Memaparkan catatan dengan label Depresi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Depresi. Papar semua catatan

Sabtu, 15 Jun 2024

Mengintai Kematian


Topik kematian biasanya topik yang dielakkan untuk disentuh, ia seolah topik taboo, menakutkan dan menyedihkan. Namun sebenarnya kematian adalah sebahagian dari kehidupan ini. Perkara yang tidak dapat dielakkan, baik kita suka atau duka. Kematian yang kita takuti itu besar kemungkinan duduk disebelah kita sahaja.

Saya sendiri punya banyak teman rapat yang sudah pergi ke alam abadi. Sebahagiannya merupakan rakan sebaya sepermainan di sekolah. Kehilangan mereka memang satu perkara yang menyedihkan. Ada juga rakan baik yang lebih muda dari saya pergi dahulu. Begitulah sifat kematian, tidak menunggu orang itu tua atau muda.

Saya pada mulanya menjangkakan saya akan hidup hanya sekitar 26 tahun lagi sahaja. Anggaran ini saya buat berdasarkan umur ayah saya yang meninggal dunia pada umur 60 tahun.  Tetapi sejak tahun lepas, saya merasakan anggaran saya ini mungkin tidak tepat. Saya berfikir, sepatutnya tahun lepas saya sudah meninggal dunia apabila menghadapi serangan jantung. Namun mungkin Allah masih memberi saya sedikit masa untuk hidup lagi seketika.

Dengan izin Allah dan bantuan perubatan moden, hayat saya masih ada. Walaubagaimana pun, saya selalu berfikir masa yang saya ada semakin suntuk, terutamanya di hari-hari di mana dada terasa sakit dan sesak. Mungkin kerana rasa kesuntukan masa ini menyebabkan saya lebih tertolak untuk belajar, membaca, dan menulis dengan lebih banyak. Sekadar mahu menikmati saat-saat terakhir dan meninggalkan sebuah jejak sebelum pulang ke negeri abadi. Saya juga gemar bertemu kawan-kawan lama kerana mungkin itu peluang terakhir yang saya ada. Jika tiba-tiba saya talifon sesiapa, janganlah pelik, saya bukan mahu menjual apa-apa. Mungkin sekadar mahu sembang-sembang terakhir sahaja.

Maaf andai coretan ini agak melankolik. Sekadar catatan fikiran menunggu nombor untuk bertemu kardiologis.

Ahad, 5 Disember 2021

Sifat Lupa Manusia Adalah Satu Anugerah


Kita sering mengaitkan sifat lupa dalam konotasi yang negatif. Bagi kita, kuat ingatan merupakan satu sifat yang baik, yang berguna untuk manusia. Namun sebenarnya, sifat lupa yang diciptakan Tuhan buat manusia bukanlah satu sifat yang sia-sia. Ia mempunyai tujuan yang penting bagi manusia untuk terus hidup dengan sihat dan normal. Sifat lupa manusia merupakan sifat yang penting, tanpanya manusia akan menjadi gila, atau mungkin hilang semangat untuk hidup, atau merasakan hidup ini tiada maknanya.

Saya akan terangkan pendapat saya ini dengan lebih mendalam.

Saya menyedari hal ini ketika saya dirundung depresi. Saat itu saya kehilangan kawan-kawan teman sepermainan hidup. Mungkin kerana saya berada di satu fasa kehidupan dimana rakan-rakan dan teman rapat mula satu per satu meninggalkan dunia. Sebenarnya fasa ini berlaku kepada semua manusia, malah mereka yang lebih tua dari saya mungkin sudah kehilangan lebih ramai rakan dan sahabat, sehingga kehilangan itu tidak lagi merundung mereka ke dalam depresi. 

Namun bagi saya yang masih baru dengan keadaan ini, ombak depresi menghentam saya dengan kuat. Hentakannya mematikan deria saya untuk melakukan apa-apa. Berminggu-minggu saya terasa tawar. Semua perkara seperti tidak lagi menarik minat saya. Jika dahulu, jika saya keseorangan bersama komputer, tangan saya akan ligat menulis dan menaip sesuatu, pada ketika itu saya tidak mampu menulis. Ada juga idea yang datang, tetapi saya tak mampu tuliskan. Saya tiada semangat langsung untuk menulis. Idea yang datang sekadar saya notakan, mungkin jika semangat kembali datang akan saya tuliskan dan huraikan.

Lama juga saya lemas dalam perasaan ini, hingga kadangkala saya merasakan mungkin sampai disini sahaja hidup saya dimana saya boleh merasakan kebahagiaan. Selepas ini hidup saya hanya akan disedut dengan kemurungan. Setiap hari saya akan teringat-ingat kawan saya yang telah pergi. Tak berjaya dilupakan, tak berjaya di-nyah-sedih-kan hati saya. Saya cuba lazimi solat berjemaah di masjid, saya fikir mungkin kehidupan ruh saya sudah kering, jadi ia perlu dibasahkan semula. Saya juga cuba berhubung semula dengan kawan-kawan yang masih hidup. Berjumpa dengan mereka, bertukar cerita dan ketawa, perlahan-lahan membaiki jiwa saya. Ada juga masanya saya curahkan kesedihan itu ke dalam bentuk sukan, supaya kemurungan itu menjadi peluh, yang boleh saya basuh.

Lama ke lamaan, sedikit demi sedikit saya berjaya melupakan perasaan sedih yang menghambat saya di lorong depresi. Selera menulis saya kembali perlahan-lahan datang. Semangat untuk hidup dengan gembira dan ceria perlahan-lahan pulih. Kesedihan tidak lagi datang setiap hari berulang-ulang, merempuh hati saya seperti mana ombak merempuh pantai. Saya sudah boleh melupakannya. Kebolehan untuk melupakan ini bagi saya merupakan satu anugerah. Bukan melupakan sahabat-sahabat yang saya cintai yang sudah mati. Tetapi melupakan kesedihan yang datang dengan pengetahuan bahawa mereka telah tiada. Walaupun kesedihan itu masih ada bakinya, mana mungkin kita tidak sedih dengan kehilangan orang-orang yang kita sayang. Tetapi kebolehan untuk melupakan kesedihan yang dalam itu merupakan anugerah yang sangat berharga. Yang membantu saya.

Untuk hidup semula.

Jumaat, 26 November 2021

Pertarungan Paling Sengit Dalam Jiwa


Aku memanjatkan tangan. Melihat ke atas. Cuba menggapai cahaya. Teraba-raba, namun gelap. Gelap gelita. Tiada cahaya yang datang menyapa. Hanya duka. Duka yang dalamnya seperti tiada penghujung. Menghisap seluruh raga dan jiwaku. Hingga jiwaku tidak lagi berwarna, mengeras seperti batu, kaku tak bernyawa. Kita mempunyai perasaan yang sangat dalam, yang jarang-jarang dapat kita rasai. Perasaan yang terkambus dalam lapisan rutin. Namun kadang dari kedalaman, perasaan itu keluar, dan perasaan itu meruntun diri. Kita tidak dapat bezakan, adakah ia bahagia? sepi? atau rindu? atau kemurungan yang akan menghambat jiwa selama-lamanya.

Selepas kehilangan dua orang teman, aku merasakan jiwaku begitu genting, begitu rapuh, mudah sahaja ia lemas dan sesak ditelan suasana yang ada. Aku pun tidak tahu sama ada aku over-sensitive. Atau perasaan yang datang ini sebenarnya tidak original? Sengaja aku sendiri cipta, tetapi kenapa aku perlu mencipta kesedihan yang panjang untuk menyiksa diriku sendiri? Kalau betul perasaan ini dibuat-buat kenapa aku tidak dapat memadamkannya. Ia seolah-olah telah menjangkiti jiwaku, memelukku erat, tidak dapat lagi aku melepaskannya. Mungkin silapku juga, suka melayan perasaan. Kononnya membelai memori itu satu kenikmatan, namun lama kelamaan ia menelanku perlahan-lahan. Masa lampau selalu terasa indah, terasa gamat, terasa bahagia, tidak seperti hari ini yang dibungkam kesedihan.

Aku tak mahu bercakap soal pemikiran. Walaupun aku tahu, bahawa minda manusia itu sering sahaja ditipu masa, sering merasakan kenangan dan harapan masa depan sentiasa membahagiakan, sehingga lupa untuk hidup sekarang. Tapi manusia mempunyai sisi lain selain dari pemikiran dan pengetahuan. Kadang pengetahuan tak dapat mengubati perasaan. Perasaan adalah dimensi yang berbeza, tidak bersilang dengan garis intelektual. Perasaan adalah ilmu yang jauh lebih dalam, ilmu yang dapat dirasai tetapi tidak dapat dibuktikan.

Aku senang jika dapat berbual dengan teman-teman rapat dan isteri, perbualan berdua-duaan selalu aku dambakan. Meski pun sukar untuk didapatkan. Entah apa yang ada pada perbualan. Bagiku perbualan dengan orang yang rapat adalah ubat, walaupun kadang kala aku merasakan ubat itu bersifat sementara. Kemurungan kembali memeluk selepas hilangnya bait perkataan yang terakhir. Perbualan panjang sampai ke pagi adalah ibarat secawan kopi panas, yang menghangatkan semula hati yang keras. Tapi ada juga keadaan aku rasa mahu menyendiri. Walaupun aku sendiri tak pasti sama ada menyendiri itu bagus atau tidak. 

Kadang kala aku berjaya melupakan kesedihan dengan membaca, atau membuat perkara-perkara yang aku suka. Aku juga merasakan beban perasaan kadang kala menghilangkan minatku perihal banyak perkara. Aku tak pasti sama ada itu disebabkan perasaan, atau mungkin api mudaku telah padam. Mungkin aku di fasa umur yang baru, dan aku perlu biasakan diri dengan pertarungan sengit di dalam jiwa ini, bertarung dengan kesedihan dan perasaan. Mungkin jika aku berjaya mengalahkannya aku dapat menjadi insan yang baru, aku boleh bermula semula dengan hati yang baru.

Kadang kala aku rasa, aku berjaya lupakan semua kenangan ini, dan untuk seketika dapat merasai kebahagiaan hidup di masa sekarang. Namun aku asyik mengumpul memorabilia dalam hidup. Mudah sahaja aku terjumpa sesuatu. Gambar lama. Surat lama. Lagu lama. Perasaan lama. Semua ini merupakan pintu, yang membawa aku masuk semula ke daerah sedih. Kadang aku tak dapat bezakan antara sedih dan kebahagiaan, kadang aku merasakan dengan mengimbau kenangan, walaupun sedih, ia membahagiakan. Aku berasa bersalah untuk melupakan mereka yang telah pergi. Bukankah gambar-gambar aku dengan mereka itu untuk ingatan? Adilkah untuk mereka jika ia dilupakan?

Atau mungkin aku terlalu lama tidak berehat di tepi pantai. Tanpa perlu risau bahawa esok aku perlu bangun membanting tulang lagi. Proses pengurungan selama dua tahun ini sebenarnya tiga tahun bagiku. Kerana setahun sebelum ia berlaku aku telah lama menahan diri dari bercuti, apabila tiba masa bercuti sahaja perintah berkurung bermula. Mungkin juga perintah berkurung itu tepat mengenai masa selepas ayah pergi meninggalkanku. Aku tidak boleh ke mana-mana melainkan termenung dan berfikir. Cuba merasionalkan hidup yang sudah tidak lagi rasional.

Tapi sebenarnya ada sebab manusia mati. Manusia perlu mati untuk memberikan ruang pada manusia baru. Bayangkan jika manusia hidup selama-lamanya. Bukankah bumi ini akan menjadi semakin sempit. Jika manusia hendak hidup selama-lamanya mereka perlu mengorbankan kebolehan mereka untuk mendapat anak. Jika tidak populasi hanya akan bertambah dan bumi ini akan tenggelam dengan manusia. Tetapi mampukah manusia hidup tanpa punya anak-anak? Apakah makna hidup jika mereka tidak boleh bahagia? Bahagiakah manusia kalau dia hanya hidup dengan orang-orang yang sama selama-lamanya, tiada anak-anak baru yang mewarnai kehidupan? Walaupun mindaku tahu ini semua, tetapi ia hanya pengetahuan yang tak dapat mengubat perasaan. Apabila yang pergi adalah orang-orang yang dikenali dan dikasihi, pengetahuan ini tidak dapat dijadikan hujah untuk melawan emosi.

Aku pernah bersembang dengan seorang rakan. Katanya kita semua ada masalah mental, kita semua ada depresi, cuma bezanya adalah intensiti dan kebolehan kita mengawalnya. Jika ia masih ditahap yang boleh dikawal oleh diri, ia adalah depresi yang normal. Tetapi jika ia merupakan perasaan yang tidak dapat lagi dikawal, sehingga mengurangkan aspek kesihatan kita yang lain, sehingga ia menggagalkan kita dari berfungsi sebagai manusia, maka ketika itu ia adalah depresi yang sudah tidak normal. Namun apa yang dimaksudkan dengan mengawal? Adakah dengan memendam itu satu proses kawalan? Atau memendam itu proses pengumpulan? Yang akan menyebabkan letupan apabila buah depresi yang dikumpul sudah penuh dalam bakul perasaan. Kita mungkin dapat berfungsi seperti biasa jika kita memendam perasaan. Ia ibarat memakai topeng, manusia lain melihat kita sebagai normal. 

Ah, jauh juga aku mengarut dalam penulisan ini. Maaflah. Tulisan ini bukan bertujuan untuk menyumbang apa-apa idea. Ia hanya kertas kosong yang aku contengkan dengan perasaan. Aku conteng semuanya di sini. Dengan harapan selepas itu dapat aku konyokkan. Kemudian membalingnya ke dalam lautan. Biar ia dibawa ombak dan arus, ke dasar lautan yang paling dalam. Agar aku tak perlu lagi melaluinya. Perasaan sedih ini ibarat kisah cinta yang berakhir dengan duka, yang lebih baik jika aku ditakdirkan tidak berjumpa dengannya buat kali pertama.

Baiklah, masa untuk membaling kertas yang sudah aku konyokkan. Selamat malam.

Selasa, 29 Jun 2021

Dipenjara Abah


Entah hari ini hari apa, tarikh yang ke berapa. Semuanya begitu samar, mungkin kerana masa yang dikatakan sebagai relatif oleh Einstein itu tidak dapat lagi diukur apabila kita dipenjarakan. Begitulah apa yang aku rasakan hari ini, ketika kita bersama-sama mengerumuni ruang penjara yang disediakan Abah. Dari janji asal supaya "just stay at home" selama dua minggu, kini kita sudah dipenjarakan memasuki tahun yang kedua. Dengan pengagihan vaksin yang lembab, mungkin kita akan dipenjarakan lagi pada tahun hadapan.

Tulisan malam ini bukanlah satira politik, bukan juga omelan perihal takdir. Perenggan pertama itu sekadar latar belakang keadaan semasa. Untuk menangkap mood negara pada hari ini. Tulisan malam ini sekadar catatan malam sunyi, setelah lama tidak menulis dari hati. Menulis dari minda ada kalanya memberi kepuasan, namun setelah beberapa ketika ia terasa kering, sekadar fakta dan data, tiada jiwa. Maka malam ini jari jemari dibiarkan bebas berdansa di papan kekunci, mencurah sedikit lebihan emosi yang telah sekian lama bertakung di hati. Dansa jemari ini juga sebagai introspeksi diri, setelah sekian lama diri hanyut dibawa sungai zaman.

Manusia itu memang dilahirkan lemah. Kita dimasukkan ke dalam sebuah bekas, bekas yang merupakan objek biologi. Ada bahagian dari objek ini yang boleh kita kawal, seperti pergerakan tangan, kebanyakannya berfungsi secara automatik, tanpa kawalan kita seperti kelajuan peredaran darah atau bilangan bulu roma yang perlu ditumbuhkan di tangan. Bekas ini sifatnya tidak tahan lama, ia akan bertukar tua, dan ada masanya ia gagal, dan kita tidak mampu mengawal kegagalan itu, maka kita akan meninggalkan bekas ini.

Manusia cuba mengawal pelbagai benda. Masa sebagai contoh, merupakan satu perkara yang bukan objek, malah mungkin juga bukan subjek. Kita mengimaginasikan masa, cuba mengiranya dalam unit saat, minit, jam, hari, minggu, tahun, abad dan seterusnya. Namun hakikatnya tanpa bantuan alat mekanikal, kita sendiri pun tidak tahu berapa lama harusnya kita katakan satu minit itu. Manusia juga cuba mengawal alam, kita membina bumbung, apabila cuaca kering kita membenihkan awan, kita menahan aliran sungai dengan membina empangan, kita membiakkan ayam dan ikan untuk menjamin kelangsungan makanan. Namun sebenarnya tidak ada satu perkara pun yang boleh dikawal oleh manusia. Tiada siapa yang boleh meramal cuaca dengan tepat apatah lagi sejarah. Ahli ekonomi sering meramal bahawa tahun depan ekonomi akan berkembang sebanyak 10 peratus, kemudian kita mengalami kegawatan ekonomi di masa hadapan.

Disebalik kemajuan teknologi, perkembangan data, kelajuan internet, disebalik segala-galanya, disebalik usaha terbaik manusia, disebalik semuanya sebenarnya manusia tidak dapat mengawal apa-apa. Bukan sahaja alam, bahkan bekas yang mengisi diri mereka. Bekas ini mudah sahaja gagal dan rosak, tidak perlu akan ribut, api, atau mara bahaya, cukup dengan sebutir virus mikroskopik yang tidak mampu dilihat oleh kornea mata.

Maka apakah tujuan penulisan bebas malam ini? Berserah pada takdir? Hidup tanpa cuba merancang? Tidak ada. Penulisan ini tidak berhajat untuk memberikan ilmu atau pelajaran. Ia hanya catatan buat fikiran. Tulisan ini tiada inklinasi ideolog atau teolog. Sekadar aksara-aksara bebas yang memenuhi skrin digital. Jika anda punya masa maka silalah baca lagi, jika tidak, seeloknya rehatlah dengan mimpi.

Membelek-belek media sosial hari ini tiada apa lagi yang bisa membangkitkan jiwa. Dahulu aku juga aktif berpatisipasi di sana. Mengutara idea, mematah hujah, berlawan dengan kawan, menulis panjang, namun daya usaha sebegitu sudah tidak ada. Aku tak pasti sama ada ruang itu sudah membosankan diriku, atau mungkin aku sudah tua, tidak tersengat lagi deria dengan slogan-slogan yang ada. Dikotomi ideolog kiri atau kanan juga sudah tidak meransang lagi mindaku, aku merasakan ia perlawanan yang sudah basi, mungkin juga sudah bosan untuk diterokai. Bagiku hari ini, yang penting adalah kebenaran, bukan kiri atau kanan. 

Atau mungkin aku yang sudah ketandusan idea. Sudah tidak punya apa-apa untuk ditawarkan pada dunia. Mungkin juga ini adalah satu fasa, bila mana kita tandus idea, kita perlu belajar mendengar, belajar melihat sahaja pertelingkahan yang ada. Tidak meletak setia di mana-mana. Cukup berada di arena sebagai pelajar, memerhati dan memahami sejarah yang sedang diukir. Belajar dalam diam tanpa cuba memberi solusi atau memperbaiki. Manusia cuba memperbaiki dunia sepanjang sejarahnya, adakah mereka berjaya? Hingga hari ini mereka cuba memperbaikinya. Atau memang dunia itu tidak akan boleh diperbaiki, cuma boleh dihidupi, dengan seribu satu kelemahan dan kekurangannya.

Akhirnya hidupan kopi sudah kering diminum. Maka dengan berakhirnya kopi, berakhirlah dansa jemari ini. Tiba masanya untuk menutup suis alatan elektronik, memadam lampu, memadam minda, menarik selimut, memeluk sayang dan tenggelam dalam pengembaraan mimpi. Esok kita akan bangun semula dalam penjara ini, mencuba dengan apa adanya, apa kudratnya, untuk mengharunginya, tanpa kita sedari lagi apakah nama hari esok. Mungkin "selasa" atau mungkin "satu hari lagi di penjara". Apa pun nama hari esok, biarlah.

Selamat malam dunia.

Selasa, 16 Mac 2021

Kehidupan Adalah Tarik Tali


Apabila kita lahir, dunia kita sangat kecil, apa yang kita kenal mungkin hanya ibu bapa kita juga adik beradik. Kemudian apabila kita bersekolah dunia kita membesar sedikit. Selepas kita belajar dari satu peringkat ke peringkat seterusnya kita semakin faham bahawa dunia sebenarnya lebih besar. Semakin kita selidiki, kita ketahui bahawa masih banyak lagi sempadan yang tidak pernah kita seberangi. Dunia semakin membesar. Dan mungkin sampai satu ketika, kita akan merasakan bahawa dunia ini terlalu besar untuk kita yang kerdil ini. Atau dalam bahasa Inggeris - overwhelming.

Kadangkala, apabila kehidupan kita kosong dari aktiviti. Kita mula mencari, mana organisasi yang boleh kita sertai, apa aktiviti yang boleh kita anjurkan, aktiviti yang boleh kita sertai, kita malah sudi menerima tanggungjawab dan memegang jawatan dalam organisasi. Namun, semakin lama kita beraktiviti, semakin kita aktif, orang akan melihat kita dan memberi lebih banyak lagi bebanan pada kita, hingga akhirnya kita lelah.

Apabila kita lelah, kita mula merasa sesak, merasakan lemas, seolah tiada masa untuk diri sendiri, tiada masa untuk bernafas. Kita mula sedikit demi sedikit melangkah ke belakang. Melepaskan tangungjawab-tanggungjawab, mencari masa untuk menyendiri, beruzlah mencari diri. Atau mungkin jika bebanan itu terlalu berat, jiwa kita akan patah, kita terus meninggalkan semua projek dan aktiviti yang sedang kita buat, lalui, sertai, dan jalani. Semakin lama kita tinggalkan, dunia kita akan rasa banyak isi kosong semula, kita mula mencari semula apa yang boleh kita isi, seperti kitaran ia berulang. Seperti tarik tali, kita tidak mahu ia kosong, dalam masa tidak mahu ia terlalu penuh sehingga kita sesak. Untuk jumpa garis wasatiyyah itu memang sukar, kehidupan adalah proses tarik tali untuk mencari middle ground.

Dahulu saya merasakan kegelapan pemikiran itu satu perkara yang dibuat-buat, namun apabila tiba masa saya merasakannya sendiri, ternyata ia benar, disedut masuk dalam pemikiran yang gelap dan sedih itu ternyata benar. Perasaan depresi itu membenarkannya. Ketika itu kita melihat dunia pudar dari semua warnanya, lagu dan irama indah yang menghiasi ruang udara juga menghilang, senyap dari kicipan merdu mergastua dipagi hari. Mungkin yang paling kritikal adalah lenyapnya kegembiraan dari lubuk hati yang dijalari lara. Dalam proses duka lara ini saya merasakan bahawa lagu-lagu lama itu persis seperti mesin masa. Ia memerangkap perasaan-perasaan kita di dahulu kala, dan apabila ia diputar semula, perasaan lama juga mula menjalari hati kita. Rasa sayunya berganda-ganda, rasa rindu, rasa kehilangan, semunya menghentam dan meremukkan hati.

Isnin, 15 Februari 2021

Kehidupan yang berlalu seperti angin


Di mana aku harus bermula? Aku pun tidak tahu.

Sejak 8.30 pagi aku sudah beratur di pejabat pos. Manusia beratur, panjang, lebih dari dua blok bangunan jarak manusia berbaris. Ada urusan, atau ingin menghantar barang. Sebenarnya aku sudah habis berbaris, dapat nombor, dan mengisi borang. Namun ketika sudah separuh borang aku isi, tiba-tiba proses biologi mendesak aku keluar. Ah biologi, sesuatu yang kita tidak boleh kawal, kenapa perlu sekarang? Aku keluar, ke masjid berdekatan, masuk ke bilik kecil yang disediakan untuk manusia menyelesaikan proses biologi mereka bersendirian. Masih ada dua parcel yang tidak sempat aku isi. Aku perlu beratur semula, dari awal. Ah menyiksakan.

Jam kini hampir jam 11 pagi, nampaknya separuh hari aku akan hilang beratur hari ini. Sedangkan aku mahu pulang, dan menulis satu artikel panjang. Perihal penulisan. Ya, menulis perihal penulisan. Mungkin aku patut jadikan itu sebagai tajuk buku aku seterusnya, selepas berfikir tentang pemikiran.

