Salah satu perkara yang membahagiakan dalam menuntut ilmu adalah guru. Selepas tamat universiti, seperti manusia lain, untuk menghilangkan haus dan dahaga kepada ilmu, saya menyelak buku. Buku menyimpan banyak ilmu, maklumat, dan pengetahuan. Namun renungan membaca tetap tidak dapat mengisi ruang yang diisi oleh guru. Kita boleh membaca, menulis, dan merenung sendiri, tapi tetap tidak sama dengan pengalaman menuntut ilmu bersama guru.
Apabila kita membaca dan merenung, kita mungkin rasa renungan kita itu hebat. Tapi sebenarnya ada bias, prejudis, dan kelemahan yang kita tak nampak. Sebab itu ia memerlukan analisis ke atas analisis, nur ala nur. Sebab itu dalam sejarah ada history of history, juga dipanggil historiografi. Lapisan analisis yang lebih tinggi.
Guru memberi kita satu perspektif yang kita tak dapat fikir sendirian, guru sedia mencabar sudut pandang kita yang kita sudah rasa sempurna. Belajar dengan guru sentiasa ada kelebihan dari membaca sendirian. Itu adalah antara sebab saya memilih juga untuk sambung belajar secara formal. Kita akan terdedah dengan perspektif lain, bahan bacaan lain, sumber lain, yang mungkin tak berjaya kita capai dengan membaca sendirian atau berharap pada algorithma.
Guru yang baik adalah guru yang mengambil serius pandangan, idea dan tulisan muridnya. Memberi masa untuk mengasah mereka.
Namun tidaklah guru itu sentiasa betul. Sebab itu ulama besar, setelah sekian lama, dia akan mengeluarkan pandangan sendiri dan dilihat menyanggahi guru. Seperti Sayyid Qutb yang berguru dengan al-Akkad kemudian menyanggahinya selepas 20 tahun. Perbezaan itu bukan bermakna hilang hormat, tetapi satu bentuk kematangan yang melahirkan pemikiran baharu. Guru yang baik adalah guru yang boleh melahirkan murid yang lebih hebat dari dirinya dan menerima hakikat itu. Dia tidak akan selamanya memeram murid dibawah bayangannya. Jika dia hanya melahirkan murid setara dirinya, maka ilmu akan statik. Tapi jika dia melahirkan ilmuan yang lebih besar dari dirinya, maka dia telah menyumbang pada pengkayaan ilmu.
Tapi bukanlah tujuan kita menuntut ilmu itu untuk menyanggahi guru. Sebesar mana pun kita, jasa guru itu tidak terbalas. Cuma kita harus terima, bahawa guru kita juga manusia, tidaklah dia terlepas dari khilaf yang ada. Bagi saya, sebesar manapun gedung pustaka kita, tidak akan dapat melawan peranan guru dalam proses mencari ilmu. Pena merah mereka yang membetulkan kesalahan kita telah abadi jasanya.
Terima kasih kepada semua guru yang pernah berjasa kepada saya, dari pra-tadika hingga ke pasca-siswa. Al-Fatihah dan doa saya tujukan pada semua guru-guru saya yang telah pergi menghadap ilahi. Allah jua sebaik-baik pembalas budi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan