Isnin, 15 Februari 2021

Kehidupan yang berlalu seperti angin


Di mana aku harus bermula? Aku pun tidak tahu.

Sejak 8.30 pagi aku sudah beratur di pejabat pos. Manusia beratur, panjang, lebih dari dua blok bangunan jarak manusia berbaris. Ada urusan, atau ingin menghantar barang. Sebenarnya aku sudah habis berbaris, dapat nombor, dan mengisi borang. Namun ketika sudah separuh borang aku isi, tiba-tiba proses biologi mendesak aku keluar. Ah biologi, sesuatu yang kita tidak boleh kawal, kenapa perlu sekarang? Aku keluar, ke masjid berdekatan, masuk ke bilik kecil yang disediakan untuk manusia menyelesaikan proses biologi mereka bersendirian. Masih ada dua parcel yang tidak sempat aku isi. Aku perlu beratur semula, dari awal. Ah menyiksakan.

Jam kini hampir jam 11 pagi, nampaknya separuh hari aku akan hilang beratur hari ini. Sedangkan aku mahu pulang, dan menulis satu artikel panjang. Perihal penulisan. Ya, menulis perihal penulisan. Mungkin aku patut jadikan itu sebagai tajuk buku aku seterusnya, selepas berfikir tentang pemikiran.

Aku cuba menghabiskan masa berbaris dengan melihat filem yang ada di Netflix, namun satu pun tidak menarik hati. Kebanyakannya aku lihat separuh sebelum hilang minat. Sejak kebelakangan ini aku memang mudah hilang minat, dalam semua perkara. Seolah-olah dunia ini tawar, dan tidak mampu menawarkan apa-apa lagi pada jiwaku. Atau mungkin jiwaku yang sudah mati dibunuh kehidupan sehingga tidak mampu merasakan apa-apa. Aku menyesal tidak membawa buku 'Kembara Darus Senawi 1963', buku yang aku mula membaca semalam. Buku yang berjaya menghidupkan sedikit perasaanku yang sudah tawar ini.

Entah, hidup ini memang pelik, kadang kita rasa asing, kadang aku merasa alangkah baiknya jika aku tidak pernah tercipta, tidak perlu mengharungi ketawaran ini. Namun kadang aku merasakan hidup ini satu anugerah, merasai kehangatan sinaran udara pagi. Begitulah kehidupan, yang menggaulkan semua rasa dalam jiwa kita.

Atau mungkin aku sudah tua dan merasakan aku sudah melihat dunia, usia umpama angin, kita merasai bayunya sebentar sebelum ia hilang.

Atau mungkin perasaan ini hinggap disebabkan situasi dunia. Suasana yang mengurung, menafikan kita secawan ketawa bersama teman di rumah makan. Menafikan kita untuk naik ke puncak hijau melihat awan berarak di bawah. Manusia memang fitrahnya pengembara, jika dahulu mereka merentas sahara, menggali tanah, membelah samudera, meroket angkasa, kini mereka disuruh duduk bekerja di rumah, membuatkan mereka separa gila.

Namun sebanyak mana pun perenggan yang aku tulis, akhirnya ia kembali kepada satu perkataan, yang aku sebutkan tadi, "entah", aku tak punya jawapan untuk perasaan ini, atau mungkin tidak-berperasaan ini. 

Rumi ada menulis dalam puisinya bahawa manusia mencari dirinya pada benda yang tidak ada. Tukang kayu akan pergi kepada rumah yang tiada pintu, supaya dia boleh bertukang, kata Rumi. Tapi disaat ini ketidak-adaan membuatkan aku merasakan diri aku hilang, tidak aku jumpa. Malah aku ingin menjadi "tidak ada". Walau aku sendiri tak pasti apa yang menanti disana. Namun jika disana tiada perasaan ini, mungkin aku boleh membayar harganya. Aku juga sering mengatakan bahawa menulis adalah terapi diri, namun hari ini ia memakan diri, aku silap, tidak untuk hari ini, hari ini menulis tidak dapat memberi warna pada perasaan tawar ini.

Mungkin aku juga makhluk sosial, yang akan layu dan mati perlahan-lahan tanpa adanya teman. Ada perkara yang tak mampu diberi oleh keluarga, yang ada pada mereka yang kita gelarkan sebagai teman, kawan, sahabat, komrad, atau seorang asing yang meneman kita bicara. Namun aku akhirnya kembali ke daerah yang sama, daerah "mungkin" dan daerah "entah". Kerana apa pun pikiranku, ketawaran ini aku tidak dapat agak apa misinya, apa objektif diciptakan perasaan tawar, apakah raison d'etre ketidak-rasaan aku ini.

Atau mungkin, bukan dunia ini yang pelik, mungkin aku yang pelik.

Merasa asing ketika bersama.
Merasa gelisah ketika tenang.
Merasa kenyang ketika di depan makanan.
Merasa segar ketika harus mengantuk.
Namun, apabila mengantuk, tidak dapat tidur.

Atau mungkin aku terlalu dahaga, sekali lagi aku berpusing di daerah yang sama, mungkin penawar tawar ini adalah secawan air sejuk. Apabila tiba dibawah bumbung aku teguk, namun ia tidak juga menghilang pergi.

Atau mungkin perasaan ini akan hilang nanti petang, seperti kehidupan, ia juga akan berlalu seperti angin.

Tiada ulasan: