Kadang kala aku tak tahu sama ada aku telah tempuhi jalan yang benar. Adakah aku sudah hidup sehidupnya? Menggunakan hidup yang satu ini sebaiknya? Adakah aku telah buat yang terbaik, atau sebenarnya ada yang aku boleh tingkatkan? Kita memang disuruh menghisab diri sebelum dihisab.
Aku sering merasakan kini bahawa hidup ini terasa begitu rutin dan kering. Entah bila kali terakhir hati ku tersentuh dan menangis berkenaan dengan apa-apa pun. Apa sahaja yang datang dalam hidup, aku terima dan hadapi dengan rasional. Telah jauh aku melayari kehidupan, hingga ke ceruk yang tidak pernah dilalui orang, bertemu dengan bermacam jenis manusia. Namun dalam pelayaran ini, terasa seperti hati ku tertinggal entah di mana.
Sungguh benar kematian itu satu tazkirah yang menggegarkan.
Kematian pertama yang menggegarkan jiwaku adalah pemergian arwah Abu Asri Zailani pada tahun 2016. Aku dan Abu lebih dari kawan. Sudah seperti adik beradik. Kadang, baju juga kami kongsi, ada bajuku yang aku beri pada Abu semasa di asrama. Dia juga ada memberikanku baju. Keluargaku mengenali Abu kerana selalu datang ke rumah, begitu juga keluarganya mengenaliku. Ujian kehidupan yang beliau lalui tidak sama sepertiku. Ujiannya jauh lebih berat. Pemergian Abu menggoncangkanku sehingga ke akar jiwa.
Namun setelah berlalu sungai masa, jiwaku kembali hanyut dibawa arus kehidupan. Hingga aku kehilangan pula sahabat lagi, yang pergi pada usia yang begitu muda. Semasa zaman puncaknya, jiwa bersama getarannya berjaya menggetarkan jiwa-jiwa manusia dengan karyanya. Pemergian sahabatku Umar Muhajir sekali lagi menggoncangkan jiwaku, fikiranku murung berhari-hari, pemergiannya memaksa aku kembali ke tempat jiwaku ditatang, Perlis. Seolah jika aku tidak kembali ke sana, aku tidak dapat lagi meneruskan kehidupan ini.
Pada mulanya aku tidak mahu pergi. Kerana pada ketika itu aku punya urusan keluarga di Kuala Lumpur, aku tidak rasa aku akan sempat untuk bersama menyempurnakan jenazahnya jika pun aku bergegas untuk ke Perlis. Di tambah dengan anak-anak kecil yang perlu diurus, ia semakin menyesakkan keadaan. Tetapi kemudian teman karibku Hilmi Azhari (Aloi) menghantar mesej:
"Nak mai perlis kee"
Mungkin itu hebatnya mempunyai teman-teman rapat yang istimewa, mereka seolah-olah dapat membaca ribut fikiranku meski tidak bertentang mata. Aku pulang ke Sungai Petani dan menyelesaikan urusan anak-anak. Mesej ringkas itu tidak ringkas bagiku. Apa yang aku tafsirkan adalah "oh kawan, marilah ke mari, mari bersama kita berbicara, bertukar kata untuk melawan duka, detik sedih ini kita tidak boleh bersendiri, jiwa perlukan jiwa lain untuk berkongsi dan berbagi" bukan soalan "nak mai Perlis kee" yang aku tafsirkan dari mesej itu. Bagiku ia bukan satu mesej yang ringkas, tetapi mempunyai makna yang jauh menusuk dalam.
Hari itu aku menangis sendirian di dalam kereta seperti anak kecil. Pasti buruk muka lelaki tua menangis, tapi biarlah, hanya Tuhan yang melihat, air mata turun tanpa izin. Isteri dan anak-anak pun tiada dalam kereta, jadi aku tidak perlu berlakon untuk sesiapa. Aku boleh menangis sepuas hati.
Menangis sering dikaitkan dengan kelemahan. Kita perlu sentiasa tabah, kuat, senyum walaupun tidak gembira. Namun aku merasakan menangis ada gunanya buat manusia. Menangis adalah fitrah, seperti bayi yang keluar dari perut ibu, suara pertamanya adalah tangisan, tiada yang ketawa. Bagi aku bila kita menangis, sujud penuh kekerdilan di hadapan Tuhan, ada satu perasaan yang membebaskan timbul dalam jiwa. Menangis juga merupakan pesanan Tuhan buatku. Aku sudah berlayar terlalu jauh hingga hatiku sudah tawar dalam merasa. Atau mungkin hatiku telah mati. Kemampuan untuk menangis menyedarkanku bahawa aku masih punya hati, walaupun hati yang sakit ia masih mampu merasa dan aku masih mampu menangis.
Aku juga merasakan bahawa kini aku perlu menumbuhkan daun kehidupan yang baharu. Aku kuat merasakan bahawa kini aku berada di fasa pasca-rasionalisma. Dahulu aku sering cuba untuk merasionalkan semua perkara, semua perkara harus diuji dengan rasional. Namun aku kini merasakan itu merupakan satu perkara yang memenatkan. Aku cuba merasionalkan hidup hingga aku terlupa untuk hidup. Terlupa untuk menikmati dan merasai setiap saat.
Aku tidaklah mengecam orang yang mahu merasionalkan semua perkara. Jika mereka mampu dan mahu, terserahlah pada mereka. Mungkin mereka akan berjaya dan dapat menyumbang sesuatu pada ilmu dan intelek manusia. Mungkin juga akhirnya tidak berjaya. Namun apa yang pasti, ia memerlukan pelaburan masa dan usia yang besar. Sedang aku merasakan lebih baik aku laburkan usiaku untuk hidup dari cuba setiap masa untuk merasionalkan hidup. Kini perasaan itu semakin kuat, aku tidak berjaya merasionalkan kematian insan-insan yang aku sayangi. Mengapa mereka perlu pergi dahulu sebelumku? Tiada rasional yang berjaya aku jumpai. Akhirnya, aku pasrah, ia tidak dapat dirasionalkan, ia hanya boleh diterima dengan sabar dan redha.
Perasaanku juga kuat mengatakan bahawa aku perlu mencari hatiku semula pada fasa pasca-rasionalisma ini. Kata Imam Ghazali, hati itu perlu dicari pada tiga tempat, dalam bacaan Al-Qur'an, dalam solat, atau dalam mengingati mati. Jika tidak jumpa pada ketiga-tiga tempat ini, kita harus memohon pada Allah untuk hati yang baru. Aku kuat merasakan bahawa aku memerlukan hati yang baharu. Walaupun hatiku masih boleh menangis, getarannya tidak seperti dahulu.
Jika ada satu tempat untuk aku mencari semula hatiku, tempat itu adalah di musolla MATRI. Musolla MATRI mungkin kelihatan seperti binaan kayu biasa. Binaannya bukanlah sebuah karya seni arkitek moden. Namun, untuk anak-anak MATRI seperti aku, ia menyimpan sesuatu memori yang sangat signifikan, sangat penting, sangat halus, sangat seni dan sangat mendalam. Di sini, hati-hati kami pernah hidup dan membunga, hati-hati kami pernah merasai kebahagiaan jiwa. Aku pun tak dapat mentafsir apa yang membuatkan jiwaku merasakan musolla MATRI ini begitu istimewa, firasatku kuat mengatakan mungkin ia adalah berkat keikhlasan murobbi, guru-guru, dan ustaz-ustaz yang mengajar kami. Jadi, mungkin jika ada anak-anak MATRI yang sama sepertiku, ingin mencari hati yang hilang, aku akan menasihatkan mereka untuk pulang ke musolla kayu ini.
Sampai sahaja aku di Perlis, aku bertanya Aloi sempatkah jika aku ingin solat zohor di musolla MATRI? Katanya sempat, maka itulah tempat pertama yang aku tuju sebelum menziarahi pusara arwah Umar Muhajir di Arau, Perlis. Sampai di musolla, segala memori terurai, disini kami pernah solat dahulu, tempat kami menghafal Al-Qur'an dan mendengar tazkirah. Disini juga aku selalu tidur, dan yang tak mungkin aku lupakan, disini juga aku dirotan di hadapan seluruh warga sekolah semasa di tingkatan 3, pengalaman yang menjadikan aku manusia. Di sini juga tempat aku berdoa dan menangis, tempat aku ber-qiyamullail. Doaku hari itu:
"Ya Allah, Ya Tuhan yang memiliki hati, kurniakan kepadaku hati yang baru, hati yang hidup dan bersih seperti aku di tingkatan satu!"
Pulang dari perjalanan spiritualku dari Perlis. Aku bertekad untuk cuba menjadi insan yang baru. Aku menyelak-nyelak Al-Qur'an peribadiku. Merenung ayat-ayatnya. Aku harap, apabila tiba masaku untuk pergi, nanti Tuhan akan berkata padaku:
"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku".
Allahumma, amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan