Jumaat, 26 November 2021

Pertarungan Paling Sengit Dalam Jiwa


Aku memanjatkan tangan. Melihat ke atas. Cuba menggapai cahaya. Teraba-raba, namun gelap. Gelap gelita. Tiada cahaya yang datang menyapa. Hanya duka. Duka yang dalamnya seperti tiada penghujung. Menghisap seluruh raga dan jiwaku. Hingga jiwaku tidak lagi berwarna, mengeras seperti batu, kaku tak bernyawa. Kita mempunyai perasaan yang sangat dalam, yang jarang-jarang dapat kita rasai. Perasaan yang terkambus dalam lapisan rutin. Namun kadang dari kedalaman, perasaan itu keluar, dan perasaan itu meruntun diri. Kita tidak dapat bezakan, adakah ia bahagia? sepi? atau rindu? atau kemurungan yang akan menghambat jiwa selama-lamanya.

Selepas kehilangan dua orang teman, aku merasakan jiwaku begitu genting, begitu rapuh, mudah sahaja ia lemas dan sesak ditelan suasana yang ada. Aku pun tidak tahu sama ada aku over-sensitive. Atau perasaan yang datang ini sebenarnya tidak original? Sengaja aku sendiri cipta, tetapi kenapa aku perlu mencipta kesedihan yang panjang untuk menyiksa diriku sendiri? Kalau betul perasaan ini dibuat-buat kenapa aku tidak dapat memadamkannya. Ia seolah-olah telah menjangkiti jiwaku, memelukku erat, tidak dapat lagi aku melepaskannya. Mungkin silapku juga, suka melayan perasaan. Kononnya membelai memori itu satu kenikmatan, namun lama kelamaan ia menelanku perlahan-lahan. Masa lampau selalu terasa indah, terasa gamat, terasa bahagia, tidak seperti hari ini yang dibungkam kesedihan.

Aku tak mahu bercakap soal pemikiran. Walaupun aku tahu, bahawa minda manusia itu sering sahaja ditipu masa, sering merasakan kenangan dan harapan masa depan sentiasa membahagiakan, sehingga lupa untuk hidup sekarang. Tapi manusia mempunyai sisi lain selain dari pemikiran dan pengetahuan. Kadang pengetahuan tak dapat mengubati perasaan. Perasaan adalah dimensi yang berbeza, tidak bersilang dengan garis intelektual. Perasaan adalah ilmu yang jauh lebih dalam, ilmu yang dapat dirasai tetapi tidak dapat dibuktikan.

Aku senang jika dapat berbual dengan teman-teman rapat dan isteri, perbualan berdua-duaan selalu aku dambakan. Meski pun sukar untuk didapatkan. Entah apa yang ada pada perbualan. Bagiku perbualan dengan orang yang rapat adalah ubat, walaupun kadang kala aku merasakan ubat itu bersifat sementara. Kemurungan kembali memeluk selepas hilangnya bait perkataan yang terakhir. Perbualan panjang sampai ke pagi adalah ibarat secawan kopi panas, yang menghangatkan semula hati yang keras. Tapi ada juga keadaan aku rasa mahu menyendiri. Walaupun aku sendiri tak pasti sama ada menyendiri itu bagus atau tidak. 

Kadang kala aku berjaya melupakan kesedihan dengan membaca, atau membuat perkara-perkara yang aku suka. Aku juga merasakan beban perasaan kadang kala menghilangkan minatku perihal banyak perkara. Aku tak pasti sama ada itu disebabkan perasaan, atau mungkin api mudaku telah padam. Mungkin aku di fasa umur yang baru, dan aku perlu biasakan diri dengan pertarungan sengit di dalam jiwa ini, bertarung dengan kesedihan dan perasaan. Mungkin jika aku berjaya mengalahkannya aku dapat menjadi insan yang baru, aku boleh bermula semula dengan hati yang baru.

Kadang kala aku rasa, aku berjaya lupakan semua kenangan ini, dan untuk seketika dapat merasai kebahagiaan hidup di masa sekarang. Namun aku asyik mengumpul memorabilia dalam hidup. Mudah sahaja aku terjumpa sesuatu. Gambar lama. Surat lama. Lagu lama. Perasaan lama. Semua ini merupakan pintu, yang membawa aku masuk semula ke daerah sedih. Kadang aku tak dapat bezakan antara sedih dan kebahagiaan, kadang aku merasakan dengan mengimbau kenangan, walaupun sedih, ia membahagiakan. Aku berasa bersalah untuk melupakan mereka yang telah pergi. Bukankah gambar-gambar aku dengan mereka itu untuk ingatan? Adilkah untuk mereka jika ia dilupakan?

Atau mungkin aku terlalu lama tidak berehat di tepi pantai. Tanpa perlu risau bahawa esok aku perlu bangun membanting tulang lagi. Proses pengurungan selama dua tahun ini sebenarnya tiga tahun bagiku. Kerana setahun sebelum ia berlaku aku telah lama menahan diri dari bercuti, apabila tiba masa bercuti sahaja perintah berkurung bermula. Mungkin juga perintah berkurung itu tepat mengenai masa selepas ayah pergi meninggalkanku. Aku tidak boleh ke mana-mana melainkan termenung dan berfikir. Cuba merasionalkan hidup yang sudah tidak lagi rasional.

Tapi sebenarnya ada sebab manusia mati. Manusia perlu mati untuk memberikan ruang pada manusia baru. Bayangkan jika manusia hidup selama-lamanya. Bukankah bumi ini akan menjadi semakin sempit. Jika manusia hendak hidup selama-lamanya mereka perlu mengorbankan kebolehan mereka untuk mendapat anak. Jika tidak populasi hanya akan bertambah dan bumi ini akan tenggelam dengan manusia. Tetapi mampukah manusia hidup tanpa punya anak-anak? Apakah makna hidup jika mereka tidak boleh bahagia? Bahagiakah manusia kalau dia hanya hidup dengan orang-orang yang sama selama-lamanya, tiada anak-anak baru yang mewarnai kehidupan? Walaupun mindaku tahu ini semua, tetapi ia hanya pengetahuan yang tak dapat mengubat perasaan. Apabila yang pergi adalah orang-orang yang dikenali dan dikasihi, pengetahuan ini tidak dapat dijadikan hujah untuk melawan emosi.

Aku pernah bersembang dengan seorang rakan. Katanya kita semua ada masalah mental, kita semua ada depresi, cuma bezanya adalah intensiti dan kebolehan kita mengawalnya. Jika ia masih ditahap yang boleh dikawal oleh diri, ia adalah depresi yang normal. Tetapi jika ia merupakan perasaan yang tidak dapat lagi dikawal, sehingga mengurangkan aspek kesihatan kita yang lain, sehingga ia menggagalkan kita dari berfungsi sebagai manusia, maka ketika itu ia adalah depresi yang sudah tidak normal. Namun apa yang dimaksudkan dengan mengawal? Adakah dengan memendam itu satu proses kawalan? Atau memendam itu proses pengumpulan? Yang akan menyebabkan letupan apabila buah depresi yang dikumpul sudah penuh dalam bakul perasaan. Kita mungkin dapat berfungsi seperti biasa jika kita memendam perasaan. Ia ibarat memakai topeng, manusia lain melihat kita sebagai normal. 

Ah, jauh juga aku mengarut dalam penulisan ini. Maaflah. Tulisan ini bukan bertujuan untuk menyumbang apa-apa idea. Ia hanya kertas kosong yang aku contengkan dengan perasaan. Aku conteng semuanya di sini. Dengan harapan selepas itu dapat aku konyokkan. Kemudian membalingnya ke dalam lautan. Biar ia dibawa ombak dan arus, ke dasar lautan yang paling dalam. Agar aku tak perlu lagi melaluinya. Perasaan sedih ini ibarat kisah cinta yang berakhir dengan duka, yang lebih baik jika aku ditakdirkan tidak berjumpa dengannya buat kali pertama.

Baiklah, masa untuk membaling kertas yang sudah aku konyokkan. Selamat malam.

Selasa, 16 November 2021

Jenis Membaca Yang Sia-Sia


Pernah satu ketika laman Facebook menyuap saya dengan begitu banyak iklan
speedreading, bertalu-talu iklannya sehingga membuatkan saya muak dan mual. Maka benarlah kata-kata pengkritik teknologi bahawa algorithma tidak dapat memahami manusia. Sebaliknya ia bergantung kepada apa yang menjadi inputnya. Rubbish in rubbish out bak kata mat saleh. Mungkin ada carian atau klik saya yang menjadi input salah bagi algorithma ini, tapi tidak ingat pula saya bahawa saya ada mencari maklumat perihal teknik membaca dengan pantas, kerana saya tidak suka membaca dengan pantas.

Saya tidak beriman (tidak percaya) dengan mazhab speedreading. Saya tiada keinginan untuk membaca 52 buku sebulan, seperti yang diiklankan kepada saya. Bahkan saya pernah berazam untuk mengabadikan satu tahun untuk membaca, mengkaji, dan menghadam hanya satu buku walaupun azam itu belum tertunai. Pasti ada sahaja buku lain yang menarik yang memotong queue pembacaan saya. Kadang kala, pembacaan saya juga terganggu kerana jemputan-jemputan diskusi, kerana biasanya saya perlu membaca buku tertentu sebelum diskusi, saya pun bukan tahu semua benda.

Seperti falsafah Syed Hussein Alatas, bagi saya tujuan membaca bukan untuk membaca. Bagi Alatas, tujuan sesuatu perkara mesti berada di luar perkara tersebut. Contohnya, kita bukan makan untuk makan, tetapi makan untuk kenyang. Mungkin membaca 52 buku itu satu latihan bagi orang yang tiada kerja lain, jadi kerjanya membaca sahaja pagi petang siang malam. Tetapi bagi saya yang berkeluarga, berkerja, dan bermasyarakat, membaca 52 buku sebulan adalah satu perkara yang mustahil untuk dilakukan. 

Bukan mustahil secara material, ia boleh diperbuat, tapi mustahil pembacaan itu boleh dihadam, direnung, dikaji, dan diambil pelajaran. Dunia sekarang memang mengetengahkan pemikiran "semua mahu cepat". Tetapi proses pembelajaran bukan begitu, masa adalah sebahagian kandungan dalam proses pembelajaran. Sebab itu saya kurang bersetuju dengan cadangan membuang subjek di universiti supaya cepat habis belajar. Apa guna cepat habis belajar tetapi tiada apa pun yang sebenarnya yang dipelajari. Malahan, saya berpandangan, ada sesetengah ilmu yang tak dapat dicapai dalam tempoh garis masa yang ditetapkan oleh universiti. Jika kita membaca sejarah, ada sesetengah cendiakawan yang menghabiskan keseluruhan hidupnya hanya untuk mendalami satu bidang ilmu yang spesifik. Kita pula ingin belajar semua dalam masa 4 tahun, ini kerja gila.

Membaca adalah proses menuntut ilmu. Jadi tentulah ia memerlukan masa. Jika kedekut dan tak mahu memberi masa, usahlah membaca. Kerana membaca untuk membaca, tanpa ada refleksi adalah kerja sia-sia. Ya, ada jenis membaca yang sia-sia. Sebab itu Chomsky mengatakan bahawa tiada guna seorang itu membaca jika dia melupakannya selepas 10 minit. Apa guna mata kita menjeling-jeling tulisan dengan laju andai maksudnya tidak masuk ke dalam minda, perasaan penulis tidak meresap ke hati kita, dan idea yang hendak disampaikan tidak kita renungi dan perhalusi. Jadi jenis pembacaan yang begitu laju ini adalah jenis membaca yang sia-sia.

Membaca memerlukan kita merenung. Ada kalanya kita sampai kepada satu idea yang memaksa kita untuk meletakkan dahulu buku. Sebab kita memerlukan masa untuk memikirkannya. Otak kita memerlukan masa untuk memproses sesebuah idea untuk dihubungkan agar bisa menjadi satu gagasan ilmu yang berguna. Selepas difikir habis, baru layak kita membuka dan membacanya semula. Bukan tujuan membaca untuk berbangga dengan jumlah mukasurat, jumlah buku, atau saiz almari. Mempunyai banyak buku bukan bererti seseorang itu pandai, ia bererti dia mampu dari sudut ekonomi untuk membeli buku. Sebab itu pepatah Arab yang berbunyi:

"Bagaikan keldai yang membawa kitab-kitab di atas belakangnya". 

Walaupun dia membawa kitab, keldai itu tidak memiliki ilmu. Begitulah juga orang-orang yang mengumpulkan buku-buku namun tidak mereka baca. Jadi janganlah kita terjerat dengan fahaman moden untuk membaca laju yang tidak berfaedah ini. Buku yang ditulis itu seeloknya dibaca dengan perlahan, dengan teliti, diambil pelajarannya, dan diamal dalam kehidupan. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah, membaca tanpa berfikir pula umpama ke daun keladi air dicurah.

Rabu, 10 November 2021

MATRI: Mencari Hati Yang Hilang

Gambar bersama Arwah Ustaz Dahlan Mohd Zain pada Hari Kecemerlangan MATRI pada tahun 2005. Turut berada di dalam gambar Ustaz Omar Haji Salleh, Pakcik Ghazali, Ustaz Nasrul Islam Darus, dan Ustaz Abdul Hakim.

Kadang kala aku tak tahu sama ada aku telah tempuhi jalan yang benar. Adakah aku sudah hidup sehidupnya? Menggunakan hidup yang satu ini sebaiknya? Adakah aku telah buat yang terbaik, atau sebenarnya ada yang aku boleh tingkatkan? Kita memang disuruh menghisab diri sebelum dihisab.

Aku sering merasakan kini bahawa hidup ini terasa begitu rutin dan kering. Entah bila kali terakhir hati ku tersentuh dan menangis berkenaan dengan apa-apa pun. Apa sahaja yang datang dalam hidup, aku terima dan hadapi dengan rasional. Telah jauh aku melayari kehidupan, hingga ke ceruk yang tidak pernah dilalui orang, bertemu dengan bermacam jenis manusia. Namun dalam pelayaran ini, terasa seperti hati ku tertinggal entah di mana.

Sungguh benar kematian itu satu tazkirah yang menggegarkan.

Kematian pertama yang menggegarkan jiwaku adalah pemergian arwah Abu Asri Zailani pada tahun 2016. Aku dan Abu lebih dari kawan. Sudah seperti adik beradik. Kadang, baju juga kami kongsi, ada bajuku yang aku beri pada Abu semasa di asrama. Dia juga ada memberikanku baju. Keluargaku mengenali Abu kerana selalu datang ke rumah, begitu juga keluarganya mengenaliku. Ujian kehidupan yang beliau lalui tidak sama sepertiku. Ujiannya jauh lebih berat. Pemergian Abu menggoncangkanku sehingga ke akar jiwa.

Namun setelah berlalu sungai masa, jiwaku kembali hanyut dibawa arus kehidupan. Hingga aku kehilangan pula sahabat lagi, yang pergi pada usia yang begitu muda. Semasa zaman puncaknya, jiwa bersama getarannya berjaya menggetarkan jiwa-jiwa manusia dengan karyanya. Pemergian sahabatku Umar Muhajir sekali lagi menggoncangkan jiwaku, fikiranku murung berhari-hari, pemergiannya memaksa aku kembali ke tempat jiwaku ditatang, Perlis. Seolah jika aku tidak kembali ke sana, aku tidak dapat lagi meneruskan kehidupan ini.

Pada mulanya aku tidak mahu pergi. Kerana pada ketika itu aku punya urusan keluarga di Kuala Lumpur, aku tidak rasa aku akan sempat untuk bersama menyempurnakan jenazahnya jika pun aku bergegas untuk ke Perlis. Di tambah dengan anak-anak kecil yang perlu diurus, ia semakin menyesakkan keadaan. Tetapi kemudian teman karibku Hilmi Azhari (Aloi) menghantar mesej:

"Nak mai perlis kee"

Mungkin itu hebatnya mempunyai teman-teman rapat yang istimewa, mereka seolah-olah dapat membaca ribut fikiranku meski tidak bertentang mata. Aku pulang ke Sungai Petani dan menyelesaikan urusan anak-anak. Mesej ringkas itu tidak ringkas bagiku. Apa yang aku tafsirkan adalah "oh kawan, marilah ke mari, mari bersama kita berbicara, bertukar kata untuk melawan duka, detik sedih ini kita tidak boleh bersendiri, jiwa perlukan jiwa lain untuk berkongsi dan berbagi" bukan soalan "nak mai Perlis kee" yang aku tafsirkan dari mesej itu. Bagiku ia bukan satu mesej yang ringkas, tetapi mempunyai makna yang jauh menusuk dalam.

