Khamis, 12 November 2026

Aksara Bak Aliran Sungai

Dahulu, masa saya mula dijangkiti ‘penyakit’ obses membaca, saya mempunyai impian untuk membaca semua buku yang wujud di atas dunia ini. Ya, naif. Membaca majalah Kelana edisi wahid ini membuatkan saya terimbau kenaifan dahulu. Dewasa ini, saya sedar, buku-buku yang menyimpan aksara dan kearifan dunia itu bak air sungai, yang mengalir sepanjang ribuan zaman. Tidak mungkin dapat dinikmati oleh seorang manusia yang dianugerahkan satu nyawa sahaja. Paling-paling, kita diberi nikmat untuk menghirup beberapa titis sahaja dari aliran sungai aksara yang panjang itu.

Menyelak helaian-helaian kemas majalah Kelana, saya dapati ia sebagai satu forum bukuwan yang menyeronokkan. Membaca ulasan buku “yang mekar, yang segar” bak kata editornya. Mungkin jika dibenarkan berbid’ah, saya akan menambah “yang malar, yang nalar”. Terima kasih diucapkan pada saudara Fakhry Harraz yang sudi mengulas buku saya yang tidak seberapa dalam makalah istimewa ini. Terima kasih juga editor budiman Amirzudin Suhaimi yang memuatkan cuplikan tulisan saya perihal karangan guru saya. 

Jika saudara ingin berkelana ke mana, saya sangat sarankan dibawa bersama majalah Kelana!