Ahad, 7 Februari 2021

Reviu Zine Dari Johor #2


Sebenarnya saya masih baru dalam membudayakan diri untuk membaca zine, jika awal evolusi pembacaan saya adalah buku-buku Islamik, kemudian pergi ke buku-buku non-fiksyen bahasa Inggeris perihal ideologi, ekonomi, politik, evolusi saya seterusnya dalam pembacaan adalah membaca zine-zine tempatan, kerana saya kira pembacaan saya tidak mengakar di bumi lokal. Terlalu banyak membaca perihal tulisan orang asing hingga terlupa dan tidak memahami denyut nadi negeri sendiri. Zine pada saya lebih membumi dari buku-buku mainstream, konsepnya seperti sebuah majalah (magazine), namun ia dihasilkan oleh kumpulan juga perseorangan yang independent

Zine ini isinya bebas, ada yang memberi maklumat perihal kumpulan musik tempatan yang biasanya tidak disebut dalam media arus perdana, ada yang membicarakan hal-hal budaya lokal, ada juga yang berunsur seni dan penulisan kreatif. Tentulah saya tidak membaca semua zine yang ada di Malaysia, saya sekadar membaca zine yang tercapai dek tangan saya, antara yang pernah saya baca adalah Kubu Zine, NutMag, Fagiyu, dan zine yang menjadi tajuk reviu kita pada hari ini - Zine Dari Johor #2. Bagi saya, kerana zine ini memuatkan penulisan yang bebas tanpa apa-apa kongkongan, kandungannya lebih jujur, tidak hipokrit, dan sering kali - liar tetapi tidak angkuh. Pengembaraan saya membaca zine juga membuatkan saya juga ingin menulis dan menerbitkan zine, zine pertama saya bersama seorang teman bakal terbit bulan ini, dengan nama Skazka #1.

Baik, cukuplah kita melewar-lewar dengan permulaan kalam yang panjang. Berbalik pada Zine Dari Johor #2 (ZDJ #2) ini, saya kira susun letaknya berubah menjadi sangat kemas berbanding isunya yang pertama, mungkin kerana ZDJ kini menggunakan khidmat susun letak yang sama seperti zine Fagiyu. Zine ini dimulakan dengan bicara editor, penerangan berkenaan istilah, juga kongsi resepi. Antara resepi yang dikongsikan adalah Tau Fu Fa, Cucur Ayam, dan Scones. Jadi makcik-makcik bawang pun bolehlah mendapatkan zine ini untuk belajar resepi masakan anarkis.

ZDJ #2 juga menyambung perihal sejarah-aktiviti mereka di Lorong Ismail Kulai yang juga dinamakan sebagai Lorong Underground Art Space (LUAS). Cebisan sejarah dimuatkan bagaimana lorong ini subur, kemudian mati, kemudian cuba dihidupkan semula oleh golongan muda setempat dengan cabaran-cabarannya, antara kejayaan yang dinukilkan adalah kejayaan mereka melaksanakan acara dengan kerjasama Balai Seni Negara. Saya juga berterima kasih kepada Kolektif Naratif yang menerbitkan tulisan saya dalam zine ini dengan artikel yang bertajuk "Falsafah George Carlin", artikel sepanjang 4 muka surat ini merupakan artikel pertama saya yang pernah diterbitkan oleh zine tempatan.

Artikel "Membudayakan Anarkisme" tulisan Kamal Muhammad antara artikel menarik yang merangsang otak saya. Dalam artikelnya, beliau ada menukilkan pandangan sosok anarkis Jerman, Gustav Landauer yang berbunyi "negara bukan sesuatu yang boleh dihancurkan melalui revolusi, melainkan suatu ciptaan keadaan, atau suatu hubungan tertentu antara manusia". Saya sangat setuju dengan pandangan ini, ada kalanya apa yang kita perlukan bukanlah revolusi, tetapi pendidikan yang melahirkan masyarakat yang kuat dan mandiri dalam melemahkan kuasa negara dan menguatkan kuasa rakyat. Tidak sedikit revolusi yang ditunggang oleh golongan oppurtunis yang akhirnya melahirkan tirani dan penindasan baru dengan nama yang berbeza.

Artikel "Marina and The Gangs" juga pada saya menarik. Pihak editor membincangkan sebuah dialog anjuran DAP, antara yang dikritik adalah Andrew Chen yang seolah-olah terlupa bahawa partinya juga pernah menjadi kerajaan dan membuat kerosakan. Kritik ZDJ kepada Marina Ibrahim dalam zine ini seolah-olah satu tarik tali antara cinta dan benci. Dari satu sudut Marina dikritik kerana sikap oppurtunisnya yang mengendeng ke dalam komuniti untuk membawa ideologi politik, dalam masa yang sama dipuji atas sumbangan dan bantuan beliau dalam komuniti. Hal ini saya kira pernah diperkatakan oleh Chomsky dalam perbahasan anarkisme, bagi Chomsky walaupun anarkis mahu menanggalkan sistem negara yang opresif, mereka boleh bekerjasama dengan negara dan ahli politik dalam isu pemeliharaan manusia dan alam, ini kerana kita hidup dalam dunia realiti - maka ada kalanya sinergi itu perlu.

Wawancara bersama Rayhan Ahmad perihal Sekolah Baroka juga bagi saya merupakan satu penulisan yang punya isi yang berkualiti. Wawancara ini merupakan wawancara dari acara yang dibuat di Tumpang Co-Working Space, Simpang Renggam dimana mereka menayangkan filem "Sokola Rimba". Diskripsi perihal filem ini bagi saya sangat menarik dan saya akan cuba untuk menontonnya, filem dari seberang sememangnya punya aura dan emosi yang mendalam, sering kali mengalahkan filem tempatan. Aktivisme Rayhan dalam memberi pendidikan dan memperjuangkan Orang Asli Suku Seletar pada saya sangat mengkagumkan, beliau malah belajar bahasa suku tersebut untuk ditulis dan dipelihara! Perkara ini patut dilakukan oleh penyelidik universiti, nampaknya beliau lebih jauh ke depan.

"All the world's problems can be solved in a garden" - Geoff Lawton.

Itu adalah kata-kata yang saya kira paling menarik yang dikongsikan oleh Izzat Ibrahim dalam artikelnya perihal Kebun Komuniti Cinta Lestari (KCL) juga teknik tanaman Permaculture. Dalam tulisan beliau, beliau memperincikan teknik tanaman Permaculture yang beliau pelajari dari sifunya, Abang Anas Shuib. Teknik ini menekankan perlunya teknik tanaman yang bersinergi dengan alam, bukan menggunakan racun untuk membasmi tumbuhan lain. Artikel terakhir dalam zine ini merupakan bingkisan tulisan Saudara Iltizam Iman yang juga merupakan penulis buku "Menolak Perintah". Dalam bingkisannya beliau mengkritik bidalan "Berbudi pada tanah" yang baginya membawa konotasi yang salah. Industri pertanian terutamanya monokultur baginya merosakkan tanah dan ekosistem, ia bukan satu "budi". Beliau juga mengkritik tajam kepupusan haiwan liar, baginya jata negara perlu digantikan harimau dengan monyet, ini kerana Harimau Malaya tidak boleh lagi kita banggakan kerana kita tidak menjaganya malah di ambang kepupusan, sebaliknya yang membiak adalah monyet hasil aktiviti penanaman kelapa sawit.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Kolektif Naratif atas isu kali ini. Moga kita akan diberkati dengan isu-isu ZDJ yang lebih banyak dimasa akan datang dengan isi-isi yang menarik.

Tiada ulasan: