Baru-baru ini saya ada menulis perihal kritik saya terhadap pemikiran Bakunin, seorang teman, yang merupakan komrad anarkis menghantar mesej kepada saya, kata beliau, hatinya sedikit kecewa kerana kritik saya itu tidak cukup panjang. Walaupun beliau seorang anarkis, beliau punya persoalan yang sama dengan saya perihal pemikiran anarkis Bakunin, beliau juga ada menulis manuskrip namun tidak disiapkan, dan beliau berharap saya dapat mengembangkan kritik saya menjadi sebuah buku. Idea beliau itu bagi saya sangat menarik, kerana banyak perkara dalam pemikiran Bakunin boleh dibahaskan, diteliti, dan yang problematik boleh diperhalusi dan dikritik.
Namun, walaupun saya merasakan ia satu idea dan projek yang menarik untuk dilakukan, saya merasakan saya tidak mampu melakukannya, kerana saya sendiri terikat dengan pelbagai projek penulisan. Sebahagiannya aktif diusahakan, manakala banyak darinya tergendala.
Saya memberitahu beliau bahawa saya mengkritik Bakunin bukan sebagai seorang ideolog, saya tidak punya apa-apa tujuan untuk merendahkan anarkisme kemudian mengetengahkan ideologi saya. Tidak. Tetapi saya menulis kritik-kritik itu sebagai seorang pengembara, saya sedang berjalan, berjalan dalam kehidupan. Satu hari saya berehat sebentar dibawah pokok, ketika itu saya terjumpa naskah pemikiran Bakunin, saya pun baca dan coretkan sedikit pandangan saya. Kemudian saya letakkan semula makalah itu ditempatnya, lalu saya menyambung semula perjalanan saya.
Saya jarang membaca buku-buku yang telah saya terbitkan, kerana saya telah mengulang baca berkali-kali semasa menyuntingnya sebelum penerbitan. Tapi kadang kala saya selak-selak juga melangkau-langkau, kadang saya tertanya juga "apalah yang aku tulis dahulu?". Dan bila saya baca, ya, saya menulis dahulu sebagai seorang yang idealis, sebagai seorang ideolog. Saya bukan hendak mengatakan tidak boleh berideologi, tapi saya perpendapat sekarang (qaul jadid) bahawa menulis sebagai pengembara lebih menenangkan, lebih objektif, lebih terang pemikiran dalam menulis, dan yang lebih penting, saya kira ia jalan yang lebih adil dalam membahas sesuatu idea.
Ketika mengkritik Bakunin itu, pada mulanya saya terbitkan mukaddimahnya sahaja di Facebook, kerana pada ketika itu saya sedang bekerja, dan menyelit sebentar menulis waktu rehat makan tengahari. Bak kata Shakespeare, manusia itu mempunyai banyak topeng. Begitu jugalah saya, ada ketika saya memakai topeng suami, topeng sebagai ayah, topeng sebagai anak, topeng sebagai seorang pekerja, juga topeng sebagai seorang penulis di waktu senggang. Oleh kerana banyak topeng, saya punya masa yang terhad untuk setiap topeng.
Ada netizen yang meninggalkan komen "Bersambung pulak dah? Kau ingat kau superstar nak orang tunggu-tunggu kau? Habiskan je lah bro!". Saya tidaklah terasa atau mengambil hati, mungkin sebab sudah tua, masa zaman darah panas muda-muda dahulu mungkin saya akan bergaduh terus. Cuma komen itu buat saya terfikir soal menulis.
Bagi saya menulis bukanlah proses yang boleh dibuat secara tergesa-gesa, terutamanya jika mahu mengkritik pemikiran orang lain. Kita kena baca dahulu pemikiran mereka, duduk termenung cuba untuk faham, kemudian berfikir bagaimana untuk mempersembahkan hujah-hujah yang rasional. Jika ini tidak dilakukan, kritikan akan tersasar, malah kita sendiri akan kelihatan lebih bodoh dari orang yang kita ingin kritik. Jadi itu juga merupakan salah satu faktor penulisan saya sedikit perlahan dan bertahap. Pembaca mungkin tidak dapat menghargai perkara ini, kerana mereka hanya membaca, tidak terlibat dalam proses pembacaan sumber primer, proses berfikir, dan proses untuk mensintesiskan hujah-hujah.
Saya merasakan dalam perjalanan kehidupan ini, meniti jambatan masa menuju alam seberang sana, semakin banyak saya membaca dan menulis, semakin saya merasakan banyak perkara yang saya belum tahu, hikmah yang belum tersingkap di fikiran. Oleh itu saya semakin lama semakin kurang ideolog, saya mahu menjadi pelajar dan pemerhati, dalam masa yang sama menjadi perekod sejarah, menulis apa yang saya temui sepanjang perjalanan singkat ini.
1 ulasan:
Kalau tak boleh fokus nak publish buku, hantar je setiap artikel kat Zine Dari Johor. Mudah. Hehe
Catat Ulasan