Jumaat, 7 Ogos 2026
Memahami Akar Masalah
Isnin, 10 Mei 2021
Buku John L. Esposito ditahan Kementerian Dalam Negeri Malaysia
Berdebar-debar, jantung berdegup kencang apabila mendapat surat pada 5 Mei 2021 dari Kementerian Dalam Negeri. Ada cop bahagian penguatkuasaan dan kawalan pada surat tersebut, membuatkan kegelisahan bertambah tambah.
Dalam hati "Ah sudah, buku diharamkan ke apa pulak ni".
Pada mulanya saya hendak keluar pada tengahari itu, saya batalkan sebentar hasrat itu dan duduk sekejap, ambil pisau dan buka surat. Rupa-rupanya buku yang saya pesan dari Amerika Syarikat telah ditahan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Saya memang selalu membeli buku second hand dari Bookfinder.com, sebab murah, walaupun jika campur postage harganya akan menjadi mahal sedikit tetapi tetap masih berbaloi jika dibandingkan dengan harga tempatan.
Sebelum ini tidak pernah lagi buku yang saya pesan ditahan, paling kuat pun KDN buka bungkusan dan lekat sticker untuk maklumkan bungkusan pernah dibuka KDN.
Saya beli buku John L. Esposito bertajuk Who speaks for Islam? What A Billion Muslims Really Think. Sudah lama saya ingin membaca buku ini, sejak zaman universiti, tapi dahulu saya tidak mampu beli. Buku ini ada di Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) Universiti Teknologi Malaysia di Johor. Buku ini saya kira akademik, jadi saya tak pasti kenapa ditahan. Mungkin Esposito ada kontroversi dengan kerajaan Malaysia yang saya tak aware? Saya tak pasti. Saya cuba menalifon pegawai yang bertanggungjawab yang nombornya disertakan di dalam surat namun tidak dapat dihubungi, saya cuba dua kali, pekerja adminstrasi memaklumkan bahawa beliau ada task force di luar. Saya ambil keputusan untuk cuba lagi esok hari.
Menurut sahabat saya Akif, beliau ada membeli naskah yang sama di pesta buku Big Bad Wolf. Manakala menurut Asyraf sepatutnya buku John Louis Esposito tiada masalah. Kerana beliau pernah mendapat red carpet untuk memberi ucapan di Akademi Pengajian Islam UM beberapa tahun lepas, majlis yang turut dihadiri baginda sultan, Tuanku Dr Nazrin Shah yang turun ke UM untuk mendengar ucapan beliau.
Keesokan harinya, pagi-pagi pukul 8 saya sudah call KDN. Saya mengira bahawa pegawai punch card pada waktu pagi, kerja pertama adalah untuk menjawab call saya.
Saya: Assalamualaikum saya nak bercakap dengan Encik N.
Admin : Waalaikumussalam, Encik N tak masuk lagi la, boleh ke encik call lagi sekali.
Saya: Nak call pukul berapa tu, semalam saya dah call 2 kali.
Admin: Kejap saya check jadual dia, dia patut ada hari ni tapi belum masuk, dia selalu ada task force kena keluar.
Saya: Pukul berapa dia masuk?
Admin: Encik cuba dalam pukul 9 lebih. Tapi saya tak janji la, sebab sekarang kerja tak menentu, nanti dia takda encik marah saya pulak.
Saya: Saya bukan nak marah, saya nak tanya dia, sebab dalam surat KDN suruh saya hubungi dia, semalam saya dah call dua kali, tapi asyik suruh call balik. Ok, pukul 9 nanti saya call lagi.
(Rekod perbualan ini bukan rekod verbatim)
Kelakar juga saya kira jawapan pihak admin KDN, saya bukan nak marah, saya hanya nak buku yang saya beli pakai duit saya sendiri sahaja. Pelik juga, pihak KDN yang menahan buku saya, bagi surat, suruh hubungi pegawai, tapi pegawainya tak dapat dihubungi. Saya ada minta serah kes pada pegawai lain yang ada di pejabat, itu pun tidak dapat dilakukan. Saya ada check senarai buku yang diharamkan KDN, buku yang saya beli tiada dalam senarai di website KDN, namun ada buku Esposito lain yang diharamkan, buku yang bertajuk What everyone needs to know about Islam.
Pada pukul 9 saya menalifon KDN buat kali yang ke-4, kali ini talian saya berjaya disambungkan dengan Encik N, pegawai yang penguruskan kes saya.
Saya: Assalamualaikum tuan.
N: Waalaikumussalam. Siapa ni ya?
Saya: Saya Syed Ahmad Fathi, tuan ada hantar surat pada saya bertarikh 27 April 2021.
N: Oh okay baik.
Saya: Jadi buku ni macam mana encik?
N: Buku ini kami tahan untuk kajian, saya pun tak baca lagi buku ni, orang di unit kajian pun tak ada hari ini, nanti saya hantar pada depa untuk kaji dan maklum pada encik dalam masa 45 hari.
Saya: Tapi buku ni dah ada di Malaysia, di pesta buku pun banyak jual. (Buku ini diterbitkan pada tahun 2007, 14 tahun yang lalu)
N: Mungkin penguatkuasa tak jumpa lagi, jadi baru ditahan.
Saya: Jadi kalau buku saya tak lepas saya kena beli baru di pesta buku atau kedai buku?
N: Itu terpulang pada encik la nak beli kat mana.
Saya: Tapi saya pelik lah buku ni memang dah lama ada di Malaysia, di perpustakaan universiti saya dulu pun buku ni ada, kenapa ditahan?
N: Itu saya tak tahu la, tapi dalam rekod kami belum ada, jadi kita akan kaji dulu, setiap buku yang masuk kita akan periksa, supaya bertepatan dengan moral dan tak menganggu ketenteraman awam. Setiap buku yang masuk dari luar negara perlukan kelulusan.
Saya: Kenapa buku ini perlu ditahan, saya masih keliru, sebab bagi saya ia adalah kajian akademik?
N: Sebab ada perkataan “Islam” pada tajuk buku, jadi kami kena kaji dulu.
Saya: Okay takpelah, jadi macam mana saya nak tahu buku ini akan diluluskan atau dirampas? Selepas 45 hari adakah saya akan dapat surat baru, atau saya kena call semula.
N: Kami akan maklumkan melalui surat, saya yang buat surat tu, encik tak perlu call, nanti saya akan hantar surat keputusan KDN selepas 45 hari.
(Rekod perbualan ini bukan rekod verbatim)
Akhirnya saya terpaksa pasrah, sebagai rakyat marhaen, tiada apa lagi yang saya boleh lakukan, saya kena tunggu 45 hari, sementara tu terpaksa sambung balik mendengar syarahan-syarahan Esposito di YouTube, nasib baik video di YouTube tak perlu kelulusan KDN.
Update 22 Ogos 2022.
Kelakar betul Kementerian Dalam Negeri (KDN) punya cara kerja. Orang beli buku dia rampas. Surat kata nak siasat 45 hari. Tapi lepas 4 bulan baru bagi surat kata buku lulus bersih. Talifon pegawai dalam surat, pegawai keluar operasi. Lepas buku lulus kena pulak datang KDN Alor Setar sendiri nak ambil. Patut dah rampas di pejabat pos, pos la balik pada pembeli. Apa pembeli pulak kena travel ke pejabat KDN menyusahkan orang semata-mata nak ambil buku. Bayangkan kalau beli 10 buku, 10 buku kena rampas, 10 kali nak pergi Alor Setar nak ambil buku? Apa KDN ingat semua orang duduk Alor Setar ke?a
Sabtu, 7 November 2020
Pilihanraya Amerika 2020: Trump Vs Biden
Sehingga artikel ini ditulis, pilihanraya presiden Amerika Syarikat masih belum menamatkan tirai, selepas 3 hari keputusan sama ada Donald Trump bakal kekal menjadi presiden bagi penggal ke-2 masih menjadi tanda tanya. Seperti ramalan penganalisis, pada peringkat awal, Trump dijangka mendahului, fenomena yang dipanggil The Red Mirage. Namun, apabila undi-undi pos dikira, calon Demokrat, Joe Biden mendahului Trump. Setakat artikel ini ditulis, Biden mendahului dengan 264 undi, manakala Trump dibelakang dengan 214 undi. Masing-masing memerlukan 270 undi untuk memenangi pertandingan ini.
Saya dahulu ikut dengan rapat juga politik Amerika Syarikat, tetapi selepas Bernie Sanders gugur sebagai calon presiden kerana tidak mendapat sokongan dari elit politik dalam Parti Demokrat, saya hilang minat. Dan saya tidak terkejut jika Trump menang, kerana bagi saya elit Demokrat sudah lost touch dengan grassroots voters. Bagi saya Biden tiada beza dengan Bill Clinton. Ya, Trump banyak buat kerosakan pada international order, tarik diri dari Iran Nuclear Deal, tarik diri dari Paris Climate Agreement, dan yang terbaru tarik diri dari WHO. Semakin lama dibawah Trump, semakin cepat US menjadi pariah state berbanding global leader. Tapi Amerika sudah pun lama menjadi pariah state di UN terutamanya dalam undi perihal isu Palestin.
Jika tanya saya, saya mahu Trump menang supaya lebih banyak kerosakan dilakukan, ia akan menjadi reality check kepada elit Demokrat bahawa meletakkan calon yang mengekalkan status quo dan tiada polisi progresif akan sentiasa gagal menangkap imaginasi rakyat.
Tetapi pilihanraya kali ini ada juga yang menggembirakan. Calon muslim seperti Ilhan Omar dan Rashida Tlaib mempertahankan kerusi masing-masing. Selain itu banyak juga calon Muslim lain yang menang termasuklah Mauree Turner (Oklahoma), Iman Jodeh (Colorado), Madinah Wilson-Anton (Delaware), Nida Allam (Durham County Commissioner), Hoda Hasan (MN State Rep), Nafisa Fai (Washington County Commission), Nadia Hasan (Beaverton City Council).
Ahad, 30 Ogos 2020
The System Fights Back
Antara ahli komedi yang menarik bagi saya adalah George Carlin, walaupun bahasanya agak kotor tetapi Carlin seolah-olah mempunyai sesuatu yang tidak ada pada ahli komedi lain, iaitu dia berani membicarakan tentang soal melawan sistem. Ada ahli komedi muda baru yang mungkin berani melawan sistem mungkin adalah John Oliver, tetapi Oliver mempunyai batasan, Carlin pergi lebih jauh. Bagi Oliver sistem ini boleh diperbaiki, manakala Carlin lebih nihilis, baginya sistem ini tidak punya harapan lagi untuk dibaiki. Salah satu sebab akan perkara ini pernah dibicarakan oleh Carlin, iaitu pada zamannya, dia memulakan kerjayanya atas peraturannya sendiri, sedang banyak ahli komedi lain memasuki industri setelah syarikat-syarikat hiburan telah teguh bertapak dan mereka perlu mengikuti peraturan mereka.
Carlin tidak mengundi kerajaan,
baginya mengundi adalah perbuatan sia-sia, manusia seolah-olah diberi pilihan
namun akhirnya tiada apa yang berubah. Walaupun orang lain selalu mengatakan “jika
anda tidak mengundi anda tidak boleh complain”, bagi Carlin ini satu kenyataan
yang bodoh. Kerana pengundi-pengundilah yang melahirkan ahli politik korup yang
merosakkan masyarakat, kepercayaan mereka kepada sistemlah yang meletakkan ahli
politik bermulut manis di kerusi-kerusi kuasa. Bagi Carlin ahli politik korup
bukanlah masalah sebenar, mereka hanya produk, mereka tidak akan lahir tanpa
masyarakat yang ada. Ahli politik ini adalah produk masyarakat, mereka
dilahirkan dalam keluarga dalam masyarakat, di sekolahkan dalam masyarakat, diasuh dengan agama
dan kepercayaan masyarakat, diundi dan diberi kuasa dalam sistem masyarakat, mereka adalah
produk masyarakat. Jadi mereka yang tidak boleh complain kerana mereka yang menaikkan pemimpin korup.
Bagi Carlin politik adalah satu “persembahan”,
dan beliau tidak mahu terlibat, beliau hanya mahu mengambil kerusi dan duduk
melihat persembahan ini, yang beliau gelar sebagai “freak show”. Beliau mahu
melihat bagaimana persembahan ini menuju kebinasaan, beliau mahu menjadi
pemerhati dan cuba memahaminya dari luar. Kerana kita tidak boleh melihat
kerosakan itu jika kita merupakan sebahagian darinya. Seperti yang dikatakan
oleh Upton Sinclair “It is difficult to get a man to understand something
when his salary depends upon his not understanding it”.
Memerhatikan perubahan kerajaan di
Malaysia juga merupakan satu pemerhatian yang menarik. Sangat menarik melihat
mereka-mereka yang begitu bersemangat apabila kerajaan bertukar, mereka
berteriak “Malaysia Baharu!”, walaupun sebenarnya ia adalah produk yang sama,
perdana menteri yang sama dengan menteri-menteri yang sekadar “menyondol” dari
belakang, kesini dan kesana seperti yang diarahkan. Apabila perdana menteri
menubuh Majlis Penasihat Kerajaan yang dianggotai oleh kroni-kroni yang sama,
mereka menipu diri mereka dengan mengatakan “inilah The Avengers yang
akan menyelamatkan ekonomi”. Namun mimpi basah mereka sekadar sebentar,
akhirnya mereka terjaga, segala teriak dan semangat mereka hilang, gone with
the wind.
Dari kerusi pemerhati, persembahan
ini sangat menarik, ia adalah eksperimen sosial yang sangat langka untuk dikaji
dalam perjalanan sejarah, mungkin ia terjadi sekali ini sahaja atau akan
terjadi lagi tiada siapa tahu. Tetapi ia sangat menarik untuk diperhati dan
difahami bagaimana sistem melawan semula perubahan dan mengembalikan status
quo. Seolah-olah ia seperti bumi yang mempunyai mekanisma self-regulation
atau badan manusia yang mempunyai mekanisma self-healing. Sistem ini
mempunyai mekanisma untuk melawan perubahan, the system fights back.
Kita boleh melihat fenomena ini dari
pelbagai segi, kita boleh kaji dan perhati ia dengan mengambil kira pelbagai
motif, kita boleh dengan naif mengklasifikasikannya sebagai sebuah “langkah
Hotel”. Namun bagi saya, itu adalah apa yang kita disuruh percaya, dan dengan
mudah masyarakat akan percaya. Tetapi apa yang mereka terlepas pandang adalah
mekanisma, bagaimana ia berlaku, bagaimana masyarakat dididik (baca
dipropagandakan) mungkin dibawah sedar mereka, sehingga mereka boleh terima
dengan gembira perubahan ini. Malah mereka menyokong sistem lama dikembalikan.
Menteri agama yang berbicara tentang “Order Baru” akhirnya tersungkur dengan
segala kenaifan.
Melawan sistem dalam peraturan yang
ditetapkan sendiri oleh sistem tersebut bukan merupakan satu tema baru. Ia
digunakan bukan sahaja dalam persembahan realiti “freak show” yang kita lihat
di arena politik, ia juga digunakan dalam banyak filem, cerita, dan lakonan. Di
dalam siri Gotham sebagai contoh, watak utamanya, seorang anggota polis yang
setia pada prinsip, Jim Gordon akhirnya sedar, untuk mengalahkan lawannya Theo
Galavan, dia perlu bekerjasama dengan musuhnya sendiri iaitu Penguin. Ketika
mereka berjaya, Gordon ingin membawa Galavan kemuka pengadilan, Penguin
mengingatkan Gordon bagaimana Galavan akan menggunakan sistem yang ada untuk
bebas sekali lagi, sistem yang ada akan memberi kelebihan kepada Galavan yang
punya harta, pangkat, dan pengaruh. Politik Malaysia mungkin tidaklah begitu
dramatik atau sinematik seperti Gotham (atau memang lebih dramatik?), tetapi ia
berfungsi dengan asas yang sama, more or less. Mungkin itulah sebabnya
baru-baru ini ketua polis mengeluarkan kenyataan bahawa “polis perlu ditambah
atau negara akan dikuasai mafia”.
Saya teringat perbualan saya dengan
seorang bekas YB di pesta buku, beliau membelek-belek buku saya tetapi akhirnya
dia tidak membeli (sedikit kecewa disitu), tetapi saya membeli bukunya yang
bertajuk “Propaganda Politik”. Sebelum kerajaan jatuh beliau pernah diherdik
oleh seorang tua dalam sebuah wacana, saya bertanya apa perasaaannya, di
sekadar ketawa kecil “aku tahu mereka nak cari makan”. Hari itu beliau
bersahaja, tidak pakai smart-smart, menarik troli berisi buku membelek buku-buku di pesta dan berbual dengan budak-budak punk jalanan. Hari itu
beliau bukan Yb tetapi “bro”. Saya tanya tentang perubahan kerajaan dan apa
pandangan beliau, katanya “aku rasa mereka ni kena sabotaj dari dalam”. Beliau
adalah antara calon parlimen yang tewas pada pilihanraya 2018.
Memerhatikan bagaimana sistem
propaganda digunakan merupakan antara babak paling menarik dalam fenomena ini.
Isu yang digunakan tidak semestinya betul, berfakta, ataupun relevan. Ia
menyerang satu objek dalam masyarakat yang tidak memerlukan rasional, iaitu
emosi dan persepsi. Apabila sesuatu isu dibangkitkan, kerajaan baru (yang telah
jatuh) berusaha mengumpul data dan mempersiapkan jawapan, tetapi ketika ia
dikeluarkan, ia sudah tidak lagi berguna, ia sudah basi kerana isu tersebut
telah ditinggalkan dan isu baru dibangkitkan. Emosi marah dan persepsi “kerajaan
tak berguna” sudah terbentuk. Proses ini diulang dan diulang untuk memastikan
emosi dan persepsi ini sentiasa hidup dan diberi makanan. PRK demi PRK
membuktikan bahawa persepsi ini sudah hidup, dan akhirnya ia hidup sendiri
tanpa perlu diberi makan lagi, ia boleh mencari makan sendiri.
Apabila ia sudah sampai kepada
critical mass, tidak perlu angin untuk menjatuhkan kerajaan, ia ranap diatas
beratnya sendiri. Politikus segera bertukar topeng untuk menyelamatkan jawatan,
dan dalam sekelip mata kita akhirnya mendapat hadiah “Malaysia Baru Baharu”.
Dari kerusi pemerhati kadangkala tergelak kecil melihat pakatan yang mulanya
mengejek lawan mereka kononnya kekalahan mereka adalah “kemenangan tertangguh”,
akhirnya kemenangan mereka yang menjadi “kemenangan ter-roboh”. Mungkin esok
ada episod baru dalam persembahan ini, jika ada usia, kita boleh duduk dan
memerhati lagi.
Khamis, 16 Julai 2020
PPSMI: Diskusi bersama Wern Han
Saudara Wern Han mempertikaikan bahawa hampir semua ahli
parlimen melengkapkan pengajian mereka di luar negara, dan mereka belajar
menggunakan Bahasa Inggeris. Beliau tidak mengemukakan apa-apa data terhadap
dakwaan ini, saya anggap ia adalah kepercayaan beliau. Namun, jika dilihat
dengan lebih dekat, pertikaian beliau ini jika benar, membuktikan bahawa kita
tidak perlukan PPSMI untuk berjaya belajar di luar negara dan menjadi menteri.
Kerana tentunya ahli parlimen yang 40% adalah golongan yang berumur lebih 60
tahun menerima pendidikan sebelum PPSMI dilaksanakan pada tahun 2003.
Saya masih ingat, pada tahun 2003 itu saya berada di
tingkatan 1, terdapat banyak kekeliruan, bukan sahaja pelajar, malah guru-guru.
Pada peringkat awal itu, saya masih ingat, semasa peperiksaan masih diberikan pilihan,
ketika PMR dan SPM kertas-kertas subjek seperti Sains, Matematik, Fizik, Kimia,
dan Biologi semuanya dwi-bahasa. Pelajar boleh memilih hendak menjawab dalam Bahasa
Inggeris atau Melayu. Kertas soalan dan jawapan juga dwi-bahasa. Kami pelajar
ketika itu, benar-benar merasakan bahawa kami adalah tikus makmal untuk menguji
polisi pendidikan negara.
Saudara Wern Han kemudian bertanya, adakah kita perlu
berhenti menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar? Saya merasakan beliau
keliru. Di Malaysia kita tentulah belajar dalam bahasa nasional, itu tidak
bermakna kita tidak belajar bahasa Inggeris sebagai satu subjek berasingan.
Wern Han kemudian menambah bahawa beliau faham kepentingan bahasa kebangsaan (bagi
saya, baguslah jika faham), tapi beliau berkata kita juga perlu tahu bahasa
Inggeris yang diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa. Beliau memberi contoh
ketika pelancong datang ke Malaysia, kita perlu gunakan bahasa Inggeris, jika
kita tidak fasih, bukankah ini akan meninggalkan persepsi buruk terhadap
Malaysia?
Disini kelihatan beliau masih keliru. Malaysia menurut EF English Proficiency Index (EF EPI) pada tahun 2019 berada di tangga ke 26,
dikategorikan sebagai high proficiency bersama negara maju seperti Switzerland
(Switzerland adalah negara ke-2 termaju dalam dunia selepas Norway menurut
World Population Review pada tahun 2020). Malah Malaysia dalam indeks EF EPI
lebih baik dari Perancis (31), Hong Kong (33), Korea Selatan (37) yang
dikategorikan sebagai moderate proficiency. Jika kita ukur sekadar di Asia,
Malaysia di tempat ke-3 selepas Singapura ditempat pertama dan Filipina di
tempat kedua.
Baik, berbalik kepada hujah pelancong asing Wern Han,
pelancong biasanya mahukan informasi-informasi tempatan yang mudah seperti arah
dan lokasi, ini semestinya mudah dijawab bagi warga Malaysia yang merupakan
negara ke-3 di Asia yang mempunyai tahap kebolehan bahasa Inggeris yang tinggi.
Pelancong bukan mahu menilai tatabahasa bahasa Inggeris kita, dan kita mencapai
semua ini tanpa pun kita bergantung kepada polisi PPSMI. Wern Han kemudian
berkongsi pengalamannya melancong ke Thailand, dan terpaksa menggunakan
aplikasi Google Translate sepanjang masa. Bagi saya ini bukan hujah, jika
Thailand bermasalah suruhlah Thailand yang melaksanakan PPSMI bukan Malaysia.
Mengapa kita perlu makan ubat kepada penyakit yang kita tidak hidapi?
Akhirnya Wern Han berkata bahawa dia hanya menyatakan jika
kita tidak boleh bertutur bahasa Inggeris kita akan ada masalah komunikasi
dengan orang asing, dan dia tidak menyalahkan Malaysia dalam hal ini. Belajar
bahasa Inggeris tidak akan menyelesaikan persoalan bahasa ni negara kita
tambahnya lagi. Dan pada ketika itu saya pun bersetuju.
Ahad, 12 Julai 2020
Aljazeera: Mempertahankan Kebebasan Media
“Kita beritahu kerajaan bahawa sikap orang ramai harus dikawal supaya tidak menimbulkan kemarahan dan ketegangan dalam masyarakat. Melalui media sosial nampaknya sangat tidak sihat. Kita minta kerajaan hentikan dan pulihan keadaan."
Isnin, 15 Jun 2020
Teori Galah Sejengkal & Ideological Schism
Saya membesar di Kuala Lumpur, 1998 saya berumur 8 tahun, belum mengerti apa itu politik, jika ke Markas PAS di Taman Melewar pun hanya kerana ingin beli pita kebab dari penjual yang membuka gerai ketika ceramah. Saya membesar dengan menyaksikan dinding-dinding diconteng grafiti ABU di ibukota, setelah dewasa baru saya faham ia adalah acronym "Asalkan Bukan UMNO". Sehinggalah saya sudah bekerja sekarang, drama yang sama bermain, sudah bosan, mual, dan muak. Saya tak faham bagaimana "intelektual" masih ingin menarik generasi kami ke kancah politik lama yang sudah kami saksikan sejak 22 tahun yang lalu.
Mungkin kaca mata intelektual itu hanya berlegar untuk memastikan kelangsungan parti atau karier politik. Sementara ada rakan dan komrad yang sudah menulisnya sebagai "intelek-jual", saya masih menahan diri dari menulis menggunakan bahasa pejoratif, takut-takut dituduh tidak berakhlak Islam lagi kerana berani berkhilaf dalam politik.
Tapi dari satu sudut saya faham kesepitan yang dialaminya. Naiknya dulu menerusi gelombang kemarahan rakyat, walaupun kemudian dia banyak men-delete status lamanya. Jadi atas dasar prinsip, atau atas dasar tidak mahu menelan ludah, tidak dapat bekerjasama dengan kerajaan lama. Meninggalkan Mahathir juga sukar, kerana naiknya dulu atas dokongan beliau, meninggalkan Anwar juga tidak boleh kerana tidak punya kerusi dan pengaruh. Jadi terpaksalah menggosok dan memuji kiri dan kanan, menjaja "teori galah" yang bukan saja tidak melambangkan jubah intelek, malah membuat rakyat muntah.
Ya, kejatuhan kerajaan 22 bulan itu secara stuktur dan mekaniknya adalah kerana perubahan fikir (pengkhianatan adalah perkataan yang selalu digunakan penyokong mereka) beberapa parliamentarian. Tetapi mengapa mereka berbuat begitu? Secara Machiavelli-nya adalah disebabkan untuk mengekalkan kuasa. Tetapi pasti ada sesuatu penolakan yang menyebabkan mereka merasakan mereka tidak boleh berkuasa (memerintah) secara efektif dalam kerajaan lama yang mereka bina.
Idea reformasi dan perubahan itu bagus diatas kertas dan di dalam buku-yang-bukan-kitab-suci, dan rakyat pun menerimanya, sebab itu mereka mengundi perubahan pada pengundian umum ke-14. Namun selepas ia tertegak, ternyata ia membawa sesuatu yang lain, satu ideological schism antara kelas pemerintah dan yang diperintah, yang sangat berbeza dengan identiti asal negara. Itulah yang meresahkan mufti utara yang dahulunya mereka sendiri puja. Ideologi yang dibawa tidak cocok dengan rupa asal negara, jadi kita melihat pelbagai kontradiksi dalam pakatan yang sama. Terlalu berfaksi sehingga tidak ada yang dominan, menyebabkan strukturnya goyah, runtuh sendiri apabila matlamat pendek membuang MO1 telah berjaya. Kerana ideological schism ini tidak punya rangka kerja jangka masa panjang, tidak ada konsensus dalam struktur apa yang hendak dibina.
Lebih malang sehingga hari ini ia tidak selesai. Sangat malang bila dibaca pendapat pemegang kerusi Hulu Langat yang mengatakan ia tidak penting, sebab merasakan ia tidak pentinglah kerajaan itu gugur, kini mahu tarik negara ke permainan usang semula? Ini kerja gila.
UMNO yang dituduh "jerung bobrok" itu pun mampu berkonsensus sehingga 60 tahun, kerana apa? Kerana mereka sudah lama selesai soal ideologi, tiada schism yang melahirkan prejudis tebal. Tetap ada kritikan dan keluhan (luka kecil dan luka besar) tetapi mereka jelas apa yang hendak dibawa, negara boleh dipandu walaupun pasti ada kelemahan. PAS yang dituduh menungang agama itu pun boleh menerima sekiranya nelayan berkain pelikat mereka tidak diangkat menjadi menteri perdana, kerana mereka berkonsensus tentang perancangan jangka panjang negara, mereka sedar ideologi itu perlu ditanam dan dipropagandakan dengan berkesan, tidak boleh dipaksa apatah lagi jika ia ingin mengubah identiti negara.
Maka kita tunggulah kerja-kerja menyelesaikan pengiraan
matematik tarik menarik ini. Dalam masa yang sama kita perlu hadapi teori-teori
galah untuk memetik "buah-buah ranum". Mungkin buah rambutan itulah
rakyat, sudah dimakan isinya, kulit dan bijinya akan dibuang ke dalam bakul
sampah.








