Kehidupan ini kadangkala rasanya seperti sungai, pada mulanya laju, ada air terjun, kemudian semakin perlahan, mendatar, sehinggalah bertemu lautan, akhirnya larut, hilang. Membaca merupakan satu aspek kehidupan yang saya kira berevolusi sepanjang kehidupan saya. Saya masih ingat semasa sekolah rendah banyak dilaksanakan kempen-kempen membaca. Antara yang paling melekat adalah lagu "Membaca Gaya Wawasan", bila lihat semula video lagu tersebut di Youtube memang nostalgia, penyanyi-penyanyinya Siti Nurhaliza, Nazri Johani, Sarimah Ibrahim, Afdlin Shauki, semuanya masih muda-muda. Lagu ini selalu diputar di televisyen, sejauh mana ia mempengaruhi masyarakat saya tak pasti. Tapi bagi saya, sehingga kini masih ingat.
Saya mula membaca dengan membaca buku-buku fikrah Islam. Buku-buku Fathi Yakan, Syed Qutb, Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, Ramadhan Al-Buti kerana ia merupakan buku-buku yang dianjurkan untuk dibaca oleh ibu, ayah, guru, dan murobbi saya. Semasa saya habis sekolah, membuat pengajian persediaan saya meminjam buku dari seorang rakan dari Terengganu, beliau merupakan peminat Tuan Guru Nik Aziz, jadi dari beliau saya membaca buku 'Kemuncup Dalam Perjuangan' dan 'Insan Ingatlah! Sebuah Panduan Menuju Hati Yang Tenang'. Pada peringkat permulaan, pembacaan adalah satu instrumen spiritual pada saya, satu proses menguatkan ruhi dalam diri.
Saya hanya meneroka buku-buku selain buku fikrah Islam semasa pengajian pasca-siswazah saya di Johor (pengajian yang tidak dihabiskan). Saya masih ingat dalam kelas research methodology, pensyarah saya ada berbincang panjang lebar sebuah buku tulisan Thomas L. Friedman. Saya tertarik dan mula membacanya. Selepas saya tamat membaca buku tersebut, saya seolah-olah dirasuk. Seperti ada awakening dalam diri saya bahawa membaca begitu menyeronokkan, begitu mengubah cara saya melihat dunia, memahami bahawa dunia ini lebih luas dari apa yang saya imaginasikan. Saya kemudian membaca buku tulisan agen CIA, Graham Fuller bertajuk 'A World Without Islam' dan sejak itu saya membaca pelbagai jenis buku lagi. Bagi saya ketika itu, saya mahu membaca sebanyak mungkin buku sebelum mati.
Dari satu buku ke satu buku, saya baca semua, dari buku Mufti Perlis 'Aku Ingin Kembara Lagi' sehinggalah buku militant atheist Richard Dawkins 'The God Delusion' semuanya saya baca untuk memuaskan kehendak membaca dalam diri. Malah buku Adam Smith, The Wealth of Nations setebal 1231 mukasurat juga saya baca dari kulit ke kulit, buku ini pertama kalinya diperkenalkan oleh pensyarah ekonomi saya di Russia, V.I. Radchenko, dalam bahasa Rusia berjudul Bogatstva Norodov, saya mencari frasa "the invisible hand" yang disyarahkan oleh guru saya dahulu. Saya kemudian bertemu dengan buku-buku Noam Chomsky. Banyak bukunya yang saya baca termasuklah Power and Terror, Power System, Manufacturing Consent, saya begitu tertarik dengan pemikiran Chomsky perihal hegemoni Amerika dan American Exceptionalism, malah ketika saya tidak membaca pun saya akan dengar syarahan-syarahan beliau di Youtube. Hingga satu hari saya terdengar beliau membicarakan soal pembacaan, katanya "there is no use to read, but forget 5 minutes later". Kata-kata Chomsky ini begitu menusuk minda saya, ia mengubah paradigma saya tentang membaca. Buku Adam Smith contohnya, saya ingat dan faham akan bab-bab awal perihal division of labour, tetapi banyak bab-bab lain hilang tanpa ada sebarang ibrah dan pengajaran yang boleh diambil.
Selepas itu paradigma membaca saya berubah. Saya bukan lagi mahu membaca sebanyak mungkin buku. Tetapi saya membaca untuk faham. Saya bahagikan pembacaan kepada dua. Yang pertama adalah leisure reading, bacaan perihal cerita, memoir, novel yang boleh dibaca dengan mudah dan sekali lalu. Buku seperti Educated oleh Tara Westover dan The Translator oleh Daoud Hari adalah dalam kategori ini, ia boleh dibaca tanpa perlu banyak berfikir. Tetapi tetap saya akan tuliskan sedikit dapatan, apa yang saya dapat dari buku tersebut. Yang kedua adalah serious reading, buku-buku dalam kategori ini bukan sahaja saya baca, malah saya tanda, saya tuliskan nota, ulang baca, dan tuliskan nota yang panjang perihalnya. Saya lebih belajar darinya dari membaca tentangya. Bagi saya amalan ini lebih memuaskan hati, lebih bermanfaat untuk saya walaupun ia melambatkan pembacaan. Dari 20 buku setahun, kini mungkin saya membaca sekitar 10 buku setahun.
Kebelakangan ini saya tersedar akan sesuatu, saya kurang membaca buku-buku karya penulis tempatan. Entah kenapa saya lebih gemar membaca buku dalam bahasa Inggeris, mungkin ada sifat penjajah Anglophile sedikit dalam diri. Bagi saya buku bahasa Inggeris seronok kerana ia membolehkan kita membaca idea-idea lain di dalam dunia yang tiada dalam Bahasa Melayu. Apa-apa pun kini saya bertatih, sedikit demi sedikit membaca buku tulisan anak tempatan, yang bagi saya tidak kurang hebatnya dengan karya antarabangsa.
Begitulah evolusi saya dalam membaca, mungkin ia akan berevolusi lagi saya tidak tahu. Tetapi dalam hati setiap hari saya merasakan saya semakin hampir dengan lautan. Kehidupan ini sememangnya sementara, saya bersyukur pada Allah, tuhan yang memberikan saya nikmat membaca, nikmat memahami. Terima kasih juga kepada guru-guru tadika dan sekolah saya kerana mengajar saya membaca, ibu yang dahulu sering membawa kami adik beradik ketika kecil ke Perpustakaan Negara, juga arwah ayah yang memberi buku-buku fikrah untuk saya baca. Sememangnya membaca merupakan nikmat, anugerah Tuhan sebelum tiada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan