup, perlu terus belajar dan menuntut ilmu. Ustaz berpesan bahawa jangan disebabkan kita miskin, kita berhenti menuntut ilmu. Bagi saya pesan-pesan ini sangat berharga, sangat dekat dan membekas di hati. Sangat menggembirakan dapat mendengar nasihat setelah 20 tahun berlalu. Ustaz menceritakan kisahnya semasa zaman belajar, hidup miskin, mengail ikan untuk makan, tapi tidak mematahkan semangatnya untuk belajar. Ustaz sangat suka membaca buku, peluang dapat membaca buku digunakan sebaiknya disebabkan keadaan tidak berduit menyebabkan dirinya sukar membeli buku. Tapi alhamdulillah, ustaz belajar jauh. Sampai diberi rezeki oleh Allah untuk makan nasi di rumah Sheikh Yusuf Qaradhawi.

Ustaz juga berpesan bahawa anak-anak MATRI perlu menjadi insan yang barr'un (baik). Mesti baik dalam segala aspek. Baik dari segi makanan, pakaian, dan keterampilan. Baik kepada ibu bapa, anak isteri, guru, dan sahabat. Juga baik dari segi akhlak, pendidikan juga sumbangan pada masyarakat. Tetapi baik sahaja tidak mencukupi, perlu juga menjadi orang yang taqiyyun, bertakwa kepada Allah. Kebaikan yang dilakukan perlulah dihubungkan dengan Allah. Perlu menjaga aspek-aspek Islam dan syariat. Mungkin pesanan ustaz yang paling berbekas di hati adalah "jangan putuskan hubungan dengan kawan-kawan MATRI". Anak-anak MATRI yang keluar ini pelbagai sifat dan jenisnya. Bagi ustaz kita perlu sentiasa meraikan sahabat dan teman, berkawan dan berlapang dada. Mengeratkan kembali ukhuwah, kerana tanpa ada jalinan dan kasih sayang hati, kita tidak mampu menjadi satu kesatuan untuk memberi kebaikan pada masyarakat.

Pesanan-pesanan ustaz ini memang masuk meresap ke dalam hati saya sebagai anak kecil, saya masih lagi menganggap saya adalah pelajar di MATRI ini, datang untuk menuntut ilmu dan hikmah. Banyak lagi sebenarnya perasaan-perasaan yang hendak ditintakan, cinta yang ingin diluahkan. Rindu dan nostalgia ini sememangnya manis, akan saya kenang sehingga mati. Namun jika berpeluang, ingin saya ulangi beribu-ribu kali lagi jaulah singkat seperti ini. Kembali mengubat jiwa, membasuh hati dengan siraman air rindu. Terima kasih diucapkan kepada sahabat-sahibah Persatuan Lepasan Matri (PLM)  yang menganjurkan program wacana pada kali ini. Moga Allah beri rezeki lagi pada kita untuk bertemu di masa hadapan, jika tidak, saya berdoa Allah menemukan kita semula di syurga nanti.

Catatan sempena Wacana PLM.
Musolla MATRI, Perlis.
23 Julai 2023.