Aku cuba menghabiskan masa berbaris dengan melihat filem yang ada di Netflix, namun satu pun tidak menarik hati. Kebanyakannya aku lihat separuh sebelum hilang minat. Sejak kebelakangan ini aku memang mudah hilang minat, dalam semua perkara. Seolah-olah dunia ini tawar, dan tidak mampu menawarkan apa-apa lagi pada jiwaku. Atau mungkin jiwaku yang sudah mati dibunuh kehidupan sehingga tidak mampu merasakan apa-apa. Aku menyesal tidak membawa buku 'Kembara Darus Senawi 1963', buku yang aku mula membaca semalam. Buku yang berjaya menghidupkan sedikit perasaanku yang sudah tawar ini.

Entah, hidup ini memang pelik, kadang kita rasa asing, kadang aku merasa alangkah baiknya jika aku tidak pernah tercipta, tidak perlu mengharungi ketawaran ini. Namun kadang aku merasakan hidup ini satu anugerah, merasai kehangatan sinaran udara pagi. Begitulah kehidupan, yang menggaulkan semua rasa dalam jiwa kita.

Atau mungkin aku sudah tua dan merasakan aku sudah melihat dunia, usia umpama angin, kita merasai bayunya sebentar sebelum ia hilang.

Atau mungkin perasaan ini hinggap disebabkan situasi dunia. Suasana yang mengurung, menafikan kita secawan ketawa bersama teman di rumah makan. Menafikan kita untuk naik ke puncak hijau melihat awan berarak di bawah. Manusia memang fitrahnya pengembara, jika dahulu mereka merentas sahara, menggali tanah, membelah samudera, meroket angkasa, kini mereka disuruh duduk bekerja di rumah, membuatkan mereka separa gila.

Namun sebanyak mana pun perenggan yang aku tulis, akhirnya ia kembali kepada satu perkataan, yang aku sebutkan tadi, "entah", aku tak punya jawapan untuk perasaan ini, atau mungkin tidak-berperasaan ini. 

Rumi ada menulis dalam puisinya bahawa manusia mencari dirinya pada benda yang tidak ada. Tukang kayu akan pergi kepada rumah yang tiada pintu, supaya dia boleh bertukang, kata Rumi. Tapi disaat ini ketidak-adaan membuatkan aku merasakan diri aku hilang, tidak aku jumpa. Malah aku ingin menjadi "tidak ada". Walau aku sendiri tak pasti apa yang menanti disana. Namun jika disana tiada perasaan ini, mungkin aku boleh membayar harganya. Aku juga sering mengatakan bahawa menulis adalah terapi diri, namun hari ini ia memakan diri, aku silap, tidak untuk hari ini, hari ini menulis tidak dapat memberi warna pada perasaan tawar ini.

Mungkin aku juga makhluk sosial, yang akan layu dan mati perlahan-lahan tanpa adanya teman. Ada perkara yang tak mampu diberi oleh keluarga, yang ada pada mereka yang kita gelarkan sebagai teman, kawan, sahabat, komrad, atau seorang asing yang meneman kita bicara. Namun aku akhirnya kembali ke daerah yang sama, daerah "mungkin" dan daerah "entah". Kerana apa pun pikiranku, ketawaran ini aku tidak dapat agak apa misinya, apa objektif diciptakan perasaan tawar, apakah raison d'etre ketidak-rasaan aku ini.

Atau mungkin, bukan dunia ini yang pelik, mungkin aku yang pelik.

Merasa asing ketika bersama.
Merasa gelisah ketika tenang.
Merasa kenyang ketika di depan makanan.
Merasa segar ketika harus mengantuk.
Namun, apabila mengantuk, tidak dapat tidur.

Atau mungkin aku terlalu dahaga, sekali lagi aku berpusing di daerah yang sama, mungkin penawar tawar ini adalah secawan air sejuk. Apabila tiba dibawah bumbung aku teguk, namun ia tidak juga menghilang pergi.

Atau mungkin perasaan ini akan hilang nanti petang, seperti kehidupan, ia juga akan berlalu seperti angin.