Hari itu aku menangis sendirian di dalam kereta seperti anak kecil. Pasti buruk muka lelaki tua menangis, tapi biarlah, hanya Tuhan yang melihat, air mata turun tanpa izin. Isteri dan anak-anak pun tiada dalam kereta, jadi aku tidak perlu berlakon untuk sesiapa. Aku boleh menangis sepuas hati.

Menangis sering dikaitkan dengan kelemahan. Kita perlu sentiasa tabah, kuat, senyum walaupun tidak gembira. Namun aku merasakan menangis ada gunanya buat manusia. Menangis adalah fitrah, seperti bayi yang keluar dari perut ibu, suara pertamanya adalah tangisan, tiada yang ketawa. Bagi aku bila kita menangis, sujud penuh kekerdilan di hadapan Tuhan, ada satu perasaan yang membebaskan timbul dalam jiwa. Menangis juga merupakan pesanan Tuhan buatku. Aku sudah berlayar terlalu jauh hingga hatiku sudah tawar dalam merasa. Atau mungkin hatiku telah mati. Kemampuan untuk menangis menyedarkanku bahawa aku masih punya hati, walaupun hati yang sakit ia masih mampu merasa dan aku masih mampu menangis.

Aku juga merasakan bahawa kini aku perlu menumbuhkan daun kehidupan yang baharu. Aku kuat merasakan bahawa kini aku berada di fasa pasca-rasionalisma. Dahulu aku sering cuba untuk merasionalkan semua perkara, semua perkara harus diuji dengan rasional. Namun aku kini merasakan itu merupakan satu perkara yang memenatkan. Aku cuba merasionalkan hidup hingga aku terlupa untuk hidup. Terlupa untuk menikmati dan merasai setiap saat.

Aku tidaklah mengecam orang yang mahu merasionalkan semua perkara. Jika mereka mampu dan mahu, terserahlah pada mereka. Mungkin mereka akan berjaya dan dapat menyumbang sesuatu pada ilmu dan intelek manusia. Mungkin juga akhirnya tidak berjaya. Namun apa yang pasti, ia memerlukan pelaburan masa dan usia yang besar. Sedang aku merasakan lebih baik aku laburkan usiaku untuk hidup dari cuba setiap masa untuk merasionalkan hidup. Kini perasaan itu semakin kuat, aku tidak berjaya merasionalkan kematian insan-insan yang aku sayangi. Mengapa mereka perlu pergi dahulu sebelumku? Tiada rasional yang berjaya aku jumpai. Akhirnya, aku pasrah, ia tidak dapat dirasionalkan, ia hanya boleh diterima dengan sabar dan redha.

Perasaanku juga kuat mengatakan bahawa aku perlu mencari hatiku semula pada fasa pasca-rasionalisma ini. Kata Imam Ghazali, hati itu perlu dicari pada tiga tempat, dalam bacaan Al-Qur'an, dalam solat, atau dalam mengingati mati. Jika tidak jumpa pada ketiga-tiga tempat ini, kita harus memohon pada Allah untuk hati yang baru. Aku kuat merasakan bahawa aku memerlukan hati yang baharu. Walaupun hatiku masih boleh menangis, getarannya tidak seperti dahulu.

Jika ada satu tempat untuk aku mencari semula hatiku, tempat itu adalah di musolla MATRI. Musolla MATRI mungkin kelihatan seperti binaan kayu biasa. Binaannya bukanlah sebuah karya seni arkitek moden. Namun, untuk anak-anak MATRI seperti aku, ia menyimpan sesuatu memori yang sangat signifikan, sangat penting, sangat halus, sangat seni dan sangat mendalam. Di sini, hati-hati kami pernah hidup dan membunga, hati-hati kami pernah merasai kebahagiaan jiwa. Aku pun tak dapat mentafsir apa yang membuatkan jiwaku merasakan musolla MATRI ini begitu istimewa, firasatku kuat mengatakan mungkin ia adalah berkat keikhlasan murobbi, guru-guru, dan ustaz-ustaz yang mengajar kami. Jadi, mungkin jika ada anak-anak MATRI yang sama sepertiku, ingin mencari hati yang hilang, aku akan menasihatkan mereka untuk pulang ke musolla kayu ini.

Sampai sahaja aku di Perlis, aku bertanya Aloi sempatkah jika aku ingin solat zohor di musolla MATRI? Katanya sempat, maka itulah tempat pertama yang aku tuju sebelum menziarahi pusara arwah Umar Muhajir di Arau, Perlis. Sampai di musolla, segala memori terurai, disini kami pernah solat dahulu, tempat kami menghafal Al-Qur'an dan mendengar tazkirah. Disini juga aku selalu tidur, dan yang tak mungkin aku lupakan, disini juga aku dirotan di hadapan seluruh warga sekolah semasa di tingkatan 3, pengalaman yang menjadikan aku manusia. Di sini juga tempat aku berdoa dan menangis, tempat aku ber-qiyamullail. Doaku hari itu:

"Ya Allah, Ya Tuhan yang memiliki hati, kurniakan kepadaku hati yang baru, hati yang hidup dan bersih seperti aku di tingkatan satu!"

Pulang dari perjalanan spiritualku dari Perlis. Aku bertekad untuk cuba menjadi insan yang baru. Aku menyelak-nyelak Al-Qur'an peribadiku. Merenung ayat-ayatnya. Aku harap, apabila tiba masaku untuk pergi, nanti Tuhan akan berkata padaku:

"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku".

Allahumma, amin.

Jumaat, 5 November 2021

Mengenang Umar Muhajir bin Ghazali

Gambar bersama Umar Muhajir di puncak Gunung Tahan pada bulan Oktober 2014.

Setelah sekian lama, akhirnya kerajaan membuka sempadan negeri dan aku dapat pulang menziarahi ibu di Kuala Lumpur. Aku dan isteri tidaklah terus pulang selepas pengumuman dari perdana menteri, sebaliknya kami menguruskan dahulu jadual kerja, dan akhirnya memohon cuti. Kami pulang ke Kuala Lumpur pada awal pagi Jumaat, 29 Oktober 2021. Rancangan asal adalah untuk balik ke Kuala Lumpur selama seminggu.

Pada hari Jumaat, 5 November 2021 aku sedang sibuk menyunting sebuah manuskrip di komputer, anak-anak masih tidur. Tiba-tiba Cikgu Norizan Yong menalefon ibuku, ditanya akan keberadaanku di Kuala Lumpur. Beliau memberitahu ibuku berita duka bahawa teman sekolahku, saudara Umar Muhajir bin Ghazali telah meninggal dunia. Ibuku terkejut dan memberi tahu ku. Segera aku cari talifon bimbit dan membuka grup WhatsApp Batch-13 MATRI. Terlalu leka menyunting, pagi itu aku tidak memeriksa talifon bimbit.

Ada mesej dari Muhammad Radhi Abdul Rahman pada jam 7.19 pagi.

"Sahabat kita, Umar Muhajir telah meninggal dunia, mungkin dalam lepas isyak malam tadi" tulis beliau.

Kemudian, ada mesej pada jam 7.23 pagi yang dipanjangkan oleh Izzat Ibrahim.

"Assalamu’alaikum wbt. Kpd Adik2 Abang yg dikasihi. Pada pagi Jumaat yg mulia ini,  Abang menerima panggilan telefon (jam 5:38pg) drpd Rohana menyampaikan berita yg amat menyedihkan. Ingin diberitau bhw. Muhajir Ghazali telah meninggal dunia semalam (mungkin selepas Isyak) di rumah rakannya di Jitra, Kedah.  Arwah kini berada di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar utk melalui proses post mortem  kematian. Menurut Rohana, Muhajir jatuh di dalam bilik air. "

Hati saya mula diresapi sedih, benarlah kini, bahawa sahabat saya Umar Muhajir telah tiada. Walaupun emosi tidak mahu menerima, akal rasional memujuk untuk menerima kenyataan. Kenangan bersama Umar terimbau jauh, bermula dari perkenalan di asrama Huffaz di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Asrama yang tersergam di depan ladang getah, wujudnya sayup, apabila angin bertiup gersikan daun-daun pokok getah akan membelai jiwa-jiwa kami, aman.

Dahulu ketika zaman persekolahan, aku selalu juga bertandang di rumah Umar di Arau, Perlis. Rumahnya terletak dalam kawasan sawah padi, ketika sawah padi menghijau, permandangan di rumah beliau sangat menakjubkan. Ketika di tingkatan 4 dan 5, Umar duduk di depan mejaku di dalam kelas, kami duduk dibelah belakang, dari meja kami boleh dilihat Bukit tunjung yang rimbun. Umar merupakan benteng penting bagiku untuk tidur. Biasanya aku akan tidur menyorok di belakang Umar supaya tidak dilihat cikgu di dalam kelas.

Umar antara pelajar yang cemerlang bersamaku ketika SPM. Namun berbeza dengan rakan-rakan lain, beliau tidak memilih untuk memasuki universiti awam. Beliau memilih untuk meneruskan minatnya dalam bidang seni di One Academy meski pun kami bersama-sama berada di kelas aliran sains, beliau memilih aliran seni selepas sekolah. Beliau terkenal dengan karya-karya fotografi dan videografi. Beliau memilih untuk menggunakan nama Umar Mita sebagai nama penanya di medan seni, nama ini diambil sempena nama Ryoichi Mita (Umar Mita nama Islamnya) yang merupakan orang Jepun pertama yang menterjemahkan Al-Qur'an ke dalam bahasa Jepun.

Apabila saya menyambung pengajian ke Rusia, Umar adalah salah seorang sahabat yang sanggup turun dan menghantar saya hingga ke lapangan terbang. Malah beliau menulis di laman blognya Mitaumaru posting yang bertajuk Syed Ahmad Fathi, Dosvidanya! Beliau menulis:

"you've finally made it !
i'm happy for you !
Goodbye my dear friend..
Study well there..
we're gonna miss you here..
Selamat Belajar di Russia !
Dosvidanya !!"

Hari ini, aku pula yang harus mengucapkan selamat tinggal pada beliau. Namun bukan dosvidanya, kerana dosvidanya maksudnya adalah "hingga ketemu lagi" dalam Bahasa Rusia. Perginya Umar hari ini tidak ada lagi kembalinya. Kami tidak dapat bertemu lagi.

Pada bulan Oktober 2014, aku bersama Umar dan sahabat-sahabat lain sempat bersama-sama mendaki Gunung Tahan. Aku masih ingat apabila sampai ke puncak, melihatkan pemandangan yang menakjubkan, Umar berkata:

"MashaAllah, cantiknya macam di syurga!"

Pengalaman ini ada aku catitkan di dalam buku Gunung Tahan Hiking Log. Moga-moga kini Allah menerima sahabatku Umar untuk masuk ke dalam syurga yang sebenar, syurga yang jauh lebih cantik dan indah dari permandangan di puncak Gunung Tahan.

Sahabat kami Amirul Marzuki (lebih dikenali sebagai Aon) menulis kenangannya bersama Umar di Facebook. Umar dahulu sangat pandai berbahasa Inggeris dan menjadi rujukan rakan-rakan. Beliau malah terpilih sebagai pendebat bahasa Inggeris sekolah dan menang pertandingan debat antara sekolah. Aon juga menulis bagaimana dahulu mereka bersama-sama melintas jalan kereta api di Kampung Stesen, Arau, Perlis untuk ke pasar malam sebagai antara kenangan bersama melakukan perkara berbahaya. Selain terkenal dengan videografi dan fotografi, Umar juga meminati sukan lasak seperti rock climbingPassion Umar terhadap fotografi dan rock climbing ini ada didokumentarikan dan diterbitkan oleh Mirrah Syafiqah dan Khairul Ariffin dalam sebuah video yang bertajuk Umar Mita - Making The Move.

Kehilangan Umar Muhajir Ghazali sememangnya meninggalkan kesedihan yang dalam di hati. Seorang sahabat yang baik, kreatif dan sentiasa memberikan inspirasi. Damailah kau Umar di negeri abadi. Umar Muhajir "Sang Penghijrah" telah berhijrah ke alam abadi. Kita juga akan menyusul dan berhijrah ke sana satu hari nanti. Moga Allah mengampunkan dosa-dosa Umar, menerima semua amal soleh Umar, dan dimasukkan ke dalam syurga.

Allahummagh firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu.

Dalam kenangan,
Umar Muhajir bin Ghazali (Umar Mita)
01 May 1990 - 04 November 2021.