Sabtu, 14 November 2026

Ke Mana Perginya Semua Ilmu?

Dalam wacana pelarian di Malaysia, saya perasan satu benda yang hilang, iaitu ilmu dan ahli ilmu. Kita di Malaysia mempunyai banyak sekali gedung-gedung ilmu, namun mengapa gedung ini tidak digunakan?

Kita belajar tentang syariah Islamiyah dan ilmu fiqah. Ada jabatan, ada fakulti, ada penyelidik, ada pelajar sarjana, ada pelajar doktor falsafah. Tiadakah dari rahim ilmu ini panduan tentang bagaimana kita perlu menguruskan pelarian mengikut syariah Islamiyah dan fiqh Islam?

Kita belajar tentang politik, ilmu diplomasi antarabangsa, undang-undang. Penuh universiti dan kolej kita. Tidak adakah pandangan ilmu dari ketinggian intelektual ini tentang cara menguruskan pelarian dengan penuh ketamadunan dan tersusun? Yang ada hanya ahli akademik yang tersengih-sengih seperti kerang busuk bertanya kenapa kita tidak tembak pelarian? Adakah ini level ilmuan kita?

Kita belajar tentang tamadun Islam. Hebat wacananya, speakernya diundang dari seluruh pelusuk dunia. Diangkat bagaimana Islam adalah tamadun hebat rentas geografi dan bangsa. Tidak adakah kegunaan ilmu ini untuk memberi kita satu sudut pandang perihal pengurusan pelarian Muslim? Bagaimana tamadun Islam mengajar kita menguruskan pelarian?

Kita bina universiti pedagogi. Kita jerit-jerit slogan “pendidikan untuk semua”. Tidak malukah kita membiarkan anak-anak pelarian Muslim di negara kita dibiarkan melarat pendidikannya dan buta al-Qur’an? 

Aneh sekali negara kita yang penuh dengan ilmu dan keilmuan ini. Ilmunya tertinggal di dalam jurnal scopus sahaja, tidak digunakan dalam masyarakat. Sebaliknya masyarakat dibiarkan dididik oleh mangkuk-mangkuk terjah, yang hari-hari kerjanya mengajar masyarakat untuk menjadi rasis dan pembenci. Masyarakat dibiarkan hanyut dididik oleh samseng dan aktivis cap ayam untuk tendang meja pelarian berniaga, rampas jualan mereka, kejar anak dan ibu-ibu miskin, menyamun, baling bom petrol dan seribu satu kebejatan yang lain. Mengapa ilmuan tidak tampil membaiki masyarakat.

Mana perginya semua ilmu kita? 

Menolak Untuk Sujud Pada Rasisme

Apabila sebuah masyarakat pekat dengan propaganda kebencian dan rasisme, menolak untuk sujud menyembah rasisme bukan satu perkara yang mudah, namun ia adalah perkara yang benar untuk dilakukan. Kebenaran bukan diukur oleh majoriti, kejahatan yang disokong majoriti tidak menjadikannya kebaikan. Perlu sentiasa ada sosok yang menolak, menentang, dan menyedarkan masyarakat agar tidak hanyut jatuh ke lembah kezaliman.

Saya tertarik dengan perbahasan Howard Zinn perihal patriotisme (lihat A Power Governments Cannot Supress, hlm. 111-119). Zinn membahaskan bagaimana perkataan patriotisme sering disalah gunakan, untuk menipu manusia agar mereka melakukan kezaliman terhadap orang lain. Beliau memetik kata-kata Muhammad Ali yang menolak untuk pergi berperang untuk membunuh orang Vietnam yang bukan musuhnya. Menzalimi bangsa lain yang lemah bukan sebuah aksi patriotik.

Hari ini kita dipropagandakan dengan perkara yang sama, kita diprogramkan untuk membenci bangsa lain, menghina mereka, menzalimi mereka, kezaliman ini diungkapkan dengan bahasa patriotik seperti “menjaga kedaulatan”, “membela bangsa”, dan lain-lain. Penolakan kepada penyelewengan ini dituduh sebagai pengkhianat, buang, barua, dan lain-lain. Hanya orang-orang dungu sahaja terpengaruh dengan ideologi rasis yang jelek ini, orang-orang dungu yang mudah dimainkan emosinya dan ditunggang untuk membenci saudaranya sendiri.

Walhal patriotisme itu boleh dimaknai dengan cara yang berbeza. Kita mahu menjaga negara kita dari tergelincir kepada kezaliman. Kita mahu negara kita menjadi tamadun yang mampu mengurus manusia yang memerlukan perlindungan dengan penuh kemanusiaan dan kasih sayang. Kita mahu bangsa kita mengamalkan persaudaraan Islam yang sejati. Itulah patriotisme kita, kita sentiasa boleh menjadi patriotik tanpa perlu menjadi rasis.

Dan kita menolak untuk sujud pada berhala kebencian dan rasisme yang mereka ajarkan pada kita.

Anugerah Buku Paling Kemas di Malaysia

Sepanjang menjadi pembeli buku di Malaysia. Saya rasa ada sebuah penerbit sahaja yang bukunya memang kemas dan ditukang dengan penuh seni. Kekemasan bukunya bukan hanya pada aspek-aspek anatomi buku, tapi termasuk dalam langgam bahasanya, susun aturnya, pemilihan kertas, dan grafiknya. Kalau pegang bukunya, mesti saya ada rasa aura buku yang berbeza. Hati cair, membaca pun segera hanyut dan tenggelam dalam wachananya. Jika ada anugerah buku paling kemas di Malaysia, saya akan beri pada Akademi Jawi Malaysia.

Luahan Perasaan Dalam Podcast Terpaling Baca EP18

Saya sebenarnya sudah lama mahu meluahkan perasaan tentang apa yang saya rasa melihat masyarakat kita banyak yang hanyut dalam kempen kebencian dan rasisme terhadap Muslim Rohingya. Terima kasih Book Surgeon kerana akhirnya sudi mengundang saya.

Saya juga sudah lama nak menjawab persoalan-persoalan dari “peminat” saya yang hari-hari panggil saya barua dan pengkhianat. Walaupun ramai yang dah kena block (kesian) tapi ada juga yang saya tengok ikhlas hendak tahu, kenapa saya pilih posisi untuk mempertahankan saudara Muslim Rohingya. Jadi saya ambil peluang ini to lay out my position and what I think the current hate propaganda are missing out. Sorry la terkechek omputih plak.

Saya faham sahaja, haters gonna hate. Kita terang macam mana pun, golongan pembenci akan tetap memilih benci. Tapi at least saya mahu register my thoughts. Saya mahu dunia tahu bahawa bukan semua rakyat Malaysia subscribe to this stupid hate campaign. At least, 10-20 tahun lagi, bila manusia look back at history, mereka akan jumpa some voice of reason. Ada orang yang percaya bahawa polisi pelarian di Malaysia boleh diuruskan dengan penuh kemanusiaan dan persaudaraan, bukan dengan kebencian dan rasisme. Ada orang Melayu yang anggap Muslim Rohingya sebagai saudaranya yang dia sayangi dan cintai.

Imigran, Pelarian dan American Midterm Election 2026

Alhamdulillah keputusan American Midterm Election 2026 menyaksikan imigran dan pelarian ramai yang menang pilihan raya. Antara yang bersorak meraikan kemenangan mereka adalah golongan sama yang anti pelarian Rohingya Muslim di Malaysia. Apabila kontradiksi mereka terbongkar, dan hipokrasi mereka terlondeh, mereka melatah:

“Malaysia tak sama dengan Amerika, lain politik lain belalang, lain padang, kat sana peribumi asal Apache dan Cherokee, mana boleh buat perbandingan macam tu! Rohingya pernah buat naya kat tanah nenek saya, jadi semuanya tak kenang budi. Kami tetap nak jadi hipokrit, celebrate pelarian berjaya di tempat lain, dan menafikan hak pelarian di Malaysia!”.

Well, sebenarnya ini hujah paling dangkal nak tutup kontradiksi dan hipokrasi pemikiran diorang. Kalau kita ikut logik macam ini, kita tak payah belajar sejarah atau politik antarabangsa, sebab semua keadaan di tempat lain tak sama macam Malaysia. Buat apa kita sibuk belajar pasal Palestin, Iran, Jepun, Jerman, sirah sahabat nabi dan lain-lain, semua keadaan ini tak sama dengan Malaysia, lain padang, lain belalang. 

Malah kita tak perlu pun belajar pasal sejarah Tanah Melayu sebab zaman dan situasi politik kita tak pernah sama. Keadaan dah berubah. Tiada satu peristiwa lain, di masa lain, di kawasan lain yang seratus peratus sama dengan keadaan Malaysia hari ini. Kita sentiasa boleh nampak dan cuba cari perbezaannya. Kita boleh pilih nak ketengahkan perbezaan dan nafikan hikmah yang ada, atau belajar dari persamaan.

Jadi masalah dia bukan lain lalang, lain padang, lain belalang. Masalah dia adalah geng rasis malu dan cuba sorok sifat hipokrit mereka.

Syarahan 'Marginal & Marginalia' di Tarjamah

Alhamdulillah pada 08 November 2026 saya selesai mensyarahkan buku terbaharu saya Marginal & Marginalia terbitan The Bibliophile Bookshop di Tarjamah.

Terima kasih diucapkan pada tuan rumah Amirzudin Suhaimi dan Syaza yang menjadi pemudahcara untuk acara hari ini. 

Terima kasih juga diucapkan pada rakan dan teman yang datang dari jauh dan dekat, dari dalam dan luar negara. Terima kasih Mohd Elfie Nieshaem Juferi datang dan passing signed copy bukunya yang masih ‘panas’. Terima kasih Amirul Aiman jauh datang dari Konya, Turki. Terima kasih juga pada penulis muda prolifik Nadhirah Ghani dan Prof Bukhari Lubis yang sudi datang betukar-tukar fikiran. Sempat juga jumpa Afiq Rostam, lama tak jumpa, makin hensem. Terima kasih Einas Kaisah sudi hadir. Juga intelektual muda Ahmad Hashimi, tak sempat sembang panjang tadi. Terima kasih juga teman-teman lain yang saya tak sempat berkenalan dan bertegur sapa. Ampun maaf salah silap.

Thank you also to my brother Sardar Waleed Ahmed for the tasty naan, karahi chicken and kheer. Until we meet again.

Jangan Mempercayai Bomoh

Saya ada tengok tok bomoh punya video anti-Muslim Arakan yang kononnya mahu terangkan sebab dia berkelakuan samseng dan bertindak menghalau orang lain yang sewa rumah taman. Kononnya kalau kita guna hujah Islam dalam masalah pelarian di Malaysia, kita tidak adil.

Saya lihat semua kumpulan anti-Muslim Arakan di Malaysia ini semua guna hujah tolak Islam. Ketua samseng NGO Slurpee kata kalau kita ambil Islam kita jadi “bias”. Si wiwie joget pula menjerit-jerit “no Islam, jangan sembang Islam”. Saya lihat golongan rasis ini dah masuk fasa baharu, fasa penolakan terhadap Islam secara terbuka, sebab mereka sedar, agama Islam tak akan redha dengan perbuatan zalim mereka.

Tok bomoh tersebut bagi contoh kita hendak pergi buat umrah kena visa dengan pelarian yang masuk Malaysia tanpa visa. Nampak sangat tok bomoh tersebut tidak cerdik. Sebab itu Islam tidak ajar kita jumpa bomoh. Baginda Nabi, para sahabat, dan ulama muktabar pun tidak ajar kita ikut bomoh. Apatah lagi bomoh yang terlibat dengan kes jenayah. Tok bomoh ini punya tak cerdik dia tak faham isu.
 
Memanglah cara kita pergi umrah tidak sama dengan pelarian. Sebab kita bukan pelarian, kita ada dokumen yang sah, boleh buat passport dan visa. Sementara saudara Muslim Rohingya kita dari Arakan yang ditindas, ditarik kerakyatan, memanglah dia tidak boleh hendak buat visa. Sebab itu Islam suruh tuntut ilmu, bukan membomoh dan percaya benda karut marut.

