Jumaat, 12 Februari 2021

Catatan Baitul Muslim 42: Saya Taknak Marah Anak Lagi


Menguruskan anak-anak sememangnya merupakan cabaran terbesar buat ibubapa, bukan sahaja soal baju pakaian, makan minum, dan kesihatan sahaja perlu diuruskan. Pengurusan anak turut melibatkan daerah pengurusan emosi, perasaan, pemikiran, juga intelektual anak-anak. Dalam perjalanan kita mengurus anak ini pasti ada kalanya kita mengalami kebuntuan. Maklumlah skil mengurus anak ini bukan sebahagian dari silibus pengajian kita baik di sekolah atau universiti. Kebanyakan dari kita belajar tentangnya dari pengalaman.

Begitu jugalah saya dan isteri, kami juga pernah sampai ke tahap buntu. Kadang kami berbincang dan berfikir cara bagaimana yang hendak digunakan dalam mengurus anak-anak, terutamanya apabila sudah mendapat anak ke-2. Anak pertama pasti akan rasa cemburu kerana kasih yang selama ini diperolehi 100 peratus kini perlu dibahagikan. Anak ini keliru, tidak tahu bagaimana untuk menerangkan perasaannya, sering kali ia diluahkan dengan cara meragam, protes, dan juga tantrum.

Dalam usaha kami untuk menggali ilmu perihal pendidikan dan pengurusan anak-anak, isteri saya ada membeli Ebook yang ditulis oleh Kaunselor Maznah Ibrahim yang bertajuk “Saya Taknak Marah Anak Lagi: 3 Punca Utama Kenapa Cepat Marah Beserta Solusi”. Bagi saya ia merupakan buku yang sarat dengan nasihat, teknik, juga alternatif kepada ibubapa dalam menguruskan emosi mereka dalam mendidik anak-anak. Namun ada juga bahagian yang saya kira pekat dalam bentuk teori, apabila bertemu realiti, ia satu perkara yang sukar untuk dilaksanakan. 

Saya secara peribadi merasakan bahawa “memarahi” sebenarnya merupakan sebahagian dari teknik pendidikan, jadi saya tidaklah seratus peratus setuju dengan tajuk buku ini, ada ketika saya merasakan kita wajar memarahi anak. Namun marah itu perlu punya nilai didikan, punya cara yang boleh dilihat oleh anak bagaimana dia boleh belajar, bukan sekadar marah emosi. Kita perlu memahamkan anak bahawa kita menegur bukan memarahi.

Dalam Ebook ini antara saranan kaunselor Maznah adalah perlunya kita memberi teguran yang dilapik dengan pujian. Dengan cara ini, kita membuka hati anak agar mereka lebih mudah menerima nasihat dan cadangan kita, pujian adalah gula-gula untuk mereka membuka hati mereka sebelum kita menuangkan nasihat. Ia bukanlah perkara yang mudah dilakukan, apabila kita dikawal emosi marah, mungkin kita sendiri tidak teringat akan teknik ini. Oleh itu kita perlu sentiasa menarik nafas apabila marah, jangan hamburkan perkataan dahulu, sebaliknya berfikir dahulu apa cara terbaik. Ini penting kerana hasil didikan ini akan kita lihat bertahun akan datang. Fasa ini adalah fasa kita menanam perkara yang baik-baik dalam diri anak. Buahnya mungkin hanya boleh kita tuai 20 tahun lagi.

Beliau juga menekankan bahawa pentingnya kita membimbing, bukan membaiki. Anak kita tidak rosak, dia masih di fasa mencari dan mengkatalog apa yang baik dan buruk, jadi pendekatan kita seharusnya sentiasa memberi bimbingan bukan menegur dan membaiki setiap masa. Jika kita menegur tanpa henti, anak kita tadi akan merasa tertekan, apa yang dilakukan semuanya salah sehingga dia tidak boleh bernafas. Sedangkan dia masih belum jelas apa yang baik dan buruk.

Kita perlu sentiasa membiarkan ada ruang terbuka bagi anak kita belajar dari kesilapan dalam hal yang tidak membahayakan keselamatan dan kesihatan. Tidak semua benda perlu kita marahi dan betulkan, anak kita perlu dibesarkan dalam suasana rumah yang harmoni, bukan tegang seperti kem tentera. Apabila mereka melakukan kesilapan, fokus utama kita perlulah menunjuk jalan akan solusi yang boleh mereka lakukan untuk memperbaiki kesilapan. Tugas kita bukan untuk memarahi dan membuatkan mereka merasa bersalah setiap masa.

Apabila anak kita meragam, kita sering kali menyangka bahawa mereka sedang buat perangai, mengada-ngada, dan bersangka buruk dengan anak. Saya sendiri banyak bersalah dalam hal ini. Kadangkala sering kita potong percakapan mereka, seolah kita sudah tahu apa yang mereka ingin katakan, mereka dipersalahkan sebelum mereka melakukan kesilapan. Ini adalah situasi yang tidak adil. Sebaliknya pendekatan pertama kita mestilah dengan cuba menyelidiki apa yang menyebabkan mereka berkelakuan begitu. Mungkin ada perkara yang menyebabkan mereka tidak selesa, atau ada perkara yang mereka tidak berpuas hati tetapi tidak pandai untuk diceritakan. Jadi tugas kita adalah menyelidiki dahulu sebelum menghambur kemarahan.

Nasihat-nasihat dan teknik yang diketengahkan dalam buku ini sememangnya bermanfaat dan saya kira ada logiknya. Cuma ia memerlukan kesabaran di pihak ibubapa untuk berhenti sebelum marah, dan cuba berfikir cara yang lebih sesuai untuk merungkai keadaan yang ada. Ini tidaklah mudah dilakukan, kerana marah mungkin lebih cepat berbanding berfikir, bertanya atau memujuk. Namun perlu juga kita timbang, walaupun ia cepat, apakah kesan jangka panjangnya? Sejauh mana ia masih berkesan apabila mereka sudah dewasa. Adakah kita hendak terus memarahi mereka apabila mereka sudah dewasa? Ini adalah perkara yang perlu kita fikirkan.

Penulisan kaunselor Maznah ini sememangnya sarat dengan teknik dan nasihat yang menarik, dan saya sarankan ibubapa untuk membacanya. Namun untuk berjaya ia perlu diaplikasikan dengan sabar, habis baca tidak bermaksud kita terus boleh melaksanakannya.


Tiada ulasan: