Memaparkan catatan dengan label Afghanistan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Afghanistan. Papar semua catatan

Khamis, 6 Februari 2020

And The Mountains Echoed



Susah sebenarnya hendak menulis reviu yang objektif untuk buku ini secara stand alone, kerana saya sudah membaca dua karya awal Khaled Hosseini iaitu The Kite Runner dan A Thousand Splendid Suns. Jadi walaupun saya cuba untuk menilainya secara tersendiri, tetapi minda saya sering juga mahu membandingkannya dengan karya awal beliau. Secara jujur, jika dilakukan perbandingan, pada saya, novel beliau kali ini tidaklah dapat mencapai martabat 2 novelnya sebelum ini dari segi evocation of emotions, perihal kesakitan, dan kepedihan yang boleh menerbitkan air mata.

Novel pertama beliau mengangkat isu penindasan etnik minoriti Hazara dan juga perihal persahabatan. Manakala novel kedua beliau mengangkat isu penindasan wanita dibawah pemerintahan Taliban dan nilai kasih sayang antara ibu dan anak. Tetapi novel ini tiada isu besar yang diangkat, lebih kepada konflik dan pergolakan keluarga yang tidaklah begitu menggelojakkan perasaan.

Baik, mari kita cuba melihatnya dengan lebih objektif dan tersendiri.

Seperti karya awal Hosseini, novel ini juga berorbitkan Afghanistan. Beliau mendapat idea asal novel ini apabila membaca perihal keluarga miskin Afghan yang terpaksa menjual anak kepada orang kaya ketika musim sejuk demi survival keluarga.

Ia bermula di sebuah kampung dimana Abdullah yang sangat menyayangi adik beliau Pari, terpaksa menerima kenyataan bahawa bapanya menjual Pari kepada keluarga yang lebih kaya. Bapanya berbuat demikian agar Pari mendapat kehidupan yang lebih baik. Juga agar dia dapat menyara keluarga dan anaknya yang lain. Peristiwa ini merenggut jiwa dan kehidupan Abdullah. Ini adalah tema awal novel ini. Ia diungkapkan dengan satu quote:

"Sometimes you have to cut a finger to save a hand".

Dalam novel ini Hosseini menceritakan kisah dari pelbagai watak, kehidupan mereka tersendiri, hingga akhirnya ia dijahit menjadi sebuah cerita yang lengkap. Setiap watak diberikan sifat baik dan buruk, jadi tidak ada naratif good versus evil dalam buku ini. Banyak juga detail yang diberikan tentang watak yang kedengaran mundane. Beliau ingin menonjolkan nilai "manusia itu hanya manusia biasa", ada kebaikan dan keburukan. Inilah maksud puisi Rumi yang beliau letakkan di awal buku ini, yang berbunyi:

"Beyond good and bad there is a field, I'll meet you there".

Ahad, 16 Oktober 2016

A Thousand Splendid Suns


“I know you’re still young, but I wanted you to understand this now. Marriage can wait but education cannot. You’re very, very bright girl. Truly you are, you can be anything you want, Laila. I knew this about you. And I also know that when this war is over, Afghanistan is going to need you as much as its men, maybe even more. Because a society has no chance of success if its women are uneducated, Laila. No chance.”

Ayat ini merupakan dialog yang sangat membekas dan memberi makna dari novel ini. Novel yang mengisahkan pengalaman Afghanistan melalui siri-siri peperangan dari kisah hidup dua orang wanita. Bermula dari penjajahan Soviet, perang saudara, penguasaan Taliban sehingga lah peperangan oleh Amerika. Bagaimana perperangan memusnahkan kehidupan dan keluarga di Afghanistan.

Mariam dan Laila, dua watak yang berbeza dan dari kehidupan berbeza, seorang gadis kampung dari Herat dan seorang gadis bandar dari Kabul. Dalam novel ini, peperangan menyatukan mereka dalam sebuah keluarga, berkongsi seorang suami yang ganas dan suka mendera isteri.

Hosseini dalam penulisan nya menggambarkan bagaimana wanita menjadi mangsa kepada dua keadaan. Yang pertama adalah mangsa kepada peperangan dan yang kedua adalah mangsa kepada masyarakat yang sering mengenepikan hak wanita.

Hosseini menggambarkan bagaimana wanita Afghanistan menjalani kehidupan yang sukar dalam masyarakat yang mengenepikan hak mereka. Penafsiran Islam oleh golongan Mullah dan Taliban mencorak masyarakat yang menafikan hak pendidikan bagi kaum wanita, memaksakan burqa, menghadkan pergerakan wanita di tempat awam juga diskriminasi dalam hak-hak asas seperti kesihatan.

Islam menurut penafsiran para mullah dan Taliban menjadi agama yang menindas wanita, walhal Islam sebenar yang dibawa oleh Rasulullah SAW membebaskan wanita dan memberikan mereka hak yang sebenarnya. Dalam sejarah Islam, peranan wanita di iktiraf. Bahkan Saidatina Aisyah merupakan sarjana feqah yang aktif meriwayatkan hadith.

Penafsiran yang jumud ini sebenarnya bukanlah berasal dari agama Islam tetapi dari budaya dan amalan masyarakat setempat yang mengamalkan ‘tribal system’, apabila Islam datang dan mereka memeluk Islam, budaya-budaya ini diasimilisasikan oleh mereka dan diterima sebagai sebahagian dari agama. Amalan memakai burqa sendiri sebenarnya bukanlah satu kewajipan agama, tetapi hak wanita jika mereka merasakan mereka ingin sedikit privacy. Kita dapati wanita muslimah di Asia dan sebahagian negara Arab tidak memakai burqa, cukup dengan berhijab. 


Novel ini akan membantu sesiapa yang ingin mengetahui sejarah moden Afghanistan dengan cara yang santai. Ia merupakan usaha Hosseini untuk mengetengahkan permasaalahan Afghanistan kepada dunia dalam satu persembahan yang mudah di fahami.