Memaparkan catatan dengan label Kehidupan Harian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kehidupan Harian. Papar semua catatan

Khamis, 10 Oktober 2024

Kunjungan Ke Areca Books

 

Pada 03 September 2024, saya sempat berkunjung ke Areca Books walau pun kunjungan yang singkat. Satu kedai buku yang sangat menarik kerana buku-bukunya curated, maka pilihannya lebih berfokus terutamanya kepada buku-buku sejarah tempatan. Banyak buku-buku rare yang jarang boleh dijumpai di kedai-kedai buku ortodoks lain. Selain buku-buku unik, penjualnya juga merupakan pembaca yang menjadikan kedai ini lebih menarik. Bukan sahaja boleh dapatkan suggestion, tetapi boleh bergosip dan bersembang perihal kandungan buku-buku yang ada. Terima kasih Fahmi Mustaffa yang gigih melayan dan mencadangkan bahan bacaan yang rare dan menarik.

Getusan Hari Kelahiran Pada 01 Oktober 2024

Gambar bersama ibu dan kakak circa 1992.

Terima kasih ibu yang melahirkan saya hari ini 34 tahun yang lalu. Terima kasih arwah ayah yang membesarkan saya, adik beradik dan ahli keluarga yang banyak mewarnai latar awal kehidupan. Terima kasih guru-guru yang mengajar saya sepanjang hidup. Terima kasih teman-teman yang sudi bersahabat menjadikan hidup kurang sunyi. Terima kasih isteri yang sudi berkongsi hidup, anak-anak yang menghiasi perkahwinan. Terima kasih Allah, tuhan sekalian alam atas segala nikmat kehidupan yang sebentar.

Harap, kehadiran sekejap saya di dunia memberi sedikit kebaikan, sebelum esok saya pergi meninggalkannya.

Sabtu, 2 April 2022

Kembali Ke Zaman 60 Kilogram


Sebenarnya sudah lama saya berazam untuk mengurangkan berat badan. Tapi seperti biasa, saya tak ada perancangan atau keiltizaman. Sekadar azam tahun baharu yang tak tertunai seperti orang lain. Hinggalah saya melihat sebuah gambar saya sendiri pada satu hari, ketika membeli kopi, pada ketika itu berat badan saya sudah mencecah 78 kilogram. Doktor katakan pada saya ketika itu saya kini pre-obes.

Bertitik tolak dari situ saya mulakan langkah dengan konsisten. Pada mulanya saya tak ada langkah yang spesifik, hanya skip lunch, tak minum air manis dan kurangkan makan nasi dalam diet harian. Selepas 3 bulan saya berjaya turun dalam 6 kilogram. Selepas itu berat saya statik dan tidak turun. Saya mula buat pembacaan, kajian, dan mendengar pandangan pakar dan saintis untuk mengetahui cara yang lebih berkesan dalam menentukan diet dan menguruskan berat badan.

Antara pakar yang saya dengar adalah Giles Yeo yang merupakan seorang ahli genetik yang mengkaji tentang genetik obesiti, permakanan dan diet. Beliau menerangkan perbezaan antara tenaga yang dihasilkan dari makanan berasaskan protein, fiber dan karbohidrat. Menurut beliau, semua jenis ini mempunyai tenaga. Cuma tenaga yang dihasilkan dari karbohidrat, jika diambil berlebihan akan ditukarkan kepada lemak. Sedangkan tenaga dari protein tidak dapat disimpan, jika lebih ia akan dibuang oleh badan. Selepas itu saya tailor permakanan saya. Saya hampir langsung tidak makan karbohidrat (nasi) - saya namakan diet saya ini protein diet. Saya hanya makan protein, buah dan sayur. Melalui cara ini saya berjaya turun 2 kilogram. Namun selepas itu berat saya kembali statik dan tidak turun.

Saya kembali mengkaji. Antara yang saya jumpa juga dalam perjalanan saya kembali ke zaman 60 kilogram adalah peranan bersukan. Conventional wisdom kita mengatakan sukan hanya sumbang 30% dari penurunan berat, 70% adalah pemakanan. Ini disanggah oleh Ruben Meerman. Beliau bertanya sebuah soalan yang sangat signifikan, berat yang kita hilang itu bertukar menjadi apa? Jawapan beliau adalah kebanyakannya menjadi karbon dioksida. Sementara 20% bertukar menjadi air yang disingkirkan dari badan melalui peluh, air kencing, dan air mata. Ya, karbon dioksida mempunyai jisim dan sangat signifikan dalam penurunan berat badan, oleh itu sukan yang menyebabkan kita bernafas dengan lebih laju akan menyebabkan kita turun berat badan dengan lebih cepat.

Saya juga kemudian bertemu dengan intermittent fasting (IF). IF adalah teknik menurutkan berat badan dengan membiarkan badan kita berlapar lebih dari 18 jam. Kita hanya dibenarkan makan dalam window 6 jam, kemudian berpuasa dalam tempoh 18 jam. Namun dalam tempoh berpuasa, kita dibenarkan minum air kosong dan juga kopi dan teh tanpa gula. IF ini menggalakkan badan kita melakukan proses ketosis, dimana insulin sedia ada dalam badan kita habis digunakan, oleh itu badan kita mula mencairkan lemak-lemak yang ada bagi keperluan tenaga harian badan kita. Untuk sampai kepada ketosis, kita perlu berpuasa sekurang-kurangnya lebih dari 16 jam.

Jadi saya couple IF dengan senaman harian dan diet yang melebihkan protein dan fiber. Dengan cara ini berat badan dapat turun dengan lebih laju, kira-kira 1 kilogram seminggu. Melalui cara ini, saya turun lagi 2 kilogram, sekarang saya sudah mencapai 68 kilogram, dengan penurunan total sebanyak 10 kilogram. Namun melalui kiraan BMI, berat saya ini belum lagi dikira sebagai berat yang sihat dan masih dikira sebagai overweight. Berat badan sihat saya adalah sekitar 43 kilogram hingga 58 kilogram berdasarkan ketinggian. Jadi saya masih mempunyai baki 10 kilogram untuk sampai ke berat yang sihat. Target saya adalah 55 kilogram. Berjaya menurunkan 10 kilogram adalah pencapaian milestone pertama saya. Milestone kedua adalah menurunkan lagi 10 kilogram. Milestone terakhir adalah 3 kilogram.

Milestone 1: Turun 10 kilogram (dari 78 kepada 68) - berjaya
Milestone 2: Turun 10 kilogram (dari 68 kepada 58) - dalam proses
Milestone 3: Turun 3 kilogram (dari 58 kepada 55) - akan datang

Banyak lagi sebenarnya perkara-perkara yang saya lakukan, antaranya berhenti makan ultra-processed food dan menyediakan makanan sendiri. Ultra-processed food adalah makanan yang telah diproses secara industri, ia tidak boleh dihasilkan di dapur di rumah, dan ia telah berubah dengan drastik dari bentuk asalnya. Ia juga telah ditambah dengan perasa, perisa, pewarna, bahan awet dan pelbagai bahan lagi untuk meningkatkan tekstur dan kesedapan makanan. Jadi makanan seperti ini sangat berbeza dari segi isinya dari makanan asal (whole food). Sebagai contoh, potato chips dalam balang adalah untra-processed food, ia tidak sama dengan kentang yang kita beli dikedai. Lebih baik beli kentang dari makan potato chips atau french fries. Mengapa? Walaupun mempunyai jumlah kalori yang sama, badan kita lebih mudah menyerap kalori dari ultra-processed food kerana ia telah dipermudahkan dari segi isi dan bentuknya, oleh itu kita akan gemuk dengan lebih laju. Berbanding kalori yang sama dalam whole food, dimana badan kita perlu bekerja untuk mencerna bagi mendapatkan kalori untuk dijadikan tenaga, jadi penyerapannya lebih lama dan sedikit.

Kerja dari rumah juga banyak membantu saya mengubah cara hidup. Tanpa perlu ke tempat kerja dan menghabiskan 4 jam diatas jalan raya, masa ini boleh digunakan untuk bersenam dan menyediakan makanan yang sihat. Ia juga membantu saya untuk konsisten dengan cara permakanan sihat kerana ketiadaan kawan-kawan yang sering ajak saya makan di luar. Jika kita makan di luar, kita tidak dapat mengawal bentuk makanan, juga jumlah lemak, minyak, dan gula yang ada dalam makanan. Ia bergantung kepada tukang masak restoran. Jadi makan masakan sendiri di rumah lebih membantu kita mengawal berat badan.

Semua ini dan banyak lagi saya kongsikan bersama dalam episod Kultura Podcast Ke-31. Jika anda ingin mengikuti pengalaman saya turun 10 kilogram, dan mengetahui dengan lebih lanjut apa yang anda perlu lakukan untuk menurunkan berat badan, bolehlah bersama mendengar episod podcast tersebut..

Selasa, 1 Mac 2022

Bukan Sebab Sedap, Tapi Memori

Balik dari Reunion Gen-13 MATRI di Teluk Senangin saya sempat ber-DOLI di Taiping, Perak. Dahulu, arwah ayah selalu bercerita perihal sejarah bagaimana Doli mula dengan kedai kecil hinggalah mereka berkembang dan ada kedai besar sendiri. Bila saya bagi tahu teman-teman akan hasrat saya ini, bahawa pada perjalanan balik saya nak singgah Doli, ada yang berkata bahawa ramai orang di hujung minggu. Ada juga yang menyatakan bahawa rasa Doli dah tak sama, tak sedap macam dulu. Pada masa saya sampai, memang perlu beratur sekejap, biasalah kedai lama yang sudah established pasti banyak customer di hujung minggu. Selesai makan, alhamdulillah, saya rasa masih sedap. Saya minat sambal kicapnya yang masin-masin sedikit. Saya terfikir, kadang, orang pergi ke kedai lama bukan sebab makanannya yang sedap sangat. Tapi sebab memori.

Jumaat, 9 Julai 2021

Memetik Sebiji Puisi di Taman Rumi


Ada satu puisi yang ditulis oleh Rumi yang menurut saya sangat kuat pengaruhnya pada diri saya. Puisi ini diletakkan pada bahagian awal dalam naskah The Essential Rumi (di mukasurat ketiga pada naskah saya), naskah yang menterjemahkan puisi-puisi Rumi dengan nuansa lirikal ke dalam Bahasa Inggeris. Terjemahan ini dilakukan oleh Coleman Barks. Walaupun ada yang mengkritik Barks atas terjemahan dan tafsirannya pada karya-karya Rumi, saya kira beliau mempunyai sumbangan yang signifikan dalam membuka pintu pembaca yang tidak mempunyai ilmu Bahasa Farsi untuk masuk bertandang di taman pemikiran karyawan agung Rumi ini. Minum dari puisi-puisinya yang manis dan mengkhayalkan, pada masa yang sama mengambil pulang beberapa putik pengajaran.

Saya pernah membaca puisi tersebut kepada kekasih saya. Pada ketika itu beliau sedang mencurahkan perasaan pada saya perihal masalah-masalah hidupnya. Saya ingin memberikannya kekuatan dan semangat dari rangkap tersebut. Apabila dia mendengar sahaja bait-bait puisi tersebut, dia lantas menangis. Bait tersebut berbunyi:

“Tutuplah kedua matamu wahai kekasihku,
Agar kau bisa melihat dengan mata hatimu,
Mengapa kau masih memilih dipenjara duka?
Sedangkan pintu bahagia sudah luas dibuka”

Bait ini saya terjemahkan secara lirikal juga, tidak literal. Terjemahan saya atas terjemahan Coleman Barks yang menterjemahkan Rumi. Terjemahan atas terjemahan. Namun saya kira maknanya tetap disitu. Kita sering melihat hidup dalam kaca mata material. Kita yakin dengan apa yang kita nampak, apa yang dapat dipandang, dipegang, dan dirasai. Namun hidup ini lebih misteri dari sekadar objek fizikal. Hidup kita dicorak dengan emosi dan perasaan, sesuatu yang tidak dapat dibuktikan secara emperikal. Oleh itu kadang kala ketika membuat keputusan, kita perlu menutup mata dan percaya pada perasaan. Biar sungai takdir yang membawa kita ke muara yang baharu, muara yang kita sendiri tidak pernah tahu akan kewujudannya.

Kita sering memenjara diri sendiri, mengalah dengan keadaan. Kita bukan tumbuhan, kita punya kaki untuk melangkah kepada perubahan. Tiada yang menghalang melainkan perasaan dan minda kita sendiri. Apabila minda kita bebas, kita tidak takut lagi melangkah keluar dari keadaan. Pergi jauh meninggalkan keburukan lalu kepada masa depan yang lebih baik. Kunci pintu penjara ada di tangan kita. Jangan takut, tutuplah mata dan melangkahlah keluar. Ya, bait-bait puisi Rumi ini membawa falsafah kebebasan.

Saya juga merasakan dengan kuat sekali, bahawa kadangkala keinginan untuk bebas itu memakan jiwa saya dengan begitu marak sekali. Sejak kecil kita diajar untuk tunduk dan taat, unjuk menjiwai jiwa hamba, untuk menurut apa yang ditentukan pada kita. Tetapi apabila dewasa, agensi kreatif dalam diri kita, keinginan untuk bebas yang ditanam Tuhan dalam jiwa kita sebagai sebahagian sifat manusia, mereka memberontak. Mereka mahu bebas mengembara, menjumpai, mencari, mencuba, mengekspresi, mereka mahu jiwa mereka terbang.

Maka ketika kita merasakan dunia ini terlalu mencengkam. Seperti takdirnya sudah ditetapkan. Beranikanlah diri untuk berpegang kepada bisikan kebebasan, untuk berangkat dari takdir yang membosankan kepada takdir baharu yang lebih menghidupkan. Tiada siapa yang dapat memenjarakan kita jika kita memilih untuk memegang kuncinya.  

Isnin, 10 Mei 2021

Buku John L. Esposito ditahan Kementerian Dalam Negeri Malaysia

 

Berdebar-debar, jantung berdegup kencang apabila mendapat surat pada 5 Mei 2021 dari Kementerian Dalam Negeri. Ada cop bahagian penguatkuasaan dan kawalan pada surat tersebut, membuatkan kegelisahan bertambah tambah.

Dalam hati "Ah sudah, buku diharamkan ke apa pulak ni".

Pada mulanya saya hendak keluar pada tengahari itu, saya batalkan sebentar hasrat itu dan duduk sekejap, ambil pisau dan buka surat. Rupa-rupanya buku yang saya pesan dari Amerika Syarikat telah ditahan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Saya memang selalu membeli buku second hand dari Bookfinder.com, sebab murah, walaupun jika campur postage harganya akan menjadi mahal sedikit tetapi tetap masih berbaloi jika dibandingkan dengan harga tempatan.

Sebelum ini tidak pernah lagi buku yang saya pesan ditahan, paling kuat pun KDN buka bungkusan dan lekat sticker untuk maklumkan bungkusan pernah dibuka KDN. 

Saya beli buku John L. Esposito bertajuk Who speaks for Islam? What A Billion Muslims Really Think. Sudah lama saya ingin membaca buku ini, sejak zaman universiti, tapi dahulu saya tidak mampu beli. Buku ini ada di Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) Universiti Teknologi Malaysia di Johor. Buku ini saya kira akademik, jadi saya tak pasti kenapa ditahan. Mungkin Esposito ada kontroversi dengan kerajaan Malaysia yang saya tak aware? Saya tak pasti. Saya cuba menalifon pegawai yang bertanggungjawab yang nombornya disertakan di dalam surat namun tidak dapat dihubungi, saya cuba dua kali, pekerja adminstrasi memaklumkan bahawa beliau ada task force di luar. Saya ambil keputusan untuk cuba lagi esok hari.

Menurut sahabat saya Akif, beliau ada membeli naskah yang sama di pesta buku Big Bad Wolf. Manakala menurut Asyraf sepatutnya buku John Louis Esposito tiada masalah. Kerana beliau pernah mendapat red carpet untuk memberi ucapan di Akademi Pengajian Islam UM beberapa tahun lepas, majlis yang turut dihadiri baginda sultan, Tuanku Dr Nazrin Shah yang turun ke UM untuk mendengar ucapan beliau.

Keesokan harinya, pagi-pagi pukul 8 saya sudah call KDN. Saya mengira bahawa pegawai punch card pada waktu pagi, kerja pertama adalah untuk menjawab call saya.

Saya: Assalamualaikum saya nak bercakap dengan Encik N.

Admin : Waalaikumussalam, Encik N tak masuk lagi la, boleh ke encik call lagi sekali.

Saya: Nak call pukul berapa tu, semalam saya dah call 2 kali.

Admin: Kejap saya check jadual dia, dia patut ada hari ni tapi belum masuk, dia selalu ada task force kena keluar.

Saya: Pukul berapa dia masuk?

Admin: Encik cuba dalam pukul 9 lebih. Tapi saya tak janji la, sebab sekarang kerja tak menentu, nanti dia takda encik marah saya pulak.

Saya: Saya bukan nak marah, saya nak tanya dia, sebab dalam surat KDN suruh saya hubungi dia, semalam saya dah call dua kali, tapi asyik suruh call balik. Ok, pukul 9 nanti saya call lagi.

(Rekod perbualan ini bukan rekod verbatim)

Kelakar juga saya kira jawapan pihak admin KDN, saya bukan nak marah, saya hanya nak buku yang saya beli pakai duit saya sendiri sahaja. Pelik juga, pihak KDN yang menahan buku saya, bagi surat, suruh hubungi pegawai, tapi pegawainya tak dapat dihubungi. Saya ada minta serah kes pada pegawai lain yang ada di pejabat, itu pun tidak dapat dilakukan. Saya ada check senarai buku yang diharamkan KDN, buku yang saya beli tiada dalam senarai di website KDN, namun ada buku Esposito lain yang diharamkan, buku yang bertajuk What everyone needs to know about Islam

Pada pukul 9 saya menalifon KDN buat kali yang ke-4, kali ini talian saya berjaya disambungkan dengan Encik N, pegawai yang penguruskan kes saya.

Saya: Assalamualaikum tuan.

N: Waalaikumussalam. Siapa ni ya?

Saya: Saya Syed Ahmad Fathi, tuan ada hantar surat pada saya bertarikh 27 April 2021.

N: Oh okay baik.

Saya: Jadi buku ni macam mana encik?

N: Buku ini kami tahan untuk kajian, saya pun tak baca lagi buku ni, orang di unit kajian pun tak ada hari ini, nanti saya hantar pada depa untuk kaji dan maklum pada encik dalam masa 45 hari.

Saya: Tapi buku ni dah ada di Malaysia, di pesta buku pun banyak jual. (Buku ini diterbitkan pada tahun 2007, 14 tahun yang lalu)

N: Mungkin penguatkuasa tak jumpa lagi, jadi baru ditahan.

Saya: Jadi kalau buku saya tak lepas saya kena beli baru di pesta buku atau kedai buku?

N: Itu terpulang pada encik la nak beli kat mana.

Saya: Tapi saya pelik lah buku ni memang dah lama ada di Malaysia, di perpustakaan universiti saya dulu pun buku ni ada, kenapa ditahan?

N: Itu saya tak tahu la, tapi dalam rekod kami belum ada, jadi kita akan kaji dulu, setiap buku yang masuk kita akan periksa, supaya bertepatan dengan moral dan tak menganggu ketenteraman awam. Setiap buku yang masuk dari luar negara perlukan kelulusan.

Saya: Kenapa buku ini perlu ditahan, saya masih keliru, sebab bagi saya ia adalah kajian akademik?

N: Sebab ada perkataan “Islam” pada tajuk buku, jadi kami kena kaji dulu.

Saya: Okay takpelah, jadi macam mana saya nak tahu buku ini akan diluluskan atau dirampas? Selepas 45 hari adakah saya akan dapat surat baru, atau saya kena call semula.

N: Kami akan maklumkan melalui surat, saya yang buat surat tu, encik tak perlu call, nanti saya akan hantar surat keputusan KDN selepas 45 hari.

(Rekod perbualan ini bukan rekod verbatim)

Akhirnya saya terpaksa pasrah, sebagai rakyat marhaen, tiada apa lagi yang saya boleh lakukan, saya kena tunggu 45 hari, sementara tu terpaksa sambung balik mendengar syarahan-syarahan Esposito di YouTube, nasib baik video di YouTube tak perlu kelulusan KDN.

Update 22 Ogos 2022.

Kelakar betul Kementerian Dalam Negeri (KDN)  punya cara kerja. Orang beli buku dia rampas. Surat kata nak siasat 45 hari. Tapi lepas 4 bulan baru bagi surat kata buku lulus bersih. Talifon pegawai dalam surat, pegawai keluar operasi. Lepas buku lulus kena pulak datang KDN Alor Setar sendiri nak ambil. Patut dah rampas di pejabat pos, pos la balik pada pembeli. Apa pembeli pulak kena travel ke pejabat KDN menyusahkan orang semata-mata nak ambil buku. Bayangkan kalau beli 10 buku, 10 buku kena rampas, 10 kali nak pergi Alor Setar nak ambil buku? Apa KDN ingat semua orang duduk Alor Setar ke?a


Ahad, 2 Mei 2021

Kerajaan Tidak Popular Yang Menghalang Rakyat Balik Raya


Pada 28 April 1996, seorang lelaki melepaskan tembakan rambang ke atas pelancong di Tasmania, Australia menggunakan senapang semi-automatik. 35 orang maut dan 19 orang cerdera dalam kejadian yang dikenali sebagai Port Arthur Massacre. Kejadian ini merupakan kejadian berdarah pembunuhan beramai-ramai yang tragis dalam sejarah Australia.

Selepas tragedi ini, Australia memperkenalkan gun control law, mengharamkan  automatik, semi-automatik dan self-loading rifles dan shotguns untuk kegunaan awam. Perdana Menteri Australia ketika itu adalah John Howard, walaupun polisi ini tidak popular, ia ditentang oleh rakan-rakan dalam koalasi politiknya sendiri, beliau juga ditentang beberapa kerajaan negeri, namun beliau tetap tegas melaksanakan polisi ini. Akibatnya, pada pilihanraya 1998, kerajaannya kehilangan 12 kerusi kepada parti lawan, parti pro-gun One Nation.

Sejak dari itu, tiada lagi mass shooting dilaporkan di Australia. Keadaan ini berbeza dengan Amerika Syarikat yang sehingga hari ini masih melaporkan kejadian mass-shooting di sekolah. Elit politik Amerika masih belum berjaya keluar dari cengkaman lobi dari National Rifle Association (NRA) yang menunggang Second Amendment Rights untuk memastikan industri senjata kekal terpelihara. Melawan NRA akan menjadikan ahli politik tidak popular dan terkuburnya kerjaya politik mereka.

Dari hal ini, kita memahami bahawa ada kalanya kerajaan perlu untuk mengambil langkah tidak popular untuk keselamatan dan kesejahteraan jangka panjang. Melihat situasi Covid-19 yang sudah tidak dapat dikawal kerajaan di India hari ini, membuatkan saya merasakan tidak dapat balik raya merupakan pengorbanan yang kecil jika dibandingkan dengan bencana yang bakal menyusul. Keadaan di India sekarang sudah tidak terkawal hasil mutasi variant Covid-19 terbaru. Perkhidmatan kesihatan awam mereka telah lumpuh, pesakit tidak mampu lagi dirawat dan terpaksa mencari sendiri tanki-tangki oksigen bagi kes-kes serious. Malah crematorium mereka kini membakar mayat tanpa henti.

Ya, kita boleh salahkan kerajaan hari ini kerana tidak dapat membendung penularan wabak Covid-19 selepas kejayaan kecil yang kita kecapi semasa PKP 1.0. Banyak tindakan kerajaan yang tidak cekap menyumbang kepada gelombang baharu Covid-19 hari ini, bermula dengan PRN Sabah, polisi PKP separuh masak, teladan yang tidak baik dari pimpinan perihal pematuhan SOP, semuanya menyumbang kepada faktor kegagalan polisi kerajaan. Namun saya kira, keadaan hari ini memaksa kita untuk melakukan pengorbanan, tidak guna lagi untuk kita bertelingkah mengapa keadaan ini berlaku, kerana ia sudah berlaku dan sedang berlaku. Yang kita perlukan adalah solusi untuk menyelesaikannya. Kita berdepan dengan kemungkinan PKP 3.0.

Namun ini tidak bermakna kita tidak boleh mengkritik jika implementasinya nanti berbentuk hipokrit, selektif, dan tiada nilai kasih sayang. Semua polisi yang berat sebelah wajib dikritik, setiap ketidak adilan perlu dibela.  Dalam masa yang sama juga kita harus menimbang antara kebebasan dan keselamatan. Terlebih bebas sehingga situasi tidak lagi selamat pun salah, terlebih ketat sehingga keselamatan tidak dapat memberi erti juga salah. Maka oleh itu kita harus meniti diatas tali dengan berhati-hati.

Isnin, 15 Februari 2021

Kehidupan yang berlalu seperti angin


Di mana aku harus bermula? Aku pun tidak tahu.

Sejak 8.30 pagi aku sudah beratur di pejabat pos. Manusia beratur, panjang, lebih dari dua blok bangunan jarak manusia berbaris. Ada urusan, atau ingin menghantar barang. Sebenarnya aku sudah habis berbaris, dapat nombor, dan mengisi borang. Namun ketika sudah separuh borang aku isi, tiba-tiba proses biologi mendesak aku keluar. Ah biologi, sesuatu yang kita tidak boleh kawal, kenapa perlu sekarang? Aku keluar, ke masjid berdekatan, masuk ke bilik kecil yang disediakan untuk manusia menyelesaikan proses biologi mereka bersendirian. Masih ada dua parcel yang tidak sempat aku isi. Aku perlu beratur semula, dari awal. Ah menyiksakan.

Jam kini hampir jam 11 pagi, nampaknya separuh hari aku akan hilang beratur hari ini. Sedangkan aku mahu pulang, dan menulis satu artikel panjang. Perihal penulisan. Ya, menulis perihal penulisan. Mungkin aku patut jadikan itu sebagai tajuk buku aku seterusnya, selepas berfikir tentang pemikiran.

Aku cuba menghabiskan masa berbaris dengan melihat filem yang ada di Netflix, namun satu pun tidak menarik hati. Kebanyakannya aku lihat separuh sebelum hilang minat. Sejak kebelakangan ini aku memang mudah hilang minat, dalam semua perkara. Seolah-olah dunia ini tawar, dan tidak mampu menawarkan apa-apa lagi pada jiwaku. Atau mungkin jiwaku yang sudah mati dibunuh kehidupan sehingga tidak mampu merasakan apa-apa. Aku menyesal tidak membawa buku 'Kembara Darus Senawi 1963', buku yang aku mula membaca semalam. Buku yang berjaya menghidupkan sedikit perasaanku yang sudah tawar ini.

Entah, hidup ini memang pelik, kadang kita rasa asing, kadang aku merasa alangkah baiknya jika aku tidak pernah tercipta, tidak perlu mengharungi ketawaran ini. Namun kadang aku merasakan hidup ini satu anugerah, merasai kehangatan sinaran udara pagi. Begitulah kehidupan, yang menggaulkan semua rasa dalam jiwa kita.

Atau mungkin aku sudah tua dan merasakan aku sudah melihat dunia, usia umpama angin, kita merasai bayunya sebentar sebelum ia hilang.

Atau mungkin perasaan ini hinggap disebabkan situasi dunia. Suasana yang mengurung, menafikan kita secawan ketawa bersama teman di rumah makan. Menafikan kita untuk naik ke puncak hijau melihat awan berarak di bawah. Manusia memang fitrahnya pengembara, jika dahulu mereka merentas sahara, menggali tanah, membelah samudera, meroket angkasa, kini mereka disuruh duduk bekerja di rumah, membuatkan mereka separa gila.

Namun sebanyak mana pun perenggan yang aku tulis, akhirnya ia kembali kepada satu perkataan, yang aku sebutkan tadi, "entah", aku tak punya jawapan untuk perasaan ini, atau mungkin tidak-berperasaan ini. 

Rumi ada menulis dalam puisinya bahawa manusia mencari dirinya pada benda yang tidak ada. Tukang kayu akan pergi kepada rumah yang tiada pintu, supaya dia boleh bertukang, kata Rumi. Tapi disaat ini ketidak-adaan membuatkan aku merasakan diri aku hilang, tidak aku jumpa. Malah aku ingin menjadi "tidak ada". Walau aku sendiri tak pasti apa yang menanti disana. Namun jika disana tiada perasaan ini, mungkin aku boleh membayar harganya. Aku juga sering mengatakan bahawa menulis adalah terapi diri, namun hari ini ia memakan diri, aku silap, tidak untuk hari ini, hari ini menulis tidak dapat memberi warna pada perasaan tawar ini.

Mungkin aku juga makhluk sosial, yang akan layu dan mati perlahan-lahan tanpa adanya teman. Ada perkara yang tak mampu diberi oleh keluarga, yang ada pada mereka yang kita gelarkan sebagai teman, kawan, sahabat, komrad, atau seorang asing yang meneman kita bicara. Namun aku akhirnya kembali ke daerah yang sama, daerah "mungkin" dan daerah "entah". Kerana apa pun pikiranku, ketawaran ini aku tidak dapat agak apa misinya, apa objektif diciptakan perasaan tawar, apakah raison d'etre ketidak-rasaan aku ini.

Atau mungkin, bukan dunia ini yang pelik, mungkin aku yang pelik.

Merasa asing ketika bersama.
Merasa gelisah ketika tenang.
Merasa kenyang ketika di depan makanan.
Merasa segar ketika harus mengantuk.
Namun, apabila mengantuk, tidak dapat tidur.

Atau mungkin aku terlalu dahaga, sekali lagi aku berpusing di daerah yang sama, mungkin penawar tawar ini adalah secawan air sejuk. Apabila tiba dibawah bumbung aku teguk, namun ia tidak juga menghilang pergi.

Atau mungkin perasaan ini akan hilang nanti petang, seperti kehidupan, ia juga akan berlalu seperti angin.

Ahad, 31 Januari 2021

Mulut Terkunci Tapi Hati Bisa Berkata-Kata - Reviu Buku

 

Petang itu kepala saya sakit, saya tidak tahu sakit kepala itu psikologi atau phisiologi. Mungkin sebab dari pagi duduk menghadap skrin, tengahari berdiskusi dengan universiti dan wakil industri, petang siapkan laporan yang tergendala, mungkin kepala panas. Selepas solat Asar saya keluar, duduk di laman rumah melihat hujan turun. Rintiknya semakin surut, di angkasa ada burung layang-layang terbang bebas. Kemudian kawanan burung pipit lalu melintas, mungkin mereka juga mahu pulang ke rumah masing-masing selepas pening mencari rezeki.

Buruh imigran yang sedang menyiapkan rumah jiran mula masing-masing memanaskan enjin motor, walau hujan mereka tetap bekerja. Beberapa ketika mereka semua hilang, tiada lagi riuh rendah persembangan mereka, walaupun saya tidak memahami bahasa mereka, namun sepertinya mereka ceria bekerja bersama. Teringin juga belajar bahasa mereka, boleh juga berbual-bual jika bosan.

Rintik hujan makin hilang, saya cuba untuk mematikan fikiran. Kata Eckhart Tolle, otak harus digunakan seperti alatan lain, andai sudah tidak digunakan harus di turn off, jika tidak kita penat berfikir tanpa henti. Apabila ada fikiran yang datang, cepat-cepat saya padamkan. Saya kembali merenung awan yang berarak, gerak awan agak pantas, mungkin penangan angin monsun belum berakhir. Entah apa yang menggusarkan kepala saya petang itu. Duduk melihat awan pun tidak tenang, ada sahaja fikiran yang cuba menyusup, namun segera saya padamkan. Saya sebenarnya menunggu anak-anak pulang tadika, selalunya mereka akan lari ke dalam rumah mencari dan menjerit nama saya apabila pulang. hari itu saya terasa terlalu penat berada di dalam rumah, biarlah saya menyambut mereka di luar. 

Mereka masih belum tiba bersama isteri, saya pun bangun dan berjalan-jalan di halaman rumah tanpa arah. Kemudian akhirnya saya masuk semula ke dalam rumah dan mengambil naskah buku Mulut Terkunci Tapi Hati Bisa Berkata-Kata tulisan Nur Kamilea Syasya binti Che Sharif. Saya duduk semula dilaman dan mula membaca. Saya rasakan dunia ini terasa kecil, syarikat penerbit Syihabudin Press ini rasanya adalah syarikat yang diusahakan senior sekolah saya, manakala Usaid Asmadi yang menulis prakata adalah mahasiswa Universiti Malaya bersama adik saya. Namun saya tidak mengenali Kamilea secara peribadi.

Di bahagian prakata Usaid menulis perihal magiknya penulisan, hal ini saya kira persis apa yang diperkatakan oleh Carl Sagan, namun sebab mereka berbeza. Bagi Sagan ia magik kerana ia membolehkan manusia yang dipisahkan dengan jarak beribu tahun untuk saling berkomunikasi, manakala menurut Usaid ia magik kerana 3 perkara. Pertama, ia boleh datang menghukum kita semula. Kedua, ia memperlihatkan perkembangan pemikiran kita, dan yang terakhir, boleh mengubat fikiran yang sedang rusuh. Cuma kata Usaid, dia selalu melangkau helaian prakata tanpa dibaca. Saya berbeza dalam hal ini, jika tidak dibaca kulit ke kulit, saya merasakan pembacaan saya tidak lengkap, sering saya merenung bahkan hingga ke belakang, di bahagian nota, bibliografi, juga indeks.

Kamilea memulakan pencak bicaranya atas dilema wanita, yang sering terperangkap dalam konstruk sosial untuk memilih dua curam, sama ada kerjaya atau keluarga. Kedua-dua pilihan ini mendatangkan kata-kata tidak manis dari masyarakat, seolah-olah apa pun pilihan mereka, mereka tetap akan dijatuhkan hukuman "bersalah". Membaca dilema ini saya teringat akan buku tulisan Sheryl Sandberg yang bertajuk Lean In, saya kira ia buku yang wajib dibaca oleh setiap wanita, tidak kira mereka memilih kerjaya atau keluarga. Selepas para isteri membacanya, elok dipaksa juga suami membacanya, agar mereka faham situasi dan dilema wanita.

Buku ini turut memuatkan nasihat perihal harapan dan sifat tidak menyerah kalah. Nasihat-nasihatnya begitu bagus dan positif. Cuma mungkin saya terlalu tua untuk menjadi idealis, saya kira di masa muda juga saya idealis, melihat dunia penuh dengan optimisme dan harapan, namun semakin dewasa saya faham dunia ini tidak semua indah. Dunia ini diciptakan untuk manusia yang tidak sempurna dan penuh dengan ketidak sempurnaan, kekalahan, malah tragedi. Ia kadang tidak dapat kita elak se-optimis mana pun kita. Kadang kita perlu menerimanya apa adanya, dan mendefinisikan semula apa itu kejayaan. Namun bagi orang muda, idealis itu bagus bagi saya, kerana banyak sahaja perubahan baik dalam dunia ini lahir dari mereka yang idealis dan tidak mahu mengaku kalah walaupun sudah kalah.

Sampai di muka surat 11, kereta Myvi putih muncul disebalik rumah jiran, meluncur ke halaman. Anak-anak sudah melekat di tingkap kereta dengan senyuman, jeritan, dan lambaian. Maka saya harus letakkan semula naskah ini sebentar, untuk memberi hak masa kepada anak-anak.

Keesokan harinya, Idlan, anak saya yang kedua berumur 3 tahun bangun dengan badan yang panas. Dia punya masalah sakit perut, oleh kerana pada hari tersebut adalah hari Thaipusam, yang mana sinonim dengan kontroversi Menteri Besar Kedah, Idlan menemani saya di rumah pada hari itu. Apabila dia tidur, saya kembali membelek naskah buku ini.

Saya sangat tertarik dengan ungkapan yang dipetik oleh Kamilea ketika membahaskan perlunya mahasiswa membaca. Iaitu ungkapan dari Napoleon Bonaparte yang menyebut "Aku lebih takut dengan empat orang penulis berbanding 1000 senapang". Petikan ini menggambarkan besarnya peranan ilmu, yang mampu menjadi alat pemandaian untuk melawan penguasa. Tidak sedikit sejarah yang merekodkan bagaimana tulisan merubah dunia, sebab itu kita membaca banyak buku yang diharamkan, penulis yang dipenjarakan, kerana penulisan dan keilmuan itu satu senjata yang ampuh. Cuma saya tidak dapat menemui quote yang asal seperti dipetik, jadi saya tidak pasti adakah kata-kata ini benar dari Napoleon, walaupun dari sudut maknanya begitu signifikan.

Saya juga begitu tertarik dengan frasa "melayang-lah ke angan masa kecil yang indah" ketika beliau menghuraikan perlunya kita menulis. Bagi saya menulis adalah terapi diri yang sangat berkesan, ketika saya sedang dirundung emosi, sama ada marah, sedih, kecewa, atau gembira, adalah masa yang sangat subur untuk saya "melayang", kata-kata biasanya mengalir ke dalam tulisan secara semulajadi, tanpa ada halangan. Selain dari mengalirkan emosi, ia juga adalah rekod penting akan perasaan saya, jika dirundung emosi sama, saya bisa pulang ke laman itu, kembali memetik dan merasai buah-buah yang saya tanam dahulu. 

Menulis juga menurut beliau merupakan cara kita belajar berfikir, ia merupakan kaedah yang sesuai untuk kita menghadap pembacaan, menyusun informasi. Saya secara peribadi juga amat bersetuju dengan hal ini. Kadang kita merasakan kita faham akan sesuatu perkara, dengan menulisnya semula, kita dapat menyusun kefahaman kita, juga menguji kefahaman kita tadi. Dengan cuba menulis kefahaman kita semula kadang kita belajar, bahawa ada sisi yang kita belum benar-benar faham, membuatkan kita terus membaca lagi sehingga kefahaman itu dilengkapkan dan boleh disusun dengan rapi.

Menulis dan membaca memang tidak dapat dipisahkan, Kamilea menganalogikan penulisan tanpa pembacaan umpama tanaman yang hidup di tanah yang gersang. Penulisan yang disirami pembacaan adalah penulisan yang berisi, yang sihat, yang mampu membuatkan manusia lain berfikir. Bagi saya secara peribadi, menulis dan membaca itu adalah dua sayap ilmu.

Tulisan Kamilea Syasya ini menurut saya banyak berbentuk monolog yang memuatkan nasihat, motivasi, keperluan untuk terus cekal dalam hidup, dan pelbagai nasihat lagi. Walaupun ia dipasarkan sebagai sebuah zine, saya merasakan ia lebih dekat dengan sebuah buku, atau mungkin risalah kecil. Saya cukup tertarik akan penulisannya perihal menulis dan membaca, ia akan saya jadikan sebahagian dari rujukan, petikan, dan citation bagi buku saya yang akan datang. Moga-moga kita diberkati dengan lebih banyak lagi karya mutiara berharga dari penulis muda ini.

Ahad, 24 Januari 2021

Hari Yang Produktif

 

Hari ini hari Ahad, hari Ahad isteri bekerja, Kedah bekerja di hari Ahad, anak-anak juga ke taska dan tadika. Jadi bolehlah saya memfokuskan sedikit masa dan usaha saya menghadap kerja-kerja penulisan, pembacaan, dan penerbitan. Sebab semalam tertidur awal bersama anak-anak, hari ini segar bugar menyiapkan kerja-kerja yang ada. 

Hari ini dimulakan dengan menyambung suntingan terhadap manuskrip buku yang sedang diusahakan untuk diterbitkan tahun ini. Sudah berhari-hari saya sunting. Hari ini berjaya menyelesaikan semuanya dan dihantar kepada pihak ketiga, penyunting luar pula untuk melihatnya. Ini penting bagi setiap naskah, iaitu dilihat dan disunting oleh orang lain selain penulis, kerana penulis biasanya mempunyai blind spot dalam tulisan mereka. Dengan bantuan penyunting luar, kelemahan ketara ini boleh dibaiki.

Kemudian sekitar tengahari sempat bersama dua orang sahabat untuk merakam lakonan drama pendek. Drama ini merupakan tugasan yang diberikan dalam satu konvensyen yang saya sertai. Selepas tamat konvensyen peserta perlu bekerja dalam kumpulan menyiapkan drama pendek perihal apa yang difahami dari konvensyen tersebut.

Kemudian selepas selesai rakaman, saya mendapat teks dari syarikan percetakan bahawa dua naskah zine yang sedang saya usahakan bersama seorang teman sudah diap dicetak. Saya segera ke kedai untuk mengambilnya kemudian terus ke pejabat pos untuk menghantar satu naskah contoh kepada sahabat saya di Kulim.

Pulang ke rumah saya menyambung penulisan artikel bedah buku berkenaan dengan sebuah buku yang ditulis oleh penulis Belanda. Saya sempat juga menghabiskan penulisan ini walaupun hari sudah lewat petang. Apabila anak-anak pulang, tiada lagi masa untuk fokus menulis atau membaca, masa harus difokuskan pada anak-anak. Saya gembira pada mulanya, kerana banyak yang berjaya diselesaikan, hari yang produktif. Namun hidup pasti memberi kita sesuatu apabila kita gembira.

Apabila sudah petang saya mencari buku nota saya, saya ingat ia ada saya gunakan semasa berbincang untuk merangka skrip lakonan. Teman berlakon mengeluarkan buku nota tersebut dan meletakkan di atas kereta. Saya pun tidak perasan dan membawa kereta ketika mengambil zine di kedai cetak, saya mencari di sekeliling rumah tetapi tidak ketemu. Besar kemungkinan buku nota tersebut telah jatuh di tengah jalan. Banyak nota berharga dalam buku tersebut namun apatah daya. Kata orang tua-tua "barang yang hilang usah dikenang", walaupun sedih, hidup perlu diteruskan. Jodoh saya bersama buku nota itu ditakdirkan tidak lama. Walaupun produktif, ada juga perkara yang terhilangkan. Bak kata orang Jawa "you gain some and you lose some"

Isnin, 18 Januari 2021

Melempar Minda Kembali ke Dalam Laut


Hari ini kita tahu terlalu banyak, bukan terlalu sedikit. Menjadikan pundak kita sesak, minda kita tenat, fikiran kita penat. Dunia dipenuhi dengan pelbagai jenis masalah, menjadikan kita 24 jam resah. Ketenangan merupakan rahsia manusia yang hilang, kita perlu berlumba dengan semua orang, kita perlu berjaya seperti semua orang, kita berlari, namun akhirnya kita tewas. Termenung merenung dinding kosong.

Kita mahu kewujudan kita ini bererti sesuatu. Sekurang-kurangnya dunia menjadi lebih baik selepas kita mati meninggalkannya. Namun kita buntu untuk bermula di mana. Kita terlalu banyak informasi. Ada kapal terbang terhempas di negara seberang, adakah kita perlu pergi ke sana membantu, jika tidak, mengapa berita itu kita diberi tahu. Atau adakah kita perlu menjadi saintis, bekerja melawan masa untuk mencipta vaksin yang menyelamatkan dunia. Atau kita perlu menyediakan kapal, membuat ekpedisi ke kutub bagi menyelamatkan beruang yang hilang habitat kerana kecairan glacier. Atau ke Afrika, menghantar makanan? Apa yang kita perlu lakukan dengan berita-berita masalah dunia yang meributi kaunter informasi minda kita.

Keributan informasi ini satu perkara yang tidak dikenali oleh nenek moyang kita. Kita mungkin boleh mengejek mereka kerana mereka tidak pandai membuka akaun Facebook, atau me-re-tweet cerita gossip panas, atau menonton kejadian viral di Youtube. Tetapi mereka hidup dengan tenang. Pagi ke sawah atau ladang. Petang memberi makan lembu dan ayam, anak-anak dibiar mandi parit. Malam-malam mengaji Al-Qur’an sebelum tidur. Mereka tidak perlu fikir rusuhan yang berlaku di Washington atau siapa di tangga pertama manusia paling kaya dalam dunia. Mereka sudah kaya dengan ketenangan, itu sudah cukup.

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk berdakwah supaya manusia menjadi pasifis atau menjadi penganut defeatism. Sekiranya anda mampu mengubah dunia, berbuat baik meskipun hanya menghilangkan secebis duri di jalanan, itu adalah baik. Setiap kebaikan itu adalah baik, meskipun sekecil mikroskopik. Seperti kisah yang terkenal, perihal seorang lelaki, yang berjalan di tepi pantai. Dia melihat seorang budak sedang membaling tapak sulaiman kembali ke laut dengan berhati-hati.

“Hai budak, apa yang kau perbuat?” soalnya hairan.

“Tapak sulaiman ini harus segera dikembalikan ke dalam air, ia akan mati kering jika dibiar terdampar” jawab budak itu gigih.

“Tapi ada berjuta-juta lagi tapak sulaiman berkilometer di sepanjang pantai, ia tidak mengubah apa-apa” soalnya lagi bertambah bingung.

Budak itu mengambil tapak sulaiman baru, dan dibaling ke dalam laut. 

“Tidak bagi tapak sulaiman yang berjaya saya selamatkan ini, mereka dapat merasai perubahan” jawabnya puas.

Tentu sahaja kita tidak dapat mengubah dunia yang luas ini dengan tangan kecil kita, ia terlalu besar untuk diubah oleh hanya satu tangan kudrat manusia. Namun, itu juga tidak bermaksud kita tidak harus berbuat apa-apa. Mungkin lambakan informasi ini membingungkan kita, kita lemas di dalamnya. Jika boleh berbuat kebaikan, berbuatlah meski sekecil apa pun, jika tidak, jika lemas dan rimas, tiada masalah juga untuk menutup berita. Menutup kaca-kaca peranti elektronik untuk berjalan-jalan di taman.

Mencari ketenangan dengan melihat awan yang bergerak perlahan, tinggalkanlah dunia yang penuh dengan ribut beritanya. Tutup sepasang mata dan nikmati secawan kopi panas, rasai bagaimana kopi itu menyerap masuk ke dalam mulut. Bak kata Eckhart Tolle, nikmati saat sekarang, berhenti sebentar dari hiruk pikuk untuk merasa hidup.

Jika masalah dunia terlalu besar untuk diselesaikan, tidak mengapa, jangan salahkan diri anda. Lihatlah persekitaran sekeliling. Mungkin ada kucing kurap yang boleh dibantu dan diberikan makanan. Mungkin ada buku yang sudah lama dibeli tidak dibaca. Mungkin ada roti yang sudah lama terbiar dan boleh diberi kepada burung merpati. Mungkin tiada siapa yang kisah jika anda tidak berkongsi apa-apa di laman sosial? Atau mungkin sudah tiba masanya anda berbuat baik kepada diri sendiri? Melemparkan minda kusut ke dalam laut agar boleh tidur nyenyak dalam mimpi yang indah. Mungkin anda perlu berehat sebentar, bertenang, masalah dunia tetap akan ada apabila anda bangun nanti, sekurang-kurangnya jika tidur ia boleh dihadapi bila anda bertenaga semula.

Sabtu, 2 Januari 2021

Berani Menuntut Hak


Kisah ini ada saya kongsikan di laman Facebook. Perihal bagaimana baru-baru ini saya ada ke syarikat penghantaran, mahu mengantar buku teks kepada seorang teman di Syria yang akan menduduki peperiksaan professional. Di kaunter saya tanya harga penghantaran 2 buah buku, setelah ditimbang dan di check rate penghantaran, total cost adalah RM300.

Kerana macam mahal, saya balik bincang dengan rakan saya dulu, kami setuju akan kos tersebut. Esoknya saya pergi semula dan bayar.

Selepas beberapa hari, saya dimaklumkan penghantaran tidak boleh dibuat, kerana agen mereka tidak boleh menghantarnya. Saya okay, saya minta refund. "Takda" jawab mereka ringkas. Saya rasa tertipu. Patutnya jika tidak boleh hantar, beri tahu sebelum saya bayar, jimat masa, tenaga, dan duit. Jika nak guna alasan perang, perang di Syria dah bertahun lamanya, jadi patut polisi dah jelas tidak boleh hantar. Bukan beritahu boleh, minta duit, kemudian kata tak boleh hantar.

Saya kata saya akan buat tuntutan di mahkamah kecil, kerana RM300 tak banyak, tapi still rasa tertipu. Ini bukan kali pertama saya guna ayat nak buat tuntutan mahkamah, kali pertama rasanya masa minta pulangkan deposit dari syarikat percetakan yang tak tunaikan servis. Prosedur tuntutan ni senang sahaja, boleh Google. Kalau malas Google saya pautkan link disini. Kalau kawan hutang tak nak bayar pun boleh buat tuntutan.

Akhirnya pihak syarikat penghantaran setuju untuk pulangkan duit. Bayangkan jika 100 orang tidak menuntut dan biar sahaja bila dikatakan tiada refund. Dah boleh dapat RM30,000. Kalau seribu orang, boleh dapat RM300,000 dan boleh beli sebiji rumah secara cash.

Hidup ni kadangkala memang kena melawan kalau tak mahu ditekan. Setiap kali ada penindasan perlu ada perlawanan. Bak kata Widji Thukul "hanya satu kata, lawan!".

Isnin, 9 November 2020

Menuju Lautan: Evolusi Pembacaan


Kehidupan ini kadangkala rasanya seperti sungai, pada mulanya laju, ada air terjun, kemudian semakin perlahan, mendatar, sehinggalah bertemu lautan, akhirnya larut, hilang. Membaca merupakan satu aspek kehidupan yang saya kira berevolusi sepanjang kehidupan saya. Saya masih ingat semasa sekolah rendah banyak dilaksanakan kempen-kempen membaca. Antara yang paling melekat adalah lagu "Membaca Gaya Wawasan", bila lihat semula video lagu tersebut di Youtube memang nostalgia, penyanyi-penyanyinya Siti Nurhaliza, Nazri Johani, Sarimah Ibrahim, Afdlin Shauki, semuanya masih muda-muda. Lagu ini selalu diputar di televisyen, sejauh mana ia mempengaruhi masyarakat saya tak pasti. Tapi bagi saya, sehingga kini masih ingat.

Saya mula membaca dengan membaca buku-buku fikrah Islam. Buku-buku Fathi Yakan, Syed Qutb, Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, Ramadhan Al-Buti kerana ia merupakan buku-buku yang dianjurkan untuk dibaca oleh ibu, ayah, guru, dan murobbi saya. Semasa saya habis sekolah, membuat pengajian persediaan saya meminjam buku dari seorang rakan dari Terengganu, beliau merupakan peminat Tuan Guru Nik Aziz, jadi dari beliau saya membaca buku 'Kemuncup Dalam Perjuangan' dan 'Insan Ingatlah! Sebuah Panduan Menuju Hati Yang Tenang'. Pada peringkat permulaan, pembacaan adalah satu instrumen spiritual pada saya, satu proses menguatkan ruhi dalam diri.

Saya hanya meneroka buku-buku selain buku fikrah Islam semasa pengajian pasca-siswazah saya di Johor (pengajian yang tidak dihabiskan). Saya masih ingat dalam kelas research methodology, pensyarah saya ada berbincang panjang lebar sebuah buku tulisan Thomas L. Friedman. Saya tertarik dan mula membacanya. Selepas saya tamat membaca buku tersebut, saya seolah-olah dirasuk. Seperti ada awakening dalam diri saya bahawa membaca begitu menyeronokkan, begitu mengubah cara saya melihat dunia, memahami bahawa dunia ini lebih luas dari apa yang saya imaginasikan. Saya kemudian membaca buku tulisan agen CIA, Graham Fuller bertajuk 'A World Without Islam' dan sejak itu saya membaca pelbagai jenis buku lagi. Bagi saya ketika itu, saya mahu membaca sebanyak mungkin buku sebelum mati. 

Dari satu buku ke satu buku, saya baca semua, dari buku Mufti Perlis 'Aku Ingin Kembara Lagi' sehinggalah buku militant atheist Richard Dawkins 'The God Delusion' semuanya saya baca untuk memuaskan kehendak membaca dalam diri. Malah buku Adam Smith, The Wealth of Nations setebal 1231 mukasurat juga saya baca dari kulit ke kulit, buku ini pertama kalinya diperkenalkan oleh pensyarah ekonomi saya di Russia, V.I. Radchenko, dalam bahasa Rusia berjudul Bogatstva Norodov, saya mencari frasa "the invisible hand" yang disyarahkan oleh guru saya dahulu. Saya kemudian bertemu dengan buku-buku Noam Chomsky. Banyak bukunya yang saya baca termasuklah Power and Terror, Power System, Manufacturing Consent, saya begitu tertarik dengan pemikiran Chomsky perihal hegemoni Amerika dan American Exceptionalism, malah ketika saya tidak membaca pun saya akan dengar syarahan-syarahan beliau di Youtube. Hingga satu hari saya terdengar beliau membicarakan soal pembacaan, katanya "there is no use to read, but forget 5 minutes later". Kata-kata Chomsky ini begitu menusuk minda saya, ia mengubah paradigma saya tentang membaca. Buku Adam Smith contohnya, saya ingat dan faham akan bab-bab awal perihal division of labour, tetapi banyak bab-bab lain hilang tanpa ada sebarang ibrah dan pengajaran yang boleh diambil.

Selepas itu paradigma membaca saya berubah. Saya bukan lagi mahu membaca sebanyak mungkin buku. Tetapi saya membaca untuk faham. Saya bahagikan pembacaan kepada dua. Yang pertama adalah leisure reading, bacaan perihal cerita, memoir, novel yang boleh dibaca dengan mudah dan sekali lalu.  Buku seperti Educated oleh Tara Westover dan The Translator oleh Daoud Hari adalah dalam kategori ini, ia boleh dibaca tanpa perlu banyak berfikir. Tetapi tetap saya akan tuliskan sedikit dapatan, apa yang saya dapat dari buku tersebut. Yang kedua adalah serious reading, buku-buku dalam kategori ini bukan sahaja saya baca, malah saya tanda, saya tuliskan nota, ulang baca, dan tuliskan nota yang panjang perihalnya. Saya lebih belajar darinya dari membaca tentangya. Bagi saya amalan ini lebih memuaskan hati, lebih bermanfaat untuk saya walaupun ia melambatkan pembacaan. Dari 20 buku setahun, kini mungkin saya membaca sekitar 10 buku setahun.

Kebelakangan ini saya tersedar akan sesuatu, saya kurang membaca buku-buku karya penulis tempatan. Entah kenapa saya lebih gemar membaca buku dalam bahasa Inggeris, mungkin ada sifat penjajah Anglophile sedikit dalam diri. Bagi saya buku bahasa Inggeris seronok kerana ia membolehkan kita membaca idea-idea lain di dalam dunia yang tiada dalam Bahasa Melayu. Apa-apa pun kini saya bertatih, sedikit demi sedikit membaca buku tulisan anak tempatan, yang bagi saya tidak kurang hebatnya dengan karya antarabangsa.

Begitulah evolusi saya dalam membaca, mungkin ia akan berevolusi lagi saya tidak tahu. Tetapi dalam hati setiap hari saya merasakan saya semakin hampir dengan lautan. Kehidupan ini sememangnya sementara, saya bersyukur pada Allah, tuhan yang memberikan saya nikmat membaca, nikmat memahami. Terima kasih juga kepada guru-guru tadika dan sekolah saya kerana mengajar saya membaca, ibu yang dahulu sering membawa kami adik beradik ketika kecil ke Perpustakaan Negara, juga arwah ayah yang memberi buku-buku fikrah untuk saya baca. Sememangnya membaca merupakan nikmat, anugerah Tuhan sebelum tiada.

Ahad, 1 November 2020

Muhasabah Sebuah Kelahiran


Sambutan hari lahir tahun ini dirumah sahaja, biasanya isteri akan belanja makan diluar, tetapi kerana mengenangkan suasana pandemik yang masih belum surut beliau hanya membawa balik ayam goreng 4Fingers dan sekeping pizza untuk dimakan dirumah bersama anak-anak. Sederhana tetapi syukur, masih diberi secebis nafas untuk merasai sebuah kehidupan. Masih dikurnia orang-orang yang menyayangi diri ini.

Sambutan hari lahir bukanlah sebuah tradisi dalam keluarga saya. Kami tidak pernah menyambutnya semasa kecil seingat saya. Malah saya sendiri tiada kesedaran akan bila sebenarnya tarikh kelahiran saya. Ketika di sekolah menengah baru saya mula sedar dan tahu bila tarikh kelahiran saya kerana menyambutnya bersama rakan-rakan sekolah.

Namun kebelakangan ini saya lebih banyak memikirkan soal kematian berbanding soal kelahiran. Mengenang pemergian ayah sekitar 7 bulan lalu, jika dibanding usia pemergian ayah, saya hanya mempunyai baki 30 tahun lagi untuk terus hidup. Bakinya telah saya gunakan, telah saya hidupi, sama ada ia kehidupan yang baik, saya tidak pasti, namun saya kira itulah kehidupan paling baik yang saya boleh hidupi, dengan keadaan hidup yang saya ada. Sekarang saya mempunyai baki 30 tahun sahaja lagi, itupun jika ajal bukan lebih awal, jadi 30 tahun terakhir ini perlu difikirkan mahu diisi dengan apa, sebelum tiba masanya untuk pergi selama-lamanya.

Dahulu semasa kecil saya mempunyai banyak cita-cita, dan cita-cita ini sering berubah dari masa ke semasa, bergantung kepada apa yang saya alami dalam setiap fasa hidup. Saya ingin menjadi mujahideen berjuang membebaskan Afghanistan dari penjajahan Soviet, ingin menjadi saintis, ingin menjadi penternak ayam di kampung, ingin membuka rumah anak yatim dan miskin, dan seribu satu cita-cita lagi. Kini mungkin saya sedar, tidak semua cita-cita itu saya boleh capai, dahulu saya ingin mengubah dunia, di umur 30-an ini saya ingin mengubah diri saya.

Antara target baharu saya ialah untuk menghabiskan pengajian sarjana saya sebelum melangkah ke umur 40-an, alhamdulillah baru-baru ini saya telah berjaya menghabiskan peperiksaan untuk menjadi ahli profesional dalam bidang perkapalan jadi bolehlah saya kembali semula ke sekolah pascasiswazah. Cumanya keadaan semasa kelihatan tidak menentu dengan penularan wabak Covid-19, penangguhan pengajian di universiti, jadi saya mungkin perlu menunggu dahulu sebelum keadaan menjadi normal semula. 

Ahad, 20 September 2020

Apabila anak panah sudah keluar busur, usah lagi bimbang


Esok keputusan peperiksaan professional saya akan keluar, sudah hampir sebulan saya memikirkannya, dan hari ini, apabila ia semakin dekat, minda saya semakin risau memikirkannya. Namun sebenarnya tidak ada apa yang boleh diperbuat lagi selain merungsingkan pemikiran, kerana anak panah sudah keluar busur. Mungkin pada ketika ini saya harus mengamalkan pemikiran Stoic, agar lebih tenang sehingga menyamput keputusan esok hari. 

Stoicism bukan agama, tetapi falsafah-falsafah dan renungan-renungan hidup yang menekankan kehidupan yang aman dan minda yang tenang, bagi Stoic kita harus hidup selari dengan alam. Menurut Prof. Massimo Pigliucci, ia berasal dari ahli fasafah Yunani kuno bernama Zeno. Zeno merupakan seorang pedagang yang kaya, namun dia hilang segala-galanya apabila kapal dagangnya tenggelam. Selepas itu Zeno pergi ke kedai buku, dia terbaca perihal falsafah, kemudian mencari ahli falsafah, kemudian dia menjadi ahli falsafah. Namun berbeza dengan ahli falsafah lain, Zeno berbicara dengan masyarakat di jalanan tanpa mempunyai sekolah tersendiri. Pemikiran-pemikiran beliau melahirkan aliran pemikiran Stoic.

Ramai pemikir-pemikir yang terkemudian dari Zeno mempunyai pengaruh Stoic yang kuat antaranya Seneca dan Marcus Aurelius, sebelum kebangkitan Kristian yang memadamkan pengaruh kuatnya dalam masyarakat. Bagi Stoic, kita perlu hidup sesuai dengan fitrah manusia iaitu hidup secara sosial dan hidup dengan menggunakan kebolehan untuk menggunakan logik akal.

Antara pemikiran Stoic lain adalah perkara dalam dunia ini terbahagi kepada dua, satu yang boleh kita kawal, yang kedua perkara yang kita tidak boleh kawal. Dan kita hanya perlu risau berkenaan dengan perkara yang kita boleh kawal, dan untuk hidup dengan tenang, berhenti berasa bimbang dengan perkara diluar kawalan kita. Antara ungkapan Stoic yang menarik berkenaan dengan hal ini adalah dari Epictetus, dimana beliau menulis:

“Saya akan mati. Jika sekarang, maka saya akan mati sekarang, jika kemudian, sekarang adalah masa untuk saya makan tengahari, kerana masa makan tengahari telah tiba, manakala mati saya akan hadapinya kemudian”.

Maksudnya disini adalah bukan kita tidak harus bersedia untuk mati, tetapi mati adalah satu kepastian. Jika kita takut berlebihan atau kita tenang menjalani kehidupan, ia tidak akan mengubah kenyataan bahawa kita akan mati. Oleh itu kita harus menumpukan perhatian kita pada perkara-perkara yang kita boleh kawal di saat ini, sekiranya perkara itu adalah makan tengahari, maka itu seharusnya menjadi fokus kita buat masa tersebut. Ia lebih dekat dengan pemikiran Eckhart Tolle bahawa kita perlu hidup dimasa kini, sekarang, bukan masa lampau atau masa depan.

Kita boleh mengumpamakan pemikiran ini dengan aktiviti memanah. Kita boleh berlatih bertahun-tahun untuk menguasai ilmu memanah. Kita boleh cuba untuk mendapatkan anak panah dan busur yang berkualiti. Tetapi apabila kita memanah, sebaik sahaja kita sudah melepaskan anak panah dari busur, ia bukan lagi dalam kawalan kita. Mungkin akan ada angin yang membuatkan panahan kita tersasar, atau sasaran kita bergerak menyebabkan ia tersasar.

Dalam hidup kita hari ini, mungkin kita boleh lihat ia melalui usaha-usaha kita untuk mencapai sesuatu. Dalam peperiksaan contohnya, fokus dan kebimbangan kita perlulah pada usaha kita, kerajinan kita untuk mengulangkaji, memahami teori, tetapi apabila kita sudah menjawab peperiksaan, anak panah telah kita lepaskan dari busur, kita tidak perlu lagi bimbang atau gelisah kerana ia bukan lagi dalam kawalan kita. Kita perlu menerima keputusannya, dan jika tidak baik kita perlu berusaha lebih keras lagi selepas itu.

Mungkin saya patut akhiri penulisan pendek ini dengan ungkapan kegemaran saya dari Seneca, yang saya kira sangat bagus untuk direnung-renungkan. Seneca berkata “kita semua sentiasa merungut perihal kesingkatan masa, namun, dalam masa yang sama kita punya terlalu banyak masa sehingga kita tidak tahu apa yang kita hendak perbuat dengannya”.

Harap-harap dengan menjadi Stoic saya dapat menerima keputusan dengan tenang esok!


Ahad, 19 Julai 2020

Balik ke Kuala Lumpur



Setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan dan pergerakan merentas negeri dibenarkan, saya tidak dapat pulang ke kampung (bandar) di Kuala Lumpur dengan segera kerana perlu menduduki peperiksaan professional. Setelah tamat peperiksaan akhirnya sempat untuk pulang ke bandar halaman untuk menziarahi ibu tersayang.

Menghantar Naskah Buku di Perpustakaan Negara Malaysia

Di kesempatan pulang ini, saya mengambil peluang untuk menyerahkan 5 naskah wajib bagi buku terbaru saya Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews. Ini selaras dengan peraturan dibawah Akta Penerimaan Terbitan yang mewajibkan serahan 5 naskah di Perpustakaan Negara Malaysia. Semoga buku saya tersebut ada sumbangannya kepada perbendaharaan buku negara.

Ada banyak buku-buku yang bagus-bagus yang ditulis penulis muda Malaysia yang saya baca tidak didaftar dan mendapatkan ISBN. Bagi saya ini satu kerugian kerana ia tidak direkod dan dikatalog oleh PNM untuk rujukan generasi akan datang. Jika menulis, saya kira, elok ia di daftar dan dikatalogkan, agar mudah dirujuk generasi akan datang. Tidak kira sama ada kita rasa buku kita itu bagus atau tidak. Malaysia memberi ISBN secara percuma tidak seperti sebahagian negara lain.

Amni dan Idlan bergambar di luar Perpustakaan Negara.
Amni dan Idlan bergambar di luar Perpustakaan Negara.


Kami ingin masuk Perpustakaan Negara hari ini, tapi kanak-kanak masih belum dibenarkan masuk dek kerana wabak Covid-19. Jadi anak-anak bergambar di luar sahaja.

Menghadiri Pembukaan Kedai Buku The Bibliophile

Alang-alang sudah di Lembah Klang, sempat ke perasmian pembukaan kedai buku The Bibliophile di Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya. Kedai buku baru yang diusahakan anak muda Kiridaren Jayakumar. Selain membeli buku, saya juga menghantar buku tulisan saya. Selain buku baru Life full of Reading, buku lama saya Berfikir Tentang Pemikiran juga boleh didapati secara eksklusif di kedai beliau.

Buku lama saya ini sudah out-of-print tapi boleh di dapati di The Bibliophile. Hanya ada beberapa naskah terakhir. Buku ini pernah di kritik oleh Benz Ali dari Republik Buku, kata beliau 

"Buku ini agak tepu dengan nilai-nilai keusrahan, yang kuat unsur didaktiknya".

Ia dikritik sekali dalam siri reviu ke-2, tulis Benz:

"Boleh dikatakan aku agak kecewa juga membaca 100 ms pertamanya."

Buku tersebut juga pernah di reviu, oleh Saudara Akmal Sabri, namun ulasan Akmal tidak begitu ganas, mungkin kerana dia mahu menjaga hati saya. Beliau menulis:

"Begitu dangkalnya manusia sebegini. Tidak mengunakan anugerah akal dari Tuhan untuk berfikir, hanya mengikut sahaja. Saya sangat marah ketika membaca komen tersebut. Saya yakin saranan membaca dalam Islam juga bermaksud membaca, menganalisa dan berfikir. Itulah saranan yang pertama dalam Islam dan sangat cocok untuk zaman ini. Owh isu fictional reality juga menarik."

Saudara Kiridaren Jayakumar founder The Bibliophile bersama buku Life Full of Reading dan Berfikir Tentang Pemikiran


Selain dari buku saya yang tidak menarik, banyak buku-buku menarik boleh didapati di The Bibliophile. Malam ini saya sempat mendapatkan empat buah buku.

1. No Way Home tulisan Teo Ann Siang
2. Fidel Castro oleh Clive Foss
3. Islam And Secularism oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas
4. The Sejarah Melayu Revisited oleh Ahmat Adam

Banyak lagi buku-buku menarik dalam dan luar negara yang boleh didapati di The Bibliophile. Saya yakin ia akan menjadi tempat bertandang kegemaran buat para pencinta buku!

Menziarahi Pusara Arwah Ayah

Cucu-cucu mengikuti Wo menziarahi pusara arwah atuk mereka.


Pulang kehalaman kali ini benar-benar rasa kelainannya, tiada lagi suara girang ayah yang menyambut kepulangan cucu-cucu. Alhamdulillah berkesempatan bersama ibu, isteri, dan anak-anak untuk menziarahi pusara arwah ayah. Ada satu nafas ketenangan di kubur arwah ayah. Moga Allah ampunkan dosa-dosanya dan terima ayah sebagai orang-orang beriman dan beramal soleh.

Sabtu, 31 Ogos 2019

Pilih Satu Makanan Seumur Hidup



Michael bertanya kepadaku sekiranya aku hanya diberi pilihan untuk memilih satu makanan sahaja, makanan apa yang akan aku pilih untuk dimakan sepanjang hayat. Mencabar juga soalan dari sahabatku yang berwarga negara Afrika Selatan tetapi berketurunan Inggeris ini. Aku mengambil masa beberapa saat untuk berfikir.

"Durian, I can eat durian for the rest of my life" jawabku sambil ketawa, Michael turut ketawa. Banyak lagi makanan yang sedap di Malaysia ini, entah kenapa aku pilih durian. Mungkin rasa durian dari Pasar Payang, Terengganu beberapa bulan yang lalu masih melekat dalam aku punya Corpus Callosum. Juga durian Muar dan Chiku yang aku nikmati bersama ibu ketika pulang ke Gombak bulan lalu.

"Have you taste one?" tanyaku kepadanya. Lebih dua tahun duduk di Malaysia aku pasti dia pernah rasa, saja aku tanya untuk dapatkan maklum balas pandangan beliau berkenaan durian. Aku masih ingat beberapa tahun lalu, ketika John datang ke rumahku dari Crawley, UK, dia hanya rasa durian secubit sahaja, sebelum berkata "I can't". Michael pula lain review yang diberikan berkenaan dengan durian. Katanya kebiasaannya orang sama ada akan cakap durian sangat sedap, atau sangat tak sedap, somewhere between two extremes, dia berpendapat bahawa durian ini di tengah-tengah, dia boleh makan tapi tak la sampai jadi favorite.

Giliran aku pula tanya dia, apa makanan pilihan dia.

"Egg, I can eat egg for the rest of my life" jawab Michael.