Memaparkan catatan dengan label Gerakan Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gerakan Islam. Papar semua catatan

Jumaat, 4 Ogos 2023

Catatan MTP Ke-34


Setelah beberapa tahun tidak bertemu mata dengan sahabat-sahabat, akhirnya pada tahun ini saya dapat menghadiri MTP yang diadakan di Bangi Avenue Convention Center. Secara peribadi, saya tidaklah begitu tertarik dengan hal-hal perihal urusan mesyuarat dan sebagainya. Tetapi apa yang lebih dinantikan adalah pengisian-pengisian jiwa serta bertemu sapa dengan sahabat-sahabat dari seluruh negara. Ternyata MTP kali ini sememangnya mengesankan jiwa bukan sahaja dengan pengisian-pengisian formalnya, tetapi juga dengan perbincangan dan sembang santai dalam lapis-lapis yang terselit sepanjang program.

Antara insan istimewa yang saya temui kali ini adalah Dr. Khairul Anwar, yang merupakan guru saya di UTM pada satu ketika dahulu. Berbual dengan Dr. Khairul sememangnya mengasyikkan, hingga semua orang sudah meninggalkan dewan, kami masih berbual. Antara topik menarik yang kami bualkan adalah perihal bagaimana penyampaian ustaz-ustaz, termasuklah Almarhum Cikgu Abdullah Thaidi yang baru meninggal dunia mempunyai lapis-lapis perasaan. Ini membezakan penyampaian mereka dengan orang lain, dan lapisan ini berjaya menyentuh hati manusia. Lapisan-lapisan perasaan yang ada dalam penyampaian ustaz-ustaz ini tidak dapat ditangkap melalui penulisan. Ini adalah kelebihan memberi penyampaian dalam bentuk oratori, yang tidak dapat diungkapkan melalui kaedah tulisan.

Kami juga berbual perihal apa yang menyebabkan seseorang itu mengikuti gerakan Islam, bagi Dr. Khairul beliau lebih terpengaruh dengan kekuatan pemikiran yang disampaikan. Bukan bergantung pada sosok atau figura. Bagi beliau ini penting, kerana kepimpinan berubah dan berlalu pergi, jika kita melekatkan hati kita pada figura, kita akan berpecah sekiranya berlaku perubahan kepimpinan. Sebaliknya jika kita bersama atas dasar kefahaman, perubahan figura akan dirasakan sebagai sesuatu yang biasa, dan ia tidak menjejaskan penglibatan kita.

Tetamu yang diundang pada perhimpunan kali ini adalah Prof. Muhammad Nur Manuty, walau pun beliau tidak berapa sihat dan sering berbatuk semasa penyampaian, saya kira penyampaiannya sangat tegas dan bermakna. Beliau menekankan bahawa selain dakwah dan tarbiyah, aspek ilmu tidak boleh dikesampingkan. Beliau memetik kata-kata Almarhum Yusuf Qardhawi bahawa kita perlu "mengheningkan kebangkitan Islam dengan ilmu". Juga antara kalam beliau yang menarik adalah ulasan dari kata-kata Saidina Ali "akhul fiddeen, akhul fil watan, akhul fil insan". Yakni penting untuk kita menjaga persaudaraan kita sesama manusia, bukan sahaja persaudaraan atas nama agama dan negara. Jika kita dapat menggerakkan konsep akhul fil insan, beliau berpandangan bahawa Malaysia mampu menjadi Andalusia baru.

Akhir sekali, yang dinantikan pastilah amanat dan pesanan presiden. Tema perhimpunan kali ini adalah kepimpinan, oleh itu Dr. Abdullah Sudin menekankan aspek kepimpinan sebagai sebuah khidmat kita kepada masyarakat. Masyarakat hendaklah merasai khidmat kita. Jika kita tiada atau mati, masyarakat mestilah merasai kehilangan, itu adalah tanda bahawa khidmat kita berkesan, iaitu kehilangan kita dirasai. Jika aspek ini difahami, kepimpinan tidak akan direbut dan menjadi seperti satu perlumbaan. Masing-masing mahu berebut jawatan. Tetapi apa yang diperlukan adalah masing-masing memberi khidmat kepada masyarakat. Jika ini difahami, maka semua orang mampu menjadi pemimpin kerana kita semua mampu berkhidmat.

Begitulah sedikit sebanyak catatan yang saya rasa berharga untuk dinotakan di blog usang ini. Sekadar menyambung lidah untuk menyebarkan kebaikan. Moga Allah izinkan lagi saya untuk menyambung ukhuwwah bertemu sahabat-sahabat di masa yang akan datang. Dan dalam kesempatan yang singkat dan sedikit itu, mampu saya kutip sedikit mutiara-mutiara hikmah.

Sabtu, 28 Ogos 2021

Memenangi Semula Jiwa Remaja

Penulisan ini merupakan gubahan dari syarahan Prof. Jeffrey Lang yang bertajuk “Winning Our Children Back to Islam”. Prof. Jeffrey merupakan seorang professor matematik di Amerika Syarikat yang memeluk agama Islam pada tahun 1982.

Terdapat 6 juta Muslim di Amerika Syarikat, 1 juta dari jumlah tersebut adalah convert, bakinya adalah Muslim sejak lahir yang kebanyakannya adalah imigran. Dalam 6 juta ini 60% adalah anak-anak yang lahir sebagai orang Islam di Amerika. Dr. Jeffrey Lang bertanya, dimana mereka? Kerana beliau telah menziarahi dan berucap di banyak masjid di Amerika tetapi tidak nampak golongan muda ini. Keadaan yang sama saya kira berlaku di Malaysia, dimana anak-anak kita di masjid dan program-program kita.

Kita sering berbincang dalam usrah-usrah kita bahawa kita mahu menegakkan semula Islam di dunia. Kita hendak memenangi semula kegemilangan Islam di dunia. Tetapi anak-anak kita sendiri kita tak berjaya menangi. Kita tak perlu tengok jauh dalam masyarakat luar. Lihat keadaan dalaman kita pun sudah mencukupi. Berapa ramai anak-anak kita yang masih mengikuti usrah? Berapa ramai pelajar-pelajar lepasan institusi kita yang tidak mengikuti kita. Bolehkah kita memenangi dunia jika orang disekeliling kita pun tidak berjaya kita menangi.

Kita boleh memilih jawapan yang menyedapkan hati. “Oh, ini semua pilihan Allah”. “Kita hanya usaha, natijah Allah yang nak beri”. Bukanlah ia satu pernyataan yang salah. Benar natijah itu Allah yang bagi. Tapi sejauh mana usaha kita, pendekatan kita, dapat menawan remaja kita. Atau kita sekadar guna ayat-ayat ini kerana kita malas untuk mengkaji sebab-sebabnya. Kita tak mahu mengkaji pendekatan kita atau mengubah pendekatan agar sesuai dengan generasi baru. Jika kita benar-benar serius mahu memenangi dunia kita perlu serius memenangi semula anak remaja kita.

Jadi apa yang kita boleh buat?

Pertama kita boleh bertanya kepada mereka. Berapa ramai ibu bapa yang betul-betul tanya anak-anak soal dakwah dan tarbiyah. Kita mesti bertanya untuk memahami, zaman remaja bukan lagi zaman kanak-kanak di mana kita boleh suruh atau paksa. Zaman remaja adalah zaman kita kena fahami mereka.

Remaja zaman sekarang berbeza dengan remaja zaman dahulu. Oleh itu pendekatan kita pada zaman ini mestilah mengambil kira perubahan zaman. Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah mengkritik sejarawan yang menulis dengan mengabaikan perubahan zaman. Remaja pada zaman ini terdedah dengan pelbagai persoalan. Sama ada kita suka atau tidak mereka akan terdedah. Sama ada kita halang atau tidak mereka akan terdedah. Dan keluarga mestilah menjadi saluran di mana anak-anak remaja boleh bertanyakan soalan-soalan mereka.

Zaman dahulu mungkin kita boleh kata, jangan tanya soalan itu ini. Tapi zaman sekarang, jika kita tidak dapat jawab, mereka punya pelbagai sumber baru berkat kemajuan teknologi, yang boleh memberi mereka jawapan. Dan jawapan yang mereka terima ini mungkin menjauhkan lagi mereka dengan kita.

Anak-anak remaja mesti diberi ruang untuk bertanya, mempersoal, tanpa rasa takut di marahi. Contohnya jika mereka merasakan pendekatan kita membosankan, bahan yang digunakan berulang-ulang bertahun-tahun, usrah cakap benda yang sama sahaja. Kita kena mempunyai kesediaan untuk mendengar keluhan ini dan cuba merungkai dan menerangkan dan menyelesaikannya. Jika reaksi kita adalah memarahi, atau menggelar mereka “Oh ini tak jelas fikrah, ini dah hanyut, ini pemikiran jahiliyah”, mereka akan berhenti bertanya dan berhenti mengikuti kita. Mereka akan menjauh. 

Tapi tak semua anak-anak remaja selesa bersembang dengan ibu bapa berkenaan dengan masalah-masalah mereka, kenapa mereka tidak ikut program dan sebagainya. Cara lain untuk mengetahui masalah dan pemikiran anak remaja adalah melihat perbincangan mereka di media-media sosial. Anak-anak biasanya lebih selesa mengekspresikan fikiran mereka di media sosial di mana golongan tua tidak ada. Di Twitter misalnya berbanding Facebook. Tugas kita bukan untuk counter-argument atau memberi ceramah kepada mereka dengan komen yang panjang. Tetapi adalah untuk memahami. Seelok-eloknya persoalan, perbincangan mereka ini direkod dan dikumpulkan, kemudian dikaji, dibincangkan dan dirungkaikan dalam program kira seperti daurah dan seminar. Bukan buat seminar untuk membincangkan topik yang kita nak, tajuk-tajuk lama yang tidak menjadi persoalan buat anak remaja.

Prof. Jeffrey Lang mengutip persoalan anak-anak remaja di America dalam bukunya “Losing My Religion: A Call for Help”. Buku ini ada diulas oleh Dr. Shabir Allydalam siri buku beliau pada bulan Ramadhan 2021. Bagi Dr. Shabir buku ini sangat membantunya dalam dakwah terutamanya anak muda yang merasakan mereka susah menerima agama di zaman moden ini. Mereka merasakan perbezaan dalam institusi kita dan sesuatu yang lain dalam pendidikan dan masyarakat mereka. Contohnya, di alam pendidikan dan kerjaya mereka diajar untuk berfikiran terbuka dan kritikal, manakala kita menyuruh mereka taat tanpa perlu berfikir dan bertanya. Jika mereka menggunakan pemikiran kritis mereka mungkin diperseoalkan “Orang beriman tak tanya soalan-soalan macam ni”.

Antara isu lain adalah isu wanita dalam masyarakat. Dunia moden hari ini memberi penekanan terhadap partisipasi wanita dalam masyarakat. Hal ini tidak boleh kita tinggalkan. Kita tidak boleh menyekat anak-anak remaja wanita kita dari menjadi pemimpin juga professional dalam masyarakat. Kita sebaliknya perlu membantu dan mendidik mereka untuk menjadi pemimpin. LAtih mereka menjadi speaker dalam program-program kita hingga boleh menjadi tokoh masyarakat. Jika ini kita tidak lakukan ia boleh menjadi fitnah balik buat kita, dan jika golongan muda wanita menjauhi kita, masa depan kita lebih kelam, kerana dari mereka akan lahir generasi-generasi baru.

Semua ini merupakan perkara serius yang akan menentukan masa depan gerakan Islam. Jika ianya tidak dilihat, dikaji, difahami, dan diselesaikan, kita akan kehilangan lebih ramai generasi-generasi baru.

Jumaat, 1 Januari 2021

Kuliah 3T: Fikrah Mahasiswa Dalam Dakwah


Pada malam tahun baharu, saya dijemput oleh beberapa mahasiswa untuk memberi sedikit pengisian di dalam Kuliah 3T Tea Talk Together dengan tajuk Fikrah Mahasiswa Dalam Dakwah. Saya kira elok kiranya saya kongsikan disini sedikit nota penyampaian untuk rekod dan rujukan. 

Fikrah dari sudut bahasanya adalah daya fikir atau pemikiran. Pemikiran ini dibentuk melalui pengalaman kita, pendidikan, keluarga, juga suasana sekeliling. Cara kita berfikir, mentafsir dan melihat dunia ini dalam bahasa Inggeris disebut sebagai worldview. Dari sudut pandang dan pemikiran inilah yang menggerakkan kehidupan kita. Kenapa worldview ini penting?

Kerana ialah yang mencorak kehidupan kita. Jika worldview kita adalah moral nihilism kita akan hidup bertuhankan nafsu, tiada hala tuju. Jika fikrah atau worldview kita adalah materialism kita akan hidup hanya untuk memenuhi kehendak material tetapi mempunyai jiwa dan hati yang mati. Dan hidup kita ini hanya sekali, tiada peluang yang kedua, jika fikrah atau worldview kita salah dari awal, maka kita akan bazirkan satu-satunya peluang hidup ini, dan kita tidak ada peluang yang kedua.

Oleh itu kita perlu berpegang dengan fikrah yang benar, worldview yang bukan sahaja memberi kita kejayaan di dunia, tetapi juga kejayaan di kampung abadi kita, akhirat.

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang sejahtera” (Surah Asy-Syu’araa: 88-89)

Kita hendak pulang dengan Qalbin Saleem. Oleh itu fikrah kita hendaklah fikrah Islam, dengan fikrah itu kita melihat dunia dan beramal di dalamnya sesuai dengan tujuan penciptaan kita. Fikrah kita adalah fikrah Islam yang syumul, menyeluruh, bukan dipisah-pisahkan. Seperti yang diungkapkan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di dalam Risalah at-Ta’alim pada usul yang pertama dalam Usul ‘Isyrin:

“Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Islam adalah daulah dan tanahair atau kerajaan dan ummah. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang – undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sohih.”

Jadi jika pemikiran atau fikrah kita jelas akan lengkapnya sistem Islam ini, maka kita juga perlu sedar bahawa ia tidak dapat dilakukan berseorangan. Kita perlukan teman, rakan, suami, isteri, yang sama-sama memahami akan tuntutan fikrah ini, dan sama-sama berkerja sama untuk menjayakannya secara amal jama’ei.

Peranan mahasiswa bukan satu, tetapi pelbagai. Semuanya penting dan perlu dijayakan. Mahasiswa merupakan manusia yang sedang berada dalam fasa kehidupan yang unik, yang punya semangat kuat membakar, perasaan lapar akan pengalaman dan ingin tahu, tenaga yang kuat, intelek yang cerdas, dan masa yang banyak. Ia adalah fasa emas yang tidak boleh disia-siakan.

Yang pertama adalah peranan mahasiswa sebagai pencandu ilmu. Mahasiswa yang mempunyai fikrah Islam hendaklah sedar bahawa kejayaan akademiknya adalah dakwah. Oleh itu dia bukan sahaja perlu berjaya, malah dia perlu berjaya dengan cemerlang. Tidak boleh alasan dakwah dan tarbiyah digunakan untuk menghalalkan kegagalan akademik.

Yang pertama juga adalah keterlibatan mahasiswa dalam program dan aktiviti dakwah dan tarbiyah kampus. Ini juga adalah peranan yang pertama, zaman ini merupakan zaman emas untuk memahami selok belok organisasi, belajar bekerja sesama manusia lain, dan juga membina jaringan ukhuwah Islamiyah sesama aktivis dakwah.

Peranan yang pertama seterusnya adalah memahami masyarakat, bersama masyarakat, dan menyumbang kepada masyarakat. Tenaga, masa, dan intelektual mahasiswa perlulah dirasai masyarakat, jika tidak mahasiswa itu akan menjadi mahasiswa abstrak, yang tenggelam dalam teori-teori tetapi lupa untuk membaiki manusia di bumi.

Untuk membaiki masyarakat, yang pertama kita perlu memahami masyarakat kita. Kita tidak boleh membaiki apa yang kita tidak faham. Kita boleh baca teori dan bahan akademik, tetapi jika kita tak memahami realiti, kita akan kalah. Oleh itu adalah keperluan yang kritikal untuk mahasiswa dan aktivis dakwah memahami pemikiran dan worldview lain, agar mereka punya alatan yang betul, cara yang betul untuk berhujah dan menanganinya. Buku-buku fikrah juga tidak boleh kita fahami secara literal, tetapi disesuaikan mengikut waqi’ dan suasana setempat.

Kita tidak dapat memberi pada orang lain sesuatu yang kita tidak ada. Oleh itu, kita sendiri perlu melalui proses pembaikan, proses tarbiyah, sebelum kita boleh mengajak orang lain. Ini tidak bermakna jika kita sudah mula berdakwah kita meninggalkan tarbiyah, tetapi ia jalan seiring, tarbiyah adalah proses berterusan hingga hujung nyawa. Tarbiyah ini adalah tangungjawab kita sendiri, bukan tangungjawab naqib atau naqibah usrah, kerana objek tarbiyah adalah hati, walau sekuat manapun usaha naqib dan naqibah hanya kita yang boleh membuka hati kita untuk disapa tarbiyah.

Ke mana kita hendak mengajak manusia? Tanya Imam Hassan Al-Banna. Kepada Allah. Kita bukan mahu mengajak manusia kepada peribadi kita, persatuan kita, gerakan kita, tetapi kita hendak mengajak manusia kepada Allah.

Gerakan kita bukanlah satu-satunya gerakan Islam, tetapi gerakan kita adalah sebahagian dari gerakan-gerakan Islam. Masing-masing ikhlas dan punya cara mereka. Kita maafkan perbezaan dan bekerjasama dalam persamaan. Antara buku yang baik untuk memahami strategi berdakwah adalah buku Al-Muntalaq atau terjemahannya Langkah Bermula oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid. 

Isnin, 16 November 2020

Gerimis Malam: Mengapa Masih Disini?



Malam itu hujan renyai-renyai, hujan lebat telah berlalu, kini yang tinggal hanya gerimis di malam hari. Kedai makan tempat dijanjikan untuk berjumpa sudah tutup, mungkin kerana tempat yang agak tersorok menyebabkan lokasi kedai ini tidak strategik. Saya menunggu di dalam kereta sambil dilimpahi lampu neon jalan. Kelihatan sebuah kereta tiba, kemudian berpusing, dan datang lagi. Ahh mungkin mereka merasakan mereka sesat kerana kedai yang dilihat di alam maya tidak ada. Saya mengeluarkan talifon, memberitahu bahawa kedai makan yang dijanjikan itu telah berpindah, dan mencadangkan tempat perjumpaan diubah ke kedai ikan bakar bersebelahan kedai tersebut, di sebelah sungai. Mereka setuju.

Kelihatan dua anak muda keluar dari kereta dan bergegas ke kedai ikan bakar, seorang darinya memegang senaskah buku di tangannya. Saya pun keluar dan mengekori mereka. Malam itu kami bersembang panjang, perihal masalah-masalah pemikiran yang ada dalam pergerakan Islam. Perihal retorik yang tidak sesuai dengan waqi'e setempat, peromantikan sejarah lampau, kebekuan dalam cara program-program diatur. Panjang diskusi itu, melarut seiring larutnya malam.

"Lantas, melihatkan permasalahan-permasalahan ini, relevankah lagi kita berada dalam pergerakan ini?" soal salah seorang dari anak muda tersebut. Soalannya ikhlas, dari riak wajahnya saya dapati mungkin dia sekarang dalam transisi pergelutan idea di dalam minda, dalam proses membentuk pemikiran. Saya memberi jawapan bahawa faktor keluarga merupakan faktor mengapa saya masih setia dalam pergerakan, kerana bagi saya pergerakan ini sudah sebati menjadi keluarga saya. Ia adalah lanjutan apa yang dibina oleh ibu ayah saya, dan tidak pantas bagi saya untuk meninggalkan mereka, mengecewakan mereka, meski saya kira ada percanggahan pemikiran dalam gerakan ini.

Setelah perjumpaan tersebut tamat, dan kami masing-masing membelah malam pulang ke rumah masing-masing, soalan tersebut tetap bermain-main dalam fikiran saya. Seolah-olah jawapan yang saya berikan itu tidak benar-benar memuaskan hati saya sendiri. Saya berfikir tentang soalan itu dengan dalam, dengan lama, dengan mendasar. Dan tinta saya kali ini adalah untuk merakamkan sambungan pemikiran saya, jawapan terhadap soalan tersebut.

Bagi saya gerakan ini masih relevan. Kerana meski pun saya merasakan ada beberapa pemikiran yang tidak saya persetujui, tetapi bagi saya ia tidak cukup kuat untuk mengeluarkan saya. Kerana pada hemat saya tidak semua perkara boleh dipelajari dari buku atau melalui kiat-kiat pemikiran intelektual sahaja. Tetapi pengalaman berada dalam pergerakan itu merupakan satu ilmu yang juga berharga, ia tidak boleh didapati di helaian-helaian muka surat. Pergelutan dengan manusia dalam organisasi mengajar kematangan, mengajar kita cara mengurus manusia, mengajar kita soal keragaman manusia, cara berdiplomasi, juga cara bergerak dalam organisasi. Semua ini adalah ilmu praktikal yang tidak bisa didapati dalam arena intelektual.

Saya juga selesa berada dalam pergerakan ini. Saya sedar saya boleh menyertai pergerakan lain atau memulakan pergerakan sendiri, tetapi saya juga sedar bahawa saya tidak akan merasai perasaan yang sama. Ibarat kita pergi berjaulah, kita tinggal di hotel, semuanya kemas dan indah, namun kita tetap tidak merasakan bahawa kita di rumah kita sendiri. Apabila kita pulang kita berasa lega, rasa selamat, rasa disinilah tempat kita, this is where we belong. Dalam kehidupan ini, semakin tua semakin sedikit kawan baharu yang akan kita temui, sahabat yang saya sudah menjalinkan ukhuwwah dalam gerakan ini terlalu ramai, terlalu mesra, terlalu akrab, saya tidak fikir saya akan mampu menjumpai permata seperti mereka di tempat lain.

Tulisan ini diharap tidak dilihat sebagai didaktik, atau merupakan satu ancaman untuk tidak mencuba pergerakan baru, bukan kongkongan untuk bebas meneroka, sebaliknya ia adalah jawapan-jawapan peribadi saya, alasan-alasan saya sendiri. Tentu sahaja orang lain boleh membuat pilihan mereka sendiri berdasarkan kefahaman mereka, perasaan mereka, juga pemikiran mereka.

Antara sebab lain saya masih disini adalah kerana saya merasakan gerakan ini, meskipun ada cacat celanya, ia sudah mempunyai pengalaman yang lama, sekurang-kurangnya lebih lama dari umur saya sendiri. Jadi untuk berpecah dan bermula semula sendiri merupakan satu kerugian. Ia sudah matang dalam beberapa perkara yang membolehkan kita menyumbang tenaga pada masyarakat. Sumbangan yang tak bisa kita lakukan andai kita bergerak sendiri.

Saya ada menyaksikan sepanjang hayat saya, anak-anak muda yang bersemangat, mereka pantas meninggalkan pergerakan yang tidak mampu mengikuti kelajuan semangat mereka, namun setelah sekian lama semangat mereka pudar, mereka sedar bahawa dengan semangat yang idealistik itu tak mampu mengubah dunia yang realistik, namun untuk berpatah semua mereka terasa segan. Ya, kita punya semangat yang membara, banyak benda yang kita rasa tidak betul, tetapi semangat tanpa strategi adalah sebilah pedang yang tumpul.

Apabila keluar, nasihat dan pandangan kita terhadap ahli gerakan akan dianggap sebagai pandangan luar, biar pun kita punya semangat, idea kita tidak akan disambut. Jadi ia adalah strategi yang salah. Saya merasakan kita perlu melakukannya dari dalam, bertahap, dan berstrategi. Perubahan dari dalam secara perlahan-lahan adalah perubahan organik yang bernafas panjang, ia lebih baik dari revolusi yang menatijahkan kejayaan singkat namun tidak bertahan lama, roboh kerana tiadanya foundasi organik.

Akhir sekali saya merasakan bahawa setiap pergerakan mempunyai masalah-masalahnya. Kita mungkin nampak pergerakan lain sempurna kerana kita tidak duduk didalamnya, jadi kita tidak tahu masalah mereka. Jadi meninggalkan pergerakan yang ada untuk mencari pergerakan yang sempurna bagi saya adalah seperti mengejar fatamorgana, akhirnya kita penat tanpa dapat mencapai apa-apa. Pergerakan Islam bukan milik mana-mana individu secara peribadi, ia adalah milik ummat, dan selagi kita tergolong dalam ummat ini kita adalah sebahagian dari pemiliknya. Sudah pasti manusia mempunyai cara fikir yang berbeza-beza, untuk menjadikan pemikiran semua ahli seratus peratus sama adalah satu kemustahilan, oleh itu perbezaan pemikiran hendaklah difahami sebagai sesuatu yang natural, sunnatullah dalam mana-mana pergerakan manusia.

Akhirnya kita akan pulang bertemu Tuhan. Mahu atau tidak mahu, percaya atau tidak percaya, kita semua akan binasa. Oleh itu masa yang kita ada perlulah diisi dengan amalan-amalan, sebagai bekal untuk ke alam seberang. Tidak salah berfikir atau berbeza pemikiran, yang salah mungkin jika kita tinggalkan medan amalan.