Sebab golongan rasis ini anti Islam, kita kena sebut banyak lagi pasal Islam pada mereka. Bagi mereka kesedaran dan moga-moga mereka dapat kembali ke jalan yang benar. Agar mereka kembali bersaudara dan berkasih sayang sesama Muslim seperti yang diajarkan oleh Islam.

Khamis, 12 November 2026

Aksara Bak Aliran Sungai

Dahulu, masa saya mula dijangkiti ‘penyakit’ obses membaca, saya mempunyai impian untuk membaca semua buku yang wujud di atas dunia ini. Ya, naif. Membaca majalah Kelana edisi wahid ini membuatkan saya terimbau kenaifan dahulu. Dewasa ini, saya sedar, buku-buku yang menyimpan aksara dan kearifan dunia itu bak air sungai, yang mengalir sepanjang ribuan zaman. Tidak mungkin dapat dinikmati oleh seorang manusia yang dianugerahkan satu nyawa sahaja. Paling-paling, kita diberi nikmat untuk menghirup beberapa titis sahaja dari aliran sungai aksara yang panjang itu.

Menyelak helaian-helaian kemas majalah Kelana, saya dapati ia sebagai satu forum bukuwan yang menyeronokkan. Membaca ulasan buku “yang mekar, yang segar” bak kata editornya. Mungkin jika dibenarkan berbid’ah, saya akan menambah “yang malar, yang nalar”. Terima kasih diucapkan pada saudara Fakhry Harraz yang sudi mengulas buku saya yang tidak seberapa dalam makalah istimewa ini. Terima kasih juga editor budiman Amirzudin Suhaimi yang memuatkan cuplikan tulisan saya perihal karangan guru saya. 

Jika saudara ingin berkelana ke mana, saya sangat sarankan dibawa bersama majalah Kelana!

Ahad, 25 Oktober 2026

Kenapa Mempertahankan Rohingya Lagi

Sebelum ini saya telah menulis bagi menjelaskan pendirian mengapa saya mempertahankan saudara Rohingya. Di sini saya ingin menambahkan lagi sebab dan hujah-hujah bagi menjelaskan lagi pendirian saya. Mengapa saya mempertahankan saudara Muslim Rohingya saya:

1. Sebab Islam ajar saya bersaudara sesama manusia. Apatah lagi Muslim, bukan sekadar bersaudara, saya kena beri hak-hak Muslim kepadanya. Umat Islam itu satu badan yang sama.

2. Sebab saya memang suka berkawan dengan semua bangsa. Saya lihat semuanya manusia. Saya kawan dengan orang Rusia, Amerika, UK, Afrika Selatan, Arab, Iran, Bangladesh, jadi Rohingya tidaklah pelik atau special. Dia hanya satu dari pelbagai bangsa yang jadi kawan saya. Saya makan bersama mereka, bersembang, gelak sekali, datang rumah. Mereka masak sedap. Saya tiada masalah dengan sesiapa.

3. Sebab saya peminat Howard Zinn, buku autobiografi beliau yang tidak ada jual di Malaysia sudah sampai ke rumah saya (terima kasih posmen!). Zinn cakap “you can’t be neutral on a moving train”. Maksudnya apa? Maksudnya kalau orang kena tindas kau tak boleh duduk diam. Kau kena bersuara membela mereka yang lemah dan dalam kesusahan. Kalau yang susah tu Melayu, kena tolong. Kalau yang susah tu Palestin, kena tolong. Kalau Rohingya, pun kena tolong.

Sembang Dengan Kawan Arab

Hari tu ada kawan Arab ajak makan di mat’am di Ampang. Walaupun tak lapar, aku pergi juga sebab nak bersembang. Bila sembang dengan kawan Arab memang tak boleh lari dari bersembang pasal politik, perang dan situasi di Asia Barat. Dia tanya aku pasal politik Malaysia, aku pulak tanya lah pasal politik Arab. Aku tanya dia apa pandangan dia pasal Ben Salman dan Ben Zayed. Dia berhenti makan, dia pandang muka aku, dan dia sebut “haza syaithonul arob”.

Apa Seterusnya? Selepas Menyambut Penjenayah Perang

 

Anwar Ibrahim menyambut penjenayah perang Min Aung Hlaing ke Malaysia.

Mula-mula kita dipropagandakan untuk membenci pelarian yang merupakan mangsa perang. Kita hina mereka, kita sebarkan kebencian dan rasisme terhadap mereka hari-hari. Kita tutup sekolah anak-anak mereka. Kita berusaha halang mereka masuk tadika dan sekolah kita.

Kemudian kita sambut ketua junta yang membunuh ribuan manusia dalam jenayah genosida yang menyaksikan berlakunya krisis pelarian terbesar di rantau kita. Kita sambut ketua junta yang tangannya masih merah dengan darah pembunuhan manusia dan sekarang dikehendaki oleh mahkamah antarabangsa atas jenayah genosida.

Apa seterusnya?

Buli Adalah Budaya dan Wawasan Malaysia

Tak pelik tengok kes buli dan budak-budak berbunuhan di sekolah. Yang mak bapak pon normalisasi buli. Konten-konten sampah kejar budak mintak sedekah, tengok kanak-kanak tu menjerit-jerit. Konten kejar ibu miskin dukung baby. Lepas tu di bawah semua komen bersorak. Memuji konten-konten sebegini. Masyarakat puas nafsunya melihat manusia dibuli. Masyarakat sudah menormalisasi buli dan pencabulan ke atas manusia yang lain yang dilihat berbeza dari mereka.

Masyarakat ditanamkan dalam kepala otak mereka bahawa menindas, membuli, menzalimi manusia yang berbeza dari kita adalah normal, adalah perkara biasa, rutin harian dalam hidup. Jadi tidak pelik andai anak-anak mengikuti perangai ibu bapanya. Tiada penguatkuasaan ke atas konten buli seperti ini, penghasil konten begini dibiarkan tersebar, mengulang konten jijik yang sama setiap hari, setiap minggu, setiap bulan.

Masyarakat consume konten jijik seperti ini, bersorak, ia menjadi darah daging dalam masyarakat. Masyarakat yang rosak, tidak bertamadun. Manusia yang mencari perlindungan patut diurus sebagai manusia, tapi dilayan lebih kejam dari haiwan. Dikejar, dimaki, dimalukan, ditayangkan wajah mereka sambil mereka dihina, hanya untuk paparan masyarakat bergelak ketawa dan menghambur kata nista pada mereka.

Bukan salah menteri anak bangsa ini rosak. Bukan salah sekolah, bukan salah cikgu dan guru. Salahnya adalah masyarakat yang rosak itu sendiri. Yang menormalisasikan buli, penghinaan, dan kelakuan jijik sesama manusia. Janganlah kemudian buat-buat terperanjat apabila berlaku kes buli di sekolah.

Buli sudah hari-hari dinormalisasi. Usahlah menipu diri. Jujur sahajalah, masyarakat kita memang bukan masyarakat Islam, bukan masyarakat bertamadun. Buli memang budaya dan darah daging kita di Malaysia. 

Tidak Semua Ulama Itu Berguna

Setuju dengan Datuk Saifuddin, tak semua “ulama” itu berguna. Ada yang jenis makan gaji sekadar jadi setem untuk menyucikan penguasa bobrok dan zalim. Tidak perlu kita iktiraf mereka. Meminjam puisi guru saya:

“Agamawan zaman kini
ada yang seakan kakak tua
kerjanya mengajuk kata
menghalal bobrok penguasa”

- Ibnu Din Assingkiri, Bulan Biru Dalam Poket Pijamaku.

Golongan Rasis Yang Menyembah Kejahilan

Saya sangat setuju dengan kenyataan Polis bahawa aktivis terjah ini adalah golongan jahil. Selain jahil undang-undang, bagi saya mereka juga bawa kefahaman asobiyah jahiliyah yang bertentangan dengan kefahaman ukhuwah islamiyah.

Malangnya, ramai yang terpengaruh dan mula menyembah dan mendewa-dewakan golongan jahil ini. Golongan rasis jahil ini tidak dapat menerima nasihat hatta jika dibawa nas-nas Islam sekali pun. Golongan jahil ini hanya mengulang-ulang:

“Barua”
“Pengkhianat”
“Buang”

Dan pelbagai terma-terma jahil lain yang kosong maksudnya. Lebih malang, golongan jahil ini mula melakukan jenayah seperti curi, rompak, samun, dan juga mencabul orang lain yang mereka anggap “asing”.

Maka warga Malaysia yang rasional perlu bersuara menentang kejahilan dan kerosakan yang mereka bawa. Tahniah diucapkan pada anggota polis kita yang berjaya membendung kegiatan jenayah puak-puak pejuwang jahil ini.

Makian Bukan Sebuah Hujah

Sekali lagi saya rasa kenyataan polis tu betul. Geng terjah dan penyokongnya adalah golongan jahil. Dia ingat makian itu adalah hujah yang kuat. Dia ingat makin banyak dia maki orang makin “benar” “perjuangan” dia. Salah adik-adikku sayang, kebenaran tak diukur dengan siapa yang paling banyak memaki orang. Allah kata “al-haqqu min rabbikum”. Kebenaran itu apa yang Allah kata benar.

Iman itu benar. Ukhuwah sesama Muslim itu benar. Membantu golongan tertindas itu benar. Apa yang Islam ajar itu benar. Dan kebenaran ini tidak dapat dipadam dengan caci maki yang adik-adik hamburkan. 

Adik-adik mungkin rasa hebat boleh maki orang. Adik-adik ingat bila adik-adik boleh sebut “barua”, adik sudah menang hujah. Sebenarnya tak. Orang lain tengok adik-adik selekeh je sebenarnya. Tak percaya, adik belilah cermin.

Rasisme Malaysia Dalam Liputan Media Antarabangsa

Beberapa hari lepas, saya perasan ramai yang tag-tag saya, kononnya “hero” mereka kini sudah terkenal masuk media antarabangsa. Saya gelak aje dalam hati. Saya memang suka diorang ni masuk media antarabangsa. Lagi banyak masuk lagi bagus. Biar masyarakat antarabangsa tengok perangai mereka.

Saya juga rasa media antarabangsa ni pandai trick diorang ni. Ajak masuk media, lepas tu expose yang diorang ni rasis penyebar “hate speech”. Dia mungkin ingat orang ajak dia masuk media nak celebrate dia hero, walhal sebenarnya dipaparkan sebagai orang bodoh yang rasis. Sekarang media Perancis pun paparkan kelakuan tak senonoh mereka.

Sebab diorang ini jahil, diorang tak sedar bahawa dunia ni penuh dengan manusia anti-rasis. Rasisme dilihat sebagai kebodohan dan kebejatan. Lebih banyak mereka masuk media antarabangsa, lebih banyak tekanan pada kerajaan untuk banteras kegiatan mereka ini untuk selamatkan imej Malaysia. Jadi biar, galakkan mereka masuk media antarabangsa. Biar satu dunia tengok kekejian mereka yang hina.

Rasisme ini adalah kegelapan, bila disuluh cahaya dia akan hilang. 

Assalamualaikum: Krisis Pemikiran Umat

Saya dapat ratusan mesej macam ni, hampir setiap hari, yang lagi teruk banyak lagi. Saya pun dah lali. Yang ini bagi saya biasa sahaja, cliche.
Mesej pembaca di Facebook.

Cuma saya nak analisis dalam siked mesej ini. Kelihatan macam ada kontradiksi pemikiran. Pertama dia bagi salam, “Assalamualaikum”. Bagi saya alhamdulillah, dia mendoakan kesejahteraan bagi saya, kerana maksud “assalamualaikum” itu adalah salam sejahtera kepada kamu. Kita memang dianjurkan doakan kesejahteraan orang lain.

