Buku kecil ini merupakan pamplet yang pertama kalinya diterbitkan pada tahun 1993 oleh Paterson Anarchist Collective, ia dialih bahasa ke dalam Bahasa Indonesia pada tahun 2019 dan boleh didapati di
anarkis.org. Naskah yang saya terima merupakan bentuk cetakan yang dihadiahkan oleh komrad Benz Ali ketika saya membeli bukunya. Makalah ini cuba untuk membela pemikiran seorang tokoh anarkis tersohor, Mikhail Alexandrovich Bakunin yang pemikirannya banyak diperolok dan dipermain-mainkan. (2) Saya secara peribadi merasakan ia tidaklah begitu berjaya untuk menyampaikan objektif tersebut, sekurang-kurangnya pada pandangan peribadi saya, ada perkara yang saya setuju, dan ada juga perkara yang akan saya persoalkan dan kritikkan. Mungkin ada komrad dan teman anarkis yang tidak bersetuju dengan kritikan dan tafsiran saya, maka terpulanglah ia untuk dikritik balas, dijawab, dan dipanjangkan perdebatan.
Saya banyak mendapat pendedahan idea-idea anarkis melalui pembacaan dan syarahan Chomsky dan Zinn, namun setiap kali saya memikirkan perihal ideologi kiri, sama ada dalam bentuk anarkis, sosialis, atau komunis, saya sering terpanggil semula ke perbincangan saya bersama Francis di tepi Sungai Gombak pada tahun 2019. Ideologi dan pemikiran lahir pada zamannya, pada keadaan politik dan sosialnya, kita boleh menerima sesuatu ideologi pada peringkat teori, namun apabila sampai kepada peringkat praktis dan praxis ia perlu disesuaikan dengan keadaan dan zaman terkini. Perkara ini dipersetujui oleh sarjana Marxis tersohor seperti Prof. Richard Wolff, pada beliau sosialis perlu berkembang, belajar dari eksperimen sosialis yang gagal, tidak mengulanginya, dan berubah kepada sosialis-sosialis baru yang sesuai dengan norma masyarakat kini.
Pada awal kajian, bacaan, dan penelitian saya, saya mempunyai perspektif yang khilaf, saya cuba untuk mendapatkan satu definisi kepada terma-terma seperti komunis, sosialis, dan anarkis, namun apabila saya bertemu syarahan-syarahan Prof. Richard Wolff baru saya sedar ia tidak mempunyai definisi yang statik, ia punya banyak tafsiran dan banyak bentuk. Idea-idea Bakunin mungkin tidak sama dengan idea anarkis Chomsky, ia tidak bermaksud bahawa Chomsky kurang anarkis dari Bakunin, tidak. Ia bermaksud bahawa idologi anarkis berubah secara dialektik seiring perubahan keadaan dan zaman. Mungkin ini bacaan asli anarkis kedua yang saya baca selepas membaca Zine Dari Johor yang diterbitkan oleh Kolektif Naratif, sebuah kolektif tempatan. Baik, selepas 3 perenggan mukaddimah, bolehlah kita perbahaskan beberapa intinya.
