Memaparkan catatan dengan label Koleksi Fikir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Koleksi Fikir. Papar semua catatan

Ahad, 15 Disember 2024

Koleksi Fikir: Buku Baharu & Komuniti Buku Eksklusif


Buku Baharu Sampai di Rumah

Beberapa kitab ulama' sejarah yang tiba pada 20 November 2024, dengan kehadiran buku-buku baharu, ia akan memaksa kita membaca buku-buku lama kita. Selain itu, ia juga menjadi satu peringatan bahawa usaha mencari ilmu itu tidak pernah habis. Ilmu adalah lautan, tempat kita berlayar tanpa menjumpai sempadan. Walaupun tiada sempadan, dalam perjalanan, banyak permata berharga akan kita temui.

Komuniti Buku Eksklusif

Komuniti penulisan pun sebenarnya banyak yang eksklusif, walaupun mereka sembang macam-macam pasal keterbukaan, meraikan pendapat, dan lain-lain, tetapi itu semua hanya sembang semata-mata. Tapi jangan risau, komuniti yang eksklusif sangat ini lama-lama mereka akan hidup dalam bubble sendiri, mereka akan syok dengan geng mereka dan terpisah dari masyarakat. Oleh sebab itu jangan sibuk hendak bergayut dengan mereka, kalau kita ditolak, boleh jadi kita yang membosankan, atau mereka yang membosankan. Boleh cuba cari komuniti baharu, kalau tak jumpa juga, boleh dirikan komuniti baharu. Buat komuniti yang lebih inklusif, lama-lama geng-geng eksklusif ini akan kembali mengendeng sebab komuniti mereka semakin membosankan dan tidak dapat sambutan.

Khamis, 10 Oktober 2024

Koleksi Fikir: Semangat Kenegerian


Apabila kerajaan persekutuan nafikan royalti negeri dan salur dana berdasarkan faktor politik, setiap negeri akan mula atur syarikat untuk kuasai ekonomi negeri. Seperti Sarawak yang tubuhkan Petros dan sedikit demi sedikit halau keluar Petronas. Negeri-negeri lain juga akan lama kelamaan ikut trend ini. Penafian hak negeri akan menebalkan semangat kenegerian dan melemahkan federalisme. Mungkin untung politik sekejap, tapi long-term akan rugi dan terus berpecah.

Khamis, 11 Julai 2024

Koleksi Fikir: Long-Drive & Batu Bara Sejarah


Long Drive

Kadang-kala saya suka long-drive sorang-sorang, biasa suasana aman sambil melihat permandangan akan mengeluarkan banyak idea yang menarik.

Batu Bara Sejarah

Baru-baru ini saya berkesempatan membentangkan kertas kerja dalam satu seminar sejarah, antara yang saya sembangkan adalah perihal arwah atuk. Bagi saya pengajian sejarah adalah satu pengajian yang personal, satu eksplorasi pencarian diri. Bagi saya itulah yang menjadikan sejarah satu bidang yang menarik. Mungkin ada orang yang akan mengkritik bahawa dengan mengaitkan kisah peribadi, kajian akan menjadi tidak objektif. Namun bagi saya, sejarah tidak seharusnya begitu, sejarah yang menarik adalah sejarah yang berunsur manusiawi dan insani, yang mempunyai keterikatan. Bagi saya ikatan sentimental emosional itu satu kekuatan bagi sejarah, sebagai batu bara yang membakar semangat untuk saya terus mengekplorasi ranah-ranah silam yang menunggu mata-mata generasi baharu untuk memandang mereka semula.

Sabtu, 22 Jun 2024

Koleksi Fikir: Ahli Sejarah


Saya kira salah satu perkara yang menarik apabila mempelajari bidang sejarah adalah membaca perkara-perkara yang begitu sensitif. Perkara yang pernah terjadi yang mungkin hari ini tidak sanggup kita ceritakan kembali. Selepas mendalami dan membaca kajian dan dokumen, saya faham kenapa ahli sejarah sesetengahnya tidak mahu menceritakan sejarah di ruang awam, kerana ia boleh ditafsir untuk kepentingan politik sedia ada. Jadi mereka lebih aman membahaskannya di ruang akademik sahaja.

Ahad, 17 Mac 2024

Koleksi Fikir: Ramadhan Bulan Membaca & Jurnal Akademik

 


"KPT tubuh jawatankuasa bagi memastikan penerbitan jurnal akademik berkualiti dan berkredibiliti"
- 13 Mac 2024.

Pada pandangan marhaen saya, aspek yang lebih penting adalah aksesibiliti dan visibiliti. Buat apa banyak-banyak jurnal tetapi ia tidak dibaca dan dimanfaatkan. Sebaiknya jurnal yang dihasilkan itu dimudahkan aksesnya, digalakkan penggunaannya secara akademik oleh pelajar. Diwacanakan, dibincangkan dan diperhalusi. Mungkin boleh tukar KPI dari hasilkan banyak-banyak jurnal kepada banyakkan perbincangan dan penerangan perihal subjek yang sudah dihasilkan dalam jurnal. Tak perlu konferens-konferens yang gah di hotel, jika dibincangkan dalan grup yang lebih kecil, difahami, dan dikembangkan, itu lebih baik dari konferens yang gah yang tidak dimanfaatkan oleh sesiapa. 

Bulan Ramadhan Bulan Membaca

Pada pandangan saya, bulan Ramadhan adalah bulan membaca, bacaan pertama wajiblah Al-Qur'an. Kemudian buku-buku yang bermanfaat. Saya kira-kira, saya ada sekitar 5 buah buku yang saya sedang baca dan tergendala. Namun sempena Ramadhan, saya memulakan bacaan baharu, iaitu buku bertajuk Nurturing Eeman in Children tulisan Dr. Aisha Hamdan. Moga-moga sempat habis sebelum syawal. Salam Ramadhan diucapkan kepada semua.


Rabu, 19 Julai 2023

Koleksi Fikir: Dog-ear, Negara Polis, Merindui Puncak & Coklat


Dog-ear

Antara benda yang menyusahkan bacaan, tapi dalam masa yang sama membuatkan pembacaan lebih bermakna adalah membuat "dog-ear", iaitu dengan mengelepet bucu helaian buku. Di mana kita menanda bahagian yang kita rasakan bermakna dan menotakannya. Semakin menarik sebuah buku, semakin banyak dor-ear dan semakin lama masa yang diperlukan untuk menotakannya dan juga mentadabbur makna-maknanya.

Negara Polis 2023

Saya merasakan ruang perdebatan politik adalah ruang awam. Ia wajar ditandingi dengan berbalas idea. Retorik dilawan retorik, hujah dibalas hujah, juga jika pihak lawan mencaci maki, kita harus menerangkan kenapa mereka low-class. Tetapi bukan dengan menghantar polis. Kalau apa yang kita tidak setujui digunakan apparatus seperti polis, ini hanya akan menjadikan sebuah kerajaan kelihatan autokratik dan polistik, tidak madanik.

Puncak

Hampir 9 tahun yang lalu, pada tahun 2014 saya bersama rakan-rakan berjaya menawan puncak Gunung Tahan dari Sungai Relau. Tahun depan kiranya sudah 10 tahun tempoh berlalu, jadi mungkin saya perlu rancang semula untuk pergi mendaki dan mencari ketenangan di atas puncak.

Coklat

Coklat kegemaran saya masa saya menyambung pengajian St. Petersburg, Rusia adalah coklat Aleonka. Tiap-tiap minggu saya akan pergi beli di pasaraya Okei dan Karusel, kemudian saya akan simpan wrap coklat Aleonka sebab gambar baby comel yang menghiasi pembalutnya.

Sabtu, 8 Julai 2023

Koleksi Fikir: Meninggalkan Influencer


Ramai juga influencer dan orang-orang di Facebook saya unfollow terutamanya yang hari-hari asyik bergaduh pasal benda bodoh hanya untuk menampakkan mereka lebih cerdik. Walhal, dengan masuk ke medan seperti itu, mereka hanya akan kelihatan sama bodoh. Ibarat kata pujangga "Bergaduh dengan orang bodoh hanya akan menjadikan orang bodoh itu menjadi dua". Hidup sebenarnya lebih aman dan tenteram apabila kita fokus pada perkara-perkara yang perlu kita lakukan. Segala benda yang tak ada kena mengena dengan hidup, jika kita kena ambil tahu semua benda, akan memakan tenaga kita, dihabiskan dengan pergaduhan bodoh yang sia-sia.

Sabtu, 24 Jun 2023

Koleksi Fikir: Kesibukan dan Konsep Malaysia


Kesibukan

Saya kadangkala merasakan hidup ini sangat sibuk dan sesak. Tapi hendak mengeluh pun tidak boleh juga, sebab itu jalan yang saya pilih. Saya merasakan, masalah bila kita ke depan dan buat kerja, adalah orang akan nampak kita. Mereka akan rasa bahawa kita boleh buat kerja, jadi mereka akan beri kita lagi banyak kerja. Saya pula jenis susah nak tolak.

Kadang isteri ada cakap "abang kalau penat, tak boleh, bagi tau la diorang kata tak boleh".

Biasa saya pula berfikiran "ish, orang minta tolong maksudnya dia percaya pada kita, takkan kita nak tolak".

Tapi itu lah, makin banyak kerja yang kita harus pikul makin kita penat. Perkara yang sama berlaku di kehidupan sosial, di tempat kerja, di dunia penulisan, semuanya merebut masa dan tenaga.Tapi saya berfikir kalau tiada apa-apa program, rasa bosan pula hidup. Jadi, dalam masa yang sama perlu rasa syukur dapat berkerja dan berkhidmat.

Konsep Malaysia

Saya balik kerja pada suatu hari di bulan Jun, sambil menunggu trafik yang bergerak perlahan, saya ternampak slogan "Mambangun Malaysia Madani" di papan tanda digital jalanraya. Saya faham setiap pemimpin mahu meninggalkan satu legasi visi pentadbiran mereka. Kita pernah ada  Malaysia Hadari, Malaysia Baru dll. Saya berfikir, seolah konsep Malaysia itu tidak pernah lengkap. Perlu sentiasa ada penambahan. Konsep Malaysia masih tidak selesai. Ia sentiasa memerlukan "benda" lain untuk bergerak ke hadapan. Namun, ini hanya sebuah fikiran.


Ahad, 21 Mei 2023

Koleksi Fikir: Intelektual & Perspektif



Intelektual

Bagi saya intelektual adalah orang yang mendalami ilmu sedalam-dalamnya. Dia menguasai bidang dan permasalahan yang kompleks. Dengan kedalaman ilmunya ini, dia dapat menerangkan sesuatu yang sangat kompleks dengan ayat yang mudah difahami. Dalam kata lain, keilmuannya digunakan untuk mencerakinkan kompleksiti agar ia dapat difahami. Bagi saya, orang yang menulis sesuatu yang mudah, dalam bahasa yang begitu kompleks, penuh dengan jargon, dan sukar difahami, itu bukan intelektual. Dia hanya seorang yang mempunyai banyak kosa kata.

Perspektif

Perspektif mengubah makna sesuatu perkara yang hakikatnya sama. Pekerjaan sebagai contoh, bagi sesetengah manusia adalah perhambaan moden. Pekerjaan dilihat sebagai sesuatu yang mengikat manusia dari bebas menggunakan masanya melakukan perkara yang dia suka dan dirasakan produktif. Pada manusia lain pula, pekerjaan adalah pembebasan. Dengan bekerja dan mendapat pendapatan dia dapat membebaskan dirinya dan keluarganya dari lapar, dahaga, dan kemiskinan. Jadi, perkara yang hakikatnya sama, iaitu sebuah pekerjaan, boleh dimaknai dengan makna yang berbeza, malah bertentangan. Boleh menjadi perhambaan atau pembebasan. Terserah pada perspektif mana yang dipilih.