Cuma lepas tu dia tukar gear terus, maki “anjing Rohingya”.

Kena maki pun saya dah lali dah, takde kesan, macam debu di tapak kaki aje. 

Cuma mesej macam ni buat saya terfikir, adakah dia tidak memahami makna “assalamualaikum”? Atau memang pemikiran dia ada krisis, dalam satu hal dia nak jadi Islam, dan mendoakan kebaikan buat saya, dalam masa yang sama dia nak jadi rasis yang hatinya hitam gelap dengan kebencian, dan dia teringin nak maki saya. Buat saya berfikir.

Ada kecelaruan besar dalam pemikiran umat.

Pelarian: Peluang Bagi Sebuah Kehidupan

Antara benda yang saya rasa saya belum berjaya ketengahkan dengan baik adalah salah faham masyarakat pada pelarian. Kita nampak pelarian dari kaca mata aktivis jahil yang sibuk buat konten terjah. Jadi kita hanya nampak sisi kotor, miskin dan tidak cantik pada pelarian. Walhal itu cuma satu sisi. Orang Melayu pun ada sisi kotor, miskin, tak cantik, semua bangsa ada.

Tapi kalau kita bergaul dengan mereka. Kita akan jumpa sisi yang lebih luas. Kalau sembang dengan pelarian yang educated, kadang saya pun rasa saya ni kurang ilmu. Saya pernah sembang dengan remaja Rohingya, pada ketika itu di kedai makan. Dia kata dia teringin sangat nak belajar secara formal. Dia nak belajar undang-undang. Dia sudah survey semua kolej, tapi semua tolak permohonannya sebab dia pelarian. Saya nampak mereka sebagai manusia, yang ada cita-cita, ada perasaan, ada kehidupan. Mereka cuma tiada satu benda. Benda yang mereka tiada adalah:

Peluang.

Imam Tom Faccine: Layanan Rohingya di Malaysia

Imam Tom Facchine
Sebab agamawan di Malaysia tidak berfungsi dalam menyelamatkan masyarakat dari krisis rasisme terhadap saudara Muslim Rohingya di Malaysia, saya amat bersyukur kerana Imam Tom Faccine telah mengangkat isu ini.

Beliau mengangkat bagaimana di Malaysia saudara Rohingya Muslim kita telah dicaci dan dihina, dihalau dari rumah mereka, tempat mereka belajar diserbu dan ditutup, malah orang Malaysia meraikan berita orang Rohingya yang mati karam di lautan. Kewujudan perkara ini akan memburukkan imej Malaysia di dalam dunia Islam, memahat titik hitam Malaysia dalam sejarah Islam di masa hadapan dan kita hanya boleh menyalahkan diri kita sendiri kerana ramai agamawan, golongan terpelajar, tidak mahu membaiki pemikiran masyarakat.

Imam Tom membawakan tentang bagaimana kita seharusnya melihat saudara Rohingya bukan dari kerangka “pelarian" atau "refugees” yang disinonimkan sebagai beban masyarakat, tetapi seharusnya dilihat sebagai muhajiruun yang patut disambut oleh saudara Muslim mereka. Malah kaum ansaar mengutamakan kaum muhajiruun lebih dari diri mereka sendiri, tiada tempoh masa diberikan, kerana bumi Islam adalah milik umat Islam, mereka boleh berlindung di dalamnya selamanya.

Alhamdulillah, walaupun agamawan di Malaysia tidak berfungsi, kita masih ada agamawan di dalam dunia Islam yang ikhlas untuk membaiki pemikiran masyarakat keluar dari pemikiran taasub asobiyah jahiliyah. 

Ahad, 11 Oktober 2026

Rasisme dan Kemunduran Pemikiran Umat Islam di Malaysia

Melihat pemikiran umat Islam yang dijangkiti rasisme yang kuat terhadap pelarian Rohingya menyebabkan saya menyedari bertapa mundurnya pemikiran mereka. Bayangkan peliknya pemikiran umat Islam di Malaysia. Pemimpin non-Muslim mahu berikan pendidikan pada pelarian yang kebanyakannya adalah orang Islam. Tapi orang Islamnya pula terhegeh-hegeh hendak menafikan pendidikan pada anak-anak umat Islam. Peliknya.

