Buku Ahmad Boestamam bertajuk Merdeka Dengan Darah Dalam API bagi saya sangat menarik. Mungkin sebab ditulis pada hujung usia, tulisan dan pengalamannya sudah ranum. Apatah lagi beliau memang lama di bidang penulisan bermula di akhbar Majlis bersama Ibrahim Yaacob, kemudian menerbit Suara Rakyat. Suara Rakyat kemudian menjadi Voice of the People atas permintaan Mokhtaruddin. Beliau juga kemudian menulis di Pelita Malaya dan Suluh Malaya. Jadi pena Ahmad Boestamam sememangnya luas.
Paling menarik saya kira adalah cerita-cerita kelakar yang beliau kongsikan. Itu kelebihan orang tua, pandai bercerita. Antaranya kisah dia menghalau pegawai perisikan Inggeris, Mr. Brown kerana datang ke pejabatnya untuk bersembang sehingga terlalu lama, bagi Boestamam perisik Inggeris ini mengacau beliau dari menyiapkan kerjanya. Selepas dihalau, lama Brown merajuk dan tidak datang lagi ke pejabat, tetapi sebelum dia balik England, Brown datang semula minta tandatangan Boestamam dalam gambar yang dia simpan untuk kenangan.
Juga cerita makan mee dengan Birch yang sibuk korek pasal kekuatan Angkatan Pemuda Insaf (API). Persatuan API ini merupakan sayap pemuda bagi Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Boestamam mengusik Birch mahu pinjam kereta supaya boleh digunakan untuk kuatkan lagi API melawan British. Birch kata bukan takat kereta, dia boleh bagi rumah dan gaji sekali dengan syarat API jadi boneka British. Boestamam kata tawaran Birch terlalu awal, tunggu dia jatuh miskin minta sedekah bawah jambatan baru dia akan terima.
Apabila darurat diishtiharkan, Birch kemudian memainkan peranan apabila British mengharamkan API dan menangkap Ahmad Boestamam. Selepas merdeka dan Boestamam menjadi ahli parlimen, dalam satu majlis di London dia bertemu semula Birch yang bekerja sebagai doorman. Boestamam diperkenalkan Dato’ Ong Yoke Lin kepada Birch di London:
“Ini Ahmad Boestamam, orang yang awak tangkap dulu tetapi sekarang seorang anggota puak pembangkang kita yang setia.”
Membuatkan Birch bera dan malu, tapi tetap juga dia berjabat tangan dengan Boestamam.
Buku ini susah jumpa, biasa ada di perpustakaan, itu pun kadang-kadang satu naskah sahaja. Kalau berjaya jumpa untuk dibeli, memang langka. Kan bagus kalau UKM cetak semula.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan