Memaparkan catatan dengan label Lamunan Malam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lamunan Malam. Papar semua catatan

Jumaat, 9 Julai 2021

Memetik Sebiji Puisi di Taman Rumi


Ada satu puisi yang ditulis oleh Rumi yang menurut saya sangat kuat pengaruhnya pada diri saya. Puisi ini diletakkan pada bahagian awal dalam naskah The Essential Rumi (di mukasurat ketiga pada naskah saya), naskah yang menterjemahkan puisi-puisi Rumi dengan nuansa lirikal ke dalam Bahasa Inggeris. Terjemahan ini dilakukan oleh Coleman Barks. Walaupun ada yang mengkritik Barks atas terjemahan dan tafsirannya pada karya-karya Rumi, saya kira beliau mempunyai sumbangan yang signifikan dalam membuka pintu pembaca yang tidak mempunyai ilmu Bahasa Farsi untuk masuk bertandang di taman pemikiran karyawan agung Rumi ini. Minum dari puisi-puisinya yang manis dan mengkhayalkan, pada masa yang sama mengambil pulang beberapa putik pengajaran.

Saya pernah membaca puisi tersebut kepada kekasih saya. Pada ketika itu beliau sedang mencurahkan perasaan pada saya perihal masalah-masalah hidupnya. Saya ingin memberikannya kekuatan dan semangat dari rangkap tersebut. Apabila dia mendengar sahaja bait-bait puisi tersebut, dia lantas menangis. Bait tersebut berbunyi:

“Tutuplah kedua matamu wahai kekasihku,
Agar kau bisa melihat dengan mata hatimu,
Mengapa kau masih memilih dipenjara duka?
Sedangkan pintu bahagia sudah luas dibuka”

Bait ini saya terjemahkan secara lirikal juga, tidak literal. Terjemahan saya atas terjemahan Coleman Barks yang menterjemahkan Rumi. Terjemahan atas terjemahan. Namun saya kira maknanya tetap disitu. Kita sering melihat hidup dalam kaca mata material. Kita yakin dengan apa yang kita nampak, apa yang dapat dipandang, dipegang, dan dirasai. Namun hidup ini lebih misteri dari sekadar objek fizikal. Hidup kita dicorak dengan emosi dan perasaan, sesuatu yang tidak dapat dibuktikan secara emperikal. Oleh itu kadang kala ketika membuat keputusan, kita perlu menutup mata dan percaya pada perasaan. Biar sungai takdir yang membawa kita ke muara yang baharu, muara yang kita sendiri tidak pernah tahu akan kewujudannya.

Kita sering memenjara diri sendiri, mengalah dengan keadaan. Kita bukan tumbuhan, kita punya kaki untuk melangkah kepada perubahan. Tiada yang menghalang melainkan perasaan dan minda kita sendiri. Apabila minda kita bebas, kita tidak takut lagi melangkah keluar dari keadaan. Pergi jauh meninggalkan keburukan lalu kepada masa depan yang lebih baik. Kunci pintu penjara ada di tangan kita. Jangan takut, tutuplah mata dan melangkahlah keluar. Ya, bait-bait puisi Rumi ini membawa falsafah kebebasan.

Saya juga merasakan dengan kuat sekali, bahawa kadangkala keinginan untuk bebas itu memakan jiwa saya dengan begitu marak sekali. Sejak kecil kita diajar untuk tunduk dan taat, unjuk menjiwai jiwa hamba, untuk menurut apa yang ditentukan pada kita. Tetapi apabila dewasa, agensi kreatif dalam diri kita, keinginan untuk bebas yang ditanam Tuhan dalam jiwa kita sebagai sebahagian sifat manusia, mereka memberontak. Mereka mahu bebas mengembara, menjumpai, mencari, mencuba, mengekspresi, mereka mahu jiwa mereka terbang.

Maka ketika kita merasakan dunia ini terlalu mencengkam. Seperti takdirnya sudah ditetapkan. Beranikanlah diri untuk berpegang kepada bisikan kebebasan, untuk berangkat dari takdir yang membosankan kepada takdir baharu yang lebih menghidupkan. Tiada siapa yang dapat memenjarakan kita jika kita memilih untuk memegang kuncinya.  

Selasa, 29 Jun 2021

Dipenjara Abah


Entah hari ini hari apa, tarikh yang ke berapa. Semuanya begitu samar, mungkin kerana masa yang dikatakan sebagai relatif oleh Einstein itu tidak dapat lagi diukur apabila kita dipenjarakan. Begitulah apa yang aku rasakan hari ini, ketika kita bersama-sama mengerumuni ruang penjara yang disediakan Abah. Dari janji asal supaya "just stay at home" selama dua minggu, kini kita sudah dipenjarakan memasuki tahun yang kedua. Dengan pengagihan vaksin yang lembab, mungkin kita akan dipenjarakan lagi pada tahun hadapan.

Tulisan malam ini bukanlah satira politik, bukan juga omelan perihal takdir. Perenggan pertama itu sekadar latar belakang keadaan semasa. Untuk menangkap mood negara pada hari ini. Tulisan malam ini sekadar catatan malam sunyi, setelah lama tidak menulis dari hati. Menulis dari minda ada kalanya memberi kepuasan, namun setelah beberapa ketika ia terasa kering, sekadar fakta dan data, tiada jiwa. Maka malam ini jari jemari dibiarkan bebas berdansa di papan kekunci, mencurah sedikit lebihan emosi yang telah sekian lama bertakung di hati. Dansa jemari ini juga sebagai introspeksi diri, setelah sekian lama diri hanyut dibawa sungai zaman.

Manusia itu memang dilahirkan lemah. Kita dimasukkan ke dalam sebuah bekas, bekas yang merupakan objek biologi. Ada bahagian dari objek ini yang boleh kita kawal, seperti pergerakan tangan, kebanyakannya berfungsi secara automatik, tanpa kawalan kita seperti kelajuan peredaran darah atau bilangan bulu roma yang perlu ditumbuhkan di tangan. Bekas ini sifatnya tidak tahan lama, ia akan bertukar tua, dan ada masanya ia gagal, dan kita tidak mampu mengawal kegagalan itu, maka kita akan meninggalkan bekas ini.

Manusia cuba mengawal pelbagai benda. Masa sebagai contoh, merupakan satu perkara yang bukan objek, malah mungkin juga bukan subjek. Kita mengimaginasikan masa, cuba mengiranya dalam unit saat, minit, jam, hari, minggu, tahun, abad dan seterusnya. Namun hakikatnya tanpa bantuan alat mekanikal, kita sendiri pun tidak tahu berapa lama harusnya kita katakan satu minit itu. Manusia juga cuba mengawal alam, kita membina bumbung, apabila cuaca kering kita membenihkan awan, kita menahan aliran sungai dengan membina empangan, kita membiakkan ayam dan ikan untuk menjamin kelangsungan makanan. Namun sebenarnya tidak ada satu perkara pun yang boleh dikawal oleh manusia. Tiada siapa yang boleh meramal cuaca dengan tepat apatah lagi sejarah. Ahli ekonomi sering meramal bahawa tahun depan ekonomi akan berkembang sebanyak 10 peratus, kemudian kita mengalami kegawatan ekonomi di masa hadapan.

Disebalik kemajuan teknologi, perkembangan data, kelajuan internet, disebalik segala-galanya, disebalik usaha terbaik manusia, disebalik semuanya sebenarnya manusia tidak dapat mengawal apa-apa. Bukan sahaja alam, bahkan bekas yang mengisi diri mereka. Bekas ini mudah sahaja gagal dan rosak, tidak perlu akan ribut, api, atau mara bahaya, cukup dengan sebutir virus mikroskopik yang tidak mampu dilihat oleh kornea mata.

Maka apakah tujuan penulisan bebas malam ini? Berserah pada takdir? Hidup tanpa cuba merancang? Tidak ada. Penulisan ini tidak berhajat untuk memberikan ilmu atau pelajaran. Ia hanya catatan buat fikiran. Tulisan ini tiada inklinasi ideolog atau teolog. Sekadar aksara-aksara bebas yang memenuhi skrin digital. Jika anda punya masa maka silalah baca lagi, jika tidak, seeloknya rehatlah dengan mimpi.

Membelek-belek media sosial hari ini tiada apa lagi yang bisa membangkitkan jiwa. Dahulu aku juga aktif berpatisipasi di sana. Mengutara idea, mematah hujah, berlawan dengan kawan, menulis panjang, namun daya usaha sebegitu sudah tidak ada. Aku tak pasti sama ada ruang itu sudah membosankan diriku, atau mungkin aku sudah tua, tidak tersengat lagi deria dengan slogan-slogan yang ada. Dikotomi ideolog kiri atau kanan juga sudah tidak meransang lagi mindaku, aku merasakan ia perlawanan yang sudah basi, mungkin juga sudah bosan untuk diterokai. Bagiku hari ini, yang penting adalah kebenaran, bukan kiri atau kanan. 

Atau mungkin aku yang sudah ketandusan idea. Sudah tidak punya apa-apa untuk ditawarkan pada dunia. Mungkin juga ini adalah satu fasa, bila mana kita tandus idea, kita perlu belajar mendengar, belajar melihat sahaja pertelingkahan yang ada. Tidak meletak setia di mana-mana. Cukup berada di arena sebagai pelajar, memerhati dan memahami sejarah yang sedang diukir. Belajar dalam diam tanpa cuba memberi solusi atau memperbaiki. Manusia cuba memperbaiki dunia sepanjang sejarahnya, adakah mereka berjaya? Hingga hari ini mereka cuba memperbaikinya. Atau memang dunia itu tidak akan boleh diperbaiki, cuma boleh dihidupi, dengan seribu satu kelemahan dan kekurangannya.

Akhirnya hidupan kopi sudah kering diminum. Maka dengan berakhirnya kopi, berakhirlah dansa jemari ini. Tiba masanya untuk menutup suis alatan elektronik, memadam lampu, memadam minda, menarik selimut, memeluk sayang dan tenggelam dalam pengembaraan mimpi. Esok kita akan bangun semula dalam penjara ini, mencuba dengan apa adanya, apa kudratnya, untuk mengharunginya, tanpa kita sedari lagi apakah nama hari esok. Mungkin "selasa" atau mungkin "satu hari lagi di penjara". Apa pun nama hari esok, biarlah.

Selamat malam dunia.

Isnin, 21 Disember 2020

Anekdot Perihal Penulisan dan Pembacaan


Setiap kali saya menerbitkan penulisan di blog, sama ada perkongsian pengalaman, puisi, atau artikel, satu rasa gembira terbit dihati. Seolah-olah ia berkata pada diri saya "hari ini awak produktif". Ia bukan soal produktiviti sahaja, menerbitkan penulisan juga satu cara bagi saya untuk menyalurkan perasaan untuk menenangkan minda. Idea yang keluar memberi minda saya lebih kelapangan, lebih banyak ruang untuk berfikir akan hal lain.

Dalam perjalanan penulisan, kadang kala saya perlu bertarik tali dengan pembacaan. Dilema setiap malam setelah anak-anak tidur adalah "malam ini mahu membaca atau menulis?". Menulis dan membaca adalah dua sayap ilmu, ia perlu berjalan seiring.

Jika malam itu saya bertenaga, atau ada idea yang membuak-buak ingin keluar, saya akan menulis. Jika tidak, saya akan membaca, kerana membaca lebih kurang penggunaan tenaga, hanya perlu menggunakan mata dan otak, sedangkan menulis memerlukan tenaga untuk menaip, juga memerah idea dari otak. Menulis tidak boleh tergesa-gesa dan terpaksa, ia memerlukan mood, perlukan suasana kondusif, dan dalam banyak ketika, memerlukan secawan kopi panas dengan kesenyapan malam.

Saya suka menulis apa yang saya mahu tulis, kadangkala ada juga orang lain yang meminta penulisan, saya tiada masalah untuk menulis untuk orang lain, sekurang-kurangnya ada orang mahukan penulisan saya. Cumanya ia tidak memberi kepuasan seperti menulis untuk diri sendiri. Kerana menulis untuk diri tiada sebarang batasan, tiada kerisauan perihal pandangan orang lain, jadi kata yang bebas itu lebih memuaskan, lebih segar, lebih enak, dan yang paling penting, lebih jujur. Penulis perlu menerbitkan tulisannya, seperti yang dikatakan Robert Fisk, bukan apa yang dikehendaki oleh orang lain seperti editor atau pemilik syarikat penerbitan.

Khamis, 17 Disember 2020

Aku Ingin Mencuri Hati Suri



Aku ingin mencuri hati suri,
rupanya didalamnya ada ribut,
yang merenggut hatiku sendiri,
dihanyut arus tenggelam ke dasar laut.

Semua dosa sudah aku ampuni,
tapi bekasnya masih meracuni,
aku lemparkan ego bersilih-silih,
namun yang datang secangkir pedih.

Mungkin harga mahar bahagia,
tidak dapat dibayar dengan setia,
mungkin layar ini takdirnya duka.

Jika kalbu mu masih tertanya,
Jawapannya adalah "iya".

Selasa, 29 September 2020

Tentang Peduli

Perubahan merupakan sebahagian dari hidup, malah jika tiada apa yang berubah mungkin kita tidak boleh mengklasifikasikan hidup sebagai 'hidup'. Fizikal kita berubah, dari bayi yang kecil kepada anak kecil yang boleh mengunyah makanan, menjadi remaja, dewasa dan mengalami proses penuaan. Keadaan hidup juga berubah, dari bersekolah ke universiti, berkahwin, mempunyai anak, cucu, cicit. Selagi kita hidup dunia disekeliling kita, malah kita sendiri akan sentiasa berubah.

Pemikiran kita juga akan berubah. Ketika kita muda kita mungkin menjadi seorang yang idealis, kita akan merempuh tembok-tembok oder lama, percaya bahawa dunia ini sebenarnya kecil, kita boleh mengubahnya dengan semangat dan usaha-usaha tangan kita. Namun apabila kita sudah dewasa, sedikit demi sedikit pemikiran kita semakin realis. Kita tidak mahu mengkhianati idealisme kita namun kita akhirnya sedar, dunia ini terlalu besar untuk kita ubahkan.

Tenaga muda kita yang kita habiskan untuk melawan arus dunia semakin lama semakin pudar. Kita mula bertanya kepada diri, adakah ini bermakna kita menyerah kalah? berputus asa? atau ia sebenarnya manifestasi kematangan, akhirnya kita melihat dunia sebagai 'dunia', kita melihat dunia seperti adanya, kita telah faham, kita tidak lagi melihat dunia dengan lensa idealisma, dari sudut pandang idealisma kita melihat dunia sebagai mana "dunia yang sepatutnya ada menurut kefahaman kita", oleh itu kita sentiasa mahu mengubahnya, sesuai dengan selera kita. Namun dunia tidak peduli tentang apa yang kita fikirkan, dunia akan terus menjadi dunia menurut fitrahnya, sedangkan tenaga kita sudah habis semuanya.

Tapi tentunya kita masih peduli dengan masalah-masalah dunia. Tetapi 'peduli' itu bukan lagi peduli yang akan membuatkan kita membeli tiket kapal terbang, pergi ke negara lain, dan menyelamatkan anak-anak yang mati lemas ditengah laut di negara lain kerana mereka cuba melarikan diri dari menjadi mangsa perang, peduli itu sekadar kesedihan hati, sekadar doa di dalam hati. Atau sekadar tulisan dan komen-komen. Yang, jika direnung secara rasional, tidak meringankan beban mangsa-mangsa yang kita kasihankan.

Mungkin ada yang mengatakan ini merupakan defeatism, kita juga tidak punya hujah untuk melawan kata-kata itu, mungkin benar. Mungkin keperluan untuk terus hidup, untuk terus menghidupkan keluarga yang dibina menyerap seluruh tenaga kita. Atau mungkin juga ia merupakan satu tempoh peralihan, satu krisis dalaman yang dilalui oleh setiap manusia apabila telah sampai masa dan umurnya, satu metamorphosis kepada diri yang baharu.

Sejarah pemikiran penuh dengan contoh-contoh manusia yang menukar fikiran mereka, dari pemuda yang percayakan socialist utopia kepada manusia yang percaya bahawa kapitalis adalah sistem yang realis, yang terbentuk bukan kerana konspirasi tetapi kerana keperluan dan keadaan semasa. Dari pemuda yang merasakan dirinya istimewa, dirinya merupakan manusia yang dilahirkan untuk mengubah dunia, kepada manusia yang sedar bahawa dia hanyalah manusia biasa yang hidup dalam lautan 7 billion manusia lain sepertinya. 

Semakin kita dewasa, kita akan kurang peduli tentang sesuatu perkara, dan lebih peduli akan perkara yang lain.

Jumaat, 7 Ogos 2020

Read Write Coffee Repeat

Christopher Hitchens pernah ditanya dalam satu temuramah oleh Jeremy Paxman berkenaan dengan gaya hidupnya yang gemar merokok dan meminum minuman keras yang mungkin menjadi penyebab kepada penyakit kanser yang dialami beliau. Ketika itu rawatan kanser telah menggugurkan rambut Hitchens. Tetapi Hitchen berkata beliau tidak menyesal akan gaya hidupnya tersebut, kerana perkara itu membantunya berjaga di malam hari, membuatkan beliau terus berjaga untuk membaca dan menulis, walaupun akhirnya ia membinasakan dirinya.

Saya gemar membaca dan menulis, apabila tempoh kawalan pergerakan melanda Malaysia yang memaksa rakyat Malaysia berkurung dirumah, ia seolah-olah satu anugerah buat saya. Secara tiba-tiba saya tidak lagi sibuk dengan perkara-perkara lain. Masa yang ada boleh digunakan sepenuhnya untuk membaca dan menulis.

Tentunya sebagai seorang Islam saya tidak merokok atau mengambil minuman keras. Tapi salah satu kegemaran saya, perkara yang membantu saya berjaga adalah secawan kopi. Seingat saya semasa di St. Petersburg dulu saya minum 3 ke 4 cawan kopi sehari, mungkin lebih. Namun sekarang apabila sudah tua sekitar satu ke dua cawan. Kopi ini mungkin sedikit kontroversi, ada yang mengatakan bahawa kopi ini tidak bagus untuk kesihatan, namun banyak juga kajian yang mengatakan bahawa kopi sebenarnya baik untuk kesihatan. Di zaman kelimpahan informasi ini, sukar untuk membuat keputusan yang objektif, walaupun terhadap perkara yang objektif seperti meminum secawan kopi. Seolah-olah baik atau buruk minum kopi ini adalah relatif, bergantung kepada sumber mana yang kita mahu percaya.

Bagi saya secara peribadi, kopi itu sendiri tidak berbahaya, yang berbahaya adalah kandungan gula dalam bancuhan kopi, kopi yang di brew sendiri mungkin tidak punya apa-apa kandungan yang berbahaya. Tetapi kopi yang diproses dalam sachet 3 in 1 mungkin lebih berbahaya, kerana selain dari kandungan gula, kita tidak tahu bahan lain apa yang ditambah.

Saya pernah juga cuba berhenti untuk minum kopi, namun ternyata tidak berjaya. Kopi tetap terus menjadi sebahagian dari diet saya untuk kekal berjaga untuk menulis dan membaca. Saya tidak pasti sampai bila rutin ini boleh diteruskan. Tetapi sementara peluang ini masih tersedia, saya gembira untuk bangun dari tidur untuk "read write coffee repeat".

Ahad, 29 Disember 2019

Membaca di Tepi Tingkap Bas


Antara moment-moment yang saya selalu dekat dengan hati saya sepanjang perjalanan kehidupan sebagai pekerja adalah perjalanan pulang menaiki bas dari Pulau Pinang ke Sungai Petani. Membaca buku sambil melihat sawah padi luas terbentang, kawanan burung pulang senja, begitu mengasyikkan jiwa, begitu mengamankan hati. 

Malah saat-saat seperti itu merupakan saat kebanyakan idea datang untuk menulis, malah mungkin sebahagian besar buku dan tulisan saya digarap ditepi tingkap bas. Benarlah kata-kata Tolle bahawa dalam diam dan sepi kita bertemu diri, benar juga kata-kata Glowacki bahawa dalam suasana kebosananlah terbitnya idea dan kreativiti. Maka di tepi tingkap bas lah tempat saya termenung, menulis, berfikir, berpuisi, dan kadang-kadang, apabila penat datang dengan kuat, saya akan tertidur.

Menaiki pengangkutan awam terdapat seribu satu kelebihan. Abaikan sebentar servis yang teruk, jadual tertunda, kelewatan dan sebagainya. Kenderaan awam memberi kita peluang beremu dengan manusia setiap hari, manusia-manusia asing, yang tidak pernah kita temu sebelum ini. Kita dapat melihat pelbagai ragam manusia, dari yang menjerit gila, sehinggalah yang diam tersenyum sendiri melihat talifon bimbit.

Saya masih ingat perbualan panjang saya dengan seorang pakcik. Asing, saya tidak mengenalinya, tetapi perbualan itu sangat mengasyikkan. Pakcik itu sederhana sahaja orangnya, jika dilihat dari luarnya, tiada apa yang istimewa. Dia bercerita tentang kisah hidupnya berkhidmat di serata dunia, kisah-kisah mamak Pulau Pinang, sejarah Sungai Petani dan bas mini berwarna merah, impiannya untuk bersara dan menjadi seorang sufi, hinggalah kepada hal-hal keluarga dan kesihatan. Beliau sebenarnya merupakan doktor pakar tulang di sebuah hospital swasta terkemuka. Asyik sekali perbualan kami petang itu. Akhirnya aku juga tidak tahu siapa namanya, biarlah, keasyikan itu sudah cukup bagiku. Cukup untuk membuai lamunan petangku.

Pengangkutan awam sememangnya tidak asing bagiku. Masih lagi aku ingat kegiatanku semasa muda remaja menaiki bas dan LRT di ibukota berkeliaran di Petaling Street, Pasar Seni, Chowkit. Juga man amungkin aku lupakan lamunanku didalam bas, tramvai, dan metro di bandar lagenda Leningrad. Juga perjalanan musim sejuk dari vokzal di Peterburg ke Moskva, salji-salji putih yang melitupi pokok dan rumah diperdalaman Russia, semuanya membuatkan memoriku berkenaan dengan pengangkutan awam begitu mengashikkan.

Satu hari aku terjumpa buku bertajuk "Aku ingin membaca 1000 tahun lagi". Mungkin jika ditanya, aku akan menjawab "Aku ingin membaca, termenung dan merenung di tepi tingkap bas 1000000 tahun lagi"!

Sabtu, 31 Ogos 2019

Kehidupan Seorang Puisi


Di dalam pekat malam, di dalam hening sunyi, orang kata pukul dua adalah masa berkarya. Ia merupakan masa yang paling sesuai untuk berkenalan dengan jiwa, bercakap dengan idea, meninggalkan sebentar minda pejabat dan kerja. Masa itu kita sendiri, bebas menukil emosi atau bermuhasabah diri.

Seperti manusia, puisi juga mempunyai tarikh dan tempat kelahiran. Cuma bezanya puisi yang ditulis diatas lembaran, hayatnya lebih lama dari bapanya yang menulis. Dia mungkin mengembara dalam umur masa yang lebih lama, berhijrah dari satu generasi ke generasi yang lain. Dia mungkin lahir di sebuah kampung kecil ketika teknologi manusia masih primitif, tetapi kekal hidup hingga ke zaman kereta terbang.

Seorang puisi itu dikandungkan di dalam minda, selalunya ia disenyawakan dari akal dan emosi. Seperti bayi-bayi lain, puisi ketika dalam kandungan sangat sensitif, ia mesti dijaga selalu, dan apabila tiba saat kelahiran ia perlu disegerakan, jika tidak, ia akan hilang mati.

Kehidupan puisi setelah itu bukan lagi bergantung kepada si bapa penulis. Tetapi dia akan bersosial dengan minda-minda pembacanya. Jika puisi itu membawa idea, dia boleh jadi berbahaya. Mungking boleh mengubah minda, mungkin juga boleh mengubah negara. Mungkin membebaskan hamba, mungkin juga revolusi boleh menyala.

Kerana puisi itu asalnya perasaan, ia mampu membawa pada tangisan. Tatkala kalbu kecil tersentuh, seorang puisi boleh menyebabkan pembacanya bersimpuh, merenung dalam kepada kehidupan, bertanya erti kejadian, atau menyepi dalam selimut kerinduan. Seorang puisi boleh jadi dilihat sekadar sebagai dakwat-dakwat yang melekat di atas kertas, boleh jadi juga ia difahami sebagai barisan nasihat, yang akan kekal menasihati umat. Boleh jadi seorang puisi boleh mengubah seekor kambing menjadi berani, tidak mustahil kerana serangkap puisi satu bangsa bisa menang perang.

Oleh itu waspadalah dengan seorang puisi, sengatnya boleh kekal beberapa generasi. Idea yang dibawa ada potensi menjadi api, menghidupkan hati-hati yang telah mati, atau menyirami akal-akal yang kehausan imaginasi. Jika sejarah kita jadikan murabbi, bukan sedikit impak seorang puisi, dalam membangun peradaban, dalam membina ketamadunan, dalam pembentukan karakter dan identiti, jadi jangan berhenti disini. Jangan bunuh puisi dalam kandungan, lahirkanlah dia, dia harus diberi peluang untuk hidup. Biar masa dan sejarah yang menjadi hakim, bagaimana dia akan hidup dan bermukim.

Kata masharakat dahulu kata-kata boleh jadi setajam pedang, inikan pula seorang puisi, dia bukan sahaja boleh menjadi pedang, dia juga boleh menjadi ubat, merawat perasaan-perasaan yang gawat. Atau membelai jantung-jantung yang gundah, atau merehatkan minda yang lelah. Puisi boleh hidup di kota, boleh juga di desa, di tepi pantai, atau di lereng gunung-ganang.

Tetapi bagaimana jika ada kawan-kawan kita bertanya, mungkinkah seorang puisi itu mati menemui ajalnya?

Kita harus jujur kepada kawan kita itu. Kita katakan pada dia bahawa kita pun tidak tahu bagaimana seorang puisi itu boleh mati, mungkin jika manusia semuanya mati, atau telah sampai hari akhirat. Kita katakan dengan jujur, kita tidak tahu. Mungkin juga perpustakaan-perpustakaan semunya terbakar, hangus ditelan zaman, pupus dimamah peradaban. Tapi yang pasti, kita perlu bisikkan pada telinga kawan kita tadi, seorang puisi itu bukan tuhan, dan sebagaimana makhluk-makhluk fana yang lain, dia juga akan bertemu dengan hari akhirnya.