Memaparkan catatan dengan label Daoud Hari. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Daoud Hari. Papar semua catatan

Isnin, 14 Disember 2020

The Translator: Sebuah Memoir Oleh Daoud Hari


Begitu menyedihkan membaca memoir ini, yang ditulis menceritakan konflik pembersihan etnik di Darfur oleh kerajaan Sudan pimpinan diktator Omar Al-Bashir, tak mampu membacanya tanpa menangis. Tak terfikir dek akal kekejaman manusia ke atas manusia yang lain. Ia akan menyebabkan anda kemurungan memikirkan perihal kekejaman yang terjadi.

Daoud Hari merupakan seorang berbangsa Zaghawa, beliau tinggal bersama keluarganya di Darfur sehinggalah kampungnya diserang oleh militia kerajaan Sudan. Memoir ini beliau tulis untuk menceritakan kepada dunia apa yang berlaku di Darfur dengan harapan masyarakat dunia dapat membantu warga Darfur untuk kembali hidup aman di kampung halaman mereka.

Daoud tidak seperti adik-beradiknya yang lain yang tinggal di kampung, beliau bersekolah di bandar dan mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, skil ini membantu beliau dikemudian hari. Beliau keluar dari Sudan ke Mesir untuk mencari pekerjaan, kemudian cuba menyeludup masuk ke Israel namun gagal. Akhirnya beliau pulang ke kampung halaman ketika perang sedang memuncak di Darfur.

Apabila kampung diserang, suasana yang sangat menyayat hati berlaku, kerana kampung-kampung ini adalah kampung terpencil, mereka tidak mempunyai apa-apa fasiliti perubatan, bagi yang tercedera teruk, mereka hanya boleh berdoa agar kematian segera menjemput dan mengakhiri penderitaan mereka. Sedangkan yang lain hanya mendapat secawan teh untuk melawan rasa sakit akibat tangan dan kaki yang terputus akibat letupan. (44) Satu suasana yang tidak dapat dibayangkan dalam masyarakat moden hari ini.

Daoud sempat sampai ke kampungnya sebelum ia diserang, dan membantu keluarganya melarikan diri, tetapi abangnya Ahmed merupakan antara sukarelawan kampung yang menjadi barisan pertahanan, apabila serangan sudah tamat, beliau pulang semula ke kampung selepas beberapa hari untuk menyempurnakan pengebumian mayat-mayat barisan pertahanan kampung. Pada ketika itu dia menjumpai mayat abangnya yang tersayang, hampir tidak boleh dicam kerana letupan bom. Beliau mengebumikan abangnya dan mengucapkan selamat tinggal. (60)

Orang kampung yang terselamat dari serangan menjadi pelarian, mereka berjalan kaki menuju ke kem pelarian di Chad, dalam masa yang sama menandakan perjalanan mereka dengan kubur-kubur wanita dan kanak-kanak yang mati ketika dalam perjalanan. Walaupun ketika saat genting seperti ini, Daoud menulis perihal kebaikan, bagaimana mereka bantu membantu, berkongsi air dan makanan untuk kekal hidup. (63)

Mungkin antara kisah yang paling merenggut hati adalah kisah seorang wanita yang mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak kecil lelaki. Apabila kampungnya diserang oleh militia Janjaweed (pasukan berkuda Arab), wanita tersebut ditangkap dan diperkosa selama seminggu. Beliau kemudian ditinggalkan ditengah padang pasir jauh dari sebarang kampung tanpa makanan dan minuman. Beliau berjalan selama 5 hari sehinggalah beliau tidak lagi mampu membawa anak-anaknya, dan berehat dibawah sebatang pohon berdekatan dengan sempadan Chad. Beliau melihat dua anaknya mati disitu. Kemudian mengambil keputusan untuk menggantung dirinya di pohon itu. Anak kecil beliau mati didalam dakapan Daoud yang tiba disitu, beberapa jam lewat. Kekejaman ini membuatkan saya termenung dalam, perihal kekejaman manusia sesama mereka. (65-66)

Kisah kekejaman kedua yang dikongsikan Daoud adalah perihal seorang lelaki yang ditangkap oleh militia Janjaweed dan diseksa, anak perempuannya tidak sanggup melihat ayahnya diseksa keluar dari persembunyian sambil berlari kearahnya dan memanggilnya "Abba Abba!". Anak perempuan ini kemudian ditusuk oleh militia Janjaweed dengan bayonet. Beliau melihat anaknya mati sambil memanggil namanya sehingga anaknya terkulai, manakala militia tersebut menari-nari dengan mayat anaknya. (83)

Kekejaman ini merubah minda lelaki tersebut. Dia tidak dapat memikirkan apa dosa anaknya, kenapa anaknya harus mati begitu. Setelah membaca hal ini, ia seolah menyentak jiwa saya. Kadang kita merasakan bahawa pengebom berani mati merupakan orang yang gila dan kejam, apa yang kita tidak ambil kira adalah kekejaman yang telah dilakukan pada mereka. Mereka melihat sesuatu yang merubah minda mereka, merasakan nyawa mereka tidak ada nilainya lagi, dari mati dikala tua, mereka lebih rela memberikan nyawa mereka untuk mengalahkan musuh mereka. Lelaki ini kemudian terselamat dan bersatu semula dengan isteri dan anak lelakinya, tetapi imej yang dilihat telah mengubah mindanya. Dia meninggalkan isteri dan anaknya untuk bertarung.

Apabila tiba di kem pelarian di Chad, Daoud menjadi penterjemah untuk delegasi Amerika yang menyiasat penghapusan etnik (genocide) yang dilakukan oleh kerajaan Sudan dibawah Omar Bashir. Selain penyiasatan ini, Daoud menyatakan kerajaan Amerika tidak menolong banyak, ini berbeza dengan rakyat Amerika dan juga Eropah yang menjalankan begitu banyak kerja-kerja kemanusiaan membantu warga Darfur. Bagi Daoud bukti sesuatu kerajaan itu demokrasi atau tidak adalah sama ada ia mencerminkan hati dan perasaan rakyatnya. (85)

Daoud juga menjadi penterjemah bagi wartawan yang ingin memasuki Darfur, beliau mencoretkan bahawa wartawan juga mempunyai sisi kemanusiaan yang kuat. Mereka sering menangis melihat kekejaman yang berlaku. Sering kali mereka membantu menguburkan mayat-mayat yang dijumpai, terutamanya kanak-kanak, dan mereka akan duduk dan berdoa di kubur-kubur ini. (112) Membaca akan hal ini, saya teringat akan Robert Fisk. Tentang bagaimana melihat kekejaman menjadikannya seorang wartawan yang berbeza, menulis dengan penuh amarah tanpa berselindung untuk melaporkan kepada dunia siapa penjenayah sebenarnya.

Pada bab-bab akhir, Daoud menceritakan bagaimana beliau akhirnya berjaya ditangkap oleh kerajaan Sudan. Antara topik yang mendapat perhatian saya adalah bagaimana anak-anak remaja dijadikan askar paksaan. Mereka berumur sekitar 14 tahun sahaja (tingkatan 2 jika di Malaysia). Kadangkala remaja yang bernasib baik akan melarikan diri ketika disuruh menyerang kampung-kampung. Daoud menulis tentang harapannya jika tentera kanak-kanak ini ditawan, supaya mereka tidak dibunuh sebaliknya dihantar bersekolah. Ada ketika Daoud cuba bercakap dengan anak-anak ini, menerangkan keadaan agar mereka sedar apa yang mereka lakukan adalah kesalahan, dan beliau nampak sinar-sinar harapan dimata anak-anak ini. (138)

Buku ini berakhir dengan kisah bagaimana akhirnya Daoud dilepaskan dari tahanan hasil tekanan dari rakan-rakan wartawan beliau, juga kerajaan-kerajaan Eropah (spoiler!). Dihujungnya beliau memberi perspektif tentang sebab berlakunya konflik ini. Saya tidak dapat menolak dari berfikir bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan Sudan dan Omar Bashir tidak ada bezanya dengan apa yang dilakukan oleh Israel kepada bangsa Palestin. Mereka mahukan tanah tanpa penduduk, jadi mereka melakukan pembunuhan, menghapuskan kampung-kampung, jika Israel mahu meng-Hebrew-kan Palestin, Omar Bashir mahu meng-Arab-kan Darfur dan Sudan dengan memadam etnik-etnik Afrika yang ada. Buku ini ditulis Daoud agar cita-cita seperti ini tidak berjaya.