Moga gembira bersama keluarga buat kawan-kawan yang sambut Diwali saya ucapkan. Sempena cuti pendek Diwali, saya berhajat untuk mengambil mental break sekejap dari kerja-kerja pejabat, juga kerja-kerja penulisan disertasi sarjana. Saya memilih untuk membaca buku kecil. Bagi melakukan mental break kita tidak boleh membaca buku besar, sebab buku besar lambat habis, ia akan mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Akhirnya proses ini akan menatijahkan mental breakdown bukan mental break!
Maka saya telah memilih buku kecil bertajuk Ibn Khaldun: His Life and Works tulisan sarjana Mesir, Mohammad Abdullah Enan, pensyarah di Universiti Fouad, Cairo. Tulisan beliau sangat menarik, membedah kehidupan sang historiografer terkenal dunia, Abdul Rahman Ibnu Khaldun al-Hadhrami, yang lebih dikenali sebagai Ibnu Khaldun dalam dunia Islam. ‘Khaldun’ ini berasal dari perkataan ‘Khalid’ yang merupakan antara suku Arab yang bangsawan dari Yaman.
Ibnu Khaldun yang lahir dalam keluarga yang bangsawan dan terlibat dalam politik yang kompleks di Andalusia dan Afrika Utara. Membaca penglibatan Ibnu Khaldun dalam percaturan istana ini membuatkan saya teringat akan sebuah buku tulisan Elizabeth Dryson, yang merekodkan keruntuhan Dinasti Nasrid terakhir di Granada. Situasinya sama, ahli keluarga raja, sultan dan bangsawan mencatur dan berbunuhan sesama sendiri hingga akhirnya mereka binasa dengan kebangkitan kuasa Kristian Castille dan Aragon.
Namun, lama kelamaan Ibnu Khaldun penat dengan permainan politik istana, dan mahu menumpukan tenaganya pada ilmu. Akhirnya beliau berjaya mendapat ruang dan peluang bertapa dalam solitude di Kubu Salamah berdekatan Tujin di mana beliau akhirnya berjaya menyiapkan magnum opusnya Muqaddimah (Prolegomena). Suasana politik yang tidak stabil akhirnya memaksanya berhijrah ke Mesir di mana beliau menjadi pensyarah dan juga hakim.
Namun disebabkan beliau dianggap orang luar, kehadirannya menimbulkan konflik dengan golongan inteligensia dan literati Mesir. Di Mesir, Ibnu Khaldun tidak terlepas dari pengaruh politik apabila Sultan memintanya menyertai ekspedisi ke Dimasyk bagi menghadapi serangan dari Timur (dikenali di Barat sebagai Tamerlane). Pertemuan Ibnu Khaldun dan Timur mungkin merupakan satu episod paling epik dalam persuratan sejarah Islam.
Ibnu Khaldun dikritik oleh pelbagai sarjana zamannya seperti Ibnu Hajar al-Asqalani, Jamaluddin al-Bishbishi dan Badraddin al-Ayntabi. Walaupun mengkritik Ibnu Khaldun, al-Asqalani pernah menghadiri kuliah Ibnu Khaldun. Pengkritik beliau al-Sakhawi, yang merupakan murid al-Asqalani pun mengambil banyak manfaat darinya dan pengaruh Ibnu Khaldun boleh dilihat dalam kitab karangannya.
Namun ada juga sebahagian kelompok inteligensia Mesir yang mengkagumi ilmu dan metod Ibnu Khaldun seperti al-Maqrizi dan Abu al-Mahasin Ibnu Taghri Birdi.
Buku tulisan Mohammad Abdullah Enan cuba melihat kehidupan Ibnu Khaldun dari lensa yang adil, tidak hanya mengambil perspektif Ibnu Khaldun dari kitabnya Muqaddimah dan Kitab al-Ibar, tetapi membandingkannya dengan penulisan lain yang sezaman dengannya walaupun tidak semua manuskrip di zaman tersebut terpelihara dan sampai ke zaman kita. Buku tulisan Mohammad Abdullah Enan ini menarik kerana ia memberi satu gambaran tentang bagaimana budaya politik mempengaruhi budaya keilmuan pada zaman dahulu. Juga sosok ilmuan yang kita kagumi sebenarnya bukanlah sosok yang sempurna, mereka adalah produk zaman mereka, dan dipengaruhi oleh pelbagai latar semasa hidupnya.