Seorang pengguna Threads dengan akaun 'ruhiyatiidayu' yang mahu pelarian pergi ke sekolah Cina. 

Disuruhnya pula masuk ke sekolah Cina. Bayangkan mundurnya pemikiran orang Melayu. Bila anak-anak pelarian ramai-ramai masuk sekolah Cina nanti mereka ini akan menggelabah sekali lagi, kononnya negara ini tidak martabatkan bahasa ibunda. Kononnya kerajaan mengabaikan bahasa Melayu. Padahal otak mereka yang masih rasis dan mundur. Mereka tidak mampu berfikir panjang. 

Mereka tak pernah fikir kalau pelarian ini belajar bahasa Melayu, apabila pelarian ini balik ke negara asal, atau ke negara ketiga, kita sebenarnya telah menyebarkan bahasa kita. Memartabatkan bahasa Melayu di dunia. Mereka tak dapat fikir semua itu, sebab bila mereka telah menjadi rasis, otak mereka berhenti berfungsi. 

Pemikiran Rasis Loser

Kadang kala, saya kesian tengok geng rasis, mungkin mereka tidak ada pencapaian dalam hidup jadi mereka serang budak-budak. Macam si Piji Nazi dahulu yang jerit-jerit bangga dapat keluarkan budak dari belajar di tadika di Perak. Nampak loser betul, dengan budak-budak tadika sahaja dia berani buli.

Pengguna rasis di Threads yang mula menyerang anak-anak bersekolah di Pasti.
Wujud juga kempen oleh geng rasis pembuli untuk membuli budak-budak yang masuk Pasti, kelakuan yang bagi saya bersifat total loser. Orang lain sibuk fikir macam mana kita nak pastikan umat Islam jadi kuat, boleh bangkit dengan ilmu, untuk bina tamadun Islam yang baharu.

Tapi otak tolol golongan rasis loser adalah hari-hari fikir macam mana nak halang budak-budak mencari ilmu di tadika. Otak mereka berfikir macam mana nak jadikan manusia lain bodoh seperti mereka. Mereka nak pastikan generasi umat Islam terus bodoh dan mundur.

Begitulah rasis loser. 

Agenda Pembodohan Oleh Influencer Tidak Cerdik

Saya melihat agenda pembodohan umat ini semakin hari semakin bertingkat-tingkat kebodohannya. Misalnya, apa kena mengena antara:

1. Warga kita banyak buat jenayah.
2. Oleh itu kita kena nafikan pendidikan untuk pelarian.

Apa kaitannya?

Kenapa influencer dengan logik yang selekeh macam ini pon orang kita terhegeh-hegeh sanjung? Sudah hilangkah kewarasan kita berfikir?

Membersihkan Friendlist

Dahulu saya penat juga fikir macam mana nak buang orang sebab friendlist di Facebook sudah penuh. Alhamdulillah, sekarang, nampak sahaja orang yang asyik share konten-konten rasis, saya akan terus unfriend, supaya boleh approve friend baru

Apa Seterusnya?

Mula-mula kita dipropagandakan untuk membenci pelarian yang merupakan mangsa perang. Kita hina mereka, kita sebarkan kebencian dan rasisme terhadap mereka hari-hari. Kita tutup sekolah anak-anak mereka. Kita berusaha halang mereka masuk tadika dan sekolah kita.

Anwar Ibrahim menyambut penjenayah perang, Min Aug Hlaing pada 7 Oktober 2026.
Kemudian kita sambut ketua junta yang membunuh ribuan manusia dalam jenayah genosida yang menyaksikan berlakunya krisis pelarian terbesar di rantau kita. Kita sambut ketua junta yang tangannya masih merah dengan darah pembunuhan manusia dan sekarang dikehendaki oleh mahkamah antarabangsa atas jenayah genosida.

Kita jerit “free palestine”, hentikan genosida!

Selepas itu muah muah ketua junta penjenayah genosida.

Ironi. What’s next?