Oleh kerana makalah ini ingin mempertahankan Bakunin, ia sejak awal mengishtiharkan bahawa pandangan-pandangan rasisme Bakunin tidak akan dibincangkan. Ya, Bakunin yang internasionalis dan anarkis juga punya sisi ideologi bercorak bangsa. Yang pertama adalah Slavik Nasionalisma beliau ketika muda, yang kedua adalah sikap anti-semitism beliau yang cukup benci dengan Bangsa Yahudi yang beliau sering gelar sebagai parasit. Tidak salah untuk membenci Zionis kerana Zionis merupakan ideologi kolonial yang besifat rasis, bahkan banyak bangsa Yahudi yang anti-zionis. Tetapi anti-Yahudi atau anti-semitism dalam pemikiran Bakunin bermasalah kerana Yahudi merupakan bangsa, kita tidak dapat memilih dan menukar bangsa yang kita dilahirkan. Jadi saya sedikit sukar untuk merasionalkan sifat internasionalis Bakunin dengan sikap anti-semitism beliau. (2)
Makalah ini mendefinisikan Anarkisme dengan dua sifat utama. Pertama sebagai sistem ekonomi dan politik yang menghapuskan eksploitasi dan penindasan termasuklah kapitalisme dan negara. Anarkis berpegang bahawa negara adalah sinonim kepada penindasan, hal ini akan kita tinjau dengan lebih lanjut. Yang kedua adalah pemabangunan masyarakat yang mana semua ahli terlibat dalam membuat keputusan yang mempengaruhi hidup mereka. Bahagian kedua ini mungkin kedengaran dekat dengan demokrasi tetapi ia mempunyai perbezaan, dalam demokrasi masyarakat tidak terlibat dalam pembuatan polisi, mereka hanya terlibat dalam memilih siapa yang akan membuat polisi. (3)
Penolakan kepada negara oleh anarkis adalah kerana negara memonopoli kekerasan, hanya negara yang boleh melakukan kekerasan dengan menangkap, menghukum, dan membunuh atas nama undang-undang. Negara juga menggunakan hukum untuk memelihara sistem ekonomi kapitalis serta borjuis yang mendapat manfaat darinya. (5) Negara menghasilkan kelas minoriti yang menindas, ini perlu dihancurkan menurut Bakunin oleh kelas majoriti yang ditindas. Untuk mencapai matlamat ini, kelas majoriti perlu disedarkan akan keadaan penindasan yang ada, kerana kelas penindas sentiasa sedar akan penindasan yang mereka lakukan dan sentiasa berusaha mengekalkannya. (6-7) Kesedaran ini perlu dilakukan kerana kemiskinan tidak semestinya menghasilkan revolusi atau perubahan, jika masyarakat tidak percaya ada alternatif lain untuk menyusun kekayaan dan ekonomi, mereka akan berubah kepada kepasrahan. (8) Bagi anarkis negara adalah mesin anti-sosial, alat kelas kapitalis dan elit, negara bagi anarkis adalah secara fitrahnya adalah sesuatu kekerasan. (11)
Pasti ada yang akan berhujah bahawa tidak semua negara menindas? Negara berbentuk demokrasi liberal sebagai contoh akan cuba menjaga kesejahteraan sosial. Bakunin berpendapat bahawa ini adalah satu bentuk penyamaran, ketika mereka merasa terancam, kita dapat lihat bagaimana negara demokrasi liberal memperlihatkan sifat ganasnya. (12) Disini mungkin saya bersetuju dengan Bakunin, bahawa demokrasi liberal tidak menjamin sesuatu nergara itu menjadi ganas. Hari ini kita dapat lihat bagaimana negara-negara demokrasi liberal menyerang dan mengebom negara-negara lain, bersekongkol dengan kolonial Zionis, menyokong tirani di negara lain, malah menggagalkan demokrasi di negara lain melalui jalan asasinasi juga kudeta. Bagi Bakunin negara demokrasi merupakan percanggahan istilah kerana negara pada hakikatnya adalah authoriti, paksaan dan dominasi. (17)
Bakunin pergi lebih jauh dalam mengkritik demokrasi liberal (yang dipanggilnya demokrasi borjuis) bukan sekadar polisi luarnya, tetapi sifat pilihanraya itu sendiri. Sistem pilihanraya, perwakilan berasaskan parti politik melahirkan segelintir populasi sahaja yang celik politik. Golongan minoriti ini mempunyai akses kepada kekayaan, pendidikan, dan masa lapang untuk digunakan untuk berpolitik, sementara golongan majoriti yang terpaksa bekerja kerana tidak punya kekayaan tidak punya masa lapang untuk berpartisipasi dalam politik. (14) Bakunin juga mengkritik demokrasi langsung, apa yang sering disebut sebagai referendum. (16) Hal ini kerana rakyat tidak punya upaya untuk mengetahui masalah yang kompleks dalam refendum. Referendum Brexit sebagai contoh mempunyai implikasi sosial dan ekonomi yang kompleks untuk ditentukan dalam referendum binari "yes or no". Ahli politik elit malah mengawal diskusi dan apa yang hendak direferendumkan yang akhirnya memberikan mereka legitimasi dalam membentuk demokrasi borjuis. (16)
Bakunin sangat konsisten dengan prinsip anti-negara beliau, beliau mengkritik konsep
dictatorship of proletariat Marx, bagi Marx diktator proletariat adalah negara transisi menuju komunisma tanpa negara, (19) namun bagi Bakunin tiada bezanya jika sosialis berkuasa dalam negara, mereka akan menempatkan diri mereka diatas masyarakat, dan pandangan mereka terhadap dunia akan berubah, seperti mana yang telah dibuktikan oleh sejarah, dimana sosialis yang duduk di parlimen dalam sejarah merupakan sejarah pengingkaran janji yang dibuat mereka. (14-15) Bakunin menjangkakan bahawa jika sosialis berkuasa mereka akan menjadi lebih ganas dan brutal dari kerajaan sedia ada. Chomsky bersetuju dengan pendapat Bakunin ini,
bagi Chomsky jangkaan Bakunin ini tepat dan dapat dilihat apabila Bolshevik naik takhta. Lenin dan Trotsky, kemudian disambung oleh Stalin menyaksikan satu pemerintahan yang brutal, yang memberikan satu nama yang buruk pada terma sosialis, kerana setelah itu sosialis sering dikaitkan dengan totalitarian.
Bagi Bakunin idea Marx hanya akan menggantikan penindasan kapitalis dengan penindasan sosialis. (17) Bakunin juga mengkritik pemikiran economic determinism dalam pemikiran Marx, yang beranggapan bahawa situasi dan nasib mereka ditentukan oleh keadaan ekonomi sahaja. (18) Pada pandangan saya persoalan ini merupakan sebahagian dari perdebatan antropologi, ada cendiakawan berpendapat manusia tidak punya sifat semulajadi, mereka hanya punya sejarah, manakala sebahagian lain berpendapat manusia punya sifat semulajadi. Bakunin mengambil posisi bahawa manusia punya daya kretif dalam menentukan nasib mereka. (18) Mungkin pembela-pembela sosialis Bolshevik mengatakan bahawa sistem yang mereka gunapakai adalah hasil keadaan semasa yang tidak ideal, namun Bakunin melihat metod mereka akan tetap memberikan hasil yang sama. (22)
Bagi Bakunin, hiraki yang dibentuk negara akan melahirkan pemimpin, tidak kira pemimpin itu dari parti buruh atau seorang sosialis, yang mempunyai sifat delusional bahawa mereka mempunyai superioriti. Ini juga dapat dilihat dalam kepimpinan kesatuan pekerja, oleh itu bagi Bakunin, setiap anggota harus sentiasa terlibat secara langsung. (23)
Dalam soal ekonomi, idea Bakunin punya persamaan dengan idea sosialis, yang menyatakan bahawa untung hasil dari pekerjaan kolektif perlulah dibahagikan secara kolektif, apa yang sering disebut oleh sosialis sebagai "socialization of production and profits". (7) Namun berbeza dengan sosialis, Bakunin menolak pemusatan kuasa, bagi beliau penyusunan ekonomi berpusat tidak dapat menyelesaikan keperluan manusia yang kompleks. (20)
Idea berkenaan dengan revolusi dalam pemikiran Bakunin pada saya agak membingungkan, dan punya kontradiksi, dalam satu sudut beliau percaya revolusi perlukan oraganisasi agar ia benar-benar membebaskan, (8) di sudut yang lain beliau mengharamkan mana-mana individu mengambil alih revolusi, anarkis bagi beliau perlu membantu revolusi bukan memimpin. Elit revolusi tiada tempat dalam pemikiran Bakunin, mereka perlu membantu revolusi bukan menggantikannya. (28) Ini menimbulkan tanda tanya, jika anarkis tidak memimpin bukankan golongan ideologi lain yang bakal mengambil kepimpinan? Seperti yang dilakukan Bolshevik? Juga adakah revolusi tidak terpimpin mampu berjaya? Bakunin juga sedar bahawa revolusi bermaksud pertumpahan darah dan kehancuran harta benda, bagaimana ini dapat dijustifikasikan dalam mencapai keadilan? (9)
Bakunin percaya aksi kolektif diperlukan untuk mencapai masyarakat anarki, dengan satu gerakan revolusioner tang terkoordinasi. Bagi Bakunin organisasi semasa revolusi bukan dibuat untuk kelangsungan organisasi, tetapi untuk membantu revolusi. Namun persoalannya, apa yang akan menghalang organisasi ini menjadi pemimpin revolusi dan naik ke kuasa? Dan jika mereka tidak memimpin bagaimana kolektif-kolektif dapat tahu arahan mana yang harus diikuti semasa revolusi? (27)
Apakah yang ditawarkan Bakunin untuk menggantikan negara?
Beliau menawarkan konsep federalisme. Iaitu gabungan kelompok-kelompok atau kolektif masyarakat kemudian membentuk federasi. (21) Kolektif ini diberi kebebasan untuk bergabung atau keluar dari federasi sesuai dengan keperluannya.
Baik, sekarang saya ingin bentangkan inti kritikan saya, serta masalah-masalah yang saya kira tidak dapat dijawab dalam pemikiran anarkis Bakunin (sekurang-kurangnya tidak dijawab dalam makalah ini).
Selain negara, Bakunin juga menganjuran penghapusan gereja, mahkamah, dan bank. (31) Adakah ini selari dengan prinsip kebebasan? Bagaimana dengan kebebasan beragama? Penghapusan mahkamah saya kira antara pemikiran Bakunin yang paling bermasalah. Bakunin menganjurkan bahawa setiap masyarakat mempunyai konsensus dalam pemilihan undang-undang masing-masing, ini akan menghasilkan pelbagai percanggahan. (32) Penjahat menurut Bakunin boleh keluar dari satu masyarakat untuk melarikan diri dari hukuman dan tidak menerima keuntungan dari masyarakat tersebut. (33) Hal ini saya kira sangat problematik, kerana ramai penjenayah akan terlepas dari hukuman hanya dengan keluar dari masyarakat yang didiami. Bagaimana pula jika satu masyarakat menzalimi masyarakat lain, siapakah yang akan menjadi arbiter untuk menyelesaikan pertelingkahan mereka dengan ketiadaan mahkamah dan undang-undang yang berbeza? Hal ini membingungkan.
Bakunin juga berpendapat tidak boleh diadakan tentera tetap, tetapi gerakan pertahanan berbentuk militer dibentuk pada peringkat lokal. (32) Baik, ini mungkin merupakan solusi yang kedengaran ideal, tetapi tidak praktikal. Saya berpendapat ini merupakan kelemahan anarkis dari sudut survival, sosialis walaupun sering dikatakan utopia pernah membentuk negara dan dapat dilihat dari sudut praktik. Yuval Noah Harari dalam bukunya ada mengisahkan tentang bagaimana manusia berubah dari masyarakat memburu kepada masyarakat agrarian, ia adalah perkara survival, kerana masyarakat agrarian dapat mengumpul surplus dan lebih berdaya tahan berbanding masyarakat berburu. Hal ini juga kita dapat lihat dalam situasi ini, masyarakat anarkis akan sentiasa kalah dengan masyarakat negara kerana dalam negara mereka mampu mengumpulkan surplus, membina persenjataan yang kompleks dan besar, oleh itu masyarakat anarkis versi Bakunin akan sentiasa tewas dalam pergelutan survival. Begitu juga dari sudut ekonomi, sistem kolektif yang terpisah-pisah tidak akan dapat mengalahkan sistem kapitalis yang berintegrasi.
Anarkis dan masa depan.
Saya berfikiran bahawa anarkis masih relevan, namun bukan dalam bentuk yang digambarkan Bakunin, falsafah-falsafah kebebasan menurut Bakunin untuk melawan keganasan negara bagi saya merupakan idea yang bernas. Cuma solusinya tidak praktikal. Bagi saya anarkis akan sentiasa wujud dalam mana-mana negara, mereka mungkin tidak kelihatan kerana memang sifatnya yang tidak pro-hiraki. Dan anarkis bagi saya mempunyai fungsi dalam negara, sebagai agitator apabila timbul ketidak-adilan, sebagai agen perubahan, juga sebagai suara-suara yang akan melawan hegemoni negara. Saya lebih dekat dengan pandangan Chomsky yang mendefinisikan anarkis sebagai pemansuhan mana-mana institusi yang tidak dapat mewajarkan kewujudannya, juga aksi Zinn untuk tidak patuh pada negara ketika mereka melakukan keganasan dan kekejaman.
Maka jika didepan kita adalah kezaliman, kita semua perlu menjadi anarkis.